Rabu, 12 Ogos 2009

H1N1: SK Seksyen 7 diarah tutup seminggu

SHAH ALAM 11 Ogos - Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, di sini diarahkan tutup selama seminggu berikutan tujuh pelajarnya disyaki mengalami tanda-tanda infuenza A (H1N1).

Menurut seorang bapa kepada pelajar sekolah berkenaan, arahan tersebut dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada guru-guru serta pelajarnya pada sesi petang persekolahan kira-kira pukul 5 petang ini.

Beliau yang enggan dikenali itu berkata, pihak sekolah berkenaan turut menggantung notis tutup pada pintu pagar utama mulai esok sehingga 19 Ogos ini.

Katanya lagi, kesemua pelajar yang dikesan mengidap simptom virus berkenaan adalah terdiri daripada lima pelajar sesi persekolahan pagi manakala dua lagi pada sesi petang.

Malah jelas beliau, kebanyakan pelajar mengadu mengalami demam, selesema dan batuk selepas sesi persekolahan bermula baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran negeri, Dr. Zahri Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun katanya, setakat ini beliau masih belum mendapatkan jumlah sebenar pelajar sekolah terbabit yang disyaki dijangkiti virus berkenaan.

"Kita memang tutup sekolah berkenaan untuk tempoh seminggu bagi membendung penularan wabak berkenaan.

"Namun, kita dari semasa ke semasa akan mendapatkan khidmat serta kerjasama Jabatan Kesihatan negeri bagi memastikan sekolah bebas daripada virus itu," katanya.

Setakat ini, sekolah terbabit mempunyai 1,000 orang pelajar yang terdiri daripada sesi pagi dan petang.

Utusan Malaysia Online: 12 Ogos 2009

Tiada ulasan: