Rabu, 19 Ogos 2009

Sekolah atur program kemerdekaan

MARAN 18 Ogos - Pelbagai cara digunakan untuk memupuk semangat patriotik di kalangan generasi muda menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.

Bagi Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 18 dekat sini, warga sekolah tersebut mengatur pelbagai program bagi memeriahkan sambutan hari bersejarah itu.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah itu, Narimah Hanom Abu Hassan berkata, antara aktiviti yang disusun di sekolah itu termasuk pertandingan menghias basikal dan bilik darjah dengan elemen-elemen patriotisme.

Pertandingan itu, kata beliau, menyerlahkan kreativiti murid-murid sekolah itu sekali gus menonjolkan semangat patriotik yang tertanam dalam jiwa mereka.

''Antara pertandingan yang mendapat sambutan hebat di kalangan murid lelaki dan perempuan ialah menghias basikal,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sharifah Khatijah Syed Yang berkata, aktiviti lain adalah melukis dan mewarna bagi murid prasekolah dan tahun satu, pertandingan mendeklamasi sajak dan pertandingan lagu-lagu patriotik.

Menurutnya, sambutan bulan kemerdekaan merupakan acara tahunan sekolah itu bertujuan merangsang minda murid supaya sentiasa mengamalkan prinsip Rukun Negara.

Sementara itu, Guru Besar sekolah itu, Asiah Mustaffa memberitahu, sepanjang sambutan bulan kemerdekaan itu, pelbagai program diatur seperti deklamasi sajak pada perhimpunan pagi dan tazkirah kemerdekaan.

Jelas beliau, aktiviti sedemikian bertujuan memupuk semangat sayangkan negara dalam jiwa kanak-kanak supaya terus subur sehingga dewasa.

Katanya, kanak-kanak perlu dididik menyayangi bangsa, agama dan tanah air supaya semangat itu kekal tertanam di jiwa mereka hingga ke akhir hayat.

''Kita mahu mereka menjadi warganegara bermaruah dan sentiasa bersedia mempertahankan negara daripada ancaman musuh,'' tegasnya.

Utusan Malaysia Online: 19 Ogos 2009

Tiada ulasan: