Isnin, 31 Ogos 2009
Cikgu Man saksi detik pengisytiharan
GONG PASIR - Bagi pesara guru, Abdul Rahman Ismail, 73, atau lebih dikenali Cikgu Man, menyaksikan detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka, tanggal 31 Ogos, 52 tahun lalu adalah nostalgia yang masih terpahat di hati.
:Menurut Abdul Rahman yang ketika itu mengajar di Sekolah Melayu Kuala Telemong, Hulu Terengganu, dia terpaksa me-lalui pelbagai kesukaran sebelum dapat menyaksikan laungan keramat ‘merdeka’ oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka ketika itu.
:“Saya bersama 30 ahli rombongan guru Melayu dari Kuala Terengganu bertolak ke Kuala Lumpur menaiki bas untuk menyaksikan peristiwa itu, oleh kerana jarak yang jauh dan keadaan jalan kurang baik, kami semua terpaksa bermalam di Kuala Kemaman sebelum tiba di Kuala Lumpur esoknya.
:“Tiba di Kuala Lumpur, hanya beberapa orang yang memiliki pas khas sahaja dibenarkan masuk ke Stadium Merdeka untuk menyaksikan peristiwa itu, saya antara yang bertuah kerana turut berpeluang menyertai yang lain, pada ketika itu kami semua berpakaian serba putih dan bersongkok.
:“Sebaik perkataan ‘merdeka’ dilaungkan, ia menusuk di sanubari, saya merasakan perjuangan pemimpin Melayu menuntut kemerdekaan serta perjua�ngan pasukan keselamatan membebaskan tanah air akhirnya menjadi kenyataan dan bermulalah era baru pemerintahan sendiri yang dipelopori rakyat tempatan, bukannya bangsa asing,’ kata Tokoh Kemerdekaan Dungun 2007 itu.
:Menurut bapa kepada tujuh anak yang pernah berkhidmat di lapan sekolah sebelum bersara itu, tahap pendidikan sebelum merdeka jauh berbeza dengan sekarang.
:“Dahulu, hanya mereka yang berkemampuan sahaja dapat pergi ke sekolah, pakaian sekolah pula tidak seragam, ada yang berkaki ayam, berseluar pendek, bangunan sekolah pula tidak secantik sekarang.
:“Perjuangan kami pada masa itu adalah untuk membolehkan orang Melayu buta huruf pandai membaca dan pendidikan satu cara untuk meningkatkan tahap ekonomi mereka, wang dan gaji bukanlah menjadi ukuran bagi kami,” katanya.
Sinar Harian (Edisi Terengganu): 31 Ogos 2009
Sex education as subject maybe in future, says D-G
By Joseph Sipalan and Evangeline Majawat
KUALA LUMPUR: Telling young students about the birds and the bees may be more important than most people realise, according to teachers.
They feel more can be done to educate children about sex to make sure they do not find themselves in unwanted situations such as teenage pregnancy.
National Union of the Teaching Profession (NUTP) president Ha- shim Adnan said yesterday that it was better for schools and teachers to approach the issue openly.
"After all, this is part of life. This is not something that we should hide from the students, thinking that they will discover it when they become adults.
"Sometimes things happen, like (teenage) pregnancy.
"Therefore, it is better to talk about it in detail, in a motherly or fatherly way, so that the children are not left with nowhere to turn to."
Hashim said there was no need for a separate subject on sex education as the present syllabus touches briefly on the topic in subjects such as science, physical education and health. All that was needed, he said, was to expand the teaching of sex education in these subjects.
However, some people want the authorities to go a step further and make sex education a mandatory subject.
An English teacher, who requested anonymity, said students needed to learn how to protect themselves from sexually-transmitted diseases and unwanted pregnancies.
"As a teacher, I want to teach my students about safe sex.
"However, I could be expelled as I would be looked upon as encouraging immoral activities," said the teacher, explaining that the level of sex education in schools was at the discretion of the principal.
Yesterday, the New Sunday Times reported on a National Population and Family Development Board (LPPKN) survey that showed a high level of ignorance among students and young adults about basic sexual and reproductive health.
Half of the 1,700 respondents, aged between 13 to 24 years old, did not know how babies were born, while two out of five did not know where the foetus developed.
A separate study done by Universiti Malaya in 2006 showed 25 per cent of the 2,005 girls surveyed believed they could get pregnant by sleeping next to a man.
Ten per cent had also said a woman would not get pregnant if she was not turned on during sex, while 47 per cent did not know the answer.
Education director-general Tan Sri Alimuddin Mohd Dom said there were no plans to introduce sex education as a subject.
He said the issue was covered in subjects such as biology, moral and Islamic studies.
"We have a set curriculum now and we can't just change it.
"We will take note and if many quarters bring it up, we will consider it ... perhaps in the future," he said when contacted.
NST Online: 31 Ogos 2009
Sabtu, 29 Ogos 2009
Telinga berdarah
amir@hmetro.com.my
SELAYANG: Hanya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah, seorang murid lelaki tahun dua terpaksa menanggung derita pendarahan di telinga dan mengalami gangguan pendengaran selepas ditampar gurunya.
Mangsa, Naufal Haziq Mohd Husaini, 8, murid sesi petang di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Gombak 2 di sini mendakwa ditampar gurunya, Selasa minggu lalu.
Difahamkan, guru lelaki subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) itu menampar mangsa tiga kali bermula di belakang badan sebelum ke pipi dan telinga kirinya.
Menurut ibunya, Noorhana Abdul Hamid, 34, dia pada mulanya tidak mengetahui kejadian itu kerana anaknya hanya mendiamkan diri.
“Bagaimanapun, ketika menonton televisyen di rumah sambil menyiapkan bahan untuk dimasak Ahad lalu, saya tiba-tiba melihat telinga kiri anak sulung saya itu keluar darah.
“Anak saya itu turut mengadu sakit kepala melampau. Saya memberinya ubat dan membersihkan darah di telinganya.
“Hari berikutnya baru saya membawanya ke klinik kerajaan berhampiran,” katanya.
Menurutnya, dia bertanya kepada doktor, namun dimaklumkan telinga anaknya itu kemungkinan tercucuk sesuatu.
Doktor berkenaan memberinya ubat dan memintanya kembali mendapatkan rawatan jika pendarahan berterusan.
Tiga hari selepas itu, Noorhana membawa anaknya itu sekali lagi menemui doktor berkenaan dan dalam pertemuan itu, anaknya memberitahu dia ditampar guru di sekolah kerana gagal menyiapkan kerja diberikan.
Doktor itu mengeluarkan surat supaya Haziq dirujuk ke Hospital Selayang (HS).
Sementara itu, Guru Besar SK Taman Sri Gombak 2, Daunah Sitam, berkata beliau sudah mengetahui mengenai kejadian itu.
“Bagi pihak cikgu yang menampar, saya sudah memohon maaf secara terus dengan Noorhana ketika dia datang ke sekolah.
“Cikgu itu juga sudah membuat pengakuan, tapi katanya dia hanya menampar Haziq dengan perlahan.
“Noorhana, cikgu terbabit dan saya akan mengadakan pertemuan Selasa depan untuk menyelesaikan secara baik hal itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
myMetro: 29 Ogos 2009
Jumaat, 28 Ogos 2009
Rotan kaedah terbaik tangani disiplin pelajar
Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
CADANGAN Kementerian Pelajaran melaksanakan semula hukuman rotan yang dihentikan pada 2006 dengan menggantikan kaedah kaunseling perlu dilakukan secara berhemah, termasuk berbincang dengan ibu bapa.
Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Azam Mat Atan, berkata pelaksanaan semula hukuman itu selepas sesi kaunseling gagal dilihat paling berkesan bagi mendisiplinkan pelajar terutama peringkat menengah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaannya perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk terlebih dulu memberi amaran pertama, kedua dan ketiga kepada pelajar terbabit sebelum memanggil ibu bapa.
“Kami di sekolah hanya akan melaksanakan hukuman rotan jika keadaan semakin kritikal dan disiplin pelajar membimbangkan.
“Setiap hukuman dilaksanakan mereka berkelayakan. Ia dilakukan guru disiplin dengan disaksikan ahli jawatankuasa disiplin sekolah. Setiap hukuman akan direkodkan,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau mengulas laporan akhbar ini baru-baru ini yang memetik Kementerian Pelajaran mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengembalikan semula hukuman rotan sebagai tindakan akhir selepas sesi kaunseling gagal memulihkan disiplin pelajar.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan Persatuan Guru Malaysia, Jemale Paiman, berkata pihaknya yakin hukuman dilaksanakan sejak sekian lama itu kaedah terbaik menangani masalah disiplin pelajar.
“Saya yakin ibu bapa bersedia bekerjasama jika mereka dipanggil berbincang mengenai masalah disiplin anak mereka.
“Perbincangan dua pihak ini penting supaya menemui jalan penyelesaian terbaik, seterusnya sekolah tidak perlu melaksanakan hukuman rotan,” katanya.
Sambil menjelaskan pihaknya sudah memaklumkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru mengenai cadangan kementerian itu, beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh merujuk persatuan berkenaan di sekolah anak masing-masing.
Mengenai pelaksanaannya pula, Jemale berkata, hukuman itu perlu dilaksanakan dengan berhemah termasuk memanggil saksi, manakala guru diarah melaksanakannya mestilah berwibawa.
Katanya, bagi mengelakkan sebarang kesulitan, guru bertugas perlu merujuk pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung perkara berkenaan bagi memastikan tindakan dibuat berdasarkan prosedur ditetapkan.
Berita Harian Online: 28 Ogos 2009
Cikgu Fadzilah bertemu jodoh di sekolah pedalaman
|
|
KOTA BHARU 27 Ogos – Ditugaskan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang terletak 100 kilometer dari bandar Gua Musang yang hanya dihubungkan melalui jalan tanah merah berlumpur merupakan antara cabaran yang terpaksa dialami oleh satu-satunya guru perempuan sekolah tersebut, Fadzilah Yusuf, lebih setahun lalu.
Untuk sampai ke sekolah berkenaan juga, ada kalanya beliau terpaksa berhimpit di tepi kereta pacuan empat roda dalam perjalanan pergi dan balik yang memakan masa kira-kira lapan jam.
Ketika menerima surat tawaran ditempatkan di sekolah tersebut, Fadzillah, 28, menangis selama seminggu kerana mengenangkan nasibnya yang terpaksa tinggal di pedalaman itu tanpa berhubung dengan dunia luar kecuali ketika cuti persekolahan.
Bagaimanapun, beliau rela menghadapi segala kesukaran itu kerana memikirkan terdapat sekumpulan anak Orang Asli berketurunan Temiar yang memerlukan tunjuk ajarnya pada peringkat prasekolah.
Kecuali masa persekolahan, beliau juga terpaksa menjalankan kerja sendiri bagi mengelakkan rasa sunyi.
Namun, setelah lebih setahun setengah berkeadaan demikian, beliau akhirnya terlepas daripada rasa sunyi setelah mengambil keputusan berkahwin dengan pembantu warden asrama sekolah itu, Abdul Razif Mamat, 24, pada 7 Ogos lalu.
Sehubungan itu, hasratnya sebelum ini untuk bertugas hanya setahun di sekolah itu akan dilanjutkan dalam tempoh yang agak lama.
‘‘Kami perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga sebelum mengambil keputusan bertukar ke sekolah di bandar,” katanya ketika ditemui sempena majlis meraikan perkahwinannya di sebuah hotel malam kelmarin.
Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd. Ghazali Abdul Rahman dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Zahari Daud.
Kata Fadzilah, beliau bersepakat dengan suaminya tinggal di perkampungan Orang Asli itu untuk terus membantu meningkatkan pencapaian kanak-kanak terlibat.
SK Balar merupakan sekolah anak Orang Asli dari suku kaum Temiar yang terletak bersempadan dengan negeri Perak dan perjalanan ke sekolah itu sejauh 100 kilometer dari Gua Musang.
Guru-guru yang mengajar di SK Balar itu terpaksa menaiki kereta pacuan empat roda untuk melalui jalan balak selama empat jam sebelum sampai ke sekolah tersebut dan mereka akan terputus hubungan dengan dunia luar apabila berlaku hujan.
Menyentuh tentang penghantarannya ke sekolah berkenaan pada awal 2008, Fadzilah berkata, pada mulanya beliau berat untuk menerima kerana tempatnya yang jauh di pedalaman.
Tetapi, katanya, rayuan daripada JPN yang memintanya mengajar sekolah itu menyebabkan beliau terpaksa akur.
Sebelum itu, katanya, pada hari-hari biasa, beliau hanya bergaul dengan lebih 10 warga lelaki sekolah berkenaan dan bersama-sama berulang-alik dari sekolah ke kampung masing-masing apabila sekolah bercuti.
‘‘Kami hanya berkawan biasa sehinggalah Mac lalu apabila merasakan ada kesesuaian dengan Abdul Razif seterusnya mengambil keputusan untuk berumah tangga,” katanya.
Setelah bergelar isteri, katanya lagi, hidupnya kini sudah mempunyai matlamat antaranya membentuk sebuah keluarga bahagia di samping meningkatkan motivasi anak-anak Orang Asli itu untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing.
Utusan Malaysia Online: 28 Ogos 2009
Wajarkah bonus raya?
SEPERTI biasa tuntutan bonus oleh kakitangan awam sudah mula kedengaran. Sudah ada kakitangan awam yang secara terus memohon daripada YAB Perdana Menteri sendiri melalui laman web 1Malaysia.
Saban tahun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang akan mengepalai tuntutan bonus dari kerajaan atas dasar menjaga kebajikan penjawat awam.
Fenomena meminta bonus seolah-olah sudah menjadi agenda tetap baik di pihak CUEPACS mahupun setiap individu penjawat awam itu sendiri. Setiap tahun, mereka meletakkan harapan yang sangat tinggi agar kerajaan akan menghadiahkan mereka dengan bonus tahunan.
Bagi tahun ini ada yang mencadangkan pemberian bonus minimum RM1,000 dengan kaedah pembayaran secara berperingkat iaitu sebelum Hari Raya Puasa dan pertengahan Disember untuk tujuan perbelanjaan sesi persekolahan yang baru.
Sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang pengguna, kita melihat tuntutan ini adalah sesuatu yang normal dan wajar apatah lagi dengan mengambil kira situasi ekonomi semasa yang menggamit pengguna dengan kenaikan harga barang dan kos hidup yang tinggi secara keseluruhannya.
Pihak kerajaan baik melalui Kementerian Kewangan mahupun Bank Negara secara berterusan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang cuba meyakinkan rakyat bahawa Malaysia tidak terjejas teruk angkara kemelesetan ekonomi global malah diunjurkan kita masih mampu bertahan dan menikmati pertumbuhan walaupun pada kadar yang minimum atau perlahan.
Kita percaya dalam senario ini pihak kerajaan mempunyai fakta yang kukuh dan jelas yang membolehkan mereka meyakinkan rakyat. Kita juga yakin dengan pelbagai langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan untuk merangsang kembali ekonomi negara.
Justeru adalah wajar pihak kerajaan mempertimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan ini ataupun dengan mengambil kira keadaan semasa, kita boleh katakan rayuan penjawat awam untuk mendapatkan bonus agar sambutan Hari Raya Puasa tahun ini dapat dirayakan dengan meriah di samping mampu menyediakan bekalan yang cukup untuk anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan.
Sambutan Hari Raya Puasa tahun ini agak awal berbanding tahun-tahun sebelumnya yang sekali gus mendepani tarikh pembentangan Bajet 2010 yang dijadualkan pada 23 Oktober ini.
Ini sekali gus mula merisaukan semua penjawat awam apakah berpeluang untuk menikmati bonus lebih awal (jika ada) berbanding perlu menunggu sehingga pembentangan bajet kelak.
Pada masa yang sama, sebagai kakitangan awam yang bertanggungjawab dan setia kita juga wajar bertimbang rasa dan berfikiran rasional pada saat-saat yang getir sebegini. Sememangnya ekonomi global tidak begitu memberangsangkan maka eloklah kita tidak terlalu mendesak pihak kerajaan untuk memenuhi tuntutan tersebut dan cuba hindari budaya meminta dan mengharapkan balasan.
Apa pun kita berharap pihak kerajaan akan menimbang dengan adil dan saksama dengan mengambil kira semua aspek dan persekitaran semasa dalam membuat keputusan.
Bagi perjawatan awam, pemberian bonus adalah wajar dan sangat diperlukan namun bagaimana pula kewajaran di pihak kerajaan?
Shakil Hameed
Serdang, Selangor
Utusan Malaysia Online: 28 Og0s 2009
Portal Kementerian Pelajaran jadi sasaran penggodam
saiful.sapran@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Portal Kementerian Pelajaran telah diceroboh selama lebih 24 jam oleh penggodam yang hanya dikenali sebagai Isarock sejak kelmarin.
Ia hanya disedari apabila wartawan Kosmo! cuba mengakses portal itu malam tadi dan mendapati laman utamanya telah digodam dipercayai individu dari negara jiran berdasarkan protokol internet (IP) yang ditinggalkan.
Selain meletakkan gambar serta alamat blognya, penggodam tersebut sempat mengucapkan "Selamat menjalankan ibadah puasa bagi anda yang menjalankannya.''
Wartawan Kosmo! menghubungi Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang terkejut dengan kejadian itu yang dianggapnya kes pertama dilaporkan setakat ini.
Beliau kemudian dipercayai telah bertindak menghubungi pegawainya sebelum akses ke portal berkenaan serta-merta disekat untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
Kosmo Online: 28 Ogos 2009
Khamis, 27 Ogos 2009
Ibu bapa anak istimewa rayu PPD Johor Bahru kekal sistem lama
SAYA ialah ibu yang mempunyai seorang anak yang belajar di Kelas Pendidikan Khas di salah sebuah sekolah kebangsaan di Larkin, Johor Bahru (JB). Sekolah itu terlibat dengan rancangan Penggabungan Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran oleh Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.
Di bawah rancangan ini, Pejabat Pendidikan Daerah akan menggabungkan kelas-kelas pendidikan khas di beberapa buah sekolah di daerah JB seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Larkin 2, SK Nong Chik, SK (P) Bandar Tinggi, SK Tasek Utara, SK Kompleks UDA, SJK © Foon Yew 3 dan SJK (T) Jalan Yahya Awal di bawah satu bumbung iaitu di SK (P) Bandar Tinggi, JB.
Walaupun idea penggabungan yang akan berkuat kuasa tahun depan itu bertujuan untuk memusatkan semua kelas pendidikan khas di daerah JB di bawah satu bumbung, namun dalam masa yang sama, ia memberi tekanan dan bebanan kepada ibu bapa murid-murid terlibat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Saya mengatakan demikian kerana ibu bapa terpaksa membuat perjalanan yang jauh untuk menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah baru itu yang lokasinya terletak di tengah-tengah kesesakan dan kesibukan bandar raya JB yang juga boleh mengundang persoalan mengenai keselamatan pelajar terlibat.
Paling terasa bebanan ini ialah kaum ibu daripada kalangan suri rumah seperti saya. Selama ini, saya dan beberapa ibu pelajar pendidikan khas begitu mudah menghantar dan mengambil anak sekolah dengan berjalan kaki sahaja kerana jarak rumah yang agak dekat.
Bayangkan jika penggabungan sekolah ini berlaku, bermakna saya dan kaum ibu lain terpaksa menguruskan kenderaan bagi menghantar dan mengambil anak masing-masing yang turut melibatkan peningkatan kos pengangkutan bagi kami daripada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan ini.
Jika disediakan bas sekolah sekali pun, bukan semua pelajar kelas pendidikan khas boleh menaiki kenderaan tersebut.
Sebahagian daripadanya, belum mampu berdikari menaiki bas disebabkan masalah kekurangan diri masing-masing yang berbeza di antara satu dengan lain. Janganlah menganggap masalah kanak-kanak pendidikan khas ini semuanya sama.
Sebagai contoh, para pelajar hiperaktif, autisme tidak semuanya boleh dibiarkan menaiki bas sekolah kerana permasalahan emosi dan minda yang dihadapi dan mereka perlu diambil sendiri oleh ibu bapa masing-masing. Dan saya yakin semua pelajar pendidikan khas juga perlu dihantar dan diambil sendiri oleh ibu bapa masing-masing.
Satu lagi faktor yang perlu diambil perhatian pihak pejabat pelajaran daerah ialah soal keserasian dan kesesuaian para pelajar pendidikan khas dengan sekolah sedia ada.
Kebanyakan pelajar ini telah pun serasi dengan rakan-rakan dan guru masing-masing di mana jika perpindahan dilakukan, ia sedikit sebanyak mengganggu emosi kanak-kanak ini.
Bagi ibu bapa yang bekerja pula, perjalanan menghantar dan mengambil anak selama ini agak mudah kerana mereka ditempatkan di sekolah-sekolah berdekatan rumah.
Bayangkan jika sekolah ini dipindahkan ke tempat yang jauh, tentulah terkejar-kejar ibu bapa terlibat untuk keluar pejabat pada waktu tengah hari dan kembali semula ke pejabat tepat pukul 2.
Justeru saya memohon supaya Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru agar dapat mengekalkan sistem persekolahan sedia ada dan telah serasi dengan anak-anak kami serta aturan perjalanan kami selama ini.
Kami harap Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru akan bersikap proaktif terhadap pandangan saya ini dengan mengambil kira segala kesukaran yang bakal ditempuh oleh keluarga pelajar terlibat andai program penggabungan sekolah ini diteruskan.
Ibu Prihatin
Johor Bahru
Utusan Malaysia Online: 27 Ogos 2009
Guru baru kahwin liwat murid
Tindakan guru bersifat binatang itu terbongkar selepas bapa mangsa bertanyakan mengapa pelajar berkenaan tidak mahu mengikuti kelas tuisyen di rumah guru itu seperti biasa.
Bimbang dengan hukuman rotan bapa sendiri, pelajar terbabit akhirnya menceritakan kejadian sebenar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata kejadian dipercayai berlaku di rumah guru berkenaan di Tenggaroh Selatan 2, Kota Tinggi sejak Jun lalu dan berlarutan sehingga awal bulan ini.
Menurutnya, mangsa ke rumah guru berkenaan untuk mengikuti kelas tuisyen sebagai persediaan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bersama seorang lagi rakan.
“Namun minggu lalu, mangsa enggan mengikuti tuisyen seperti biasa sebaliknya berkeras mahu tinggal di rumah menyebabkan dia disoal bapanya,” katanya.
“Tidak tahan dimarahi, mangsa kejadian dia dan rakannya dipaksa melakukan seks oral manakala rakannya diliwat,” katanya.
Siasatan mendapati suspek berasal dari Muar, mengajar di sekolah mangsa dan baru melangsungkan perkahwinan Mac lalu.
Dia diminta hadir ke balai sebelum ditahan.
myMetro: 27 Ogos 2009
Pelantikan guru Tingkatan Enam perlu disegerakan
Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
SEBANYAK 767 sekolah menengah kebangsaan dan swasta yang menawarkan Tingkatan Enam sepatutnya sudah melantik guru penolong kanan dan kokurikulum serta tenaga pengajar bagi memulakan proses transisi penjenamaan semula pengajian peringkat prauniversiti itu.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Zulkifly Mohd Wazir, berkata pelantikan itu antara perkara utama disenaraikan Kementerian Pelajaran dalam Garis Panduan dan Tanggungjawab Guru Akademik Tingkatan Enam dikeluarkan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia pada Mei lalu.
Dengan pelantikan itu, katanya, perancangan serta pelaksanaan perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dilaksanakan segera membabitkan pelajar Tingkatan Enam Bawah.
Beliau berkata, antara perubahan tugas guru Tingkatan Enam adalah waktu mengajar 22 hingga 30 waktu seminggu membabitkan aktiviti akademik, kokurikulum, penyelidikan/konsultasi dan kolokium.
Turut disenaraikan tugas luar bilik darjah/ tanpa interaksi dengan pelajar sebanyak 15 waktu seminggu membabitkan aktiviti persediaan, penyelidikan, penilaian dan pentaksiran serta penggubalan item.
“Walaupun pelaksanaan sistem modular/semester menggantikan sistem terminal dijangka bermula 2011, beberapa langkah dan perubahan awal perlu dilaksanakan sebagai usaha penjenamaan semula Tingkatan Enam secara berperingkat.
“Kementerian menjangkakan lebih 700 sekolah menawarkan pengajian prauniversiti ini, sekurang-kurangnya sudah melantik guru berkaitan supaya perubahan tugas disenaraikan dalam Garis Panduan dan Tanggungjawab Guru Akademik Tingkatan Enam dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau mengulas rungutan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati kerana ada segelintir sekolah masih belum memulakan proses transisi penjenamaan semula Tingkatan Enam antara lain membabitkan pertambahan waktu mengajar hingga ke petang bagi melaksanakan aktiviti tambahan seperti tutorial.
Zulkifly menjelaskan peningkatan waktu mengajar membabitkan waktu pengajaran dalam kelas sebanyak 16 hingga 24 waktu seminggu, kokurikulum (dua waktu), penyelidikan/konsultasi (dua waktu) serta kolokium (dua waktu).
Bagi kokurikulum, katanya, guru bertanggungjawab menguruskan aktiviti persatuan/kelab, unit beruniform atau sukan/permainan, sementara penyelidikan/ konsultasi memerlukan guru membimbing pelajar membuat kajian dan penyelidikan serta mengakses maklumat secara elektronik dan bercetak.
Menerusi kolokium pula, beliau berkata, guru berperanan memberi komen dan ulasan mengenai pembentangan hasil kajian dan penyelidikan pelajar.
“Tidak dinafikan pertambahan aktiviti ini menuntut pengorbanan guru untuk bekerja lebih masa hingga ke petang.
Berita Harian Online: 27 Ogos 2009
Rabu, 26 Ogos 2009
Sayangi Sekolah: Warisan berzaman
Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
LATIFAH melihat pelbagai bahan sejarah yang dipamerkan di muzium warisan sekolahnya. |
Sekolah Tinggi Muar cemerlang, lahir ramai profesional dalam pelbagai bidang
KEJAYAAN Sekolah Tinggi Muar (STM) melahirkan ramai tokoh dan pemimpin dalam pelbagai bidang membolehkannya terus gah sebagai pewaris kegemilangan pendidikan.
Berpegang prinsip prestasi cemerlang sepanjang zaman, tenaga pengurusan terutama guru dan pentadbir serta pelajar berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan dikecapi membanggakan semua pihak.
Sejarah kecemerlangan awal pendidikan STM bermula sejak penubuhannya pada 1902 yang dikenali sebagai Goverment English School (GES).
Ketika itu, STM antara sekolah tertua di daerah Muar menjadi pilihan ibu bapa yang mementingkan pendidikan kerana yakin pelajaran adalah instrumen utama untuk mengubah taraf hidup.
Kecemerlangan STM diwarisi dari satu generasi ke satu generasi dan terbaru, sekolah itu menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Kementerian Pelajaran 2009 bagi kategori Sekolah Menengah Harian Bandar.
Antara tokoh politik tanah air dan profesional yang pernah belajar di sekolah itu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dua bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Husin dan Abd Aziz Taha; bekas Ketua Pengarah Felda dan Pengerusi Malayan Banking Berhad, Tan Sri Taib Andak dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Syed Abd Kadir Mohamed juga tokoh dilahirkan sekolah itu.
Bangunan sekolah dibina berciri seni bina kolonial Inggeris diisytiharkan sebagai warisan negeri Johor sempena sambutan ulang tahun ke-100 sekolah itu pada 29 Mac 2003.
Premis lama masih kekal hingga hari ini menjadikan STM sebagai sekolah yang mengekalkan ciri sejarah zaman silam untuk tatapan generasi hari ini, sekali gus membanggakan pelajar serta kakitangannya.
Pengetua Kanan sekolah itu, Latifah Hamdan, ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini berkata, pencapaian sekolah itu amat membanggakan dan berharap ia berkekalan.
"STM mencatatkan kegemilangan sejak awal penubuhannya lagi, malah bangunan lama masih kekal hingga sekarang menjadi bukti sejarah sekolah yang berjaya melahirkan ramai profesional dalam pelbagai bidang.
“Kesungguhan dan dedikasi guru dengan kerjasama ibu bapa juga antara faktor berjaya mengekalkan kecemerlangan sekolah ini dalam memacu kejayaan melahirkan generasi berwawasan,” katanya.
Beliau berkata, prestasi cemerlang yang diwarisi turut dikumpul dalam bentuk koleksi sejarah dan mampu mewujudkan sebuah muzium untuk tatapan generasi akan datang.
Latifah berkata, muzium diwujudkan di bangunan lama sekolah itu bertujuan menimbulkan kesedaran, selain membangkitkan semangat pelajar untuk terus berusaha mengejar kecemerlangan.
”Asalnya ia dikenali sebagai muzium mini sejarah sebelum ditukar kepada muzium warisan sejak enam tahun lalu.
”Pelajar perlu tahu mengenai sejarah sekolah dan bahan yang dipamerkan termasuk senarai tokoh lepasan sekolah ini.
“Ia diharap dapat membangkit semangat pelajar dan sayangkan sekolah ini, sekali gus menjadi sebahagian catatan kegemilangan,” katanya.
Beliau berkata, koleksi kejayaan itu juga membolehkan umum mengetahui lebih dekat sejarah kegemilangan sekolah sejak diwujudkan hingga berjaya melahirkan tokoh dan pemimpin negara.
Berita Harian Online: 26 Ogos 2009
Kementerian digesa atasi kekurangan rumah guru
|
|
NABAWAN 25 Ogos - Kementerian Pelajaran diminta segera mengatasi masalah kekurangan rumah guru yang ketara di daerah ini bagi memastikan para guru mendapat kediaman selesa seterusnya mampu meningkatkan lagi kualiti pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Bobbey Suan berkata, langkah itu penting kerana masalah tersebut menyukarkan para guru menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.
"Terdapat beberapa buah sekolah termasuk sekolah menengah di daerah ini mengalami masalah kekurangan rumah guru menyebabkan ada guru-guru yang bertugas terpaksa berulang-alik sejauh lebih 60 kilometer.
"Selain itu terdapat juga guru-guru di sekolah terpencil yang tinggal di rumah yang tidak selesa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Bobbey, selain daerah ini beliau mendapat laporan bahawa daerah berhampiran iaitu Tenom turut menghadapi masalah yang sama.
Katanya, antara faktor menyebabkan para guru terpaksa tinggal jauh dan berulang-alik ke sekolah adalah kerana kekurangan rumah sewa di daerah ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai insentif khas yang diberikan kerajaan kepada pengetua dan guru besar, beliau berharap ia dapat memberi galakan kepada mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, katanya, guru-guru yang mendapat insentif itu haruslah menjalankan tugas setimpal dengan apa yang mereka terima.
Tambahnya, pemberian insentif kepada guru-guru yang bertugas di sekolah-sekolah terpencil di kawasan pedalaman amat dialu-alukan.
"Ini kerana selain sanggup bertugas di sekolah terpencil, mereka juga menghadapi pelbagai masalah dalam perjalanan sama ada perjalanan darat dan sungai," ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 26 Ogos 2009
Terap semangat patriotik di kalangan pelajar
KUCHING 25 Ogos - ''1SMK Santubong, Pelajar Didahulukan, Pencapaian Akademik Sekolah Diutamakan," kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong, Jali Kenoi ketika melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan di sekolah berkenaan di sini baru-baru ini.
Gagasan tersebut merupakan inisiatif sekolah untuk menaikkan semangat para pelajar bagi menimba ilmu pengetahuan dan pada masa yang sama menerapkan nilai-nilai murni serta patriotik supaya jati diri mereka akan terus dihayati.
Menurut Jali, sempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini, pihaknya menyediakan pelbagai program berbentuk pemahaman, penghayatan serta penghargaan dengan penglibatan para pelajar dari peringkat tingkatan satu sehingga tingkatan lima.
Katanya, antara program yang disediakan untuk para pelajar sepanjang sambutan bulan kemerdekaan sejak 1 Ogos lalu adalah pertandingan lagu-lagu patriotik dan 1Malaysia, deklamasi sajak, berpidato serta penulisan esei bertemakan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang juga tema Hari Kemerdekaan ke-52.
''Dengan ada program-program seumpama ini secara tidak langsung ia memeriahkan lagi sambutan sempena bulan kemerdekaan negara.
''Pada masa yang sama, para pelajar boleh menyertai program-program tersebut sekali gus mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang bermanfaat dan berfaedah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
SMK Santubong yang ditubuhkan pada tahun 1984 kini mempunyai 51 tenaga pengajar dengan 720 pelajar termasuk seramai 250 mereka yang tinggal di asrama.
Jali berkata, penganjuran program sempena bulan kemerdekaan sudah menjadi tradisi di sekolah terbabit dan ia dilakukan pada setiap tahun.
Katanya, tujuannya adalah supaya program seumpama itu dapat memupuk semangat cintakan negara di dalam diri pelajar di samping kesedaran mengenai sejarah kemerdekaan negara.
Tambahnya, pihak sekolah juga berharap program tersebut dapat menanamkan nilai-nilai jati diri, membina keyakinan serta kekuatan pada diri pelajar dalam melahirkan modal insan berkualiti serta berkemahiran pada masa akan datang.
''Kita sedia maklum bahawa generasi muda hari ini adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang, maka mereka perlu dibentuk dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan jati diri mereka.
''Sehubungan itu, program bulan kemerdekaan sekolah ini bertepatan sekali untuk mewujudkan golongan masyarakat yang mampu memacu negara ini ke peringkat yang lebih baik pada masa akan datang," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Panitia Sejarah, Hayati Yaman, 35, berkata, program berbentuk sejarah memang perlu dilaksanakan supaya generasi muda terutamanya pelajar tidak akan melupai setiap titisan peluh dan darah para pejuang terdahulu menuntut kemerdekaan negara.
Katanya, para pelajar tersebut boleh mempelajari dan mengkaji mengenai tokoh-tokoh sejarah negara yang telah memperjuangkan kemerdekaan sebelum ini.
''Dengan adanya program seperti hari ini, para pelajar tidak akan melupakan jasa-jasa orang terdahulu yang memperjuangkan merdeka kerana tanpa pejuang-pejuang dahulu, kita tidak mungkin dapat menikmati kehidupan bertuah seperti hari ini," ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 26 Ogos 2009
Selasa, 25 Ogos 2009
Jaga kebersihan bendung H1N1
PANDEMIK H1N1 terus merebak dan semakin serius. Orang ramai khususnya pelajar dan guru perlu mengambil langkah pencegahan bagi menghindari virus influenza A tersebut.
Prihatin dengan ancaman selesema babi itu, pemilik Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd, dengan sokongan Lifebuoy menganjurkan ceramah penjagaan kebersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya baru-baru ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Redza Rafiq memberitahu, inisiatif ini merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat syarikat itu kepada komuniti di Cyberjaya.
"Ia penting dan perlu dalam mendepani pandemik yang semakin mengganas di negara kita," katanya.
Manakala Pengarah Jenama Unilever Malaysia, Lenny Chuah berkata, penglibatan syarikatnya adalah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan yang mengadakan kempen secara berterusan ke seluruh negara.
Selain ceramah, peserta yang terdiri daripada 1,600 pelajar dan guru itu telah didedahkan dengan cara membasuh tangan yang betul. Demonstrasi ujian glo-germ turt diadakan.
Poster yang mengandungi tujuh langkah mencuci tangan saranan Kementerian Kesihatan turut diserahkan kepada pengetua dan guru besar sekolah yang terlibat.
Portal Pendidikan Utusan: 25 Ogos 2009
Guru disah korban ke-69
ya_t@hmetro.com.my
PUTRAJAYA: Seorang guru wanita berusia 38 tahun dari Subang Jaya, Selangor, menjadi mangsa ke-69 wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.
Walaupun wanita berkenaan meninggal dunia pada 19 Ogos lalu, Kementerian Kesihatan hanya mengesahkan kematiannya semalam kerana kementerian perlu membuat pengesahan sama ada kematian mangsa disebabkan ‘primary causes’ atau ‘distributing causes’.
Ini berikutan wanita berkenaan lambat menerima rawatan antiviral walaupun ujian ‘rapid test’ mengesahkan dia positif Influenza A ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 13 Ogos selepas mengalami gejala demam dan batuk selama dua hari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata lima hari kemudian mangsa mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana mengalami kesukaran bernafas dan ‘cyanosis’ secara tiba-tiba sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Ogos.
“Sapuan tekak diambil pada hari sama dan rawatan Tamiflu dimulakan. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia keesokan harinya akibat ‘pneumonia with ARDS’.
“Keputusan sapuan tekak mengesahkan mangsa positif H1N1 pada 20 Ogos lalu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan taklimat bersama Ketua Pengarang Berita dan Ketua Editor media cetak serta elektronik mengenai H1N1 di kementeriannya di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Ramlee Rahmat dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman.
Liow berkata, sekiranya wanita itu diberi rawatan segera selepas disahkan positif H1N1, mungkin mangsa tidak mengalami komplikasi dan dapat diselamatkan.
Berikutan itu, beliau berkata semua doktor di hospital dan klinik swasta diminta mematuhi garis panduan yang dikeluarkan kementerian bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan.
“Doktor di klinik dan hospital swasta perlu memberi rawatan segera kepada tiga kumpulan iaitu mereka yang mempunyai ‘influenza-like illness’ dan tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, mereka yang mengalami demam panas antara 39 hingga 40 darjah Celsius melebihi dua hari dan mereka positif Influeza A ketika menjalani ‘rapid test’.
“Golongan ini mesti diberikan rawatan antiviral dengan segera bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada pesakit. Kita harap semua doktor jelas dan mengikuti garis panduan yang diberikan, paling penting jangan keliru dengan panduan yang diberikan dan jika masih kurang jelas mereka boleh merujuk kepada kementerian atau laman web,” katanya.
Sehubungan itu, kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan klinik dan hospital swasta untuk berbincang pendekatan terbaik yang perlu diambil oleh kedua-dua pihak bagi menangani masalah seumpama ini berikutan kementerian juga turut menerima pelbagai aduan daripada orang ramai.
“Kami akan mengadakan perjumpaan minggu ini juga dan tarikh akan ditetapkan kemudian. Sebelum ini, kementerian sudah memberi taklimat kepada klinik kesihatan dan hospital kerajaan, kini kita akan mengadakan taklimat dengan mereka bagi membolehkan kedua-dua pihak berdialog dan bertukar pandangan.
“Ia selaras dengan usaha memastikan penularan wabak ini dapat ditangani dengan lebih baik dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pengamal perubatan,” katanya.
myMetro: 25 Ogos 2009
Isnin, 24 Ogos 2009
Usaha wujud jawatan dalam proses perbincangan: Alimuddin
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata usaha itu juga selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris menjelang 2012.
Beliau berkata, pihaknya perlu mendapatkan pandangan semua pihak berkaitan sebelum melaksanakannya, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, persatuan dan kesatuan guru, pakar pendidikan, pengetua serta guru besar.
“Jika dilaksanakan, untuk peringkat awal, sekolah luar bandar, pinggiran bandar serta yang mempunyai ramai pelajar akan diberi keutamaan.
“Begitu juga kelas dengan ciri tertentu, antaranya sesak dan berprestasi sederhana yang mana gurunya memerlukan bantuan untuk mengendalikan pelajar.
“Kelas bersaiz kecil dan berprestasi tinggi tidak memerlukan khidmat pembantu kerana guru sendiri tidak mempunyai banyak masalah mengajar kerana jumlah pelajar sedikit, selain cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Dalam hal ini, beliau berkata, guru dan pembantu juga boleh berbincang mengenai bahan bantu mengajar perlu disediakan sebelum kelas bermula bagi memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran.
Mengenai pengambilan, Alimuddin menjelaskan kementerian akan merekrut pembantu guru itu dengan memberi latihan dalam tempoh beberapa bulan sebelum mereka memulakan tugas.
“Kerjaya mereka mungkin tidak sebagai pembantu guru selamanya kerana setelah beberapa tahun berkhidmat, peluang turut diberi untuk menjadi guru.
“Sebenarnya usaha ini sudah dijalankan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kita akan jadikannya sebagai model pelaksanaan,” katanya.
Berita Harian Online: 24 Ogos 2009
Fokus: Bebanan tugas
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
Kementerian perlu lantik pembantu guru selesaikan kerja perkeranian
TANGGUNGJAWAB hakiki guru adalah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan sempurna, bagaimanapun perkhidmatan mereka dikatakan terjejas kerana sebahagian masa digunakan untuk menyelesaikan tugas perkeranian.
Isi guru sarat dengan beban sampingan bukan perkara baru kerana ia pernah dibangkit dan dibincangkan sebelum ini, malah turut dikatakan sebagai antara faktor menyebabkan ada guru mengalami stres.
Berikutan itu, pelbagai cadangan dikemukakan bagi mengatasi masalah itu, antaranya meminta kementerian mewujudkan jawatan pembantu guru, antara lain bertanggungjawab membantu tugas guru di bilik darjah.
Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arshad, berkata 25 persatuan dan kesatuan guru pernah berbincang mengenai cadangan itu dengan Kementerian Pelajaran, September lalu.
"Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail menyatakan jawatan pembantu guru akan dipertimbangkan, namun selepas pemergian beliau, ia seolah-olah tiada kesinambungan dan kami masih menunggu jawapan hingga kini.
SEKOLAH Pendidikan Khas lebih memerlukan khidmat pembantu guru berbanding sekolah lain. |
"Jika jawatan itu diwujudkan, ia akan dapat memantapkan lagi persiapan guru untuk mengajar, selain tumpuannya fokus terhadap perkembangan pelajar.
"Sekarang, jika ditanya atau mempersoal mutu P&P, pelbagai alasan guru berikan antaranya faktor masa tidak mencukupi kerana sebahagian masa dihabiskan membuat tugas perkeranian," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata, nisbah ideal seorang pembantu guru mengelolakan dua kelas dan jika perlu ia berdasarkan kapasiti sebenar sesebuah sekolah.
Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan), Setapak, Che Fatimah Che Abdullah, berkata melantik pembantu guru perlu disegerakan kerana sudah terlalu lama ia diuar-uarkan tetapi tiada sebarang keputusan.
Penerima Anugerah Pengetua Cemerlang 2008 itu berkata, jika jawatan itu diwujudkan, jumlahnya perlu mencukupi terutama di sekolah pendidikan khas untuk membantu guru mengajar pelajar kurang upaya.
"Berbeza dengan sekolah biasa, penyediaan bahan peperiksaan di sekolah khas cacat penglihatan perlu dibuat satu persatu kerana menggunakan tulisan 'braille' dan jika ada gambar rajah, guru perlu buat sendiri.
"Proses ini memakan masa sehingga ada guru terpaksa menyelesaikannya hingga larut malam dan mengorbankan hari minggu untuk menghasilkannya, selain tugas menjalankan tugas rutin.
Seorang guru di selatan tanah air yang hanya mahu dikenali sebagai Akila berkata, tugas perkeranian seperti pengurusan fail peribadi pelajar, rekod masalah ponteng, persediaan peperiksaan, pengurusan buku kokurikulum, tugas menaip minit mesyuarat serta laporan aktiviti sekolah, membersihkan bengkel, pemfailan bank soalan perlu diserahkan kepada petugas lain.
Selain itu, tugas pendaftaran, urusan kewangan (pungutan yuran) juga perlu dilakukan pembantu supaya guru benar-benar dapat menumpukan perhatian terhadap proses P&P.
Tanpa pelbagai perkara remeh yang memerlukan masa untuk diselesaikan itu, katanya, guru tiada lagi alasan untuk tidak memberikan komitmen penuh terhadap kualiti penyampaian masing-masing.
Sementara itu, seorang guru Sains di sebuah sekolah di Klang yang enggan namanya disiarkan berkata, kerja perkeranian kini seolah-olah tugasan rutin guru, sedangkan tanggungjawab sebenar menjalankan proses P&P.
Walaupun kerja perkeranian mudah, katanya, ia kadangkala terpaksa dibuat sewaktu mengajar, contohnya melengkapkan urusan kesihatan serta pelbagai rekod berkaitan pelajar.
"Ada ketika berlaku kecemasan, pembelajaran terhenti kerana guru perlu menyelesaikannya. Jika ada pembantu, kelas dapat diteruskan dan ini tidak merugikan pelajar.
"Contoh lain, apabila ada sesuatu dasar baru dilaksanakan, guru juga perlu membuat penilaian dan laporan terhadap setiap pelajar, ia memerlukan masa untuk mengumpul semua data. Ini mengganggu tumpuan terhadap proses P&P," katanya.
Berita Harian Online: 24 Ogos 2009
Lidah keras?
suliati@hmetro.com.my
KADANGKALA kita tidak faham, apa susah sangat belajar dan menguasai bahasa Inggeris sama ada dalam pertuturan atau penulisan?
Pelajar sekolah sering mengeluh apabila mengikuti kelas bahasa Inggeris, seolah-olah ada 'hantu' yang menghalang mereka untuk memberi fokus terhadap pembelajaran berkenaan.
Di rumah, subjek bahasa Inggeris tidak dipedulikan. Ibu bapa pula tidak ambil tahu sama ada anak mereka belajar bahasa antarabangsa itu atau tidak.
Hasilnya, keputusan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu merudum. Apabila memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) keadaan bertambah lebih teruk.
Penguasaan bahasa Inggeris mereka 'hancus' padahal kebanyakan buku rujukan di IPT adalah dalam bahasa Inggeris.
Ketika pelajar bangsa lain sibuk menguasai bahasa Inggeris, pelajar Melayu seperti berpuas hati dengan apa yang ada.
Akibat kealpaan itu, apabila keluar dari IPT, mereka sukar mendapat kerja kerana tidak mahir berbahasa Inggeris. Dalam proses temuduga, pertuturan bahasa Inggeris anak Melayu tergagap-gagap seperti baru belajar bercakap.
Apakah pelajar Melayu masih dalam kepompong yang sama, malu untuk bertutur bahasa Inggeris atau menganggap bahasa itu tidak penting?
Jika alasan bahasa itu susah, mengapa pelajar Cina dan India boleh menguasainya dengan baik?
Tidak guna kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk meningkat penguasaan pelajar Melayu dalam bahasa Inggeris jika mereka sendiri tidak sedar kepentingan bahasa itu. Ia ibarat mencurah air di daun keladi.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata tidak semua pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris berbanding pelajar bukan Melayu.
Beliau berkata, ada juga pelajar bukan Melayu gagal menguasai bahasa Inggeris, namun ia tidak ketara kerana bilangan pelajar Melayu lebih ramai.
"Saya tidak bersetuju dakwaan pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris berbanding pelajar bukan Melayu.
"Dari segi akademik dan keputusan peperiksaan bahasa Inggeris, mereka cemerlang dan keputusan mereka baik," katanya.
Jika pelajar luar bandar dijadikan ukuran untuk melabelkan pelajar Melayu sukar untuk menguasai bahasa Inggeris, itu tidak adil.
"Sebagai pelajar luar bandar, kelengkapan pembelajaran mereka terutama bahasa Inggeris adalah terhad dan tidak secanggih pelajar di bandar.
"Selain itu, pergaulan serta persekitaran mereka juga sangat berbeza dengan pelajar di bandar," katanya.
Dalam usaha menggalakkan pelajar menguasai bahasa Inggeris, Dr Aini berkata, isu siapa lebih menguasai bahasa Inggeris jangan digembar-gemburkan.
"Jangan ungkit isu perbezaan sebaliknya beri pendedahan dan cara yang betul untuk melaksanakan kaedah itu.
"Dengan pendedahan yang betul menggunakan peralatan yang lengkap dan tenaga pengajar yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran, ia membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan," katanya.
Mengimbau sistem lama di sesetengah sekolah yang mendenda pelajar yang gagal bertutur bahasa Inggeris, Dr Aini berkata, cara itu mungkin boleh diamalkan semula.
"Pihak sekolah perlu kreatif dan berusaha untuk membantu serta menyediakan bahan yang sesuai dan lengkap.
"Pihak sekolah juga perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang menarik dan terkini bagi menanam minat mereka untuk membaca buku bahasa Inggeris," katanya.
Di samping itu, penggunaan teknologi seperti televisyen dalam pembelajaran dapat membantu kerana ia lebih berkesan untuk menarik minat pelajar menguasai bahasa Inggeris.
"Apa yang paling penting, guru perlu menguasai bahasa itu serta menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar. Ada sesetengah guru bahasa Inggeris mengajar menggunakan dwibahasa.
"Keadaan itu menyebabkan pelajar tidak punya inisiatif memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mereka," katanya.
Beliau setuju jika guru yang mengajar subjek itu dibawa dari luar negara.
"Ini boleh meningkatkan semangat pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami apa yang diajar guru terbabit," katanya.
Sementara itu, guru bahasa Inggeris, Sapian Mamat, berkata pelajar Melayu sukar menguasai bahasa itu disebabkan latar belakang keluarga di samping cara pergaulan mereka.
Menurutnya, jika ibu bapa menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi di rumah, masalah kegagalan menguasai bahasa berkenaan tidak timbul.
"Ibu bapa pelajar bukan Melayu, mereka berusaha bercakap bahasa Inggeris di rumah untuk membiasakan anak mereka dengan bahasa itu.
"Cara itu memberi pendedahan awal kepada anak terutama untuk bercakap menggunakan bahasa Inggeris walaupun tatabahasa yang digunakan tunggang terbalik.
"Pelajar juga mudah memahami ketika guru mengajar kerana perkataan yang digunakan pernah mereka gunakan di rumah," katanya.
Bagi pelajar Melayu, menurut Sapian, hanya segelintir ibu bapa menggunakan bahasa Inggeris di rumah.
"Keadaan ini memberi kesukaran memahami dan bertutur bahasa Inggeris kerana mereka tidak dapat mempraktikkan apa yang dipelajari di sekolah ketika berada di rumah.
"Mereka boleh menerima dan mempelajari bahasa Inggeris, tetapi tidak dapat menguasai sepenuhnya kerana orang di sekeliling tidak bertutur bahasa itu," katanya.
Satu lagi faktor menjadi punca pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris kerana mereka tidak melihat kepentingan bahasa itu.
"Ketika dalam kelas, pelajar bertutur bahasa Melayu. Jadi, mereka tidak melihat kepentingan bahasa itu kerana jika lulus bahasa Inggeris pun sudah memadai.
"Ia berlainan dengan pelajar bukan Melayu yang didedahkan kepentingan bahasa Inggeris bukan saja untuk peperiksaan, tetapi berkomunikasi," katanya.
Sementara itu, ibu kepada tiga anak, Siti Aminah Kassim, berkata pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris kerana mereka malas berusaha dan menganggap bahasa itu tidak penting.
"Saban tahun, ada saja inisiatif baru yang dibuat kementerian pelajaran bagi membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris.
"Jika mereka menggunakan peluang itu, mereka mudah menguasainya kerana kebolehan pelajar Melayu tidak bezanya berbanding pelajar bangsa lain.
"Tetapi, jika malas berusaha, yang mudah pun menjadi susah," katanya.
myMetro: 24 Ogos 2009
Ahad, 23 Ogos 2009
Pelajar OKU kena liwat
zainuddin@hmetro.com.my
TENANG... Jaafar menenangkan anaknya yang masih kesakitan akibat diliwat. |
ALOR STAR: “Saya bimbang jika dia berani berbuat demikian ke atas anak saya, mungkin dia akan bertindak lebih kejam kerana semua pelajar adalah orang kurang upaya (OKU),” kata Jaafar Ismail, 41, bapa kepada seorang pelajar OKU yang disyaki diliwat di sebuah sekolah pendidikan khas di sini.
Katanya, lebih membimbangkan, suspek yang disyaki meliwat anak lelakinya berusia 13 tahun dan mengalami cacat pendengaran adalah lelaki normal dan berusia dalam lingkungan 20-an.
Jaafar yang bekerja sebagai buruh berkata, kejadian dipercayai berlaku di asrama sekolah berkenaan, kira-kira jam 3 pagi, 9 Ogos lalu.
“Namun saya hanya dimaklumkan oleh pengetua sekolah berkenaan dua hari selepas itu. Pengetua hanya memohon maaf di atas kejadian yang berlaku tanpa membawa anak saya ke hospital atau membuat laporan polis.
“Apabila saya membawa anak pulang pada hari sama (11 Ogos), dia yang ditempatkan di asrama sekolah sejak tiga tahun lalu mengadu sakit di duburnya lalu saya membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Di HSB, doktor mengesahkan anak saya diliwat. Kes itu kini diserahkan kepada Bahagian Jenayah Seksual IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kota Star untuk siasatan,” katanya ketika ditemui di IPD berkenaan, semalam.
Anaknya yang dimasukkan ke wad selama tiga hari hanya dibenarkan keluar kelmarin dan kini mengalami trauma teruk, selain menjadi pendiam dan sering merengek kesakitan.
Jaafar juga bimbang kerana berdasarkan sumber sekolah berkenaan, suspek adalah penagih dadah, sekali gus kemungkinan dia menyebarkan penyakit berbahaya kepada anaknya yang juga anak kedua daripada tiga beradik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek dikenal pasti tetapi tindakan belum diambil berikutan kenyataan mangsa hanya dapat dirakam hari ini.
“Kita perlukan penterjemah kerana mangsa adalah OKU dan pihak sekolah (pendidikan khas) akan menyediakan seorang penterjemah esok (hari ini),” katanya.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 377 (c) Kanun Keseksaan iaitu peruntukan mengenai jenayah seks luar tabii tanpa kerelaan, dengan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
myMetro: 23 Ogos 2009
RM35j bina Sekolah Menengah Pekan Nabalu
TAMPARULI 22 Ogos - Kementerian Pelajaran akan menyegerakan pembinaan sekolah menengah di pekan Nabalu yang terletak berdekatan kaki Gunung Kinabalu dekat sini bagi memenuhi keperluan pelajar di daerah ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah menengah bernilai RM35 juta itu akan dibina dalam waktu terdekat memandangkan daerah itu masih belum mempunyai sekolah menengah.
Katanya, pada masa ini tapak untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dan diterima oleh Bahagian Pembangunan Kementerian Pelajaran.
"Sebelum saya datang ke sini saya telah menemui Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara ini dan beliau mahu saya mencari jalan untuk menyegerakan projek ini.
"Peruntukan sudah tersedia dan saya berharap projek pembinaan Sekolah Menengah Nabalu akan dilaksanakan secepat mungkin iaitu kalau boleh dalam tempoh dua bulan dari sekarang," katanya berucap pada majlis bersama rakyat sempena lawatannya ke tapak sekolah itu di Dewan Pekan Nabalu di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing.
Pada 10 Disember 2007, Datuk Noh Omar yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan membina sekolah di kawasan itu selepas melawat tapak sekolah berkenaan.
Bagaimanapun sehingga kini pembinaan sekolah berkenaan masih belum dimulakan bagi menampung keperluan pelajar daripada 16 sekolah rendah di sekitar kawasan pekan Nabalu.
Menurut Mohd. Puad, apabila siap sekolah itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti asrama pelajar, rumah guru dan padang permainan.
Dalam pada itu beliau berkata, langkah itu menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar dan sentiasa mengutamakan pendidikan di kawasan luar bandar.
Beliau memberitahu, kelewatan pembinaan sekolah berkenaan disebabkan kementerian terpaksa melakukan kajian dan penelitian terperinci bagi memastikan tapak sekolah yang terletak di kawasan berbukit bukau itu betul-betul selamat.
Sementara itu, Bumburing berkata, langkah tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan mendahulukan kepentingan rakyat sesuai dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Utusan Malaysia Online: 23 Ogos 2009
Sabtu, 22 Ogos 2009
Kenyataan Media: Isu 108 Pengetua Gred DG52 Diturunkan Pangkat
KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
SEBAGAI MAKLUM BALAS KEPADA BERITA MENGENAI MARUAH 108 ORANG PENGETUA GRED DG52 TERCALAR DITURUNKAN PANGKAT SEPERTIMANA YANG DILAPORKAN DI MUKA SURAT 19 AKHBAR BERITA HARIAN BERTARIKH 18 OGOS 2009
Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa saya telah diarah merujuk kepada laporan berita yang disiarkan di muka surat 19 akhbar Berita Harian pada 18 Ogos 2009 mengenai isu Maruah 108 Orang Pengetua Gred DG52 Tercalar Diturunkan Pangkat.
2. Untuk makluman tuan, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) menetapkan bahawa urusan pemangkuan sesuatu jawatan kenaikan pangkat hendaklah diisi oleh calon-calon yang telahpun diluluskan pemangkuan oleh LKPPP sahaja. Perkara ini dibuat sedemikian, bagi menentukan wujudnya kesaksamaan, keadilan dan tidak ada elemen pilih kasih dalam sesuatu urusan pemangkuan ke gred-gred kenaikan pangkat.
3. Walau bagaimanapun, adalah didapati seramai 108 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku sesuatu jawatan yang lebih tinggi daripada gred jawatan hakiki masing-masing telahpun ditempatkan ke jawatan-jawatan kenaikan pangkat berkenaan secara pentadbiran oleh pihak-pihak tertentu. Mereka yang terlibat adalah terdiri daripada 11 orang PPPS di Kementerian/IPGM, 4 orang PPPS di Jabatan Pelajaran Negeri, 7 orang PPPS di Pejabat Pelajaran Daerah dan bakinya seramai 86 orang adalah Pengetua Sekolah Menengah. Maklumat lanjut mengenai perkara ini adalah seperti di Lampiran A.
4. Apabila keadaan ini berlaku, ia telah menutup peluang calon-calon yang telahpun diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku jawatan-jawatan kenaikan pangkat kerana jawatan-jawatan tersebut telah diisi oleh pegawai-pegawai lain yang belum layak dan belum lagi diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Keadaan ini menyebabkan mereka yang telahpun diluluskan pemangkuan ke gred-gred kenaikan pangkat mencemuh Kementerian Pelajaran Malaysia bahawa urusan pemangkuan adalah tidak adil, tidak telus dan memberi keutamaan kepada kronisme. Sebagai contoh, 35 daripada 55 orang PPPS gred DG52 tidak boleh memangku jawatan DG54 kerana jawatan tersebut telah diisi oleh calon-calon yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Selain daripada itu, 466 daripada 781 orang PPPS Gred DG48 tidak dapat memangku jawatan Gred DG52 kerana jawatan tersebut juga telah diisi oleh calon-calon yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Malahan, terdapat seramai 2570 orang daripada 3413 orang PPPS DG44 yang telah diluluskan pemangkuan ke Gred DG48 tidak dapat memangku Gred DG48 kerana jawatan-jawatan berkenaan telah diisi oleh calon-calon yang tidak diluluskan pemangkuan oleh LKPPP.
5. Khusus untuk memperbetulkan kepincangan tersebut, satu kertas kerja telahpun dibentangkan di Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 9/2009 pada 24 Jun 2009. Setelah menimbangkan perkara tersebut dengan teliti dan terperinci, Mesyuarat Pengurusan KPM berkenaan memutuskan supaya 108 orang pegawai yang tidak layak menduduki jawatan-jawatan kenaikan pangkat kerana belum lagi dipertimbang dan diluluskan pemangkuan ke jawatan kenaikan pangkat oleh LKPPP itu ditempatkan kembali ke jawatan-jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing. Tindakan ini sama sekali tidak bermaksud untuk menurunkan pangkat mereka yang terlibat. Apa yang berlaku ialah mereka ditempatkan semula ke jawatan-jawatan yang setara dengan gred jawatan hakiki masing-masing. Selain daripada itu, KPM tidak boleh dan tidak pernah membayar elaun memangku jawatan kenaikan pangkat kepada mereka yang berkenaan kerana mereka belum lagi diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Justeru itu, penempatan semula mereka ke jawatan-jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing tidak akan melibatkan apa-apa kerugian kewangan kerana pada asasnya KPM tidak boleh membayar apa-apa elaun memangku kepada mereka. Dengan cara ini, barulah ia dapat memberi laluan kepada pegawai-pegawai yang telahpun diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku jawatan-jawatan kenaikan pangkat tersebut dan seterusnya menikmati pertambahan elaun kerana dibayar elaun memangku gred kenaikan pangkat oleh KPM.
6. Untuk makluman tuan, hanya Lembaga Tatatertib PPPS di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sahaja yang berkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang PPPS yang diambil prosiding tatatertib itu diturunkan pangkat atau dibuang kerja apabila terbukti bersalah. Dalam konteks ini, kesemua 108 PPPS yang terlibat tidak menghadapi apa-apa prosiding tatatertib. Justeru itu, isu yang mengatakan bahawa mereka telah diturunkan pangkat adalah tidak tepat dan mengelirukan sama sekali.
7. Berasas kepada keputusan Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 9/2009, saya selaku TKSU (Pengurusan) telahpun mengangkat memo bil. KP(PP)0089/81/6 (53) bertarikh 2 Julai 2009 kepada Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) bagi melaksanakan keputusan Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 9/2009 tersebut. Dalam hal ini Y. Bhg. Tan Sri Dato’ KPPM telahpun memberi persetujuan untuk melaksanakan perkara tersebut.
8. Dengan penjelasan-penjelasan di atas, tidak timbul sama sekali isu 108 orang PPPS termasuk Pengetua-Pengetua itu diturunkan pangkat mereka. Mereka hanyalah ditempatkan semula di jawatan-jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing. Kekosongan jawatan kenaikan pangkat yang ditinggalkan itu akan diisi oleh mereka yang telah layak dan telah diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Oleh itu, kenyataan bahawa ini merupakan serangan oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) terhadap warga pendidik dengan cuba merendahkan sumbangan guru adalah tidak tepat dan tidak berasas sama sekali. Ini kerana isu berkenaan telahpun dibincangkan di Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 9/2009 dan telahpun dipersetujui oleh Y. Bhg. Tan Sri Dato’ KPPM serta ketiga-tiga orang Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
9. Dalam hal ini, dukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia merasa terkilan di atas penyiaran berita yang mengandungi maklumat-maklumat yang kurang tepat sehingga boleh menjejaskan imej dan kredibiliti baik kementerian ini di kaca mata Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) khususnya dan kepada masyarakat umum amnya. Justeru itu, kerjasama tuan adalah dipohon untuk menyiarkan penjelasan-penjelasan yang diberikan di atas khusus untuk memurnikan kekeruhan yang berlaku akibat daripada penyiaran berita yang kurang tepat mengenai hal ini.
Sekian, terima kasih.
Jumaat, 21 Ogos 2009
Sekolah buntu atasi histeria
Segala usaha telah dilakukan termasuk mendapatkan khidmat ‘bomoh’ Islam namun kejadian mistik itu terus berlaku.
Pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Pulai dekat sini kini buntu untuk menyelesaikan kejadian histeria yang ‘menyerang’ sekolah itu.
Dalam kejadian terbaru, seorang guru perempuan turut diserang histeria.
Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Chuah Boon Seong berharap pihak yang mempunyai kemahiran menangani masalah histeria tampil menghulurkan bantuan.
“Kita harap kejadian itu tidak berulang dan para pelajar dapat belajar dengan tenteram,” katanya kepada pemberita semasa melawat sekolah terbabit di sini semalam.
Tambahnya, kejadian histeria yang berlaku telah menjejaskan pembelajaran pelajar sekolah terbabit terutama yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Beliau dimaklumkan bahawa pihak sekolah telah mengambil segala inisiatif termasuk memindahkan lokasi peperiksaan SPM di luar kawasan sekolah.
Menurut Boon Seong, beliau sendiri akan membawa perkara berkenaan ke peringkat atasan atau mendapatkan bantuan daripada pihak yang mampu menyelesaikan kejadian histeria itu.
“Saya berharap semua pihak yang mempunyai pengalaman dapat sama-sama membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Sementara usaha itu dilakukan, beliau berharap ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka dengan memberikan semangat dan nasihat agar mereka tetap ke sekolah seperti biasa.
Utusan Malaysia Online: 21 Ogos 2009
Naik tingkatan 4 mesti lulus PMR
KETIKA merasmikan Bulan Pencegahan Jenayah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta semua pihak memandang gejala ponteng dan gangsterisme sebagai perkara serius yang perlu ditangani oleh semua pihak.
Gejala ponteng bukanlah baru dalam arena pendidikan kerana ia berlaku sejak sekian lama.
Keadaan ini kian ketara akhir-akhir ini apabila kurangnya kawalan dan tindakan yang boleh diambil terhadap pelajar yang terlibat dalam gejala ponteng.
Malah dalam sesetengah situasi, pihak yang ingin mengambil tindakan, khususnya Guru Disiplin atau Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) perlu berfikir panjang bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini.
Kuasa guru di luar sekolah amat terbatas dan gejala ini sering ditimbulkan oleh pelajar yang memang sudah tidak berminat untuk belajar. Kelompok ini pula mampu mempengaruhi golongan 'pelajar baik' dan akhirnya memberikan kesan yang lebih besar kepada iklim persekolahan.
Sebelum membincangkan perkara ini kita harus mengenal pasti golongan manakah yang lebih banyak terlibat dalam gejala ini? Kebanyakan pelajar yang terlibat dalam salah laku ini adalah pelajar dari tingkatan empat dan lima.
Namun tidak dinafikan terdapat penglibatan pelajar tingkatan satu hingga tiga. Tetapi golongan ini mungkin 'kurang berani' atau 'masih bimbang' melakukan salah laku tersebut.
Sehubungan itu Kementerian Pelajaran perlu mengkaji adakah kewajaran pelajar yang berisiko atau yang sudah tidak berminat bersekolah dipaksa untuk datang dan kemudiannya memberikan masalah kepada sistem pendidikan kita?
Saya masih teringat sistem pendidikan pada era 80-an di mana pelajar yang tidak mencapai tahap ditetapkan dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) (kini Penilaian Menengah Rendah - PMR) tidak layak untuk naik ke tingkatan empat.
Saya melihat kesan kepada sistem ini adalah amat positif berbanding sistem sekarang yang membolehkan semua pelajar naik ke tingkatan empat secara automatik.
Sistem peperiksaan SRP dahulu lebih baik dilaksanakan semula untuk pelajar PMR bagi membendung pelajar yang lemah dan sudah tidak layak belajar terus 'dipaksa' melalui zaman persekolahan yang mengundang mereka melakukan gejala ponteng dan gangsterisme.
Kebanyakan mereka yang tidak layak berada di tingkatan empat banyak mencetuskan iklim persekolahan yang kurang kondusif dan menjejaskan tumpuan guru yang mengajar serta menimbulkan gangguan kepada pelajar yang masih bersemangat untuk belajar dan berjaya.
Sebelum mengembalikan semula sistem lama ini, Kementerian Pelajaran wajar menyediakan sekolah vokasional atau Pusat Latihan Giat Mara di setiap daerah agar pelajar yang tidak layak menaiki tingkatan empat berpeluang mempelajari kemahiran kerjaya untuk meneruskan impian mereka.
Adalah sangat malang jika mereka berada di tingkatan empat dan lima tetapi pada masa sama tidak mampu meneruskan persekolahan dan hanya menghabiskan masa dan wang ibu bapa.
Dalam hal ini kita wajar mencontohi sikap ibu bapa kaum Cina yang 'menamatkan' persekolahan anak mereka jika dilihat sudah tidak berminat, sebaliknya digalakkan bekerja dengan mana-mana pihak yang boleh membekalkan kemahiran dan menjamin masa depan yang jauh lebih baik berbanding graduan universiti yang menunggu dan mencari kerja.
Malah golongan ini berjaya mencipta kerja dan boleh berdikari berbanding mereka yang tidak mempunyai kemahiran.
Pelajar Melayu yang berada dalam lingkungan ini wajar diberikan perhatian dan peluang membina masa depan yang lebih terjamin dengan melalui sistem kemahiran semasa tingkatan empat dan lima di sekolah khas (vokasional kemahiran).
Saya percaya jika pelajar di tingkatan satu hingga tiga mengetahui akibat kegagalan di peringkat PMR peluang untuk berada di aliran akademik akan tertutup, mereka akan mempunyai fokus kepada pembelajaran bagi melayakkan naik ke tingkatan empat.
Jurang dan masalah ponteng serta masalah salah laku di kalangan pelajar di tingkatan satu hingga tiga juga boleh dikawal dan dikurangkan.
Dalam masa yang sama, usaha harus digerakkan bagi memerangi budaya ponteng yang mengundang pelbagai gejala yang menyebabkan pelbagai jenayah dilakukan oleh pelajar. Malahan kuasa dan bidang tugas Guru Disiplin juga wajar dinilai semula.
Sekolah berisiko perlu diberikan kelonggaran masa mengajar dan mungkin dilantik guru disiplin sepenuh masa bagi memberikan tumpuan mengawal masalah pelajar berisiko.
Kuala Nerang, Kedah
Utusan Malaysia Online: 21 Ogos 2009
Khamis, 20 Ogos 2009
Nafi 108 pengetua disingkir
Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusannya, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata apa yang terjadi adalah semua mereka adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang belum diluluskan pemangkuan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) untuk memangku sesuatu jawatan yang lebih tinggi daripada gred jawatan hakiki masing-masing.
“Apabila keadaan ini berlaku, ia menutup peluang calon yang sudah pun diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku jawatan kenaikan pangkat kerana jawatan itu sudah diisi oleh pegawai lain yang belum layak dan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Berita Harian Online: 20 Ogos 2009
Kementerian beri 5 alasan MBMMBI dilaksana pada 2012
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran semalam mengemukakan lima sebab bagi menjawab persoalan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan pada 2012, bukan pada 2010 seperti didesak beberapa pihak.
Lima alasan itu berkaitan penyediaan buku teks, menggubal kurikulum, latihan kepada guru, mengenal pasti buku rujukan yang sesuai dan menyediakan perkakasan seperti makmal Bahasa Inggeris (BI) yang mencukupi.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata tempoh yang panjang juga dapat memastikan segala kelemahan sewaktu pelaksanaan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak berulang.
"Kementerian Pelajaran memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyediakan segala keperluan seperti buku teks, kurikulum, latihan kepada guru, menambah jumlah guru, mengenal pasti buku rujukan yang sesuai dan lain-lain perkakasan seperti makmal BI.
"Tempoh yang panjang itu juga perlu bagi mengelakkan kecelaruan di kalangan pelajar kerana selama ini mereka mengikuti pengajian mengikut dasar PPSMI, selain memastikan guru benar-benar bersedia melaksanakan dasar baru ini," katanya pada sidang media mengenai hasil mesyuarat meja bulat panel MBMMBI di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu MBMMBI dilaksanakan tahun depan dan bukannya pada 2012 berikutan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI pada Julai lalu.
Mengenai dasar PPSMI, katanya, guru besar dan pengetua diminta memastikan guru terus melaksanakan dasar itu hingga 2012, sejajar keputusan Kabinet.
Beliau berkata, guru yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kerana melanggar dasar ditetapkan kerajaan.
"Guru besar dan pengetua perlu memantau keadaan kerana dasar PPSMI akan kekal sehingga 2012.
"Lagipun, perkara ini tidak sepatutnya berlaku (mengajar dalam BM) kerana sukatan pelajaran, perisian komputer dan buku teks subjek Sains dan Matematik masih dalam BI," katanya.
Mengulas tindakan sekolah mengadakan peperiksaan dalaman dalam BI, Alimuddin berkata, kebanyakannya membabitkan sekolah di kawasan bandar kerana sekolah di luar bandar selalunya memilih mengadakan peperiksaan dalaman dalam dwibahasa iaitu BM dan BI.
Berita Harian Online: 20 Ogos 2009
Guru bukan opsyen ajar bahasa Inggeris
Oleh Zabidi Hitam
zabidi@bharian.com.my
KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa sekitar 25,000 hingga 30,000 guru bukan opsyen mengajar bahasa Inggeris di sekolah sekarang.
Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng, berkata tindakan itu menyebabkan pelbagai masalah timbul, khususnya dari segi pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan.
Sehubungan itu, kesatuan itu menerusi seminar berkaitan dianjurkan di ibu negara selama dua hari berakhir kelmarin mengambil ketetapan hanya guru berkelayakan dibenarkan mengajar subjek antarabangsa itu.
“Kami dapati guru bukan opsyen dan tiada kelayakan kurang memberi komitmen ketika mengajar bahasa ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sambil menjelaskan latihan dua tahun untuk melatih guru berkenaan tidak mencukupi, beliau mencadangkan tempoh itu dipanjangkan dalam usaha mengeluarkan tenaga pengajar berkualiti.
Mengenai seminar disertai 75 pensyarah institut pendidikan guru serta guru itu bertujuan menyediakan memorandum bagi membantu memartabatkan bahasa Inggeris.
Katanya, seminar itu juga membuat ketetapan meminta kerajaan menyediakan makmal Bahasa Inggeris di setiap sekolah yang memfokuskan pelajar dan guru,” katanya.
Berita Harian Online: 20 Ogos 2009
60 sekolah tepati piawaian terima anugerah cemerlang
Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
TAHUN ini, 60 lagi sekolah di seluruh negara diberi Anugerah Sekolah Cemerlang yang turut menawarkan imbuhan dalam bentuk projek bernilai RM50,000 setiap satu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata penganugerahan mengikut 14 kategori itu berdasarkan kedudukan terbaik sekolah mencapai Taraf Cemerlang dan Gemilang serta memperoleh skor 80 peratus mengikut indeks pengukuran Standard Kualiti Pelajaran Malaysia.
Selain prestasi akademik dan kokurikulum, katanya, pemilihan sekolah menerima anugerah diperkenalkan sejak 2007 itu juga berdasarkan hala tuju kepimpinan, pengurusan organisasi, program pendidikan dan pencapaian murid.
“Anugerah ini akan diteruskan tahun depan dengan mengambil kira kriteria baru untuk memberi penghargaan kepada pengetua dan guru besar cemerlang dalam usaha melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan negara.
“Jumlah sekolah terpilih juga akan ditingkatkan kepada 100 dengan menambah kategori kecemerlangan menyeluruh.
“Langkah ini sejajar dengan usaha melonjak kecemerlangan institusi pendidikan negara dan matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” katanya pada majlis penyampaian anugerah itu di Universiti Putra Malaysia, Serdang, kelmarin.
Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang: Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
Mohd Puad menjelaskan pengiktirafan itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam menyediakan persekitaran pendidikan terbaik.
Usaha itu juga, katanya, memenuhi saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pendidikan yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama (KRA).
“Ia antara lain menetapkan kementerian meluaskan akses pendidikan dengan memastikan 89 peratus anak kita mendapat pendidikan prasekolah menjelang 2012 dan boleh membaca, menulis dan mengira di akhir tahap satu persekolahan,” katanya.
Berita Harian Online: 20 Ogos 2009
Kementerian akan bertindak
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 19 Ogos - Guru-guru yang didapati mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu sepenuhnya sebelum dasar pembelajaran dan pengajaran kedua-dua subjek itu diadakan dalam dwibahasa pada 2010, akan dikenakan tindakan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buat masa ini semua guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu masih perlu menggunakan bahasa Inggeris kerana buku teks dan perisian komputer adalah dalam bahasa itu.
''Pengetua dan Guru Besar diberi tanggungjawab memantau perkembangan ini kerana pemansuhan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya bermula 2012.
''Kita akan ambil tindakan terhadap guru dan pengetua yang ingkar kerana mereka tidak boleh langgar dasar kerajaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas rungutan segelintir ibu bapa yang mendakwa ada guru yang sudah mula mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.
Alimuddin menambah, guru-guru hanya dibenarkan mengajar dalam dwibahasa mulai 2010 memandangkan pada ketika itu buku-buku teks dalam bahasa Melayu sudah mula ada.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan dijadikan pusat pengkhususan Bahasa Inggeris bagi pra dan dalam perkhidmatan.
Ia membabitkan Institut Perguruan Malaysia, Kampus Bahasa Antarabangsa (IPBA), Kuala Lumpur; English Learning Teaching Centre (ELTC) Kuala Lumpur; IPGM Datuk Razali, Kuala Terengganu; IPGM Rajang, Sarawak dan IPGM Gaya di Sabah.
Ditanya mengenai status elaun kritikal yang diperoleh guru-guru Sains dan Matematik selepas pemansuhan PPSMI, beliau berkata, perkara itu masih belum dibincangkan lagi.
Mengulas mengenai wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), Alimuddin berkata, guru-guru perlu memeriksa suhu badan pelajar sebelum sesi pembelajaran dan pengajaran pertama bermula.
''Jika terdapat simptom demam melebihi 38 darjah celsius, batuk dan selesema, mereka perlu menghantar terus pelajar ke klinik atau hospital," katanya.
Menurutnya, Kementerian Pelajaran sedang memohon peruntukan tambahan untuk membeli penutup mulut dan hidung, alat pengesan suhu badan dan cecair pembasmi kuman.
Utusan Malaysia Online: 20 Ogos 2009
Rasional KPLI hanya setahun
sab@hmetro.com.my
WAJAR atau tidak? Itulah persoalan yang timbul apabila Kementerian Pelajaran bercadang untuk memanjangkan tempoh berkursus bagi program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dari setahun kepada 18 bulan.
Sejak isu berkenaan dipaparkan di akhbar, pelbagai pihak memberikan reaksi mengenai langkah kementerian itu untuk memanjangkan jangka masa berkursus semata-mata bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
Bagi pelajar yang sedang mengikuti kursus berkenaan di maktab seluruh negara, hanya perkataan syukur dapat diucapkan kerana tidak perlu mengikuti tempoh berkursus yang lama sebelum dianugerahi sijil.
Namun, tidak pula bagi graduan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang baru menamatkan pengajian dan sedang ‘mencongak-congak’ untuk memilih profesion perguruan sebagai kerjaya utama.
Ada kalangan warga pendidik menganggap tempoh berkenaan sesuai bagi menjadikan seseorang guru lebih matang dalam mendidik anak bangsa supaya misi dan visi pendidikan tercapai.
Tidak kurang pula yang menyalahkan pelajar kerana memilih profesion perguruan bukan kerana minat atau mahu mendidik anak bangsa, tetapi sekadar seronok bekerja makan gaji.
Meskipun dua perkara ini sedikit sebanyak menjatuhkan martabat perguruan, tetapi sikap ‘menghukum’ pelajar yang mengikuti kursus itu tidak seharusnya berlaku kerana mereka sudah melakukan tugasan dengan sebaik mungkin.
Sebaliknya, kita perlu melihat dan menilai bebanan yang terpaksa ditanggung pelajar apabila dikehendaki mengikut modul ditetapkan kementerian, selain berdepan dengan birokrasi sekolah sehingga menyebabkan mereka dalam keadaan dilema.
Sedar atau tidak, bukan semua pelajar KPLI yang mengikuti kursus di maktab perguruan akan mengajar mata pelajaran sama sejurus menamatkan pengajian dan memasuki alam pengajaran di sekolah.
Inilah yang harus kita fikirkan sebelum menuduh kononnya pelajar lepasan KPLI tidak berkualiti dan mahu bekerja mudah dengan makan gaji untuk menceburi profesion perguruan.
Senario ini kita dapat lihat di kebanyakan sekolah di negara ini, apabila guru yang baru ditempatkan di sekolah yang diarahkan untuk mengajar subjek yang berada di luar kemampuan mereka atau luar bidang.
Isu berkenaan tidak wajar dipandang ringan. Mengalihkan tanggungjawab semata-mata untuk menggantikan kekosongan guru akibat bertukar sekolah ataupun guru cuti bersalin dalam jangka masa panjang bukan alasan tepat.
Keadaan ini tidak ketara di sekolah kawasan bandar, tetapi berbeza kepada sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman sehingga memaksa guru lain menjadi ‘guru ganti’.
Mungkin bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian KPLI dari setahun kepada 18 bulan perlu dinilai secara mendalam.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata tempoh setahun sudah memadai kerana pelatih terbabit sebelum ini sudah menghabiskan masa empat tahun di universiti.
“Jika kita fikir secara logik mereka sudah belajar bertahun-tahun di universiti. Kalau dicampur dengan tempoh belajar pada peringkat KPLI jika ia dilanjutkan, hampir enam tahun baru mereka dapat merasa gaji,” katanya.
Hashim sebaliknya mencadangkan supaya tempoh latihan praktikal dilanjutkan berbanding tiga bulan sekarang.
Beliau juga mencadangkan sistem pengambilan ke KPLI diperkemaskan untuk memastikan hanya pelajar betul-betul berminat menjadi guru.
“Saya mencadangkan supaya kementerian mengadakan minggu suai kenal selama dua minggu bagi memberi ruang kepada pelajar untuk menarik diri daripada menyertai KPLI jika berasakan tidak sesuai untuk berkhidmat sebagai guru.
“Sistem ini diguna pakai bagi pengambilan kadet anggota tentera dan polis. Jika yang terpilih semua terhadap profesion keguruan, maka kerajaan tidak akan rugi dan mereka pun cepat dapat berkhidmat,” katanya.
Perkara itu turut dipersetujui Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, yang berpendapat tempoh setahun pengajian KPLI sudah memadai.
Aminah bersetuju jika tempoh praktikal pelajar KPLI dilanjutkan bagi memberi pendedahan sewajarnya kepada bakal guru.
“Apa yang penting adalah kandungan dan penyampaian pedagogi dengan sempurna, pembelajaran secara mikro serta latihan tiga bulan di sekolah dapat membantu mereka menjadi guru berkualiti,” katanya.
Falsafah pendidikan dengan jelas mahu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani dan jasmani.
Meskipun Bahagian Pendidikan Guru (BPG) kini pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu dan paling awal ia akan dilaksanakan pada pengambilan Januari depan, namun kajian menyeluruh termasuk kebajikan bakal guru KPLI perlu diberi perhatian wajar.
Memantapkan lagi profesion perguruan terutama membabitkan graduan lepasan universiti adalah cadangan baik untuk memastikan guru menguasai pedagogi pendidikan yang menjadi teras kursus.
Lagipun mereka yang terpilih untuk mengikuti kursus KPLI bukan calang-calang individu kerana sudah melalui pelbagai proses tapisan berperingkat termasuk permohonan secara dalam talian, ujian bertulis dan temu duga.
Berdasarkan rekod untuk pengambilan sesi Jun lalu saja, Kementerian Pelajaran menerima 68,000 permohonan daripada siswazah untuk mengikuti KPLI dan hanya 1,984 tempat disediakan untuk kursus KPLI di 27 institut pendidikan guru di seluruh negara.
Persoalannya, mengapa isu berkaitan kualiti guru KPLI dipersoalkan sekarang ini dan berbangkit apabila graduan sulung Program Perguruan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) yang mengikuti kursus lima tahun dilahirkan?
Mungkinkah kepantasan tempoh pembelajaran guru lepasan KPLI dan berkedudukan gred DG41 menyebabkan mereka menjadi mangsa guru lama yang iri hati berikutan berada pada gred DG29 dan DG32?
Menyalahkan dan mengubah tempoh KPLI bukan penyelesaian terbaik, tetapi bagaimana sukatan pelajaran disampaikan kepada golongan terbabit, selain mengurangkan bebanan ketika mereka di Institut Perguruan Guru (IPG).
Bebanan di sini, bukan saja terhadap sukatan pelajaran disediakan, tetapi aktiviti seharian yang begitu padat dari pagi hingga ke petang termasuk aktiviti kokurikulum dan perkhemahan.
Jangan hanya kerana nyamuk, kelambu dibakar dan hanya sebab nila setitik, rosak susu sebelanga sebelum akhirnya yang sengsara guru lepasan KPLI kerana berada dalam dilema mendidik anak bangsa dan faktor sekeliling.
Guru ibarat lilin yang membakar diri bagi menerangi orang lain dan mereka inilah yang akan mencorakkan masa depan negara dalam melahirkan modal insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani dan jasmani.
myMetro: 20 Ogos 2009
Rabu, 19 Ogos 2009
Sayangi Sekolah: Strategi berkesan
Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
CALON UPSR mengikuti Bengkel Teknik Menjawab Soalan, satu daripada program akademik dilaksanakan SKJ3. |
SKJ3 tubuh Think Tank Group rancang kecemerlangan akademik, kokurikulum
IDEA penubuhan Think Tank Group (TTG) sebagai perancang kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Jalan 3 (SKJ3), Bandar Baru Bangi, Selangor, berhasil apabila pencapaian akademik dan kokurikulum sekolah itu terus meningkat.
Dicetuskan Guru Besarnya, Siti Rozita Yahya, kumpulan ditubuhkan pada 2005 itu dianggotai 34 ahli yang bertanggungjawab merancang segala aktiviti sekolah berkenaan.
Di bawah TTG, tiga guru berkelayakan dilantik sebagai ketua penyelaras bagi membantu atau memangku tugas ketika ketiadaan guru penolong kanan, selain 28 guru perancang induk berdasarkan kepakaran masing-masing.
Siti Rozita berkata, semua ahli termasuk beliau sendiri mempunyai komitmen memastikan pelaksanaan strategi dan perancangan sekolah dapat direalisasikan setiap tahun.
"Sebagai ketua, saya yakin sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah yang sistematik dapat membantu bukan saja mengekal, malah meningkatkan lagi reputasi kecemerlangan sekolah.
"Malah dengan struktur organisasi TTG, strategi dan perancangan sekolah dapat direncanakan dengan bijak, selain memupuk budaya kerja cemerlang di kalangan guru," katanya kepada Berita Harian.
Setakat ini, beliau menjelaskan, pelbagai kejayaan diraih sekolah itu, antaranya pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam semua subjek melebihi 90 peratus sejak penubuhannya pada 1996.
Siti Rozita berkata, penguasaan murid SKJ3 dalam aktiviti kokurikulum khususnya permainan hoki dan bola tampar juga semakin menyerlah hingga ada yang mewakili pasukan kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut, sejak 2006.
"Terbaru, pengiktirafan SKJ3 sebagai Sekolah Kluster fasa ketiga pada April lalu, pencapaian tertinggi sekolah ini.
"Pengiktirafan ini menguatkan lagi keazaman dan semangat kami untuk terus berusaha melonjakkan kecemerlangan pada masa depan.
"Tumpuan akan diberikan kepada lima bidang kebitaraan, iaitu bahasa Inggeris, unit beruniform, hoki dan bola tampar serta kompang berirama," katanya.
Beliau berkata, peruntukan khas Sekolah Kluster yang bakal diterima daripada Kementerian Pelajaran akan dimanfaat bagi menambah baik kelengkapan dan prasarana berdasarkan bidang kebitaraan sekolah.
Siti Rozita berkata, pihaknya juga merancang untuk membina Makmal Bahasa Inggeris dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi memandangkan sekolah itu belum mempunyai kemudahan Pusat Akses dan makmal komputer lengkap bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran bahasa antarabangsa itu.
"Peruntukan sama akan digunakan bagi membaik pulih padang hoki dan gelanggang bola tampar sedia ada, selain mendapatkan khidmat jurulatih berkelayakan bagi melahirkan pemain muda berkebolehan.
"Kami juga tidak mengetepikan kepentingan peranan ibu bapa yang turut sama menyalurkan sumbangan dan kepakaran bagi membantu kejayaan sekolah ini," katanya.
INFO: Pencapaian Akademik dan Kokurikulum SKJ3
- Anugerah Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling Negeri Selangor 2005
- Johan Pertandingan Kompang Berirama Peringkat Kebangsaan 2009
- Wakil pasukan Hoki Kebangsaan tiga tahun berturut-turut sejak 2006
- Pemenang Utama Pertandingan Haiku Kanak-kanak Sedunia Japanese Airlines 2008
- Penerima Sijil Emas Pencapaian Akademik Terbaik peringkat Pejabat Pelajaran Daerah 1999 dan 2000
- Tersenarai antara lima sekolah terbaik UPSR peringkat Negeri Selangor 2008