Rabu, 11 Januari 2012

Satu sekolah empat murid

Oleh Abu Bakar Al Sidek
am@hmetro.com.my

HUTAN MELINTANG: Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak (SKTR), di Mukim Teluk Baharu, di sini, masih dibuka meskipun mempunyai empat murid, berbanding lima guru dan seorang guru besar.

Empat murid berkenaan iaitu murid tahun empat, Mohd Azrul Termizi, murid tahun lima, Muhammad Azrol Talib dan dua murid tahun enam iaitu Muhammad Aidil Termizi dan Muhammad Nor Hadi Ahmad Kamal tetap ceria dan bersemangat menerima pelajaran dalam keadaan persekitaran sekolah serba sunyi.


Mereka berempat anak penduduk Kampung Tebing Rebak yang meneruskan persekolahan di SKTR di kawasan pedalaman dan dikelilingi ladang sawit.

Sekolah itu yang turut mempunyai dua kakitangan sokongan diketuai Rahmah Che Ros sebagai guru besar, antara 113 sekolah rendah di Hilir Perak yang mempunyai bilangan murid paling sedikit.


Walaupun kurang murid, sekolah itu lengkap kemudahan komputer dan Internet, perpustakaan, program makanan tambahan serta menerima pelbagai bantuan daripada Kementerian Pelajaran.


Masalah kekurangan murid sekolah terbabit bermula 10 tahun lalu yang ketika itu hanya tinggal 12 murid dan semakin susut dari tahun ke tahun.

Keadaan itu berlaku berikutan kebanyakan daripada 120 penduduk Kampung Tebing Rebak yang mempunyai 40 rumah itu terdiri daripada mereka yang sudah berusia, manakala remaja lepasan sekolah berhijrah ke bandar mencari rezeki kerana tiada punca pendapatan di kampung berkenaan.


Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTR, Hajar Abdul Samad, 43, berkata sekolah itu hanya akan mempunyai dua murid apabila dua murid tahun enam yang belajar di sekolah itu kini ke sekolah menengah tahun depan.

“Jika masalah ini tidak ditangani segera, saya bimbang SKTR terpaksa ditutup buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Beliau yang akan melepaskan jawatannya apabila anak lelakinya, Muhammad Nur Hadi tamat belajar di sekolah itu berkata, masalah kekurangan murid sekolah itu boleh diatasi jika Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak mengambil pendekatan meminta ibu bapa dari Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Rancangan Luar Bandar menghantar anak mereka belajar di SKTR yang jaraknya dua kilometer dari kedua-dua kampung itu.

myMetro: 11 Januari 2012


Tiada ulasan: