Ahad, 6 November 2011

Keputusan mansuhkan PPSMI bukan 'flip flop'

Oleh Junita Mat Rasid dan Iskandar Ibrahim
bhjb@bharian.com.my
2011/11/06

MUHYIDDIN menyerahkan lembu korban kepada penerima pada Majlis Dialog Bersama NGO   dan Penyerahan Lembu Korban, di Kompleks Seri Pekembar,  di Muar, semalam.
MUHYIDDIN menyerahkan lembu korban kepada penerima pada Majlis Dialog Bersama NGO dan Penyerahan Lembu Korban, di Kompleks Seri Pekembar, di Muar, semalam.
Muhyiddin perjelas MBMMBI tetap dilaksanakan

MUAR: Keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan bersifat 'flip flop' seperti didakwa pembangkang, sebaliknya ia dibuat selepas melihat rekod berdasarkan kajian terperinci, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat hasil kajian teliti berhubung situasi sebenar sebahagian besar sekolah menggunakan dwi bahasa (bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia) ketika mengajar dua subjek berkenaan.
Soal PPSMI sudah tutup. Saya tegaskan, ia tidak lagi dilaksanakan, kita sudah melaksanakan MBMMBI di sekolah seluruh negara. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan pemansuhan itu adalah muktamad dan diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun ini.

“Soal PPSMI sudah tutup. Saya tegaskan, ia tidak lagi dilaksanakan, kita sudah melaksanakan dasar baru (MBMMBI) di sekolah seluruh negara. Kerajaan tidak ‘flip flop’ (berubah-ubah) dalam membuat sesuatu keputusan kerana apa yang kita laksanakan adalah demi kebaikan rakyat dan bukan atas kehendak politik.

“Ketika saya membuat penggulungan dalam Dewan Rakyat (2009), kita mengambil keputusan untuk mansuhkan PPSMI dan digantikan dengan MBMMBI, malah pembangkang juga setuju dengan keputusan itu,” katanya selepas Majlis Dialog Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Penyerahan Lembu Korban, di Kompleks Seri Pekembar di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin pembangkang yang mendakwa keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI itu bersifat ‘flip flop’.
Muhyiddin berkata, apa yang menjadi kebimbangan sesetengah pihak, terutama ibu bapa ketika ini ialah proses peralihan dengan pemansuhan dasar berkenaan.

“Yang rakyat ingin tahu ialah bagaimana peralihan itu dilakukan kerana ada pelajar yang sudah berada dalam sistem (PPSMI) sebelum kita hendak memansuhkannya. Oleh itu, kita perlu adil dan kita mahu proses pembelajaran mereka tidak tergendala,” katanya.

Berita Harian Online: 6 November 2011

Tiada ulasan: