KES pemotongan bayaran awal bantuan persekolahan yang berlaku di beberapa buah sekolah menimbulkan persoalan apakah wujud jurang maklumat antara sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?
Sebuah sekolah di Keramat, Kuala Lumpur telah membuat potongan awal bantuan tersebut bagi kegunaan bayaran tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) manakala sebuah sekolah di Sabah pula melakukan perkara yang sama bagi melunaskan yuran komputer lebih awal.
Lebih mengecewakan ialah sebelum insiden tersebut dilaporkan, di Selangor turut berlaku keengganan pihak sekolah untuk membuat bayaran kepada ibu bapa pelajar yang berada di Tahun 6 kerana mengandaikan bahawa mereka akan mendapat bayaran semasa berada di Tingkatan 1 tahun depan di sekolah lain. Pada 2012 hanya murid tahun 1 sahaja yang akan menerima bantuan khas RM100 itu.
Dari perspektif KPM perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sejak 4 November lalu peruntukan tersebut telah dimasukkan ke akuan sekolah bagi membolehkan para pelajar menerimanya sebelum cuti sekolah bermula.
Malah sebelum itu beberapa taklimat turut diberikan kepada pengetua dan guru besar bahawa bantuan awal persekolahan tersebut hendaklah diberikan sepenuhnya tanpa sebarang pemotongan walaupun murid terbabit berhutang dengan pihak sekolah.
Sekiranya pihak sekolah ingin menuntut sebarang hutang atau yuran tertunggak daripada pelajar, perbincangan hendaklah dibuat supaya satu persetujuan dicapai tetapi bukannya dengan cara memotong wang bantuan tersebut.
Pada dasarnya, guru besar atau pengetua tidak dibenarkan membuat potongan.
Perbezaan tafsiran ketika melaksanakan sesuatu arahan, walaupun arahan itu telah diturunkan secara jelas, masih berlaku. Keadaan ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana satu arahan boleh menjadi lebih banyak tafsiran? Apakah kaedah komunikasi yang digunakan tidak berkesan?
Jawapannya ialah kerana ada segelintir guru besar dan pengetua memberikan alasan kerana perkara tersebut sudahpun diputuskan oleh PIBG dalam mesyuarat tahunannya, maka ibu bapa tidak seharusnya merungut.
Sewaktu keputusan itu dibuat, tidak ramai ibu bapa yang hadir dan apabila hendak dilaksanakan, maka ramailah ibu bapa tidak berpuas hati.
Setiap kali permulaan penggal sekolah, rungutan demi rungutan mengenai bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah menjadi perhatian masyarakat walaupun secara jelasnya KPM telah memansuhkan semua yuran-yuran yang dahulunya terpaksa dibayar oleh pelajar seperti yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), yuran peperiksaan dan sebagainya.
Belum pun sekolah bermula, ada sekolah telah memberitahu bahawa setiap pelajar mesti membayar sejumlah wang bagi membolehkan beberapa aktiviti sekolah terus berjalan seperti biasa.
Hal ini akan menyebabkan ibu bapa terus beranggapan, sekolah masih mengenakan yuran sedangkan kerajaan telah membuat keputusan memberi pendidikan rendah dan menengah secara percuma dengan memansuhkan semua yuran.
Di sinilah bermulanya salah faham antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Maka adalah wajar pihak sekolah memberikan taklimat atau mengeluarkan surat siaran memberitahu ibu bapa bahawa yang mereka pungut bukanlah yuran.
Sekolah memerlukan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan beberapa aktiviti kokurikulum demi membolehkan para pelajar mencapai kecemerlangan dan menjadi modal insan terbaik.
Jika diberi penjelasan secara baik, ibu bapa secara rasional akan memahami kenapa sesuatu sumbangan itu penting. Namun begitu, pihak sekolah tidak boleh melakukan paksaan bahawa semuanya perlu dijelaskan sebelum berakhir minggu pertama persekolahan.
Misalnya untuk sumbangan kepada tabung PIBG, pihak sekolah bolehlah membuat perancangan bahawa ibu bapa boleh menyumbang secara beransur-ansur selama tiga atau empat kali.
Sekiranya ini sanggup dilaksanakan oleh pihak sekolah dan dipersetujui oleh PIBG, salah faham tidak mungkin berlaku.Utusan Malaysia Online: 28 November 2011
1 ulasan:
SEPATUTNYA....Beri dulu duit tu, lepas tu baru kutip hutang ibu bapa.
JGN potong dulu, bakinya diserah kpd ibu bapa. memang jadui ISU.
Maklumkan lebih awal semasa mereka mendaftar ttg hutang yg belum dijelaskan. Lepas terima, sila jumpa guru kelas dan bayar hutang. KALAU mereka tak nak bayar pun kita tak boleh buat apa-apa.
NAMUN, bagi mak bapak yg ada didikan agama, mereka tahu bahawa hutang boleh menyebabkan roh mereka tergantung dilangit bila mati nanti, pasti mereka akan bayar. Bagi yg JAHIL, mereka memeang tak ambil kisah.
Itulah mentaliti msyarakat kita hari ni...
Catat Ulasan