Sabtu, 21 Januari 2012

Ibu bapa perlu kikis pandangan sekolah sukan tiada harapan

2012/01/21

USAHA yang hanya terarah kepada kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik akan mengakibatkan pelajar menjadi pasif. Oleh itu, usaha berkesan untuk melahirkan pelajar proaktif dan cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum ialah dengan membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

Kita dapat melihat usaha ini dilaksanakan dengan mewujudkan Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) seperti Sekolah Sukan Negeri SMK Tun Hussein Onn, Kluang, Johor dan Sekolah Sukan Bukit Jalil. Pencapaian pelajar di peringkat negeri dijadikan batu loncatan untuk memastikan pelajar memaksimumkan usaha mengasah bakat mereka ketika di SSM kerana mereka akan mewakili negara dalam kejohanan sukan di peringkat dunia.
Sumbangan sekolah sukan dapat dilihat daripada kejayaan atlit negara yang berkebolehan dan berdisiplin dalam kejohanan tertentu. Dalam hal ini, kita tidak dapat menolak anggapan bahawa SSM dan SSN sudah berjaya mencapai matlamat penubuhannya.
Contohnya, pemain bola sepak negara bagi skuad Harimau Malaya iaitu Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo ialah bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Ramai sedia maklum bahawa pemain dalam skuad bola sepak Harimau Malaya adalah bekas pelajar SSBJ dan yang terbaru ialah Mohamad Nazmi Faiz. Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah mempunyai modul sendiri untuk melahirkan ahli sukan yang berjaya.

Pendekatan SSN dan SSM jelas menunjukkan kita tidak meniru negara lain seperti Korea atau Jepun untuk melahirkan pemain bola sepak berwibawa. Negara luar sedang memerhatikan perkembangan positif ini dan kelihatan negara ASEAN yang lain seperti sudah ketinggalan standard permainan mereka berbanding kita.

Jelaslah, SSN dan SSM menyumbang kepada lonjakan kualiti bola sepak Malaysia dan berjaya membuka mata pencari bakat sukan dari serata dunia.
Kewujudan SSN dipandang sepi oleh pihak luar, maka institusi ini berdepan masalah kekurangan pelajar.

Ibu bapa keberatan menghantar anak menuntut di SSN kerana berpendapat SSN hanya mengutamakan sukan dan tidak menjamin masa depan anak kerana disangka mengabaikan aspek akademik.

Walaupun SSN berjaya melahirkan atlit ke peringkat kebangsaan bertanding dalam SUKMA dan pembekal atlit kepada SSM tetapi SSN belum mendapat pengiktirafan untuk beroperasi sebagai sekolah sukan seperti SSM. Keadaan ini menyebabkan jurulatih sepenuh masa tidak dapat bertugas di SSN.

Selain itu, aspek pemakanan sebagai atlit tidak dapat ditingkatkan kerana tiada peruntukan kewangan untuk mereka. Hal ini membataskan potensi kecemerlangan atlit di SSN.

ABU DZAR KAMARUDIN,
SMKTHO, Johor.


Berita Harian Online: 21 Januari 2012

1 ulasan:

Awanama berkata...

Ibu bapa keliru sebab:

1) JPN/PPD asyik dok highlight sgt tentang "STRAIGHT A"/ Peratus lulus dan yg sewaktu dgnnya.
2) Sekolah pula ditekan supaya meramaikan murid"STRAIGHT A" / peratus lulus.
3) Sekolah terpaksa tekan guru-guru.
4) Guru-guru pula ayik dk cerita pasal A dan % lulus kpd mak bapak.
5) Media pula dok asyik crita hal A shj. Ada kerjaan negeri yg iklan dlm akhbar senarai nama murid cemerlang.
6) Ada k'jaan negeri asyik dok jaja negeri dia 100 thn berturut-turut duduk tempat pertama dlm UPSR.