KAMI para pendidik cukup kecewa apabila tuntutan tugas luar dipotong hinggakan dibayar kurang daripada perbelanjaan sebenar.
Alasannya kilometer tidak sama, tidak layak menerima elaun makan dan sebagainya.
Hal ini cukup mengecewakan kami di kalangan guru-guru. Saya pasti dan amat pasti semua kakitangan kerajaan dan guru-guru khususnya guru sukan bersependapat dengan saya.
Apabila kami menerima surat dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengarahkan kami menjalankan tugasan luar yang melibatkan penjayaan sesuatu program sukan, mesyuarat dan sebagainya, seseorang guru perlu menghadirinya.
Namun adakah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), JPN atau PPD sedar apabila kami berkursus, bertugas sebagai pegawai kejohanan sukan dan sebagainya kami terpaksa keluar dalam satu jangka masa yang tidak menentu dan kadang-kadang hingga sebulan.
Apatah lagi yang melibatkan murid. Tanggungjawab guru apabila bertugas di luar cukup besar. Kamilah menjadi ibu bapa buat mereka, doktor, pemandu ambulans, tukang masak dan sebagainya.
Namun adakah layak buat kami apabila membuat tuntutan tugasan rasmi jumlahnya dipotong ikut sesuka hati mereka yang berada di JPN dan PPD?
Pernahkah pihak-pihak yang terlibat dengan pembayaran tuntutan ini fikir semua itu?
Sudah lama perkara ini menjadi buah mulut semua guru-guru.
Ke mana sahaja saya pergi untuk bertugas di luar soalan dan perbualan yang sama dari rakan-rakan negeri yang lain iaitu tuntutan yang tidak dibayar mengikut pekeliling sedia ada dan jumlah tuntutan tidak setimpal dengan apa yang dibelanjakan. Perkara ini sudah hampir empat tahun dari tahun 2009 hinggalah sekarang masih lagi tidak dapat diatasi.
Kami harap Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri dapat membaiki keadaan ini.
Utusan Malaysia Online: 7 Februari 2012
3 ulasan:
begitulah nasib guru. claim pindah pun tak bayar.kalau kursus luar negeri kena claim satu tempat duduk teksi. tu pun belum tentu dibayar atau tidak.
setuju sangat,guru-guru dilayan mcm penjawat awam second class,pekeliling berkaitan tuntutan senang2 dilanggar pihak berwajib dengan alasan guru ramai dan kekangan kewangan,semasa bertugas di pedalaman sarawak dahulu, sekali turun berkursus, perbelanjaan cecah hampir rm400 tapi sampai sekarang tidak berbayar, tuntutan kena potong tu satu perkara biasa, ingat cikgu ni boleh diarah2 camgitu aje ke? suruh gi meeting lepas tu x nak bayar tuntutan yg selayaknya
Jawatan guru adalah satu pekerjaan yang sangat mulia namun keadilan sememangnya tidak pernah menyebelahi segelintir guru. Pemotongan tuntutan elaun adalah satu perkara yang biasa-biasa tetapi tidak setimpal dengan pengorbanan mereka bekerja diluar, menggunakan wang saku sendiri, kereta sendiri malah mereka juga mengeluarkan wang kocek sendiri demi kesenangan pelajar-pelajar kerana mengharapkan pemberian sekolah jauh sekali. Bukan semua pengetua kedekut tetapi ada segelintir pengetua yang kedekut membiayai aktiviti dan tambang pengangkutan membawa pelajar mengikuti aktiviti diluar kawasan sekolah namun dalam masa yang sama para pengetua yang terlibat mengharapkan keputusan yang baik dalam setiap penyertaan. Inilah yang memilukan guru-guru terlibat
Catat Ulasan