Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah tersebut, paling ramai yang menikmati kenaikan pangkat hasil skim berkenaan ialah kumpulan guru bukan siswazah iaitu 354 dinaikkan gred DGA38, 11,314 dinaikkan gred DGA34 dan 4,091 dinaikkan gred DGA32.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan menambah, sehingga Jun 2014, bagi kumpulan pendidik lepasan siswazah pula dijangkakan seramai 195 guru dinaikkan gred DG54, 643 dinaikkan gred DG52, 803 dinaikkan gred DG48 dan 8,954 guru bakal menikmati tangga gaji baharu gred DG44.
"Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat guru, kerajaan memperuntukkan sejumlah besar kewangan sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi pengiktirafan kepada guru dalam usaha membentuk serta melahirkan modal insan yang berpersonaliti unggul.
"Saya berharap peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi masing-masing," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Guru ke-43 yang bertemakan Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching serta P. Kamalanathan dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad; Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof juga turut hadir.
Sempena sambutan tersebut, Penasihat Kluster Johor, Tengku Azuan Tengku Mohamed dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2014 manakala bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2014.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, menjelang tahun depan pula, seramai 27,105 guru bakal menikmati kenaikan pangkat hasil daripada skim sama kerana ketika ini mereka sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG) dan dijangka bakal menamatkan pengajian pada 2015.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin mahu nilai profesional guru ditingkatkan dengan kualiti menjadi keutamaan bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mencapai objektif sebagaimana diharapkan pihak kerajaan.
Jelasnya, bagi tujuan itu, latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dimantapkan dengan penekanan diberikan kepada unsur-unsur kreativiti dan inovasi merangkumi program diploma perguruan serta sarjana muda perguruan.
Pada masa yang sama, beliau juga menuntut para guru agar sentiasa menambah nilai intelektual masing-masing kerana golongan pendidik merupakan ejen perubahan dalam usaha kerajaan melahirkan modal insan berkualiti yang sangat diperlukan negara.
"Guru biasa memberi petunjuk jalan yang betul, tetapi guru yang hebat memberi inspirasi kepada kita untuk mengenal diri. Mereka menggalakkan kita untuk menonjolkan bakat yang ada. Guru yang hebat mengasuh murid mereka untuk menjadi pemimpin.
"Jadi, guru perlu bersedia menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif memandangkan tugas serta tanggungjawab mereka cukup besar khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan," katanya.