Khamis, 26 Januari 2012

YGMB pelawa 270,000 guru jadi ahli

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/01/26

Potongan lima peratus untuk anak ahli melanjutkan pengajian di MUCH

SERAMAI 270,000 guru di seluruh negara yang belum menganggotai Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dipelawa menyertainya bagi membolehkan anak mereka menikmati potongan lima peratus yuran melanjutkan pengajian di Masterskill University College of Health Science (MUCH).

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kemudahan atau `produk’ baru itu adalah antara keistimewaan terkini yang ditawarkan kepada 130,000 anggota YGMB.
Dengan gabungan pengalaman dan kelayakan tenaga pengajar, suasana pengajaran di MUCH sentiasa interaktif dan berorientasikan industri. - Alimuddin Mohd Dom, Pro-Canselor MUCH
Beliau yang juga Pro-Cancelor MUCH berkata, sebagai langkah permulaan, YGMB menjalankan usaha mempromosi peluang melanjutkan pengajian ke MUCH dalam kalangan ahli.

“Kita yakin kemudahan baru itu dapat menarik minat guru bukan anggota YGMB menganggotainya,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara YGMB dan MUCH di kampus kolej universiti itu di Cheras, Selangor, baru-baru ini.

YGMB diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Asariah Mior Shaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yayasan itu, Hashim Mohd Yusof. MUCH diwakili Timbalan CEO Masterskill Education Group Berhad (MEGB), Datuk Kamarudin Khalil.

Hadir sama, Naib Canselor yang juga CEO MUCH, Prof Datuk Nik Rahimah Nik Yacob; Ketua Pegawai Operasi (COO) MEGB, Datuk Alicia Nathan; Naib Presiden Kanan MEGB, Datuk Abdul Rashid Mohd Sharif dan Pengarah MEGB, Datuk Kamaruddin Md Ali.
Alimuddin berkata, hasil MoU itu, pengambilan pertama pelajar dalam kalangan anak anggota YGMB adalah pada April ini menerusi pengajian peringkat diploma dalam bidang sains kesihatan.

Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kolej universiti itu adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan pendidikan bertaraf dunia menggunakan teknologi canggih serta melahirkan graduan berdaya saing.

“Dengan gabungan pengalaman dan kelayakan tenaga pengajar, suasana pengajaran di MUCH adalah sentiasa interaktif dan berorientasikan industri,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin Khalil berkata, MUCH menawarkan 14 program ijazah sarjana muda, diploma (12), ijazah sarjana (enam) dan masing-masing satu program Doktor Falsafah (PhD) dan yayasan.

Asariah pula berkata, promosi YGMB bertujuan membantu anak anggota melanjutkan pengajian ke kolej universiti itu terutama yang meminati bidang sains kesihatan seperti kejururawatan, pengimejan perubatan dan fisioterapi.

“Kerjasama dalam kalangan guru menerusi organisasi seperti ini mewujudkan transformasi untuk dimanfaatkan ahli dan ahli keluarga bagi memperoleh pendidikan berkualiti,” katanya.

Berita Harian Online: 26 Januari 2012

Tiada ulasan: