Isnin, 11 Jun 2012

Perkhemahan kokurikulum pupuk kerjasama, bentuk disiplin

SERAMAI 100 orang ahli Unit Beruniform Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, Parit Sulong, Johor menyertai perkhemahan bersepadu kokurikulum untuk memupuk semangat kerjasama dan disiplin diri para peserta.
Pengetuanya, Mohsin Ibrahim berkata, perkhemahan yang disertai tujuh unit beruniform sekolah itu turut berjaya mencungkil bakat kepimpinan di samping menggalakkan peserta menyerlahkan potensi diri masing-masing.
"Objektif perkhemahan ini adalah untuk membentuk pelajar yang aktif, sihat dan mempunyai nilai berani serta berdisiplin.
"Malah ia juga diharap mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam kurikulum, kokurikulum dan memiliki sahsiah terpuji", ujarnya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Perkhemahan turut disertai 10 guru dan lima ahli Pengakap Kelana Parit Sulong.
Ia diadakan di Teluk Gorek Chalet and Campsite, Mersing, Johor baru-baru ini.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang perkhemahan seperti kembara hutan sambil membersihkan kawasan laluan, kawad kaki, sukaneka, malam kebudayaan, solat berjemaah dan kuliah subuh.
Salah seorang peserta, Mohamad Hakim Zamri memberitahu, perkhemahan tersebut amat menyeronokkan dan dapat memupuk nilai-nilai positif seperti yang dimatlamatkan.
Manakala Nur Syafiqah Asaha, 17, pula berpendapat, aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja mampu membentuk sifat kepimpinan, kerjasama dan disiplin malah turut menyemai sikap mencintai alam sekitar.

Utusan Malaysia Online: 11 Jun 2012

1 ulasan:

Jaslan berkata...

Tahnaiah kepada semua warga SMK Penghulu saat

Jaslan Muhadi
Penyelia Koko PPD Batu Pahat