Sabtu, 12 September 2009

Soalan online tingkat prestasi





KUALA TERENGGANU - Kemudahan menjawab soalan secara ‘online’ yang dibekalkan kepada setiap sekolah di negeri ini sangat berkesan untuk memperoleh bekalan soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pengerusi Panitia Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Rengas Bekah, Wan Azmi Wan Mohd berkata, ia lebih dikenali sebagai Zon A yang memuatkan pelbagai jenis soalan mengikut tahap tertentu.

Setiap murid dikehendaki membayar yuran sebanyak RM10 untuk tempoh setahun bagi menggunakan perkhidmatan ini dan menikmati pelbagai kemudahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dengan kata laluan dan ciri keselamatan canggih, sistem zon itu dapat meningkatkan kefahaman pelajar dalam sesuatu subjek.

Beliau berkata, dalam Zon A, terdapat lima subjek yang disediakan kepada murid iaitu Bahasa Melayu yang merangkumi dua bahagian iaitu pemahaman dan penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Murid dapat memilih tahap soalan yang mereka kehendaki bagi memudahkan kefahaman dalam sesuatu subjek yang dipelajari.

“Dengan menggunakan kemudahan ini, murid juga diberi penjelasan mendalam terhadap jawapan sebenar setiap soalan diberikan,” katanya.

Azmi berkata, kemuda-han yang diberikan sangat berkesan dan murid tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada guru kerana mereka boleh mendapatkan soalan secara terus melalui zon berkenaan.

Menurutnya, antara soalan yang dimuatkan adalah soalan ramalan yang dijangka dikeluarkan dalam peperiksaan sebenar, sekali gus memudahkan murid menjawab soalan.

“Selain itu, dalam zon berkenaan juga, murid turut didedahkan dengan pelbagai info terkini mengenai pendidikan yang dapat meluaskan pengetahuan mereka.

“Setiap murid harus memanfaatkan kemudahan diberikan kerana pihak sekolah pasti mahu melihat mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR,” katanya.

Sinar Harian: 13 September 2009

Tiada ulasan: