Ahad, 12 Ogos 2012

Murid dicabul guru lebih setahun lalu

KUALA LUMPUR: Rahsia kemurungan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun terjawab apabila dia mendakwa dicabul guru lelaki sekolah itu sejak lebih setahun lalu.
Perbuatan itu terbongkar jam 5 petang Khamis lalu, apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia lewat 30-an sebelum membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini.

Menurut sumber, mangsa mendakwa dicabul guru lelaki berusia 30-an itu sejak darjah dua.
“Guru lelaki itu dilaporkan memanggil mangsa datang dekat dengannya sebelum memegang alat sulitnya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa tidak berani menceritakan kejadian itu kepada sesiapa, termasuk keluarganya, kerana bimbang dimarahi guru terbabit.

“Sejak itu, mangsa dilaporkan sering murung dan takut pergi ke sekolah. “Namun tak tahan diperlakukan demikian, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya.
“Terkejut dengan pengakuan itu, ibu mangsa bergegas ke sekolah untuk mengadu kepada guru besar. Selepas siasatan dilakukan pihak pengurusan sekolah, guru terbabit mengakui melakukan perkara keji itu,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di balai polis untuk tindakan lanjut.

myMetro: 12 Ogos 2012

Jumaat, 10 Ogos 2012

16, 17 Ogos cuti berganti persekolahan sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos.
Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.
Bagi tujuan penyelarasan, kementerian mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 September manakala cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 September. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 10 Ogos 2012

Rabu, 8 Ogos 2012

Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan - NUTP

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP melihat aktiviti itu sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.
"Kita tak nak nanti ada kes pelajar diculik atau dirogol," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.
"Semua kerajaan dah bagi, alat sukan tak cukup kerajaan bagi, budak miskin tak ada makanan, kerajaan peruntukkan RM1.80 setiap hari, pembangunan kalau rosak boleh minta.
"Saya hairan, kenapa nak minta derma lagi, kalau boleh, elakkan perkara berkenaan," katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.

Utusan Malaysia Online: 8 Ogos 2012

Lima guru terkejut bateri kereta dicuri

Ipoh: Lima guru sebuah sekolah menengah di Jalan Kuala Kangsar, di sini, kehilangan bateri kereta selepas meletakkan kenderaan masing-masing di tanah lapang berhampiran sekolah berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, semua mangsa yang kerugian ratusan ringgit meletakkan kenderaan mereka di kawasan itu untuk menghadiri program yang diadakan di sekolah berkenaan.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Teh, berusia lingkungan 30-an berkata, beliau menyedari kehilangan bateri kereta selepas gagal menghidupkan enjin.

Berita Harian Online: 8 Ogos 2012

Selasa, 7 Ogos 2012

Usul bawa telefon bimbit ke sekolah masih dibincang

SEREMBAN 7 Ogos - Cadangan pelajar dibenar membawa telefon bimbit ke sekolah masih pada peringkat perbincangan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.
Katanya banyak perkara harus diteliti sebelum kementerian itu dapat membuat keputusan yang memuaskan semua pihak.
"Setakat ini pelbagai pandangan telah diterima termasuk daripada pelajar.
Malah saya ada menerima surat daripada murid berusia 10 tahun yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
"Ini adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan apabila murid tahun empat ini sendiri memberi pandangan sebegitu dan menyatakan sebab mengapa dia tidak bersetuju," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyerahkan cek bantuan kewangan kepada sekolah bantuan kerajaan di Negeri Sembilan. Sebanyak RM6.43 juta diperuntuk kepada 41 sekolah jenis kebangsaan bantuan kerajaan tahun ini.
Bulan lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun depan.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 7 Ogos 2012

Sukan sepanjang tahun bebankan sekolah, pelajar

KE mana hala tuju pendidikan negara? Persoalan ini ada kaitan dengan kecelaruan sistem pendidikan yang sehingga kini masih dalam kajian khususnya yang melibatkan Dialog Pendidikan Nasional bagi mengumpul pandangan orang ramai bagi memantapkan sistem pendidikan negara.
Terpanggil dengan keadaan semasa yang berlaku di sekolah sekarang, sebagai guru dan waris saya ingin mengemukakan isu yang kini membelenggu pengurusan sekolah. Ia banyak berkaitan dengan dasar 1 Sukan 1 Murid dan Sukan Sepanjang Tahun khususnya di sekolah menengah seluruh negara.
Menyedari kepentingan sukan dan permainan yang menjadi minat dan kesukaan pelajar, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengorak langkah melaksanakan dasar tersebut. Ia amat baik dalam usaha penggabungan nilai JERI yang cuba diterapkan secara bersepadu dalam aktiviti ini. Perlu diakui bukan semua murid yang berminat itu adalah murid berbakat dan berpotensi. Ada yang sekadar suka-suka dan langsung tidak serius kerana menyedari kelemahan dan ketidakmampuan mereka. Keadaan ini boleh diumpamakan dengan ungkapan, 'kita boleh membawa kuda ke pinggir air, tetapi kita tidak boleh memaksa kuda untuk minum air'.
Namun bagi merealisasikan dasar ini, sepanjang 2012 saya mendapati banyak program dan jadual sekolah terjejas. Dasar ini memberikan impak yang amat-amat mengganggu keseluruhan jadual dan perancangan pihak sekolah dan menjejaskan banyak perkara lain. Jika dahulu perancangan sukan dan aktiviti kokurikulum akan berlangsung dari awal tahun dan akan berakhir sekitar bulan April tetapi kini jadual sukan atau merentas desa adalah dari awal tahun hingga bulan Jun atau Julai. Kesannya banyak perancangan lain tidak dapat disusun dengan teratur dan semakin menimbulkan kebosanan kerana jadual padat dan panjang bagi menghadapi acara berkenaan. Mengambil contoh beberapa kes di sekolah, terdapat pelajar yang sudah bosan menjalani latihan rumah sukan, latihan merentas desa yang berbulan-bulan. Ramai pelajar mula ponteng dan ada yang langsung tidak hadir semasa sukan tahunan. Mereka memberikan alasan tidak berminat menyertai sukan kerana masa yang panjang, panas, menjejaskan kulit dan sebagainya. Malah ada juga ibu bapa yang tidak menyokong kerana kos yang perlu dikeluarkan akibat tempoh panjang bagi sesi latihan rumah sukan.
Di kalangan pentadbir sekolah dan guru juga, ramai yang merungut dengan perubahan ini. Program ini menjejaskan fokus utama guru-guru tertentu. Sebagai contoh banyak sekolah melalui situasi sukar untuk memilih tarikh sukan tahunan dan acara merentas desa kerana kepadatan aktiviti sekitar bulan Mei, Jun dan Julai. Malah boleh dibuktikan bahawa terdapat sekolah yang mengajurkan aktiviti ini pada cuti peristiwa kerana kekangan masa. Faktor cuaca iaitu musim hujan juga turut menjejaskan aktiviti dan ini juga perlu diambil kira oleh KPM.
Apa yang dikesalkan ialah banyak acara peringkat daerah, negeri dan kebangsaan seperti pertandingan kawad kaki, perkhemahan, forum dan pertandingan lain berlangsung sekitar bulan Jun, Julai, dan selepas hari raya hingga September.

Utusan Malaysia Online: 7 Ogos 2012

Pembantu Tadbir jawab guru kata kerani lembap

NSAN BIASA
Gurun
SEBAGAI penjawat awam, saya perasan yang akhir-akhir ini luahan 'Guru' banyak terpapar di dada-dada akhbar.
Pertama 'isu kerani lembap', kedua 'isu cuti khas perayaan' dan ketiga 'isu penempatan Guru Lepasan Ijazah J-qaf'.
Saya merasakan golongan ini terlalu ingin diberi banyak keistimewaan walaupun banyak keistimewaan telah diberi oleh kerajaan kepada anda.
Mungkin, seperti sebelum ini, apa jua permintaan dan perjuangan golongan pendidik ini mudah diterima kerajaan, mereka ibarat diberi betis, mahu paha pula.
Untuk makluman 'Guru' berkaitan 'isu kerani lembap', saya menyarankan anda menyemak dan meneliti fail meja dan arahan-arahan kerja anda sebagai seorang yang bergelar 'Guru'.
Anda tidak boleh menyalahkan Pembantu Tadbir di atas lambakan kerja-kerja anda. Anda tidak perlu membebankan pihak lain sekiranya tidak dapat menyiapkan tugasan anda. Kadangkala mereka juga muak dengan kerenah guru-guru yang mengarah itu ini dan satu lagi ayat yang dilihat anda seolah-olah mempertikai, menghina dan tidak faham kerjaya sebagai Pembantu Tadbir bahawa anda menyatakan bahawa anda adalah majikan Pembantu Tadbir.
Harus diingat, walaupun anda 'Guru', anda bukanlah majikan Pembantu Tadbir.
Hampir keseluruhan Pembantu Tadbir di segenap jabatan memiliki Diploma/Ijazah/Sarjana yang jauh lebih baik daripada anda dan tidak perlulah anda memandang rendah terhadap kerjaya mereka.
Pengalaman saya yang mempunyai ibu dan bapa saudara serta rakan-rakan yang bergelar guru, saya lihat mereka kurang mahir menggunakan komputer dan mengurus masa, tambahan pula apabila sesuatu yang urgent mula menggelabah.
Anda harus tahu kerjaya sebagai Pembantu Tadbir yang banyak menolong orang/pegawai atasan boleh membuat kerja di bawah tekanan dan cepat menyiapkan kerja melainkan dia seorang kakitangan yang malas dan tidak proaktif.
Kadangkala pegawai pun tidak cekap membuat kerja berdasarkan pengalaman saya yang telah bekerja di pelbagai jabatan swasta dan kerajaan.
Namun, tidak salah untuk Pembantu Tadbir membantu guru-guru tersebut, tetapi apabila terlalu banyak membantu, golongan guru menganggap itu adalah tugas Pembantu Tadbir dan mereka bebas melayari internet, bersembang kosong, aktiviti jualan langsung dan sempat pula membuat kerja sampingan lain di luar waktu bekerja.
Tidak wajarlah anda menikmati gaji besar sekiranya bebanan tugas anda digalas oleh pihak yang lain pula.
Anda sebagai guru ketika ini harus mencontohi guru-guru terdahulu yang membawa balik kerja ke rumah tanpa melibatkan kakitangan yang lain walaupun mereka bergaji kecil pada masa itu.
Mengenai isu 'guru diberi cuti khas perayaan' bagi memudahkan perjalanan balik ke kampung dan mengelak guru-guru mengambil cuti sakit semata-mata ingin balik awal ke kampung, adalah cadangan tidak masuk akal.
Apakah keistimewaan anda sehingga anda perlu diberi cuti rehat khas? Inikah mentaliti seorang pendidik? Mungkin anda kurang sensitif mengenai penjawat awam yang lain, yang juga mahu pulang ke kampung.
Kami menguruskan masa dan merancang cuti lebih awal dan ada lagi penjawat awam lain tidak pulang berhari raya dan tidak mudah untuk mengambil cuti perayaan kerana ada sistem giliran.
Saya hairan, kenapa perlu diberi cuti khas kepada golongan guru dan tidak salah kalau tidak dapat balik sehari sebelum hari raya, balik pada hari yang anda ada kelapangan.

Utusan Malaysia Online:  7 Ogos 2012

Isnin, 6 Ogos 2012

Kesal sikap guru

Saya amat terkilan melihatkan guru guru muda masa kini yang terlalu sibuk berpolitik dalam laman sosial. Adakah mereka tak sedar yang menjadi rakan atau pengikut mereka di laman sosial kebanyakannya anak murid mereka.
Saya lihat ada guru yang menggunakan kata kata kesat menghina, mencaci majikan mereka sendiri iaitu kerajaan yang memerintah. Adakah itu nilai yang mereka mahu anak didik mereka ikuti?
Mereka perlu berhati hati dilaman sosial. Anak murid mereka lebih mempercayai apa yang mereka katakan. Lagipun kerajaan sekarang adalah majikan mereka.
Walaupun pandangan politik anda berbeza janganlah menghasut orang lain mengikut anda. Semua orang ada hak untuk berpolitik tapi biar kena cara. Guru mesti ingat mereka adalah contoh kepada anak didik mereka. Bekerjalah dengan ikhlas janganlah tanam hasad dengki dalam bekerja.

Utusan Malaysia Online: 6 Ogos 2012

Pentaksiran secara holistik

Ekoran rungutan dan dakwaan pelbagai pihak bahawa sistem pendidikan negara terlalu berpaksikan peperiksaan maka kerajaan memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.
Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.
Matlamat itu seperti yang terkandung pada capaian Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.
Sistem PBS ini mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.
Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
PBS merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang dianggap berkemampuan menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.
Namun, apakah sebenar objektif PBS? Umum mengetahui pelaksanaan sistem baru ini ialah mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu, memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu dan membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.
Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid.
Ia mengandungi proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Harus ditegaskan bahawa Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard.
Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.
Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.
PBS memberi autonomi kepada guru melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid kerana tujuan sistem ini diperkenalkan ialah untuk membantu guru dan murid mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Wajar diingatkan bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain malah kejayaan murid diukur bersandarkan standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran.
Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju.
Apa yang penting, PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, ia bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan beban tugas guru.
Lebih jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi suatu bentuk penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran.

Utusan Malaysia Online: 6 Ogos 2012

Program mentor mentee lonjak pencapaian akademik

Persembahan seni silat sempena pelancaran Program Mentor Mentee SMK Bandar Baru Batang Kali, Selangor baru-baru ini.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Batang Kali, Selangor melancarkan program mentor mentee bagi mewujudkan hubungan akrab antara guru dan murid di sekolah itu, baru-baru ini.
Pengetua Cemerlang sekolah itu, Wan Mohd Tahir Wan Ibrahim berkata, melalui program ini, murid sebagai mentee dibahagikan dalam beberapa kumpulan mengikut rumah sukan masing-masing dan guru sebagai mentor menjadi ibu bapa angkat mereka ketika di sekolah.
"Program Mentor Mentee ini merupakan salah satu daripada elemen penjagaan "parent subtitle" kepada semua murid di SMK Bandar Baru Batang Kali.
"Pertemuan demi pertemuan dilakukan antara mentor dan mentee menjurus ke arah kecemerlangan akademik, akhlak serta sahsiah pelajar," katanya selepas pelancaran program berkenaan.
Pelancaran program disempurnakan Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Siti Rogayah Ibrahim.
Pada majlis itu, ibu bapa diberi penjelasan tentang program berkenaan di samping berpeluang menemui mentor anak masing-masing untuk mengambil keputusan peperiksaan pertengahan tahun, laporan kokurikulum dan sahsiah murid.

Utusan Malaysia Online: 6 Ogos 2012

Jumaat, 3 Ogos 2012

Sekolah cuti awal Aidilfitri

Kementerian Pelajaran menetapkan Jumaat 17 Ogos depan sebagai cuti berganti sempena Aidilfitri untuk sekolah di negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad. Pihak sekolah dicadangkan menggantikan cuti berkenaan pada Sabtu 22 September.

Kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.
Surat siaran mengenainya yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufa‘at Tumin, sudah dihantar kepada semua Jabatan Pelajaran negeri kelmarin untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, pula berkata cuti pada Jumaat itu untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri yang dijangka pada Ahad 19 Ogos.

Bercakap kepada BH semalam, beliau bagaimanapun berkata, kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.

Beliau diminta mengulas cadangan orang ramai supaya sekolah diberikan cuti awal bagi memudahkan murid pulang kampung untuk berhari raya bersama keluarga. Mereka mengemukakan cadangan itu menerusi panggilan telefon dan laman Facebook BH.
NUTP anggap keputusan tepat

Dalam surat siaran Bilangan 25/2012 itu, kementerian tidak menyelaras cuti berganti Aidilfitri kerana perayaan diraikan dalam cuti pertengahan penggal kedua. Ini bermakna cuti ganti hanya untuk sekolah di negeri Kumpulan B, iaitu hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata kementerian membuat keputusan tepat memberi cuti ganti pada 17 Ogos.

Katanya, ini memudahkan orang ramai merancang program balik kampung tanpa perlu meredah kesesakan lalu lintas yang teruk berbanding menjelang perayaan.

Beliau berkata, ada keluarga sanggup memulakan perjalanan pada jam 11 malam walaupun ia tidak sesuai kerana penat dan mengantuk yang mendedahkan mereka kepada kemalangan jalan raya.

Berita Harian: 3 Ogos 2012:

Rabu, 1 Ogos 2012

Guru mohon cuti khas raya 17 Ogos

SEBAGAI warga sekolah di Lembah Klang, kami amat berharap agar kerajaan mempertimbangkan pemberian cuti khas atau membenarkan cuti peristiwa diambil oleh sekolah pada Jumaat 17 Ogos 2012 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ini kerana kebanyakan warga kota, khasnya guru, berasal dari negeri di luar Lembah Klang seperti negeri di utara, timur dan selatan Semenanjung Malaysia.
Sekiranya sekolah tidak bercuti pada 17 Ogos, semua warga sekolah dan kakitangan awam yang lain akan bertolak serentak pulang ke kampung halaman pada petang dan malam hari Jumaat serta pada pagi hari Sabtu. Ini sudah tentu mengundang kesesakan jalan raya yang terlampau.
Di samping itu, dengan limpahan kenderaan di jalan raya akan mengundang kemalangan pula kerana masing-masing bersaing untuk sampai cepat ke destinasi memandangkan raya semakin hampir.
Sekiranya Jumaat masih dikira sebagai hari bersekolah, bagaimana dengan sekolah yang mempunyai dua sesi di mana sesi petangnya berakhir pukul 5.30 petang. Tidak mustahil pada hari tersebut ramai guru yang mengambil cuti sakit semata-mata untuk pulang ke kampung lebih awal. Jika ini berlaku, sesi persekolahan pada petang itu akan terjejas.
Selain itu, cuti pada hari Jumaat sepatutnya diberikan pada sekolah memandangkan sekolah tidak mengambil cuti sempena hari raya ini iaitu selama dua hari, kerana kebetulan cuti hari raya jatuh semasa cuti sekolah. Oleh itu jumlah waktu bersekolah yang sepatutnya bagi semua sekolah adalah mencukupi, malah mungkin sudah melebihi jumlah maksimum yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Oleh itu, besarlah harapan kami warga sekolah agar permohonan kami ini mendapat perhatian dan dipertimbangkan.
Harapan kami juga agar makluman mengenai cuti ini dapat diumumkan lebih awal untuk memudahkan urusan kami membuat tempahan tiket dan merancang perjalanan.

Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2012

Dong Zong 'cacing naik ke mata'

KUALA TERENGGANU 31 Julai - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menyifatkan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) seperti 'cacing yang sudah naik ke mata' apabila mengugut kerajaan bagi penubuhan sekolah tinggi bebas Cina.
Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad menegaskan, tindakan Dong Zong yang biadab itu seolah-olah mencabar kerajaan demi kepentingan mereka dan politik pembangkang.
Beliau berkata, persatuan terbabit jelas cuba mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan melampau ketika kerajaan sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Gagasan memandang serius tuntutan Dong Zong ini dan kami memberi amaran supaya jangan biadab dan kurang ajar. Jangan melampau dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan.
"Kami juga berhak menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan demi kepentingan pelajar Melayu, tetapi tidak berbuat demikian kerana bertolak ansur demi kepentingan pelbagai kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Dong Zong menjadikan isu pendidikan Cina sebagai modal politik dengan mengugut menyokong pembangkang jika kerajaan tidak membenarkan pembinaan sekolah tinggi bebas Cina meskipun sekolah jenis itu gagal mematuhi peraturan asas sekolah di negara ini.
Semalam, Majlis Perundingan Melayu (MPM) turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan persatuan tersebut yang sanggup mengugut kerajaan agar memenuhi tuntutan mereka.
Syed Anuar berkata, Gagasan berharap kerajaan tidak berkompromi dan tidak sekali-kali tunduk kepada sebarang desakan atau ugutan Dong Zong berhubung isu berkenaan.
"Gagasan berharap kerajaan tidak melayan tuntutan yang dibuat Dong Zong dan kita juga ingatkan kepada mana-mana pihak jangan cabar kesabaran warga pendidik Melayu," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2012