Selasa, 26 Jun 2012

TUDM perkenal Program Kolaborasi Bersama Sekolah-Sekolah Terpilih

RODZALI Daud (tengah) bersama guru dan pelajar yang terlibat dalam Program Kolaborasi Bersama Sekolah-Sekolah Terpilih di hadapan pesawat pejuang MiG-29N di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN 25 Jun - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) buat pertama kalinya melaksanakan Program Kolaborasi Bersama Sekolah-Sekolah Terpilih di seluruh negara bagi memenuhi keperluan sumber manusia pada masa depan.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar mengenai perkembangan terkini TUDM serta teknologi penerbangan pesawat masa kini.
Tambahnya, TUDM menjadi salah satu komponen utama dalam bidang teknologi penerbangan dan pesawat yang mana teknologi itu semakin berkembang pesat ketika ini.
"TUDM melihat pendedahan kepada teknologi penerbangan dan pesawat mampu menarik minat para pelajar mengenali serta memperoleh ilmu pengetahuan yang holistik.
"Pendedahan melalui program ini diharap memberi galakan kepada mereka supaya lebih bersemangat dan berminat dalam bidang aeroangkasa seterusnya melahirkan generasi muda masa depan yang terbaik untuk TUDM serta negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program itu dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.
Sebanyak 28 sekolah terpilih antaranya Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (Semsas) Kuantan, Pahang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, Selangor; SMK Datuk Ismail, Gong Kedak, Terangganu; Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah dan SMK Simpang Pulai, Perak.
Rodzali berkata, pihaknya berharap kerjasama itu akan membuka minda para pelajar bahawa TUDM adalah peluang kerjaya pilihan yang tepat pada masa depan.
Tambahnya, TUDM akan berusaha mendekati para belia melalui pendekatan lebih intim supaya boleh berfikir dan mengenali institusi ketenteraan itu dengan lebih dekat.
"Bukan sekadar melalui media dan penerokaan teknologi terkini, tetapi kami datang kepada mereka serta turut mengundang mereka menjayakan matlamat bagi terus mempertahankan bumi tercinta ini.
"Jika para pelajar melalui sekolah-sekolah terpilih ini memilih berkhidmat dengan TUDM satu masa nanti, saya yakin ia akan mewujudkan satu ekosistem inovasi yang kondusif," katanya.
Beliau berkata, TUDM akan terus dibentuk sebagai organisasi cemerlang, berprestasi tinggi dan mempunyai kepimpinan kukuh oleh para pelajar yang merupakan pewaris masa depan negara.

Utusan Malaysia Online:26 Jun 2012

Tiada ulasan: