Ahad, 16 Ogos 2009

Belum ada pengetua tutup sekolah

KUALA LUMPUR: Belum ada pengetua atau guru besar mengambil keputusan menutup sekolah bagi menangani penularan Influenza A (H1N1) walaupun kadar kes jangkitan meningkat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata setakat ini belum ada sekolah ditutup berikutan penularan wabak itu di mana-mana negeri.

“Pengetua atau guru besar memang diberi kuasa membuat keputusan itu (penutupan sekolah) selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan, tetapi setakat ini tiada yang berbuat demikian,” katanya selepas merasmikan mesyuarat tahunan majlis ke-54 Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM, Datuk Omar Mohd Hashim.

Dr Mohd Puad berkata, bagi menangani penularan wabak itu, ibu bapa perlu memantau kesihatan anak mereka.

“Jika mereka dapati anak mempunyai simptom H1N1 walaupun hanya demam biasa, jangan benarkan mereka ke sekolah. Ini penting bagi memastikan wabak itu tidak berjangkit kepada murid lain,” katanya.

myMetro: 16 Ogos 2009

Tiada ulasan: