PUTRAJAYA 17 Mei - Kerajaan sudah menyediakan buku teks untuk pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi tahun pertama pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persiapan keseluruhan bagi pelaksanaan program itu sudah di peringkat akhir yang akan bermula pada 2012.
‘‘Kita sudah sampai peringkat akhir persiapan, saya telah pun mempengerusikan mesyuarat tentang itu pada dua minggu lepas di mana kita sudah pun bersedia.
‘‘Sekarang ini adalah di peringkat penyediaan buku-buku teks untuk tahun pertama yang kita telah umumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan, di sini hari ini.
Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012 setelah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 8 Julai tahun lalu.
Bagaimanapun kerajaan mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan