KUALA LIPIS 8 Nov. - Sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan perkhemahan Jamboree On The Air (JOTA) dan Jamboree On The Internet (JOTI) di Institut Pendidikan Guru Malaysia Tengku Ampuan Afzan (IPGMTAA) Lipis, baru-baru ini, suasananya seperti berlangsung sebuah pesta.
Di satu menara di tepi padang, beberapa pengakap Kumpulan Latihan Kelana Malaysia (KLKM) yang juga penuntut institut pendidikan mengibarkan bendera pelbagai warna dan bentuk sekali gus mewujudkan pemandangan yang cukup indah.
Di sebuah bangunan tidak jauh dari situ pula kedengaran bunyi 'bip' yang tidak berhenti-henti seolah-olah satu nada muzik berlagu yang amat unik.
Bagaimanapun, kibaran bendera serta bunyi 'bip' itu hanya merupakan latihan komunikasi oleh penuntut IPGM yang menyertai perkhemahan tersebut.
Seramai 350 penuntut IPGM dari Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Batu Pahat dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghadiri perkhemahan JOTA/JOTI anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan IPGM di IPGMTAA Lipis, selama tiga hari baru-baru ini.
Hadir merasmikan perkhemahan itu ialah Ahli Parlimen Lipis merangkap Bendahari PPM, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman.
Pengarah Perkhemahan JOTA/JOTI 2011, Sabri Saad berkata, setiap bunyi 'bip' yang didengari mempunyai makna tersendiri dan begitu juga dengan kerlipan lampu dan bendera berkenaan.
"Semua ahli pengakap di sini diajar kemahiran komunikasi dan perhubungan menerusi kaedah sistem komunikasi visual. Ia termasuklah perhubungan melalui kod Morse, suara dan sebagainya," katanya.
Menurut Sabri, perkhemahan julung-julung kali berasaskan perhubungan komunikasi sepenuhnya itu memberi peluang kepada ahli pengakap berhubung dengan rakan-rakan pertubuhan itu di beberapa negara Asia dan Eropah.
Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan IPGMTAA Lipis, Misraini Wazir, 22, berkata, dia bangga kerana dapat mengikuti perkhemahan berkonsepkan kemahiran komunikasi itu.
''Kesempatan ini dapat meningkatkan kemahiran dalam bidang komunikasi kerana sebelum ini saya agak asing dengan radio amatur, kod Morse dan lambang komunikasi tertentu," ujarnya.
Rakannya, Wan Sa'id Wan Pekeh, 21, pula berkata, menerusi jambori itu, dia turut diajar aspek kepimpinan pengakap yang bermanfaat dalam menguruskan kegiatan pelajar apabila menjadi pendidik kelak.
Penuntut Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dari Kuching itu berkata, penyertaan dalam kegiatan berkenaan juga membolehkannya mempelajari sistem komunikasi terkini selain berpeluang bercakap dengan rakan pengakap dari seluruh dunia menerusi radio amatur.Utusan Malaysia Online: 9 November 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan