Selasa, 29 September 2009

Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan meriah

KLANG – Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Muzik dan Sivik Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi (SKBT) di sini, semalam diadakan dengan cukup meriah.

Penyelarasnya, Noraidah Ahmad Ahya berkata, majlis tersebut bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara ke-52 yang lalu dan warga sekolah didedahkan dengan pelbagai aktiviti patriotik sepanjang ia berlangsung.

Menurutnya, perpaduan dan semangat muhibah perlu dipupuk sejak di peringkat sekolah rendah lagi dan dengan mengadakan pelbagai pertandingan patriotik semangat tersebut akan terus dapat disemarakkan.

“Terdapat beberapa pertandingan yang disediakan kepada semua murid baik tahap satu dan dua untuk bersama-sama menyertainya.

“Antaranya termasuk pertandingan mewarna patriotik, melukis poster, pakaian patriotik, nyanyian koir dan juga solo patriotik,” katanya.

Selain itu berkata, pembacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Aminuddin Mohd Dom untuk Hari Kebangsaan ke-52 disampaikan Guru Penolong Kanan (GPK) Kurikulum, Abd Majid Ismail manakala perutusan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pula disampaikan oleh GPK Kokurikulum, Abdullah Butun.

“Sementara itu, majlis perasmian penutupan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 peringkat sekolah ini dirasmikan oleh Guru Besar, Abas Bohilan,” katanya.

Noraidah berkata, majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian koir lagu patriotik daripada murid tahap satu, nyayian solo murid tahap dua dan juga pakaian patriotik tahap satu.

“Terdapat juga nyanyian beramai-ramai lagu ‘Budi Bahasa Budaya Kita’, ‘Pada Mu Malaysia’, ‘Tanggal 31 Ogos’ dan juga bacaan Rukun Negara selain daripada tayangan video kemerdekaan” katanya.

Antara lain katnaya, matlamat majlis tersebut untuk menanamkan semangat perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum dan anutan agama agar lebih mesra serta bekerjasama tanpa prejudis.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan motivasi belajar dengan semangat patriotik selain dapat menggalakkan mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum bersatu dalam membentuk kumpulan untuk menguatkan integrasi nasional,” katanya.

Sinar Harian: 29 September 2009

Tiada ulasan: