Rabu, 16 September 2009

Johor: Sekolah Kita: Tiga sekolah raih hadiah cemerlang

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Kementerian Pelajaran iktiraf pencapaian keputusan akademik terbaik

MUAR: Tiga sekolah di Johor diumumkan sebagai antara pemenang Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) Kementerian Pelajaran, sekali gus memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua warga sekolah berkenaan yang berjaya mencapai kualiti secara menyeluruh.

Pengetua kanan Sekolah Tinggi Muar (STM), Latifah Hamdan berkata, STM menerima ASC bagi kategori Menengah Harian Bandar.

Sekolah Maahad Muar dipilih memenangi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama /Sekolah Agama, dan Sekolah Teknik (ERT) Azizah, Johor Bahru pula bagi kategori Sekolah Menengah Teknik.

Pada tahun ini, 60 sekolah di seluruh negara diberi ASC yang turut menawarkan imbuhan dalam bentuk projek bernilai RM50,000 dengan setiap penganugerahan mengikut 14 kategori berdasarkan kedudukan terbaik sekolah mencapai Taraf Cemerlang dan Gemilang serta memperoleh skor 80 peratus mengikut indeks pengukuran Standard Kualiti Pelajaran Malaysia.

Latifah berkata, selain prestasi akademik dan kokurikulum, pemilihan sekolah menerima anugerah yang diperkenalkan sejak 2007 itu juga berdasarkan hala tuju kepimpinan, pengurusan organisasi, program pendidikan dan pencapaian murid.

Penganugerahan sekolah itu juga katanya, berpegang kepada konsep penambahbaikan yang berterusan selaras dengan misi kementerian untuk membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia.

ASC itu bertujuan memberi peluang kepada lebih banyak sekolah untuk menerima penghargaan atas usaha mempertingkatkan kualiti masing-masing ke arah kecemerlangan pendidikan negara dan menjadi anugerah secara berpasukan kepada seluruh warga sekolah terbabit.

Kejayaan itu usaha kerjasama semua pihak yang memerlukan kesungguhan yang tinggi menjadikan pertimbangan untuk memilih pemenang perlu mengambil kira daya usaha dan prestasi sekolah bagi beberapa tahun sebelum penilaian dibuat kerana kejayaan mencapai kecemerlangan pendidikan bukan satu usaha yang boleh dilakukan dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan tempoh yang panjang serta berterusan.

Langkah memberikan ASC itu memberi peluang kepada kementerian untuk mengenal pasti model sekolah bagi kategori berbeza yang dapat menjadi contoh kepada sekolah lain dan turut menjadi penanda aras kejayaan.

Selain itu penganugerahan itu juga diharap dapat memberi dorongan kepada warga sekolah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan memupuk semangat kerjasama serta memberi pengiktirafan secara berpasukan terhadap sumbangan semua warganya dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Tiada ulasan: