SAYA merujuk kepada isu ‘beg sekolah berat’ yang banyak diperkatakan kebelakangan ini. Tanpa menyentuh akibat atau kesan kepada murid dan buku sekolah apabila murid membawa beg sekolah yang berat, saya terus kepada pandangan dan memberi cadangan bagaimana untuk mengatasi masalah ‘murid terpaksa membawa beg berat ke sekolah setiap hari’.
Pandangan:
Setiap mata pelajaran yang diajar akan melibatkan sekurang-kurangnya sebuah buku teks, sebuah buku latihan dan sebuah buku tulis. Jika ada 10 mata pelajaran sehari, murid-murid sekolah akan membawa sekurang-kurangnya 30 buah buku setiap hari. Bukan semua buku teks digunakan oleh guru-guru semasa sesi pembelajaran. Setiap kali saya hendak menyusun buku-buku yang perlu dibawa oleh anak saya ke sekolah pada esok hari, hanya tiga atau empat buah buku sahaja yang akan ditinggalkan di rumah. Yang selebihnya akan dibawa ke sekolah. (Membawa buku mengikut jadual sekolah tidak banyak membantu dalam usaha mengurangkan bebanan beg sekolah ini). Kebanyakan buku teks rosak adalah ketika hendak dimasukkan ke dalam beg sekolah dan ketika diambil keluar dari beg sekolah, bukan ketika ia digunakan. (Menyebabkan kos bertambah untuk membeli buku-buku teks yang baru). Cadangan:
Di setiap dinding belakang bilik darjah disediakan satu pigeonhole yang mempunyai ciri-ciri berikut: 1. Tidak terlalu canggih atau cantik, memadai yang kukuh, kuat, dapat bertahan lama.
2. Ukuran setiap pigeon-hole boleh menampung jumlah buku yang dimiliki oleh setiap murid.
3. Jumlah petak adalah berdasarkan jumlah maksimum murid yang akan belajar di dalam sesebuah bilik darjah.
4. Setiap pigeon-hole hendaklah dipasang dengan pintu dan berselak mangga. (Setiap murid dikehendaki membeli sendiri kunci mangga tersebut dan pastikan di setiap hujung tahun mangga kunci tersebut dibawa balik.
5. Setiap murid akan meninggalkan buku-buku teks atau buku-buku yang tidak diperlukan di rumah di dalam pigeon-hole tersebut sebelum balik ke rumah.
Kesan:
Murid-murid tidak akan membawa buku-buku yang banyak di dalam beg sekolah setiap hari. Buku-buku teks akan panjang hayatnya dan dalam jangka masa panjang dapat menjimatkan banyak duit rakyat. Peruntukan hanya diperlukan sekali sahaja dan jangka-hayat pigeon-hole dapat bertahan antara 10 hingga 20 tahun. Murid-murid dan ibu-bapa rasa lebih selamat jika setiap petak pigeon-hole dilengkapi dengan selak bermangga. Risiko buku tertinggal di rumah dapat diminimumkan. BAPAK
UiTM Pahang
Utusan Malaysia Online: 3 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan