Isnin, 18 Jun 2012

Guru pengemudi wawasan

Oleh Norasikin Daineh dan Erdie Abd Wahid
hmkk@hmetro.com.my


KOTA KINABALU: Guru adalah golongan yang memainkan peranan penting dalam mengemudikan ‘kereta api’ bagi memastikan perjalanan kerajaan ke arah Wawasan 2020 tercapai dengan cemerlang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kereta api akan membawa penumpangnya iaitu rakyat sehingga tiba ke destinasi terakhir.

“Dalam perjalanan kita untuk mentranformasikan negara, kerajaan memberi sokongan dan berjanji untuk menunaikan tanggungjawab menghantar ‘penumpang’ ke destinasi.
“Apabila berada dalam kereta api, kita mahu penumpang yang baik iaitu berlandaskan undang-undang, menyokong dan bekerjasama bagi memastikan perjalanan tidak terganggu,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Kad Hari Guru Peringkat negeri 2012, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Timbalannya, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Cina Sabah, Datuk Eng Thiam Leong.

Najib berkata, menerusi program pertandingan itu, ia sesuai dijadikan amalan atau tradisi kerana mampu mencapai dua objektif bagi memperlihatkan sumbangan guru dalam masyarakat.

“Objektif pertama, guru adalah orang di sebalik tabir dan wira yang tidak kelihatan, tetapi terdapat sumbangannya kepada masyarakat.

“Jadi, pelajar yang merangka kad ucapan dan memuatkan kata-kata ucapan terbabit adalah sebagai penghargaan serta perangsang kepada guru dalam mendidik pelajar,” katanya.
Menurutnya, dalam objektif kedua pula, ia dapat membentuk keperibadian yang baik kepada pelajar itu sendiri.

“Program ini dapat membentuk keperibadian seseorang kerana kita memerlukan generasi yang berpelajaran, berilmu pengetahuan, berperwatakan baik dan menyenangkan, mempunyai nilai murni serta bersikap positif.

“Kami tidak mahu pelajar yang mempunyai akademik semata-mata, tetapi juga memerlukan insan berpelajaran dan berpengetahuan dalam menuju kecemerlangan,” katanya sambil menambah program seumpama itu mampu mengajar masyarakat, khususnya pelajar sekolah berterima kasih kepada guru.

myMetro: 18 Jun 2012

Tiada ulasan: