Isnin, 9 Ogos 2010

Mansuhkan penggunaan buku teks di sekolah

BARU-BARU ini, kerajaan telah mengumumkan suatu langkah drastik dalam sistem pendidikan di Malaysia iaitu cadangan untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekalipun ramai yang masih lagi membahaskan cadangan tersebut dari sudut pro dan kontranya, tentunya kerajaan mempunyai alasan tersendiri bagi melaksanakan cadangan tersebut.

Setelah sekian lama kita bercakap tentang mengurangkan corak pendidikan berorientasikan peperiksaan, maka cadangan kerajaan tersebut merupakan satu-satunya langkah yang konkrit ke arah mencapai apa yang sekian lama hanya tinggal sebagai perbahasan di atas kertas atau di medan forum semata-mata.

Sesungguhnya isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu yang melanda sistem pendidikan di Malaysia. Di antara isu yang masih belum selesai adalah isu beg berat yang di bawa oleh anak-anak kita ke sekolah.

Setelah pelbagai cadangan dikemukakan dan dilaksanakan (sebahagiannya separuh jalan) oleh para menteri demi menteri, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah yang agak drastik (sebagaimana pemansuhan UPSR dan PMR) iaitu dengan memansuhkan penggunaan buku teks di sekolah.

Pada hemat saya, membawa buku teks ke sekolah memberi sumbangan terbesar kepada berat beg yang dibawa oleh pelajar, walhal menurut pemerhatian penulis sebagai seorang guru, buku-buku teks tersebut tidak digunakan oleh sebahagian besar guru sebagai rujukan untuk mengajar.

Guru-guru kebanyakannya lebih gemar menggunakan buku rujukan yang dibeli di kedai kerana ia menyediakan maklumat yang lebih ringkas, padat dan fokus kepada peperiksaan. Buku-buku latihan yang dijual di pasaran pula digunakan kerana menjimatkan masa guru-guru dan pelajar daripada terpaksa menyalin latihan di papan putih.

Pada zaman sekarang di mana kita cuba menggalakkan pelajar untuk mencari dan meneroka maklumat di dunia nyata dan dunia maya (Internet), maka penggunaan buku teks sudah tidak relevan lagi. Guru-guru pula sudah diberikan Sukatan Pelajaran dan huraiannya serta latihan yang secukupnya agar tidak tersasar daripada segi kandungan dan skop pengajarannya.

Konsep penerokaan ilmu melalui 'open-source' akan termendap sekiranya guru-guru masih lagi menggunakan buku teks untuk pengajaran. Bahkan perkembangan ilmu pada zaman ini terlalu pantas sehinggakan sesuatu ilmu di dalam buku teks boleh menjadi 'obselete' dalam masa dua tiga tahun sahaja.

Sekiranya kerajaan masih mahu menggunakan buku teks, saya cadangkan Kementerian Pelajaran segera memperkenalkan konsep "e-textbook" di mana rujukan rasmi sesuatu mata pelajaran atau boleh dirujuk di dalam Internet.

Apalah gunanya kerajaan menghabiskan jutaan ringgit saban tahun untuk menyedia dan menguruskan buku-buku teks sedangkan dari sudut penggunaannya amat minimum sekali.

Alangkah baiknya jika peruntukan tersebut disalurkan kepada berbagai cabang lagi keperluan di bidang pendidikan di negara ini seperti pembangunan profesionalisme guru dan pembinaan sahsiah pelajar yang semakin luntur.

ZIL AMRI

Kota Bharu, Kelantan

Utusan Malaysia Online: 8 Spetember 2010

Tiada ulasan: