Oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Basir Zahrom
2011/11/11
Kerajaan tak perlu layan helah kumpulan minoritiKUALA LUMPUR: Permintaan Kumpulan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) supaya murid Tahun 1 dibenarkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tahun depan adalah strategi mereka untuk melambatkan lagi pemansuhan dasar berkenaan.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganggap desakan PAGE yang dipersetujui Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu adalah taktik halus untuk mencapai hasrat mereka supaya Kementerian Pelajaran akhirnya menubuhkan Sekolah Kebangsaan PPSMI.
Katanya, PAGE hanya mencari helah untuk mencapai matlamatnya dan kesan daripada tuntutan itu akan memusnahkan sistem di sekolah dari segi guru, buku mahupun peperiksaan.
“Tuntutan mereka tidak perlu dilayan jika kerajaan benar-benar mahu menghapuskan PPSMI. Jangan terlewat lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sementara itu, Gabungan Pemansuhan PPSMI (GMP) yang menaungi 48 NGO di bawahnya kecewa dengan pendekatan pemansuhan berperingkat atau ‘soft landing’ yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.
Pengerusinya, Prof Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, Menteri Pelajaran akhirnya tunduk kepada kumpulan minoriti yang mahu PPSMI diteruskan dan pemansuhan hanya akan berlaku pada 2021.
Katanya, GMP kecewa kerana semasa menghapuskan bahasa Melayu dulu dalam pelajaran Sains dan Matematik, masanya hanya dua tahun.
“Ini dilakukan dengan pelaksanaan PPSMI bermula dengan Tahun 1, Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tingkatan 6 Rendah tanpa kasihan belas pada pelajar yang sedang mengikuti pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
“Apabila tiba giliran menghapuskan bahasa Inggeris, kementerian begitu kasihan kepada pelajar belajar dalam bahasa Inggeris hingga wujud istilah ‘pendaratan lembut’ dan pemansuhan bermula dengan Tahun 1 saja,” katanya yang juga bekas profesor dalam bidang Fizik-Matematik Universiti Kebangsaan Malaysi.
Sementara itu, Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai permintaan terbaru pihaknya kerana bimbang kenyataannya akan disalah erti.
Berita Harian Online: 11 November 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan