2011/11/17
SEJAK isu guru di beberapa negeri diminta melaksanakan kerja sembilan jam sehari, banyak maklum balas dikemukakan beberapa pihak. Ramai juga yang skeptikal dengan kerjaya guru dan membandingkan guru dulu dan guru kini dari segi kualiti, beban kerja dan kemudahan. Rakyat Malaysia perlulah berfikir secara rasional dan bukan secara emosi dalam memberi pendapat mengenai apa saja isu perguruan khususnya. Saya terpanggil untuk membela guru kerana terasa amat berdosa dengan penghinaan yang dilempar kepada guru. Di Malaysia kini ada 412,042 guru sekolah kerajaan.Jika betul selama ini guru tidak menjalankan tanggungjawab, berkira tenaga dan titik peluh, kedekut dan mengejar wang ringgit seperti gaji, elaun dan tidak ikhlas mengajar bagaimana mungkin anak kita mengisi tempat dalam kemajuan negara pada masa sekarang. Guru adalah insan amat mulia, penghormatan tinggi yang tidak ternilai dengan wang ringgit harus diberikan kepada mereka.
Jika difikirkan lagi, gurulah lebih efektif menggunakan masa di tempat kerja. Mana mungkin guru berada lama di kantin atau keluar dari pejabat untuk menjalankan tugas peribadi. Guru mempunyai jadual waktu yang perlu dipatuhi.
Malah ada guru yang hanya duduk 30 minit sejak sekolah bermula hingga persekolahan tamat kerana waktu lain guru berdiri, berjalan memastikan pelajarnya terdidik. Ini semua bukan cakap kosong malah termaktub dalam jadual waktu guru yang diaudit. Bayangkan bekerja sambil berdiri dari pagi hingga tengah hari. Wahai pegawai kerajaan, fikirkanlah berapa lama anda berada di kantin untuk perkara bukan profesional. Adakah guru mampu untuk melakukan ini semua, sudah pasti tidak. Jika guru melakukannya anda pasti dapat tahu kerana anak akan beritahu anda guru tidak masuk kelas.
Berilah penghormatan selayaknya pada guru.
ANUAR NASRI NASIR,
Alor Setar.
Berita Harian Online: 17 November 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan