Selasa, 15 November 2011

'Tiada diskriminasi pelajar'

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@bharian.com.my
2011/11/15

Pengasingan kelas permudah guru habiskan sukatan subjek

KUALA LUMPUR: Pengasingan pelajar mengikut keputusan akademik bertujuan memudahkan guru menghabiskan sukatan pengajaran sebelum sesi persekolahan tamat dan bukannya memberi keistimewaan terhadap pelajar cemerlang berbanding pelajar kurang bijak.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng bagaimanapun tidak menyokong pengasingan kelas mengikut pencapaian akademik kerana ia meminggirkan pelajar lemah sekali gus menyebabkan mereka kurang motivasi untuk belajar.
“Walaupun tidak semua sekolah mengasingkan pelajar namun banyak sekolah melakukan saringan mengikut tiga tanda aras iaitu cemerlang, sederhana dan lemah melalui keputusan peperiksaan dalaman yang dijalankan,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan Berita Harian semalam, berhubung pengasingan pelajar kurang bijak ke kelas tercorot sebagai punca golongan kanak-kanak berumur seawal 10 hingga 18 tahun melakukan jenayah.

Lok menyarankan pihak pengurusan sekolah mencampurkan pelajar lemah dengan sederhana supaya kemampuan mereka memahami pengajaran dalam kelas dapat dioptimumkan.

“Ini mengelakkan pelajar lemah akademik mempunyai rasa rendah diri berbanding jika dicampurkan dengan pelajar cemerlang yang pantas menangkap apa yang diajar. Adalah tidak adil jika mereka dinafikan hak berada dalam suasana lebih tersusun dan sistematik seperti mana dinikmati pelajar kelas cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Zakaria Kasa, berkata cadangan pemansuhan kelas berdasarkan pencapaian akademik perlu dikaji secara menyeluruh sebelum dasar baru diperkenalkan untuk menjamin kedua-dua kelompok pelajar itu mendapat ‘layanan’ pendidikan sama rata.

“Pengasingan kelas mengikut kelayakan akademik perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana membawa kesan positif dan negatif. Jika pelajar lemah dikelompokkan sekali dalam satu kelas bersama, guru dapat memberi lebih tumpuan kepada mereka terutama semasa di kelas pemulihan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

“Pelajar akan lebih selesa bergaul dan belajar dalam kelas khas untuk mereka, sekali gus ada ruang lebih baik untuk mereka menimba ilmu semasa sesi pengajaran berlangsung,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Berita Harian Online: 15 November 2011

Tiada ulasan: