Rabu, 9 November 2011

Boleh pilih bahasa pengantar

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2011/11/09

MUHYIDDIN    merasmikan buku 30 Years  of IFNGO  pada majlis   perasmian persidangan Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi Pencegahan Dadah dan Penyalahgunaan Bahan Larangan (IFNGO) ke-24 di  Kuala Lumpur, semalam.
MUHYIDDIN merasmikan buku 30 Years of IFNGO pada majlis perasmian persidangan Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi Pencegahan Dadah dan Penyalahgunaan Bahan Larangan (IFNGO) ke-24 di Kuala Lumpur, semalam.
Kementerian pantau pembelajaran Sains, Matematik elak timbul masalah

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran kepada sekolah, ibu bapa atau pelajar memilih sama ada untuk menggunakan bahasa Melayu (BM) atau bahasa Inggeris (BI) bagi Sains dan Matematik bertujuan mengelak timbul sebarang masalah pada sesi persekolahan tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kementerian Pelajaran menerusi pejabat pendidikan negeri dan daerah sedang memantau pelaksanaannya bagi menentukan bilangan sekolah yang memilih untuk menggunakan bahasa pengantar untuk kedua-dua subjek berkenaan.
Sekolah boleh memilih bahasa pengantar kedua-dua subjek itu berdasarkan keperluan murid dan jika sekolah terbabit tidak menawarkan pilihan murid, sekolah boleh cadangkan murid terbabit pindah ke sekolah lain. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
“Ini bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu dan pelajar dapat meneruskan pembelajaran dengan lancar, sebab itu jugalah kelonggaran pilihan diberi kepada semua pihak terbabit.

“Kementerian akan memantau bilangan sekolah yang perlu mewujudkan kelas berasingan kerana ada pelajar memilih menggunakan bahasa selain bahasa pilihan sekolah itu serta pelajar yang mahu berpindah ke sekolah lain yang menggunakan bahasa pilihan mereka,” katanya selepas sesi dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Fellow Teach For Malaysia 2012 di Menara UEM di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Penasihat Teach For Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Ahad lalu, Abd Ghafar dilaporkan berkata, Pengetua dan Guru Besar diberi kuasa untuk memilih BM atau BI atau kedua-duanya untuk mengajar subjek Matematik dan Sains mulai tahun depan sehingga Program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya pada 2020.
Katanya, sekolah boleh memilih bahasa pengantar kedua-dua subjek itu berdasarkan keperluan murid dan jika sekolah terbabit tidak menawarkan pilihan murid, sekolah boleh mencadangkan murid terbabit dipindahkan ke sekolah lain yang menawarkan pilihan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri juga memaklumkan sebahagian daripada RM500 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran dalam Bajet 2012 untuk menambah baik sekolah kebangsaan tahun depan akan digunakan untuk memperbaiki infrastruktur di 600 sekolah kebangsaan di seluruh negara yang dalam keadaan daif dan tidak selamat.

Peruntukan segera itu disediakan kerajaan untuk keperluan 10,000 sekolah di seluruh negara.

Sementara itu, Muhyiddin semalam mengingatkan semua pihak supaya tidak membangkitkan sebarang isu yang boleh menimbulkan masalah dalam masyarakat majmuk Malaysia yang mengamalkan sikap toleransi.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri berharap Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang menggesa kerajaan tidak meneruskan amalan menyembelih lembu di pekarangan sekolah dan tempat awam sempena sambutan Aidiladha, tidak menjadikannya isu.

“Mungkin ada salah faham dalam hal ini jika ia dikatakan menyentuh sensitiviti penganut sesuatu agama, tetapi perlu diingat bahawa amalan korban sudah menjadi tuntutan agama Islam yang difahami masyarakat berbilang kaum negara ini, termasuk penganut agama Hindu,” katanya di sini, semalam.

Menyentuh mengenai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk guru, Muhyiddin berkata, penilaian bukan hanya berdasarkan pencapaian sekolah dalam keputusan peperiksaan, sebaliknya turut mengambil kira inisiatif dan kreativiti guru dalam proses pelajaran dan pembelajaran.

“Guru tidak seharusnya bertumpu kepada tugasan dalam bidang kerja mereka atau hanya menumpukan kepada buku teks, sebaliknya tugas guru juga membentuk karektor pelajarnya,” katanya.

Dalam sesi dialog bersama 50 graduan yang akan memikul tanggungjawab sebagai guru kontrak selama dua tahun menerusi program Teach For Malaysia itu, Muhyiddin berkata, kumpulan yang ditugaskan di 17 sekolah menengah di Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan itu boleh membawa perubahan dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

Utusan Malaysia Online: 9 November 2011

Tiada ulasan: