Rabu, 22 Jun 2011

Dewan Rakyat: ‘Cetak semula Interlok’

2011/06/22
Teknik tampalan didakwa menyusahkan guru, pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula 120,000 novel Interlok baru membabitkan kos RM600,000, termasuk penghantaran berikutan beberapa pindaan terhadap buku yang digunakan pelajar Tingkatan Lima di empat negeri.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata keputusan untuk mencetak semula diputuskan dalam satu mesyuarat selepas pihaknya menerima aduan guru bahawa pendekatan pindaan novel menggunakan teknik tampalan menyusahkan mereka.
Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian akan menarik semula buku sedia ada di sekolah terbabit dan menggantikannya dengan buku baru mengandungi pindaan beberapa frasa sensitif serta glosari.

“Sebelum ini, Kementerian Pelajaran dan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok bersetuju menggunakan teknik tampalan bagi meminda beberapa frasa untuk menjimatkan kos, namun langkah itu ternyata membebankan guru.

“Keputusan itu dipersetujui semua pihak kerana ia hanya membabitkan sembilan muka surat saja,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, semalam.
Mohd Puad berharap keputusan untuk mencetak semula novel yang digunakan sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) Bahasa Malaysia itu dapat menyelesaikan semua kontroversi yang menyelubungi buku berkenaan sejak Disember lalu.

Pada 28 Mac lalu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz dilaporkan, berkata pihaknya tidak akan mencetak semula novel Interlok walaupun kerajaan mengumumkan ada beberapa frasa sensitif bagi kaum India perlu dipinda dan disunting.
Beliau berkata, pendekatan itu bagi mengelakkan kerugian kerana frasa yang perlu dipinda tidak banyak sehingga perlu dicetak semula.

Kontroversi novel Interlok berakhir apabila frasa sensitif bagi kaum India diganti dengan frasa ‘golongan yang sama,’ yang diputuskan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok dan cadangan itu dipersetujui penulisnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Berita Harian Online: 22 Jun 2011

Tiada ulasan: