Isnin, 30 Januari 2012

Pendidikan di sebalik tirai besi

TIDAK ramai yang tahu di sebalik bangunan yang dikawal rapi dengan dinding batu yang tinggi dan tebal serta disalut dengan kawat berduri terdapat sebuah sekolah di dalamnya.

Sekolah ini dihuni oleh pelajar khas yang terdiri daripada banduan muda iaitu mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana melakukan berbagai kesalahan jenayah. Hanya ada beberapa negara di dunia ini seperti negara kita yang menyediakan kemudahan pendidikan di dalam penjara.

Laporan Khas dalam Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu merupakan maklumat menarik yang lengkap dan dapat dikongsi bersama mengenai perkembangan salah satu cabang sekolah di negara kita. Kemudahan pendidikan ini menunjukkan betapa kerajaan sangat prihatin terhadap hak untuk mendapat pendidikan termasuk kepada kanak-kanak yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Walaupun berada di sebalik balik tirai besi keperluan mendapatkan pendidikan secara formal dalam kalangan kanak-kanak itu tidak diabaikan. Sekolah dalam penjara ini dikenali sebagai Sekolah Integriti yang mula beroperasi sejak 2008.

Seperti kanak-kanak lain mereka juga disediakan perkhidmatan guru terlatih dan berpengalaman serta dibekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.

Hingga kini terdapat 1,650 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvenil yang sedang mengikuti pelajaran di enam buah penjara. Sekolah Integriti ini beroperasi mengikut zon iaitu di Penjara Kajang, Penjara Kluang, Penjara Marang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kuching dan Penjara Kota Kinabalu.

Ini termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney di Melaka dan Keningau, Sabah yang beroperasi sejak 1950. Pertambahan bilangan pelajar di sekolah ini agak tinggi di mana jumlahnya hanya 531 tahun 2008, 531 tahun 2009 dan meningkat kepada 1,104 pada 2010.

Kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penjara bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada banduan muda ini seharusnya diberi pujian. Matlamat pendidikan di sekolah ini bukan setakat menyediakan keperluan asas literasi dan numerasi kepada kanak-kanak tersebut tetapi turut menyediakan keperluan masa depan mereka.

Dengan kata lain pelajar-pelajar ini diberikan kemudahan mengikuti pelajaran akademik, kokurikulum dan vokasional yang bertujuan untuk melahirkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di bidang akademik pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi melengkapkan diri aspek motivasi, pembinaan sahsiah dan kemahiran 'soft skill' turut diberikan.

Diharapkan apabila meninggalkan institusi penjara nanti setidak-tidaknya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran masyarakat. Di samping itu dapat berdikari dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang telah diterima sepanjang berada di penjara.

Agak menarik adalah pencapaian akademik yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Misalnya terdapat pelajar yang memperolehi 6A dalam peperiksaan PMR dan pelajar terbaik dalam SPM memperolehi 7A dan 1B. Peratus kelulusan adalah tinggi iaitu PMR 90.1 peratus dan SPM 95.24 peratus.

Kejayaan dalam bidang akademik ini sudah tentu atas usaha keras pelajar dan sokongan kuat guru-guru di sekolah berkenaan. Ini membuktikan bahawa suasana pembelajaran di penjara bukanlah menjadi faktor penghalang kepada kejayaan.

Beberapa tahun lepas penulis berpeluang melawat Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan Penjara Kluang. Sebaik sampai ke sekolah tersebut jelas perasaan kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal dan pusat sumber yang kelihatan sangat kemas dan lengkap. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah dikira setanding dengan sekolah harian yang lain.

Demikian juga guru-guru yang bertugas adalah merupakan guru terlatih dan berpengalaman. Mereka dipilih khusus untuk mengajar di sekolah berkenaan selepas melalui beberapa peringkat temuduga.

Dalam perbualan, guru-guru tersebut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut mereka saat yang paling menyedihkan ialah ketika hampir cuti panjang persekolahan di mana pelajar-pelajar seolah-olah tidak mahu berpisah dengan guru.

Pelajar sangat mesra dengan guru dan menganggap guru-guru sebagai pengganti ibu dan bapa. Pelajar sangat patuh dan sentiasa menghormati guru-guru malah sangat suka jika guru sering berleter atau memberi nasihat panjang kerana dikatakan sama seperti sikap ibu mereka semasa berada di rumah dahulu.

Langkah Kementerian Pelajaran menempatkan 102 orang guru dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap adalah suatu yang harus diberi pujian. Walaupun pelajar-pelajar pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi hak mereka untuk mendapat pendidikan yang terbaik secara format tidak harus diabaikan.

Moga-moga segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi di sekolah tersebut akan dapat dimanfaatkan selepas meninggalkan bangunan penjara di suatu hari nanti.

Utusan Malaysia Online: 30 Januari 2012

Tiada ulasan: