Selasa, 3 Januari 2012

Latihan guru: Umur saya 34 pada 2010

SAYA merupakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah berkhidmat selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2009- 2011.

Baru-baru ini, berita yang menggembirakan kepada semua Guru GSTT, mereka akan diberi latihan di maktab-maktab atau institusi tinggi bagi mengikuti latihan perguruan KPLI/DPLI.

Saya antara Guru GSTT yang tidak berjaya dalam mengikuti program latihan perguruan tersebut. Saya telah membuat rayuan di Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di Putrajaya dan apa yang mendukacitakan saya ialah pihak BPG memaklumkan saya tidak diterima mengikuti kursus perguruan di IPG kerana umur saya pada 2012 mencecah 36 tahun.

Saya berterima kasih dengan pengumuman daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada beberapa bulan yang lepas, bahawa mereka yang layak untuk mengikuti kursus perguruan adalah guru (GSTT) yang telah berkhidmat berturut-turut selama dua tahun mulai 2009 dan tidak melebihi umur 35 tahun pada 2010.

Di sini ingin saya maklumkan bahawa umur saya pada 2010 adalah 34 tahun dan telah berkhidmat tiga tahun berturut-turut sebagai GSTT.

Apa yang lebih mengecewakan, terdapat guru GSTT yang telah berkhidmat selama satu tahun setengah telah diterima mengikuti program pengajian. Sepatutnya saya yang telah berkhidmat tiga tahun diberikan lebih keutamaan dan faktor umur bukanlah menjadi halangan.

Apabila diajukan soalan mengapa faktor umur dikira bukan berdasarkan tahun 2010 kepada 'Bahagian Pendidikan Guru' (BPG), jawapan yang diberi adalah menunggu keputusan Menteri Pelajaran. Sedangkan terang-terang pengumuman telah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai guru GSTT yang layak adalah mereka yang tidak melebihi umur 35 tahun pada 2010.

Saya berharap pihak 'BPG' dan KPM dapat membuat kajian semula ke atas pelantikan ke atas GSTT bagi mereka yang berusia 36 tahun pada 2012. Sepatutnya umur dikira pada tahun 2010.

Utusan Malaysia Online: 3 Januari 2012

Tiada ulasan: