Isnin, 31 Januari 2011

Laporan Khas: Murid Tahun Satu tiada masalah pelajari reproduktif manusia

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar, Mohd Idris Sulaiman, Hazwan Faisal Mohamad dan Shah Che Ahmad upen@bharian.com.my

2011/01/30

Perancangan rapi mudahkan pelaksanaan KSSR

SELEPAS empat minggu sesi baru persekolahan bermula, pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berjalan lancar. Tinjauan Berita Harian di beberapa sekolah dan makluman Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menunjukkan tidak banyak rungutan sama ada daripada guru, murid atau ibu bapa.

Ini berikutan perancangan teliti Kementerian Pelajaran ketika menggubal, melatih guru dan melaksanakan sukatan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif itu.
Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya juga tidak menerima aduan mengenai pelaksanaan KSSR, setakat ini.

Namun, katanya, ada penjaga mempersoal tindakan sesetengah sekolah yang hanya menawarkan satu mata pelajaran elektif iaitu Bahasa Arab menyebabkan murid tiada pilihan.

“Secara idealnya, murid keturunan India atau Cina berhak mempelajari bahasa ibunda mereka. Pengenalan subjek elektif bahasa juga menggalakkan ibu bapa India dan Cina menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ini baik untuk perpaduan,” katanya.

Antara elemen baru yang dimasukkan dalam KSSR ialah Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial dalam subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga).
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan, Perak, Rosnaini Hashim, berkata elemen perkembangan manusia itu bermaksud pendedahan mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia manakala perhubungan (sosial) mendedahkan sifat kasih sayang dan persahabatan.

Katanya, pendedahan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa turut diajar kepada murid, manakala kebolehan untuk membuat keputusan pula menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

“Kesihatan dan tingkah laku seksual menyentuh amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelak hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh isu seks dan masyarakat. Hal berkaitan perundangan turut diberi penekanan.

“Stigma masyarakat yang menganggap pendidikan seks tidak sesuai untuk golongan bawah umur harus dikikis supaya pemahaman asas itu dapat diserap kanak-kanak seterusnya mendidik mereka dengan betul,” katanya.

Rosnaini berkata, pendedahan awal seperti ini perlu bagi perkembangan mental kanak-kanak agar mereka membesar dengan pengetahuan penting yang diperlukan dan seterusnya mampu menghindari mereka daripada gejala sosial.

Beliau berkata, guru yang terbabit untuk pengajaran subjek berkenaan diberi kursus, manakala bahan pengajaran disediakan bagi memudahkan murid.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata topik Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial dalam KSSR berjaya mengurangkan kegusaran ibu bapa yang sebelum dikatakan menentang pendidikan seks di sekolah.

“Ibu bapa diberi persediaan mental bahawa elemen ini bukan mengajar seks tetapi lebih kepada aspek kesihatan diri dan sosial,” katanya.

Menyokong dasar pendidikan baru itu, Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata KSSR bersifat lebih menyeluruh daripada sukatan kurikulum sebelum ini kerana KSSR bukan saja cuba menerapkan aspek pendidikan akademik, malah kemahiran dan penaakulan maklumat.

KSSR, katanya, sesuai dengan murid yang kini lebih aktif dan pintar di samping bersemangat untuk belajar.

“KSSR merangkumi semua aspek pembelajaran, selain memastikan kecemerlangan murid dalam pendidikan. Kurikulum terbaru ini turut melatih kemahiran insaniah murid sejak kecil.

“Sesetengah masa mata pelajaran kelas dikurangkan manakala diselitkan dengan subjek berbentuk kemahiran,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini .

Beliau berkata, sukatan kemahiran yang diperkenalkan dalam KSSR termasuk komunikasi, Sains dan Teknologi, kerohanian, kemanusiaan, ketrampilan diri dan perkembangan fizikal.

Zarina berkata, murid didedahkan dengan asas teknologi maklumat (IT) dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi bagi membuka minda mereka celik IT dan berfikiran lebih saintifik manakala tambahan penghayatan amalan agama, sikap dan nilai dalam subjek keterampilan diri.

“Murid berpeluang memilih bahasa diminati sama ada Bahasa Cina, Tamil dan Arab dalam subjek elektif bagi penguasaan bahasa dalam kemahiran berkomunikasi,” katanya.

Zarina berkata, hampir semua guru Tahun Satu sekolah itu menghadiri kursus KSSR anjuran Kementerian Pelajaran tahun lalu.

Berita Harian Online: 31 Januari 2011

KSSR kurangkan tekanan peperiksaan, bina modal insan berkesan

2011/01/30

KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global.

KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan.

Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu menaakul menjadikannya 4M.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri, Saadun Kasim, berkata KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan seumur hidup.

Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kurikulum itu turut bersandarkan enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai.

Pembaharuan lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan.
Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat.

Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.

Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.

Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini.

Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran.
Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah.

Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.

Portfolio adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya.

Dokumen ini dibahagikan kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran.

Portfolio perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa, membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai.

Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid.

Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk pemberian penghargaan.

Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong Oi Lai, berkata pendekatan baru ini membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan dan teratur.

Katanya, portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya.

“Pengukuran tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam.

“Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali,” katanya.

Beliau berkata, band satu peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya.

Ia memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam kebolehan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan mereka.

Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata walaupun ujian bertulis masih dijalankan seperti dulu, proses penilaian KSSR mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan yang ditonjolkan murid dalam kelas.

“Guru perlu memahami etika perguruan, jujur dalam tugas dan tidak boleh melebihkan murid tertentu demi kepentingan peribadi,” katanya mengulas mengenai kaedah penilaian murid.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Damansara, Datuk Mohd Nadzli Othman, berkata, oleh sebab sebahagian proses penilaian dilakukan oleh sekolah, murid akan berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka.

Katanya, mereka akan bersaing dengan murid lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka.

Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR bermula tahun ini membabitkan murid Tahun Satu adalah inisiatif memperkasa modal insan negara.

Berita Harian Online: 31 Januari 2011

Muhyiddin lancar majalah Guru



MUHYIDDIN Yassin membelek-belek isi kandungan majalah Guru di Pagoh, Johor, baru-baru ini.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan majalah Guru di Pagoh, Johor baru-baru ini.

Majalah bulanan itu diterbitkan oleh anak syarikat Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) iaitu YGMB Intelek Sdn. Bhd.

Beberapa orang guru yang ditemui menyifatkan majalah Guru bakal menambah koleksi bacaan di sekolah selain yang sedia ada di pasaran.

Mohamad Fitri Abdullah, 46, berkata kelahiran majalah Guru ini tepat pada masanya ketika golongan pendidik memerlukan wadah untuk berpaut dan seterusnya berpayung daripada dunia pendidikan yang kian mencabar.

"Saya mencadangkan Guru pada edisi akan datang memaparkan lebih banyak berita tentang teknik penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah," katanya.

Sulaiman Manan, 30, memuji langkah yang diambil oleh YGMB, dan menyifatkan yayasan itu telah menunjukkan kematangannya apabila menerbitkan majalah berkenaan.

"YGMB juga telah menambah khazanah bacaan di kalangan pendidik. Kita berharap golongan guru dapat memanfaatkan sepenuhnya akan kewujudan majalah ini," katanya.

Majalah Guru menampilkan ciri majalah-berita, iaitu bahan yang berorientasikan semasa, yang diharapkan dapat menjadi wacana rujukan kepada guru ketika berhadapan dengan situasi mencabar.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Markom Giran mahu semua guru di negeri itu mendaftar sebagai ahli YGMB dan ahli Koperasi YGMB sebagai tanda sokongan kepada yayasan 'daripada guru untuk guru' itu, yang kini diterajui oleh Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

"Saya mengharapkan guru di Johor menjadi ahli. Kita beri sokongan kepada YGMB," katanya semasa Program Bangkit Guru Untuk Negara (B-GUN), di Pagoh baru-baru ini.

YGMB memberi sumbangan kebajikan melalui produk baru iaitu meningkatkan jumlah sumbangan khairat kematian, melanjutkan pelajaran, rawatan perubatan, kemalangan, malapetaka, perkahwinan, persaraan dan melahirkan anak.

Maklumat lanjut boleh dirujuk melalui www.ygmb.com.my

Utusan Malaysia Online: 31 Januari 2011

Sabtu, 29 Januari 2011

Murid dirotan trauma ke sekolah





KUALA TERENGGANU 28 Jan. - Seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Kuala Besut cedera di belakang badannya akibat dirotan oleh gurunya di sekolah itu kelmarin.

Akibat dua kali dirotan, terdapat dua kesan birat pada belakang Wan Mohd. Faris Wan Zukri, 10, dan sejurus dipukul, mangsa terkencing di dalam kelasnya kerana kesakitan.

Kejadian dikatakan bermula apabila mangsa selesai menduduki satu ujian di dalam kelasnya sebelum menyerahkan kertas ujian tersebut kepada guru terbabit.

Menurut Wan Mohd. Faris, ketika menuju semula ke tempat duduknya, dia menjenguk seorang rakannya yang sedang menjawab kertas ujian itu sebelum disedari guru berkenaan.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba cikgu meluru ke arah saya dan terus rotan. Dia tanya sama ada saya sakit atau tak. Belum sempat saya jawab, dia rotan sekali lagi," katanya ketika dihubungi di Kuala Besut hari ini.

Menurutnya, dia yang kesakitan akibat dirotan kemudian dibantu guru kelas menyapu ubat pada kesan luka di belakangnya sebelum kes itu dirujuk kepada guru besar.

Berikutan kejadian itu, mangsa kini trauma untuk kembali ke sekolah dan masih terkejut selain mengalami kesakitan akibat dirotan guru terbabit.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Zakiah Kauzi, 41, berkata, semasa dia tiba di sekolah kira-kira pukul 1 petang hari kejadian, muka anaknya kelihatan pucat kerana dipercayai terkejut dengan kejadian itu.

"Saya terus bawa anak saya ke Hospital Besut untuk rawatan sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu," katanya.

Menurut Zakiah, berikutan kejadian itu, Wan Mohd. Faris enggan ke sekolah dan masih trauma dengan kejadian yang menimpanya.

Dia turut kesal dengan tindakan guru terbabit yang bertindak sedemikian tanpa usul periksa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan ketakutan.

"Saya tak kisah kalau guru nak tegur atau ajar anak saya tapi jangan sampai mencederakannya," ujarnya.

Utusan Malaysia Online:29 Januari 2011

Jumaat, 28 Januari 2011

Suami Normala sakit kritikal?



Maarof Abd. Mutalib (kiri) membantu isterinya, Normala Sudirman berkempen bagi Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di Kampung Tenang, Labis, Johor, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Jan. - Status kesihatan Maarof Abd. Mutalib, suami kepada Normala Sudirman calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, menjadi persoalan kerana beliau dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Perkara itu didedahkan menerusi sebuah blog, http://marahku.blogspot.com/ yang mendakwa Maarof mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat, Labis, Johor.

Ia diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh dari pusat kesihatan sama.

Ketiga-tiga salinan surat sakit yang dikeluarkan kepada Maarof itu turut dimuat naik ke dalam blog tersebut menerusi entri bertajuk 'PRK Tenang: Normala's cheating husband has been keeping secrets from her' yang disiarkan semalam.

Menurut penulis blog itu, cuti sakit yang panjang tersebut membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

''Saya bertanyakan rakan yang merupakan seorang doktor, apakah penyakit yang memerlukan seseorang mengambil cuti sakit sehingga dua minggu dan dia (doktor) berkata, penyakit itu mestilah sangat serius dan berkemungkinan mengancam nyawa.

''(Sebab jika) demam hanya diberikan cuti sakit satu atau dua hari dan jangkitan mata pula paling lama hanya beberapa hari.

''H1N1 pula akan dikuarantin selama dua minggu. Mungkinkah beliau dijangkiti H1N1?.

''Saya tidak pasti tetapi selepas dua minggu, adalah jelas beliau masih tidak sihat untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen dan doktor menambah lima hari lagi cuti sakit dari 24 hingga 28 Januari," katanya.

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, penulis blog tersebut menambah, beliau membuat banyak rujukan, menyemak kamus perubatan, bercakap dengan ahli fizik dan pakar, malah, turut menulis kepada beberapa buah pusat kawalan penyakit.

Bagaimanapun tambahnya, kesemua usahanya itu menjurus kepada satu jawapan iaitu kesimpulan yang tidak dapat dijelaskan.

''Kami dengan sedih memaklumkan kepada Cikgu Mala (Normala) bahawa suaminya itu telah mengalami politicitis husbandus temperaturis permanantum atau juga dikenali sebagai election fever-candidate's husband strain 2 (EF-CHS2).

''Ia boleh menjadi penyakit yang kekal dan membunuh kariernya sebagai seorang guru," katanya dalam blog itu.

Penulis blog itu menambah, kelibat Maarof yang sentiasa kelihatan bersama Normala ketika berkempen sebelum ini telah menimbulkan pertanyaan di kalangan orang ramai mengenai pekerjaan sebenar beliau.

Antaranya, kata beliau, apakah Maarof bekerja sendiri atau merupakan seorang ahli politik sepenuh masa.

''(Sebenarnya) Maarof adalah seorang guru dan sangat jelas beliau sedang merahsiakan sesuatu daripada isterinya.

''Bukan rahsia kecil tetapi rahsia yang boleh merubah hidup," katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 Januari 2011

Guru cipta kad pintar Ai-1Card, satu klik akses maklumat



Inilah kad pintar Ai-1Card yang dicipta oleh guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Harun, Tanjung Karang, Selangor.


TANJUNG KARANG 27 Jan. - Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Harun (SMKDH) di sini berjaya menghasilkan 'Ai-1Card' iaitu kad matrik pelajar yang membolehkan pihak sekolah mengakses semua maklumat murid dengan satu klik.

Kecanggihan kad ini membolehkannya dijadikan kad pengenalan ganti pelajar di samping memudahkan urusan mengemas kini data dan aktiviti pelajar dengan segalanya dapat diperoleh dengan satu imbasan.

Pengetua SMKDH, Ruslan Bustani berkata, pihaknya mengambil masa lebih setahun untuk menghasilkan perisian sistem pengurusan murid di sekolah itu supaya segala maklumat yang diperlukan oleh sekolah dan Kementerian Pelajaran terdapat di dalam kad ini.

''Apa yang menarik, 'Ai-1Card' ini terpilih sebagai peserta akhir Pertandingan Inovatif Malaysia Zon Tengah yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Melaka akhir tahun lalu.

''Kami mencipta kad ini bagi memudahkan pihak guru mengakses maklumat pelajar selain menangani masalah keselamatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ruslan berkata, 'Ai-1Card' dilengkapi 11 ciri iaitu menggunakan sistem 'Barcode' myID iaitu pengenalan sekolah, pengenalan diri murid, pengenalan kategori seperti pengawas, pengawas pusat sumber, unit pakaian seragam, kelab atau persatuan, kelab sukan, pengenalan tahun dan sebagai kad pusat sumber sekolah, buku teks, akademik dan asrama.

''Apa yang penting di belakang kad ini tertera nama bapa dan telefon yang boleh dihubungi selain jenis darah atau penyakit jika berlaku kecemasan.

"Jika pelajar bertukar sekolah, maklumat ini dapat digunakan sebagai rujukan oleh sekolah barunya," katanya.

Menurutnya, kad ini dihasilkan oleh sekumpulan guru SMKDH dengan kerjasama Universiti Selangor (Unisel) dan dibangunkan oleh Kunci Agresif Sdn. Bhd.

Sementara itu, Pengurus Besar Kunci Agresif Sdn. Bhd., Ali Berkat berkata, pihaknya membelanjakan sebanyak RM50,000 untuk menghasilkan kad itu termasuk mencari kertas dan jenis dakwat yang sesuai agar tidak mudah pudar.

''Kad ini boleh digunakan untuk tempoh enam tahun pada peringkat sekolah rendah dan diperbaharui untuk peringkat sekolah menengah dengan kos hanya RM5 sekeping," katanya.

Seberang maklumat lanjut mengenai kad pintar itu boleh hubungi Ali di talian 019 2405808.

Utusan Malaysia Online: 28 Januari 2011

1,950 graduan PISMP boleh jadi guru

IPOH 27 Jan. - Kesemua 1,950 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) boleh menarik nafas lega apabila Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meluluskan akreditasi bagi kesemua kursus pengajian mereka sekali gus melayakkan mereka untuk menjalankan tugas sebagai guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar) berkata, pihaknya telah menerima surat akreditasi itu semalam dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) pula akan memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Pelajaran Negeri.

"Akhirnya, MQA telah memberikan akreditasi kepada semua kursus PISMP dan graduan dijangka mula mengajar di sekolah yang ditetapkan pada 7 Februari ini.

"Namun, bagi memudahkan graduan PISMP, saya telah mengarahkan pegawai untuk memasukkan maklumat di laman web Kementerian Pelajaran supaya mereka boleh menyemaknya pada esok hari," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Isu mengenai akreditasi kursus graduan PISMP timbul apabila lebih 1,950 graduan berkenaan yang menamatkan pengajian November lalu tidak layak untuk menjadi guru.

Ini ekoran keengganan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran mengiktiraf kelayakan mereka berikutan kursus tersebut masih belum mendapat pengiktirafan MQA.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu bahawa proses mendapatkan pengiktirafan daripada MQA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah dilakukan dan masih menunggu keputusan kedua-dua agensi serta jabatan tersebut.

Ka Siong berkata, graduan PISMP boleh mengetahui lokasi negeri di mana mereka akan mengajar melalui laman web Kementerian Pelajaran.

"Jabatan Pelajaran Negeri pula akan memaklumkan nama sekolah untuk mereka melaporkan diri, seawal-awalnya pada Selasa depan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 Januari 2011

Guru dipenjara 11 tahun, 10 sebatan


MOHD. SALLEHIN keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka semalam selepas didakwa memiliki dadah.


MELAKA – Sepatutnya seorang guru perlu memberi contoh teladan yang baik kepada masyarakat terutama bab penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh nombor satu negara.

Namun semalam, seorang guru Bahasa Melayu sekolah rendah di Tengkera dihukum penjara 11 tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas dua pertuduhan memiliki dadah tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Sallehin Abu Samah, 29, yang mengaku salah dan selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mhd. Asrar.

Pada pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 270.86 gram di tempat letak kereta Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir pada 11 Mac 2010 pukul 7 petang.

Kosmo Online: 28 Januari 2011

Khamis, 27 Januari 2011

Nilai semula tugas pengetua

Oleh Veena Rusli

2011/01/27

Muhyiddin garis empat faktor lahir modal insan cemerlang

BANDAR SERI BEGAWAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat isu utama diberi tumpuan bagi mem-bolehkan pengetua di rantau Asia Tenggara menikmati keseimbangan dalam memenuhi tuntutan persekitaran sekolah yang sentiasa berubah dan kehendak ibu bapa serta masyarakat yang semakin mendesak.

Empat faktor dikenal pasti ialah:

  • amalan baik di kalangan pengetua;
  • Sama ada pengetua boleh memanfaatkan teknologi bagi menghubungkan pelbagai disiplin kepakaran, mengekalkan sekolah sebagai pusat pembelajaran dan memperkenalkan inovasi yang berbentuk mendidik;
  • Keperluan sistem sokongan dipenuhi bagi membolehkan pengetua meningkatkan pencapaian dari aspek pembangunan peribadi dan profesional untuk menjadi pemimpin;
  • Peluang dan autonomi bagi pengetua menjalin rangkaian sesama mereka ke arah meningkatkan kaedah pembelajaran pelajar.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, permasalahan itu perlu diatasi segera jika penggerak sektor pendidikan khususnya pengetua nekad ke arah melahirkan modal insan terbaik sebagai pelaburan masa depan.

“Di Malaysia, kita ada Program Penambaikan Sekolah (SIP) di mana pengetua mesti mengenal pasti keperluan untuk meningkatkan prestasi pelajar, manakala Kementerian Pelajaran memberi sokongan supaya sasaran piawaian dipenuhi.
“Kita berpuas hati dengan pencapaian memberangsangkan SIP dan sejak dilancarkan tahun lalu, kira-kira 40 peratus sekolah mencatat peningkatan dari segi prestasi pelajar," katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Meja Bulat Pegawai Pendidikan ASEAN kelima dan Forum Pengetua Sekolah Asia Tenggara ketiga bertemakan `Perkongsian dan Mengguna Pakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara Ke Arah Pembangunan Modal Insan dan Inovasi Pendidikan Abad ke-21' di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, pengetua tidak boleh bergerak bersendirian kerana sekolah adalah sebahagian daripada agenda pendidikan yang membabitkan jaringan rangkaian luas serta memerlukan penyertaan pelbagai pihak.

Ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), katanya, membawa banyak cabaran baru bagi pengetua, termasuk mencari keseimbangan dari segi capaian ke dunia luar tanpa menjejaskan nilai moral dan memastikan guru berada di landasan sama dengan pelajar dari segi kecekapan teknologi.

"Sudah tiba masanya kita menilai semula fungsi pengetua dalam mengurus sekolah sebagai institusi pengajian kerana ia tidak lagi terhad kepada pelaksana atau pembuat keputusan,” katanya.

Sebagai pelaksana dasar, Muhyiddin berkata, pengetua perlu menyelesaikan masalah di setiap peringkat menggunakan perubahan sistematik, selain mencari pendekatan berkesan menerusi rundingan.

Beliau berkata, pengajaran penting diperoleh hasil transformasi pendidikan di Malaysia ialah pentingnya kerjasama antara pengetua sebagai pelaksana dasar dengan pegawai pelajaran selaku pembuat dasar.

Berita Harian Online: 27 Januari 2011

Suami ambil cuti teman Normala kempen

2011/01/27

LABIS: Suami calon PAS, Maarof Abd Mutalib, 45, berkata beliau memohon cuti semata-mata bagi menemani isterinya, Normala Sudirman berkempen sehingga selesai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Guru Bahasa Melayu itu bagaimanapun enggan memaklumkan tempoh cutinya, sebaliknya sekadar memberitahu beliau memang sedang bercuti.

Malah, Maarof berkata, beliau sedia meletak jawatan jika isterinya menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Ahad ini.
Ketika ditanya sama beliau bercuti sehingga habis kempen pilihan raya kecil itu, Maarof menjawab: “Insya-Allah... saya mahu menemani isteri berkempen”.

Katanya, beliau merestui serta menyokong penuh hasrat Normala bertanding apabila isterinya itu memberitahu dipelawa menjadi calon PAS.

“Malah saya rela letak jawatan jika beliau menang supaya dapat selalu berada di sisinya. Saya menemankan isteri berkempen bukan mahu mengambil kesempatan terhadap tumpuan diberikan masyarakat kepadanya tetapi lebih sebagai pemberi motivasi,” katanya.

Berita Harian Online: 27 Januari 2011

Rabu, 26 Januari 2011

Pengetua lapor polis dakwa pemimpin PKR ceroboh sekolah

2011/01/26

SUNGAI PETANI: Seorang pengetua sebuah sekolah di sini, membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa menceroboh sekolah berkenaan bagi membuat bantahan berhubung isu kononnya sekolah itu memaksa pelajar bukan Islam mengikuti program pengajaran Islam dalam satu perhimpunan khas di sini, pagi kelmarin.

Bantahan diketuai Ketua Cabang PKR Taman Pekan Baru, Vincent Uh bersama 20 waris pelajar bukan Islam berkumpul di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar (SMKB), di sini, kira-kira jam 8 pagi, sebelum masuk ke kawasan sekolah bagi menyampaikan bantahan itu kepada pengetua sekolah.

Tindakan pemimpin parti politik terbabit memasuki kawasan sekolah tanpa kebenaran, menyebabkan pihak sekolah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Hashim Ali, ketika dihubungi mengesahkan pengetua sekolah itu membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Pengetua berkenaan mendakwa pihak sekolah tidak pernah memaksa pelajar yang bukan beragama Islam untuk menyertai perhimpunan itu,” katanya.

Berita Harian Online: 26 Januari 2011

Selasa, 25 Januari 2011

Harga makanan mahal

Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Hazwan Faisal Mohamad

2011/01/25

TINDAKAN pengusaha kantin sekolah yang menyediakan sajian tidak berkhasiat antaranya makanan ringan dan air berkarbonat menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak terutama dalam kalangan ibu bapa.

Sikap pengusaha itu ternyata menyalahi garis panduan penjualan makanan dan minuman di premis berkenaan seperti ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Tinjauan ke beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Bangi, baru-baru ini mendapati makanan berkenaan dijual secara terbuka.
Pemerhatian juga mendapati ada kantin sekolah yang menjual makanan pada harga mahal, contohnya nasi ayam sehingga RM3 dan kuih 50 sen sebiji. Harga yang ditawarkan sama dengan kadar di luar sekolah.

Ibu bapa yang ditemui menggesa supaya pihak pengurusan sekolah mengenakan tindakan tegas terhadap pengusaha yang ingkar.

Keengganan mengambil tindakan terhadap pengusaha turut menimbulkan persoalan kerana semua sekolah mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Kantin Sekolah dianggotai Guru Besar, Penolong Kanan, guru dan wakil ibu bapa.

Isu berkenaan kata mereka, sudah dimaklumkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu, bagaimanapun pengusaha masih berdegil.
Masing-masing turut membincangkan isu berhubung perbezaan harga makanan dan minuman antara sekolah. Ibu bapa mendakwa, perbezaan berpunca daripada sistem tender terbuka diketuai Guru Besar yang mengetuai panel pemilihan.

Ketua panel akan memuktamadkan pengusaha kantin yang sesuai berdasarkan semak harga yang dikemukakan kepada pihak sekolah.

Seorang Guru Besar di Kepong, Kuala Lumpur yang enggan disiarkan namanya berkata, sekolah diberi kuasa memilih pengusaha kantin yang sesuai sebelum dibenar beroperasi.

Katanya, setiap pengusaha yang berminat perlu menyerahkan semak harga masing-masing untuk dinilai sebelum memutuskan calon yang layak menjalankan urus niaga.

“Pengusaha yang layak dipilih selepas pihak sekolah berpuas hati dengan tawaran harga yang munasabah dan perlu mematuhi garis panduan pengurusan.

“Panduan itu meliputi larangan menjual makanan ringan seperti gula-gula, jeruk dan snek mengandungi pewarna dan perisa tiruan tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas permasalahan itu, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM), Roslan Madun, mengakui ada pengusaha kantin menjual pada harga mahal, selain menjual makanan tidak berkhasiat dan minuman berkarbonat.

Katanya, tindakan pengusaha itu bercanggah dengan garis panduan dan boleh dikenakan tindakan dengan diganti pengusaha lain.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Kantin sepatutnya mengambil tindakan terhadap pengusaha ingkar untuk memastikan pelajar menikmati makanan berkhasiat dan pada harga berpatutan.

“Penilaian meliputi harga, kualiti, kuantiti dan tahap kebersihan. Sekiranya pengusaha melanggar peraturan ini operasi mereka boleh ditamatkan,” katanya.

Berita Harian Online: 25 Januari 2011

Isnin, 24 Januari 2011

GSTT kekal sebagai duri dalam daging

2011/01/24
SETIAP kali penggal persekolahan bermula, isu yuran dan ketidakcukupan guru, termasuk membabitkan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) akan mendominasi perbualan di kalangan ibu bapa dan guru. Bagaimanapun, kali ini isu yuran ditangani Kementerian Pelajaran dengan baik, termasuk menge-luarkan ‘nasihat’ kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya mematuhi pekeliling ditetapkan kerajaan, menyebabkan hampir dikatakan tiada langsung rungutan ibu bapa mengenai soal ini ketika mendaftar anak masing-masing di sekolah rendah atau menengah.

Bagaimanapun, kelemahan Kementerian Pelajaran menangani soal GSTT, termasuk membiarkan guru terbabit tidak tahu status masing-masing sama ada khidmat mereka diperlukan atau tidak di sekolah sebelumnya menyebabkan isu ini menjadi ‘besar’. Seharusnya, Jabatan Pelajaran negeri bertindak proaktif mengatasi soal ini, bukannya memberikan keutamaan menyelesaikan isu seminggu dua lagi sesi persekolahan mahu bermula.

Ketika 12,000 GSTT di seluruh negara tidak tahu status mereka, pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa seramai 1,614 GSTT akan disambung semula kontrak mereka pada 2011 adalah satu perkhabaran yang amat dinanti-nantikan.

Beliau berkata, kerajaan hanya menyambung kontrak GSTT yang berkhidmat selama tiga tahun berturut-turut, selain dalam proses untuk menyerap GSTT yang masih dalam kontrak dan sudah bertugas lebih tiga tahun ke jawatan guru tetap melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC).

Penjelasan beliau itu sekali gus menjelaskan bukan semua GSTT akan diambil berkhidmat semula, termasuk 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak tahun lalu disebabkan sebahagian besar daripada mereka hanya berkhidmat selama dua tahun.

Fungsi GSTT yang mahu menampung kekurangan guru di sesebuah sekolah tidak akan berjaya jika soal penempatan mereka tidak diuruskan dengan baik oleh Jabatan Pelajaran negeri. Malah, isu GSTT akan menjadi ‘duri dalam daging’ selagi soal penempatan ini tidak diselesaikan dengan jujur, baik pada peringkat pentadbir sekolah yang memohon khidmat GSTT dengan memberi alasan kekurangan guru, manakala pada peringkat jabatan pula, penempatan dibuat bukan mengambil kira soal keperluan yang mendesak di sesebuah sekolah, sebaliknya atas dasar ‘kenalan’.

Sama ada mahu mengakui atau tidak, kewujudan GSTT menimbulkan sedikit kecelaruan dalam sistem perjawatan perguruan, apatah lagi perguruan sudah dianggap satu kerjaya profesional. Seharusnya tidak wujud lagi ‘sandaran tidak terlatih’ dan jawatan sebegini tidak ada pada kerjaya lain bertaraf profesional seperti perubatan, guaman dan akauntan. Faktor kekurangan guru bukan lagi alasan sesuai ketika ini, apatah lagi keperluan terhadap sistem pendidikan yang amat tinggi serta kritikal dan sewajarnya usaha penambahbaikan dilakukan terhadap profesion ini. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 sudah berakhir dan sewajarnya pelan induk baru yang dirangka akan mengambil kira keperluan ‘sifar GSTT'.
Hakikatnya, soal pendidikan melingkari kehidupan seharian masyarakat di Malaysia. Isu berbangkit juga hampir sama – baik di sekolah kebangsaan atau sekolah menengah dan di sekolah jenis kebangsaan sama ada Tamil atau Cina.

Sedikit masa lalu, timbul ura-ura kemungkinan kerajaan menubuhkan satu badan atau jawatankuasa khas untuk menyelesaikan masalah dan isu berkaitan perkhidmatan perguruan yang kini melebihi 400,000 orang. Perkara ini dibangkitkan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman kepada pegawai tertinggi kesatuan itu selepas merasmikan konvensyen CUEPACS, akhir tahun lalu.

Walaupun tiada perkhabaran lanjut mengenainya, cadangan penubuhan satu badan atau jawatankuasa khas ini adalah rentetan daripada usaha kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas mengkaji beban tugas guru yang terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pada April 2010.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengumumkannya, berkata cadangan itu berdasarkan aduan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

Semua masalah ini ditimbulkan ketika khidmat 12,000 GSTT masih digunakan. Dengan pengurangan GSTT tahun ini, masalah ‘kerja berlebihan’ akan terus menjadi isu di sekolah, selain soal sekatan pelbagai tuntutan, termasuk perbatuan menghadiri mesyuarat dan kursus serta catuan perbelanjaan makanan dan minuman ketika berkursus.

Walau apapun kerenah pentadbiran yang timbul, kesetiaan guru terhadap kerajaan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Tindakan seorang bekas guru untuk menjadi calon PAS, Normala Sudirman, 38, menentang calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim, 39, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Labis pada 30 Januari ini, adalah kes terpencil.

Ini diakui sendiri Muhyiddin di Pagoh, baru-baru ini bahawa kerajaan tidak pernah mempersoalkan kesetiaan guru, tetapi mahu mereka terus komited membantu melaksanakan dasar kerajaan ke arah pembangunan pendidikan negara. Malah, beliau mengakui peranan dan komitmen guru penting bagi membantu kerajaan mencapai empat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan sektor pendidikan.

Tidak dinafikan, ada guru bersimpati kepada perjuangan pembangkang, namun jumlah mereka tidak sebesar mana. Memang sedap mendengarnya tetapi tidak mungkin golongan guru terpedaya dengan janji imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berita Harian Online: 24 Januari 2011

Penempatan: Guru Gred 17 kesal cara pegawai JPNS

AYA merupakan salah seorang calon yang berjaya ditempatkan ke dalam perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan telah diarahkan lapor diri ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Isnin lalu.

Apa yang mengecewakan saya ialah sikap pegawai yang mengendalikan kami di JPNS. Sikap yang ditonjolkan kepada kami tidak mencerminkan sikap seorang pegawai kerajaan yang sepatutnya.

Mereka seolah-olah memandang rendah terhadap kami yang terdiri daripada gred 17 (N17, W17) melalui cara percakapan dan ayat yang disampaikan kepada kami.

Sudahlah kami diarahkan duduk di koridor sepanjang hari pertama lapor diri di JPNS. Pada minit terakhir sebelum waktu pejabat tamat pada pukul 5, barulah kami diberitahu oleh salah seorang pembantu tadbir di situ, bahawa segala keputusan penetapan jawatan kami akan diberitahu 'mungkin' keesokannya. Dia mengarahkan kami pulang seperti tidak mengalu-alukan kedatangan kami.

Keesokannya, kami hanya diberitahu tentang penempatan kami menjelang waktu rehat tengah hari dan apa yang mengecewakan kami, daripada 25 orang yang telah disenaraikan nama untuk melaporkan diri ke JPNS, hanya 12 orang yang diberi tempat di sekitar Negeri Sembilan. Lebih separuh telah ditolak ke negeri-negeri lain dan perlu membuat rayuan penempatan semula (sekiranya tidak bersetuju) ke Putrajaya, dengan alasan Negeri Sembilan sudah penuh dan tiada lagi tempat kosong.

Apa yang amat mengecewakan saya, makluman dari Putrajaya yang saya dapati, sebenarnya terdapat 30 kekosongan di Negeri Sembilan dan segala penempatan di negeri adalah atas urusan pihak JPNS. Jadi sekiranya terdapat 30 kekosongan, mengapa 13 orang dari 25 kami seolah-olah telah 'ditendang' keluar akibat ketidakadilan yang mungkin berlaku di JPNS tanpa pengetahuan kami. Sekiranya kami ditempatkan di luar Negeri Sembilan, mengapa pihak SPP Putrajaya sendiri tidak menyenaraikan nama kami ke luar Negeri Sembilan awal-awal lagi?

ANAK NOGORI,

Seremban, Negeri Sembilan

Utusan Malaysia Online: 24 Januari 2011

YGMB prihatin kebajikan guru


MUKA depan laman sesawang rasmi YGMB untuk para guru seluruh negara mendaftar keahlian dan seterusnya menikmati faedah yang ditawarkan oleh pertubuhan itu.


Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyediakan kemudahan mendaftar keahlian secara atas talian bagi memudahkan urusan ahli-ahli barunya.

Laman www.ygmb.com.my itu turut menyediakan maklumat lengkap mengenai YGMB, Koperasi YGMB dan faedah-faedah serta kemudahan yang disediakan kepada ahlinya.

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, dengan adanya laman sesawang itu diharapkan agar lebih ramai lagi guru akan mendaftar seterusnya menikmati faedah serta sumbangan yang disediakan oleh YGMB.

"Sehingga kini hanya terdapat 129,124 keahlian daripada jumlah keseluruhan kira-kira 400,000 guru di seluruh negara di mana 77,132 merupakan ahli seumur hidup dan 51,992 ahli biasa.

"Dengan sasaran sebanyak 100,000 ahli baru menjelang pertengahan tahun ini, YGMB berhasrat untuk berkembang agar mampu setanding dengan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dan Koperasi Polis," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya, dengan sumbangan dana sebanyak RM10 juta oleh kerajaan, YGMB yakin untuk memberikan perkhidmatan kebajikan serta faedah-faedah terbaik kepada ahli-ahlinya.

"Antara sumbangan kebajikan melalui produk baru ialah meningkatkan jumlah sumbangan khairat kematian, melanjutkan pelajaran, perubatan, kemalangan, malapetaka, perkahwinan, persaraan dan melahirkan anak," jelas beliau.

Menurutnya lagi, YGMB turut merancang untuk menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kepada ahli-ahlinya.

"YGMB juga berhasrat untuk menubuhkan kolej universiti dan pusat tuisyen, membina projek perumahan untuk ahli dan membeli bangunan serta tanah pertanian," ujarnya.

Selain guru, keahlian YGMB turut dibuka kepada semua pegawai perkhidmatan pelajaran, kakitangan Kementerian Pelajaran (KPM), pesara guru dan ahli bersekutu (kakitangan YGMB).

Alimuddin memberitahu, faedah serta sumbangan ini mampu dinikmati oleh setiap ahlinya dengan hanya membayar yuran bulanan keahlian YGMB sebanyak RM10.

Yuran bagi keanggotaan Koperasi YGMB pula adalah RM35 setiap bulan. Namun, yuran bulanan Koperasi YGMB ini akan dipulangkan semula apabila anggotanya bersara kelak.

Tambahnya lagi, sumbangan yang bakal dinikmati oleh ahli YGMB dan koperasi YGMB adalah berbeza. Oleh sebab itu, jika ahli YGMB turut mendaftar sebagai anggota Koperasi YGMB, mereka akan mendapat faedah bagi kedua-dua badan tersebut.

"Sumbangan yang disediakan oleh YGMB kesemuanya berjumlah RM7,300. Manakala Faedah yang bakal dinikmati oleh anggota Koperasi YGMB pula adalah pinjaman hartanah, pinjaman khas, pinjaman pelajaran, pinjaman biasa, pinjaman umrah dan pelancongan.

"Koperasi YGMB juga menyediakan sumbangan kebajikan kepada anggotanya seperti khairat kematian, dermasiswa, bantuan kemalangan dan bantuan bencana alam yang kesemuanya bernilai RM5,100," jelasnya.

Dengan fungsi utamanya sebagai penyedia kredit, Koperasi YGMB juga bersedia melunaskan pinjaman bank ahli-ahlinya. Mereka perlu membayar semula pinjaman tersebut kepada koperasi yang menawarkan faedah jauh lebih murah.

Selain itu, Koperasi YGMB juga menawarkan pinjaman kecemasan dengan jumlah maksimum RM2,000 dalam tempoh 24 jam kepada ahli-ahlinya.

YGMB juga berhasrat untuk mewujudkan bank guru yang akan memberi pelbagai faedah menarik kepada semua guru di seluruh negara.

"Oleh itu, warga pendidik diharap dapat merebut peluang untuk menjadi ahli YGMB dan anggota koperasi untuk menikmati faedah dan sumbangan tersebut," katanya.

Maklumat lanjut mengenai YGMB dan Koperasi YGMB boleh diperoleh dengan menghubungi 03-41058679/ 03-41052845.

Utusan Malaysia Online: 24 Januari 2011

Meja melayang hempap kepala

Oleh Aniza Zainudin

AMPANG: Niat seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik di sini, menghadiri kelas bahasa Inggeris terbantut apabila dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kepalanya cedera ditimpa meja yang dipercayai dibaling dari tingkat empat bangunan sekolahnya.

Ketika kejadian Rabu lalu, Asyraf Sabiq Samad, 14, dalam perjalanan ke kelas kira-kira jam 1.15 tengah hari selepas berhimpun di padang bola tampar sebelum memulakan sesi persekolahan dan menunggu pelajar sesi pagi menamatkan pembelajaran.

Menurutnya, pada mulanya dia ternampak satu objek dijatuhkan dari tingkat atas bangunan, namun gagal mengenal pasti objek terbabit.

“Ketika mendongakkan kepala, 'sesuatu' bersaiz besar menimpa kepala saya dan saya tak sempat mengelak,” katanya.

Sejurus kejadian katanya, kepala, muka dan kedua-dua belah tangannya dipenuhi darah sebelum dibawa ke bilik guru disiplin sekolah untuk dibersihkan dan kemudian dihantar ke Hospital Ampang.

Asyraf menerima empat jahitan di dahi, manakala hidungnya turut tercedera.
Ibunya, Mariam Kamarudin, 42, terkejut apabila dimaklumkan kejadian menimpa anak sulungnya itu dan bergegas ke hospital.

“Kaki saya seperti tidak mencecah bumi apabila menerima berita itu dan sejurus tiba di hospital, saya lihat kepala Asyraf sudah berbalut sambil ditemani tiga guru.

“Apabila saya meminta penjelasan daripada pengetua, dia menyatakan pihak sekolah sudah menyiasat dan mengetahui pelajar yang melakukannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Mariam berkata, pengetua berkenaan memberitahu perbuatan itu dilakukan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikatakan mengganas selepas gagal mendapatkan bekalan ubatnya.

Lebih menghairankan, katanya pelajar berkenaan turut ditempatkan dalam kelas normal kononnya kerana dia pintar seperti pelajar lain sedangkan pelajar OKU sepatutnya ditempatkan dalam kelas khas.

“Mulanya saya rasa lega apabila mengetahui maklumat berkenaan, malah pelajar terbabit sudah dibawa pulang ke rumahnya selepas kejadian.

“Tetapi, pihak sekolah menelefon suami (Samad Masaan, 58,) mengatakan kejadian itu mungkin dilakukan pelajar sesi pagi dan tidak membabitkan pelajar OKU berkenaan. Saya hairan apabila dimaklumkan pelajar OKU terbabit sudah digantung sekolah.

“Dari situ, ia mula menimbulkan keraguan di pihak kami. Jika benar bukan pelajar terbabit (OKU) melakukannya, kenapa dia dikenakan tindakan? Ini menunjukkan pihak sekolah seolah-olah bermain tarik tali dengan kami,” katanya.

Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Pandan Indah, di sini, semalam.

Mariam berkata, mereka sekeluarga langsung tidak berniat meminta pampasan daripada mana-mana pihak dan jika benar pelajar OKU itu melakukannya, pihak sekolah dan keluarganya perlu menghubungi mereka sekali gus meminta maaf.

Menurutnya, dia juga memahami keadaan kanak-kanak istimewa dan tidak seharusnya mereka dipersalahkan kerana mereka sentiasa perlukan perhatian.

Katanya, dia akan menghantar surat meminta penjelasan lanjut kepada pihak sekolah hari ini bagi mendapatkan maklumat lebih tepat sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Sementara itu, pengetua sekolah, Zaini Mohammad Zain mengesahkan kejadian itu dan proses penyiasatan sedang berjalan.

Mengulas mengenai pembabitan pelajar OKU, beliau menafikannya biarpun pada mulanya dia sendiri memaklumkannya kepada ibu bapa Asyraf.

Katanya, sejurus kejadian menimpa Asyraf, pelajar OKU itu turut menimbulkan kekecohan akibat tidak menerima bekalan ubat dan pelajar terbabit juga mengikuti pelajaran pada sesi petang.

myMetro: 24 Januari 2011

Balasan rogol murid


MOHD. SAIDI diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dihukum penjara 12 tahun semalam.


KOTA BHARU – Selepas lima tahun dibicara, Mahkamah Sesyen di sini semalam akhirnya menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara berserta dua sebatan ke atas seorang guru kerana didapati bersalah merogol anak muridnya yang berusia 12 tahun ketika kejadian.

Hakim Zainal L. Saleh memutuskan hukuman itu ke atas Mohd. Saidi Che Tengah, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah ke atas dua pertuduhan rogol yang dihadapkan ke atas bapa kepada lapan anak itu.

“Ini kesalahan serius. Faktor kepentingan awam juga saya ambil kira dalam memutuskan sesuatu hukuman yang dapat memberikan pengajaran kepada kamu dan seterusnya dapat menghantar mesej kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.


Kosmo Online: 24 Januari 2011

Bisikan misteri arah guru amuk

Oleh Hassan Omar

2011/01/24

KOTA KINABALU: Suara bisikan yang menusuk telinga guru lelaki dikatakan menjadi punca dia mengamuk menggunakan pedang samurai menyebabkan 14 guru termasuk dua wanita terpaksa menyembunyikan diri dalam hutan paya bakau di Kampung Sabur, Pulau Banggi dekat Kudat, kira-kira 300 kilometer dari sini, tengah malam Selasa lalu.

Suara itu dikatakan mengarahkan suspek berusia 30 tahun itu mencederakan orang di sekelilingnya termasuk rakan setugasnya selain memarahi suspek kerana terus berkhidmat di kampung terpencil itu sedangkan dia sepatutnya sudah dibenar berpindah ke bandar.

Selepas berkhidmat lapan tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur yang hanya mampu dikunjungi menggunakan perahu atau bot serta tiada kemudahan bekalan air dan tenaga elektrik, suara berkenaan dikatakan menghasut suspek berpindah kerana sekolah itu kononnya tidak sesuai lagi untuk suspek.

Sumber berkata, hanya selepas tiga hari ditahan reman, suspek menjelaskan punca dia mengamuk mengggunakan pedang samurai hingga rakan setugasnya bertempiaran lari dalam kegelapan malam dan meredah hutan paya bakau.

“Suspek mendakwa suara perempuan itu mengganggunya sejak beberapa minggu lalu menyebabkan dia tidak tahan lalu mengamuk,” katanya ketika dihubungi, di Kudat semalam.

Banggi dengan keluasan 432 kilometer persegi adalah pulau terbesar di Malaysia yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Kudat dengan tempoh perjalanan satu setengah jam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam 18 Januari lalu, 14 guru bertarung dengan nyamuk dan pacat kira-kira 11 jam dalam hutan paya bakau ketika bersembunyi daripada suspek.
Seramai 12 guru lelaki yang mengajar di sekolah itu antara dua hingga 10 tahun, serta dua guru wanita yang baru berpindah sebulan lalu, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan hentakan kuat pada dinding dan pintu, selain pekikan suspek.

Mereka melompat keluar dari rumah papan setinggi kira-kira dua meter untuk melarikan diri ke hutan paya bakau dan keluar apabila polis tiba jam 12 tengah hari.

Sumber berkata, reman suspek berakhir esok dan Mahkamah Majistret Kudat bakal menentukan sama ada suspek diarah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Mesra Bukit Padang.

Berita Harian Online: 24 Januari 2011

Ahad, 23 Januari 2011

Tidak pernah persoal kesetiaan guru - TPM

PAGOH 22 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mempersoalkan kesetiaan golongan guru kepada negara.

Katanya, sebagai pemimpin di peringkat sekolah, mereka perlu sentiasa mempunyai sikap kebersamaan kepada kerajaan supaya dapat menjayakan agenda pembangunan negara terutama Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang pendidikan.

"Kita tidak akan mempersoalkan kesetiaan guru-guru. Selain setia kepada negara, elok juga kita setia kepada kerajaan terutama kepada kerajaan sedia ada.

"Sebabnya guru merupakan penggerak utama dalam masyarakat, masih dihormati, diberi penilaian yang tinggi dan menjadi pemimpin dalam masyarakat. Maka, kita mahu supaya sikap untuk bersama dengan kerajaan selalu ada," katanya semasa merasmikan Program Bangkit Guru Untuk Negara (B-GUN) peringkat negeri di Dewan Seri Pekembar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran.

B-GUN merupakan program bersepadu yang dirancang bagi mengangkat martabat guru untuk membangkitkan profesionalisme, jati diri dan peranan guru bagi merealisasikan aspirasi kerajaan.

Ia juga program bersepadu yang terancang bagi mengangkat martabat guru sebagai pengamal pembelajaran berteraskan falsafah pendidikan kebangsaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam menjayakan bidang pendidikan, guru mesti sentiasa bertanggungjawab memastikan semua perancangan dalam NKRA berkenaan berjaya dicapai.

Beliau memberitahu, kanak-kanak yang berupaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi (linus) pada tahun lalu bertambah baik berbanding tahun sebelumnya.

"Usaha kerajaan sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan. Walaupun baru setahun ia dilaksanakan tetapi berjaya mencatatkan kejayaan hampir mencapai 100 peratus," katanya.

Menurutnya, meskipun pada peringkat awal pelaksanaan berlaku sedikit masalah di kalangan guru dan ibu bapa, namun ia tetap dapat dilaksanakan dan menampakkan hasil yang amat baik.

"Pada peringkat awal pelaksanaan program linus, ramai ibu bapa yang tidak memahami program ini dan risau. Tetapi, sekarang kita menerima maklum balas yang baik dengan ada yang mengatakan anak-anak mereka sudah pandai membaca," katanya.

Utusan Malaysia Online: 23 Januari 2011

Ponteng sekolah sebab cikgu tak mengajar

1
BERSEKOLAH pada hari Sabtu bukan berita gembira bagi murid dan juga ibu bapa. Guru-guru tak tahulah pula. Selepas lima hari bekerja dan bersekolah, kehadiran Sabtu dan Ahad sememangnya ditunggu-tunggu. Itulah hari untuk membasuh baju sekolah, kasut sekolah, bangun sedikit lewat berbanding hari biasa. Bila dapat pekeliling anak-anak perlu bersekolah pada Sabtu ada yang kelat wajah. Anak-anak apatah lagi, liat semacam terutama jika tahu telah ada perancangan untuk ke mana-mana.

Seorang teman menitip catatan sekolah hari Sabtu di Facebooknya. Dia yang juga seorang guru bertanya mungkinkah sekolah hari Sabtu ganti cuti Tahun Baru Cina akan mengulangi sejarah satu kelas satu murid. Satu guru mengajar satu murid.

Sebagai guru, tentunya sahabat itu amat arif perihal kehadiran murid setiap kali sekolah ganti diadakan pada Sabtu. Pasti kelas yang selalunya penuh dan riuh dengan pelbagai tata laku murid-murid agak sepi lantaran ramai yang ponteng. Ada ibu-bapa yang sengaja tidak mahu anaknya ke sekolah pada hari Sabtu. Alasannya mudah, mahu mencuci baju sekolah sekali gus pada pagi Sabtu. Lalu anak-anaknya diberi ‘pengecualian’ hadir ke sekolah atas alasan itu.

Ada juga murid tidak ke sekolah pada hari Sabtu kerana terikat dengan jadual ibu bapa. Oleh kerana ibu bapa telah membuat perancangan awal untuk bercuti atau menghadiri kenduri kahwin dan pelbagai majlis lagi, maka anak-anak terpaksa akur.

Boleh saja diandaikan ramai ibu bapa yang tidak peka tentang sekolah ganti pada hari Sabtu. Ada juga yang merungut setiap kali dimaklumkan tentang jadual persekolahan pada Sabtu. Bagi mereka cukuplah lima hari anak-anak bersekolah pagi dan petang (belum dicampur tuisyen pada waktu malam). Sabtu dan Ahad bagi kebanyakan ibu bapa adalah masa untuk bersama anak-anak biar pun dalam keadaan mana sekali pun. Kalau diberi cuti maka jangan minta diganti, kata mereka.

Mengajar

Ada juga ibu bapa yang berdisiplin mengikuti arahan sekolah atau pihak kementerian. Maka ‘berperanglah’ memujuk anak-anak bersekolah pada pagi Sabtu. Bukan mudah menyakinkan anak supaya bersekolah pada hari Sabtu. Apatah lagi jika adik beradik yang bersekolah di tempat lain tidak bersekolah. Mereka (anak-anak) ada alasan tersendiri untuk ponteng kelas. Alasan yang sering diberi cikgu tak mengajar. Kalau masuk kelas pun cikgu suruh buat kerja sendiri. Bila buat kerja sendiri faham-fahamlah, tentu ada rasa bosan. Nak buat bising takut cikgu ada di depan, nak baca buku, semestinya bukan itu pilihan mereka. Lalu apabila disuruh ke sekolah pada hari Sabtu tentu alasan tersebut meniti di bibir anak-anak. Ibu bapa pula apabila dengar cikgu tidak mengajar dan anak-anak tidak diajar maka cairlah hati mereka. Lalu termeterailah persetujuan bersama mengizinkan anak ponteng sekolah walaupun secara diam.

Yang pasti bersekolah pada Sabtu bagi menggantikan cuti peristiwa yang diambil oleh sekolah untuk menyambung cuti pendek sememangnya perlu. Tetapi sebagai guru yang berhadapan dengan cabaran dunia inovatif dan kreatif, apa kata wujudkan sedikit kelainan bagi hari persekolahan setiap Sabtu. Selain aktiviti biasa seperti merentas desa atau bersukan, tidak salah jika Sabtu dijadikan hari untuk mengenali alam semula jadi tanpa perlu pergi jauh. Jadikan kawasan sekeliling sekolah untuk bercakap tentang keindahan alam, pencemaran, kebersihan dan keselamatan. Aktiviti berkumpulan yang mencabar minda murid-murid sekali gus memberi nafas baru dalam pembelajaran secara tidak formal mesti dicetuskan oleh guru-guru. Apa kata Sabtu juga dijadikan hari untuk mengeratkan hubungan warga sekolah dengan penduduk di kawasan kejiranan terdekat. Terap nilai-nilai kejiranan, saling bantu-membantu, bekerjasama dan kenal-mengenali supaya persekolahan hari Sabtu menjadi umpama acara yang ditunggu-tunggu.

2
Bagi yang mengikuti kisah seorang pembaca yang terpaksa turun naik pejabat tanah dari Seremban ke Putrajaya dua minggu lepas, tentu tertanya-tanya apa kesudahannya.

Dalam luahan terbarunya, dia memberitahu akhirnya ‘nasib’ geran rumah ibu mertuanya diserahkan ke tangan peguam.

‘‘Sebabnya selepas pergi ke pejabat Tanah Seremban, saya diminta merujuk perkara itu kepada Wisma Persekutuan. Proses itu tidak berakhir di situ. Saya diberitahu selepas ke Wisma Persekutuan, saya kena kembali ke pejabat tanah dan ke Putrajaya semula.

‘‘Terlalu banyak ‘selepas itu’ dan ‘selepas itu’, menyebabkan saya jeran mahu mengunjungi pejabat-pejabat yang berkaitan dengan tuntutan geran rumah ibu mertuanya.

Berulang-alik

‘‘Bayangkan saya yang mempunyai sedikit wang berlebihan boleh menggunakan khidmat peguam untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi bagaimana pula orang susah atau orang kampung yang terpaksa berulang-alik ke pejabat-pejabat berkenaan yang bukan terletak di dalam satu negeri.

‘‘Apa jadi dengan kerja mereka? Bagaimana pula duit minyak dan tol untuk berulang-alik ke Putrajaya? Siapa pula yang hendak menguruskan anak-anak mereka? Adakah berbaloi berulang-alik tanpa mengetahui bilakah perkara tersebut dapat diselesaikan.

‘‘Saya juga tertanya-tanya sampai bila jabatan kerajaan masih terikat dan diikat dengan kerenah birokrasi ciptaan manusia. Jika Piagam Pelanggan menuntut segala urusan berkepentingan orang ramai diselesaikan secepat mungkin dengan mengetepikan kerenah birokrasi, kenapa pula kakitangan awam masih bersikap sambil lewa.

‘‘Adakah kerana saya rakyat marhaen maka mereka tidak kisah untuk buat begitu.’’

Utusan Malaysia Online: 23 Januari 2011

Sabtu, 22 Januari 2011

PPSMI tetap dimansuh 2012 - Puad

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kementerian Pelajaran tetap dengan pendirian bahawa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dimansuhkan berkuat kuasa 2012.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pendirian itu adalah muktamad dan tiada apa lagi yang perlu diperbincangkan mengenai perkara tersebut.

Kata beliau, isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana keputusan tersebut telah dipersetujui oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan negara melalui banyak perbincangan sebelum ini.

"Kita telah banyak berbincang dan menjalankan kajian sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI berkuat kuasa 2012.

"Jadi sepatutnya tidak timbul lagi isu-isu mengenainya. Kementerian tetap dengan keputusan bahawa PPSMI akan dimansuhkan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) supaya PPSMI dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Perkara tersebut dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan oleh Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Mohamad Amir Harun di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar menerusi mata pelajaran sains dan matematik.

Bagaimanapun pada 2009, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu berkuat kuasa pada 2012, manakala sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan.

Menurut Puad, beliau faham tindakan Page itu adalah bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid serta pelajar sekolah.

Bagaimanapun, katanya, kementerian telah memutuskan bahawa PPSMI bukanlah langkah terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu sebaliknya akan memberi lebih tekanan kepada pelajar.

"Langkah terbaik ialah memberi penekanan kepada pengajaran serta pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris itu sendiri bagi meningkatkan penguasaan bahasa tersebut dan kami memberi perhatian yang serius kepada perkara tersebut,'' jelas Puad lagi.


Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2011

Kesal tidak ditempatkan di Negeri Sembilan

SAYA merupakan salah seorang calon yang berjaya ditempatkan ke dalam perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan telah diarahkan melapor diri ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) pada 17 Januari 2011 lalu.

Di dalam surat penerimaan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Putrajaya, kami akan ditempatkan di sekitar Negeri Sembilan oleh JPNS sendiri. Ini kerana, berdasarkan rakan-rakan dari negeri lain yang saya temui ketika sesi taklimat di Putrajaya, sesiapa yang ditawarkan luar dari negeri sendiri telah diberitahu di dalam surat yang dikeluarkan oleh KPM sendiri pada hari taklimat itu juga.

Kami hanya diberitahu tentang penempatan kami oleh pihak JPNS pada hari kedua melapor diri, itu pun menjelang waktu rehat tengah hari. Apa yang mengecewaan kami, daripada 25 orang yang telah disenaraikan nama untuk melaporkan diri ke JPNS, hanya 12 orang dari kami yang diberi tempat di sekitar Negeri Sembilan. Lebih separuh dari kami, telah 'ditolak' ke negeri-negeri lain dan perlu membuat rayuan penempatan semula (sekiranya tidak bersetuju) ke Putrajaya, dengan alasan Negeri Sembilan sudah penuh dan tiada lagi tempat kosong.

Apabila tiba di Putrajaya, pihak KPM sendiri keliru dengan tindakan JPNS yang seakan-akan sambil lewa dengan urusan penempatan kami.

Daripada makluman pihak Putrajaya yang saya dapati, sebenarnya terdapat 30 kekosongan di Negeri Sembilan dan segala penempatan di negeri adalah atas urusan pihak JPNS. Jadi sekiranya terdapat 30 kekosongan, mengapa 13 orang dari 25 kami seolah-olah telah 'ditendang' keluar akibat ketidakadilan yang mungkin berlaku di JPNS tanpa pengetahuan kami? Sekiranya kami ditempatkan di luar Negeri Sembilan, mengapa pihak SPP Putrajaya sendiri tidak menyenaraikan nama kami ke luar Negeri Sembilan awal-awal lagi?

Kami begitu kecewa dengan tindakan JPNS menghantar kami keluar sedangkan pihak Putrajaya sendiri telah memberi arahan supaya kami ditempatkan di Negeri Sembilan.

Diharapkan tiada unsur 'politik' yang berlaku di JPNS atas ketidakadilan penempatan kami ini. Saya sebagai wakil rakan-rakan yang lain berharap agar para pegawai di JPNS melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah, tanpa mengira status seseorang.

Anak Nogori

Seremban, Negeri Sembilan


Utusan Malaysia Online: 22 januari 2011

Guru terbunuh sebelum sempat bertunang



TAN Lian Hoe melawat keluarga Allayarham Mohd. Shahir di Gerik, kelmarin.


GERIK 21 Jan. – Hasrat seorang guru untuk mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya tidak kesampaian apabila dia terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Gerik-Pengkalan Hulu di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang ketika Mohd. Shahir Khalidi Mohd. Azmi, 26, sedang menunggang motosikal pulang ke rumah selepas mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Bersia di sini sebelum kenderaannya merempuh sebuah bas.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapa mangsa, Mohd. Azmi Ismail, 58, berkata, anaknya itu bakal mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis bernama Junaidah yang kini masih belajar di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim tidak lama lagi.

“Beberapa hari sebelum ini, anak saya berkelakuan agak pelik dengan membotakkan kepalanya dan tiba-tiba berubah menjadi pendiam.

“Allahyarham juga sempat makan tengah hari bersama keluarga dan menyatakan hasrat ingin membuka sebuah kedai gambar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Kerajaan di sini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di leher, tangan dan kaki berikutan kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati, pemandu bas dari Lenggong itu tidak memberhentikan bas ketika memasuki simpang menyebabkan mangsa gagal mengawal lalu merempuh bas berkenaan,” katanya.

Kematian Mohd. Shahir Khalidi turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe yang turut menziarah keluarga mangsa.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Kampung Padang di sini.

Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2011

Nota kaki elak salah faham mengajar guna novel Interlok

2011/01/22

LABIS: Penyediaan garis panduan kepada guru termasuk nota kaki dan glosari antara cadangan penyelesaian Kementerian Pelajaran bagi mengelak timbul kekeliruan dan salah faham ketika pengajaran mata pelajaran sastera menggunakan novel Interlok.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementerian akan terus mengadakan perbincangan dan dialog dengan MIC bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu dan setakat ini, beberapa perkara sudah diusulkan hasil perbincangan.

“Ia termasuk soal menyediakan glosari, nota kaki dan panduan guru supaya pihak yang mengajar novel itu dapat dipandu dengan satu bentuk agak jelas dan tidak timbul masalah," katanya selepas majlis pecah tanah bangunan tambahan Sekolah Agama Labis bernilai RM2.4 juta, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, sebelum ini dialog berhubung isu Interlok antara panel Kementerian Pelajaran dan wakil MIC berlangsung dengan baik membabitkan perbincangan secara intelektual dan profesional, tetapi ada pihak mungkin sengaja mempolitikkan isu terbabit sedangkan jika diteliti, tiada perkara perlu dibimbangkan.

“Semua ahli hadir bersetuju Interlok novel yang baik, menyeru kepada perpaduan pelbagai kaum selaras gagasan 1Malaysia. Cuma ada kebimbangan MIC atau sesetengah masyarakat India berhubung beberapa perkataan, sedangkan penulis langsung tiada niat menghina atau memperkecil-kan mana-mana kaum dalam novel itu,” katanya.

Mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang kononnya haram mengundi UMNO pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, beliau berkata, pemimpin PAS sering mengeluarkan fatwa sedemikian bagi meraih undi.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat terus komited membantu meringankan beban kerajaan negeri dengan mewujudkan sekolah agama bantuan kerajaan bagi memastikan rakyat dapat menikmati pendidikan agama lebih baik.

Berita Harian Online: 22 Januari 2011

Kontrak GSTT disambung semula

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2011/01/22

1,614 guru akan dipanggil kembali berkhidmat bagi tampung kekurangan

KUALA LUMPUR: Seramai 1,614 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) akan kembali senyum apabila Kementerian Pelajaran menyambung semula kontrak yang ditamatkan tahun lalu dalam masa terdekat bagi menampung kekurangan tenaga pengajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata bagi 578 guru GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak tahun lalu pula, kementerian turut memutuskan mengkaji semula kedudukan mereka berikutan sebahagian besar daripada mereka hanya berkhidmat selama dua tahun.

Katanya, guru GSTT yang disambung kembali kontraknya adalah mereka yang berkhidmat selama tiga tahun berturut-turut.

Kementerian juga dalam proses untuk menyerap guru GSTT yang masih dalam kontrak dan sudah bertugas lebih tiga tahun ke jawatan guru tetap melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC).

“Kita akan panggil kembali (guru GSTT) untuk ditempatkan semula di sekolah yang ada kekurangan guru. Jika sekolah mereka (mengajar) sebelum ini sudah dipenuhi guru terlatih, maka guru GSTT ini akan ditempatkan di sekolah lain.

“Daripada 1,614 guru GSTT berkenaan 388 akan ditempatkan di sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah. Kedudukan guru GSTT di Sabah pula kita akan kaji, kerana ada juga guru GSTT yang berkhidmat lebih tiga tahun tetapi tidak secara berturut-turut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebelum ini, guru GSTT yang ditamatkan kontrak oleh Kementerian Pelajaran merayu supaya kontrak mereka dilanjutkan semula selain berharap dapat diserap sebagai guru tetap.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan, berkata kementerian perlu mencari mekanisme khusus untuk menyerap lebih ramai guru GSTT sebagai guru tetap.

“Kalau boleh kementerian turut memanggil kembali guru GSTT yang sudah bertugas lebih setahun ataupun dua tahun, kerana mereka ini sudah memiliki pengalaman. Jadi kumpulan ini juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Hashim berkata, guru GSTT lepasan ijazah perlu diberi ruang untuk diserap sebagai guru tetap terutama bagi menampung keperluan kekurangan guru di sekolah menengah.

Berita Harian Online: 22 Januari 2011

Jumaat, 21 Januari 2011

Susu 1Malaysia

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/01/21

SID teruskan semula bekalan mulai bulan depan

MAJLIS Guru Besar Malaysia (MGBM) menyarankan Kementerian Pelajaran menggunakan kaedah baru bagi melancarkan proses penghantaran bekalan Susu 1Malaysia bagi mengelak pencemaran dan kerosakan minuman hingga menjejaskan kualitinya.

Kaedah penghantaran kini di kawasan terpencil dua hingga tiga bulan sekali, perlu diubah kepada sebulan sekali untuk mengelak masalah berkenaan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan murid keracunan.

Yang Dipertua MGBM, Roslan Madun, berkata pembekal tidak patut menjadikan isu logistik meliputi jarak sekolah jauh di luar bandar dan pedalaman menyukarkan pengagihan bekalan dalam tempoh berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya meminta sistem penyimpanan sempurna perlu dilaksanakan kerana ada sekolah menyimpan bekalan itu atas simen dalam stor yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran dan susu mudah rosak.

“Pembekal utama program Susu 1Malaysia, Sabah International Dairies (SID) bersama pembekal lain mula membekalkan minuman mulai bulan depan selepas memuktamadkan perjanjian dengan kementerian. Keputusan itu menceriakan murid dan ibu bapa.

“Lebih tiga juta murid di 7,685 sekolah rendah kerajaan seluruh negara bakal menikmati kemudahan itu,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Eksekutif SID, Brig Gen (B) Datuk A Arulpragasam yang memberi jaminan bekalan mula dihantar ke semua sekolah dalam tempoh terdekat dan kumpulan sasar mula menikmatinya selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu pada 6 Februari ini.

SID membekalkan susu 1Malaysia untuk murid di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Roslan mendedahkan program bekalan Susu 1Malaysia untuk murid Tahun Satu hingga Tahun Enam yang mula dilaksanakan Oktober lalu tidak diteruskan pada sesi persekolahan tahun ini yang bermula 3 Januari lalu.

Arulpragasam ketika diminta mengulas pendedahan itu, berkata bekalan diteruskan bulan depan serta SID mempunyai bekalan susu berkualiti mencukupi.

“Rakan saya dari syarikat lain juga memberi jaminan bekalan susu segar mencukupi sepanjang tahun ini yang diperah daripada induk lembu yang sihat di beberapa ladang ternakan seluruh negara.

“Bekalan itu dihentikan seketika sementara menunggu perjanjian baru pembekalan bersama Kementerian Pelajaran yang kini sudah dimuktamadkan demi kebaikan kumpulan sasar,” katanya.

Program Susu 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanfaatkan murid terutama daripada keluarga miskin yang sukar membeli minuman berkhasiat.

Program yang diumumkan Najib pada 16 September lalu di Sandakan, Sabah mula dilaksanakan Oktober lalu yang membantu melahirkan generasi lebih cergas dan sihat berikutan zat kalsium yang terkandung di dalamnya membantu mencerdaskan otak.

Pada 25 September lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sejumlah 270 juta kotak susu 1Malaysia akan diedarkan setahun.

Berita Harian Online: 21 Januari 2011

Utamakan guru sandaran masuk IPG

MARAN 20 Jan. - Kementerian Pelajaran diminta mengutamakan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) berpengalaman lebih tiga tahun untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan guru (IPG) pada sesi akan datang.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, keutamaan perlu diberikan kepada mereka selaras dengan janji kementerian yang akan mengambil kira pengalaman lebih tiga tahun dalam pendidikan untuk pemilihan ke IPG.

Pada masa ini, menurut beliau, GSTT berpengalaman terpaksa bersaing dengan calon baru yang tiada pengalaman dalam bidang perguruan untuk melanjutkan pengajian di IPG.

"Pemilihan mereka sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan kepada profesion perguruan ketika mengalami kekurangan guru terlatih," katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Sabri menegaskan, pengalaman GSTT wajar diberi pertimbangan utama oleh kementerian supaya usaha memartabatkan profesion perguruan dapat dipertingkatkan.

"Pihak kementerian wajar mengambil kira pandangan pihak lain yang mempunyai pengetahuan dalam bidang itu supaya masalah kekurangan guru di sekolah dapat diatasi segera.

"Walaupun pelbagai langkah diambil kementerian untuk memenuhi keperluan guru di sekolah tetapi masih terdapat kekurangan guru dalam subjek tertentu," ujarnya.

Mohamed Sabri turut mencadangkan kementerian mempertimbangkan pertambahan kuota pengambilan calon guru di IPG selaras dengan keperluan di sekolah.

Pada masa sama ujarnya, kementerian perlu memperkasakan program Kursus Dalam Cuti (KDC) bagi guru sementara yang berpengalaman mendapat pengiktirafan dalam bidang itu.

"Suatu ketika dahulu, program KDC sangat membantu kementerian mengatasi kekurangan guru di sekolah di samping mengiktiraf kebolehan dan pengalaman guru terbabit.

"Beberapa dasar baru kementerian tahun ini perlu diseimbangkan dengan kecukupan tenaga pengajar yang terlatih dan berpengalaman bagi menjamin kejayaan dasar itu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 21 Januari 2011

Khamis, 20 Januari 2011

578 guru sandaran Sabah minta sambung kontrak

2011/01/20

Pengerusi GSTT dakwa sekolah hadapi kekurangan 19 guru

PUTRAJAYA: Seramai 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang tamat kontrak akhir tahun lalu mengharapkan Kementerian Pelajaran menyambung semula perkhidmatan mereka seperti dijanjikan.

Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Norman Lantayan, berkata awal bulan lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi memberi jaminan kementerian tidak memberhentikan sebahagian daripada 12,000 guru terbabit yang tamat kontrak, tahun lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami belum menerima surat tawaran sambungan kontrak perkhidmatan yang menyebabkan ada sekolah kekurangan guru sehingga 19 orang,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Terdahulu, Norman bersama pemimpin GSTT Sabah menyerahkan memorandum rayuan sambungan perkhidmatan kepada Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Yusuf Haniff untuk diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya di sini.

Hadir sama, Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Junaidi Paik.

Sebelum ini jawatankuasa terbabit pernah mengadakan perbincangan dengan Mohd Puad untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah mereka.
Norman berkata, penamatan kontrak GSTT di negeri itu menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk menyebabkan kekurangan 19 guru di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Lahad Datu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom (13) dan SMK Tandek, Kota Marudu (11).

Katanya, berdasarkan maklum balas daripada pihak sekolah, GSTT komited melaksanakan tugas dan amanah mendidik untuk membantu memperkasakan pengetahuan pelajar di Sabah.

“Biarpun tidak terlatih, guru sandaran terbabit bekerja keras meningkatkan pengetahuan, termasuk menimba ilmu daripada guru berpengalaman di sekolah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Jamawi yakin Timbalan Perdana Menteri dapat menyelesaikan masalah guru terbabit dengan mengambil kira isu kekurangan guru di sekolah yang sebelum ini menggunakan perkhidmatan mereka.

“Jasa dan sumbangan mereka banyak membantu kerajaan memperkasakan modal insan menerusi pendidikan. Komitmen tinggi mereka perlu dihargai, termasuk menerima tugasan di kawasan pedalaman yang serba kekurangan,” katanya.

Berita Harian Online: 20 Januari 2011

Guru mengamuk, 14 rakan bersembunyi dalam paya

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2011/01/20

Hentakan pedang kejutkan penghuni tidur di kuarters guru

KOTA KINABALU: Empat belas guru, termasuk dua wanita bertarung dengan nyamuk dan pacat kira-kira 11 jam dalam hutan paya bakau di Kampung Sabur, Pulau Banggi, kira-kira 300 kilometer (km) dari sini, kerana bersembunyi daripada seorang guru lelaki yang mengamuk menggunakan pedang samurai, tengah malam kelmarin.

Mereka terpaksa melompat keluar dari rumah dan kuarters guru setinggi dua meter di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur selepas dikejutkan dengan hentakan pedang di kediaman masing-masing sebelum melarikan diri ke hutan paya bakau bagi mengelak dicederakan dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu.

Dua belas guru lelaki terbabit mengajar di sekolah itu antara dua hingga 10 tahun, manakala dua guru wanita itu baru berpindah ke sekolah berkenaan.

Saksi berkata, ketika kejadian kebanyakan guru di rumah dan kuarters diperbuat daripada papan itu nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan hentakan kuat pada dinding dan pintu, selain pekikan lelaki mengamuk.

“Sebaik membuka pintu, saya terkejut melihat guru lelaki berusia 30 tahun mengamuk dengan melibas pedang samurai dan menghentak pedang ke dinding dan pintu rumah kawan saya.

“Saya terus mengejutkan tiga rakan lain dan melompat keluar dari rumah papan setinggi kira-kira dua meter untuk melarikan diri ke dalam hutan paya bakau.
“Ketika menyelamatkan diri, saya nampak ada beberapa guru lain termasuk wanita turut melarikan diri ke dalam hutan.

"Sebelum melarikan diri, ada seorang kawan saya sempat mengambil telefon bimbit dan menghubungi polis tetapi polis hanya tiba kira-kira jam 12 tengah hari.

“Kami agak kecewa kerana polis dari Balai Polis Banggi di pekan Karakit hanya datang kira-kira 11 jam,” katanya ketika dihubungi di Pulau Banggi, semalam.

Pulau Banggi dengan keluasan 432 kilometer (km) persegi adalah pulau terbesar di Malaysia yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Kudat yang perjalanannya mengambil masa satu setengah jam.

SK Sabur mempunyai 18 guru dan lima kakitangan sokongan, kebanyakan guru adalah dari Semenanjung, manakala jumlah muridnya ialah 190 orang.

Saksi itu berkata, mereka hanya dapat keluar dari tempat persembunyian masing-masing selepas mendengar bunyi helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bot PDRM.

Difahamkan, guru yang mengamuk itu berasal dari Ranau dan sudah berkahwin dengan wanita tempatan. Dia dikatakan mengajar di sekolah itu sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen, mengesahkan guru berkenaan ditahan di rumahnya tidak jauh dari sekolah, tengah hari kelmarin.

"Ketika ditahan, suspek tidak melawan dan kita turut merampas sebilah senjata tajam daripadanya,” katanya.

Mengenai kelewatan anggota polis tiba di tempat kejadian, beliau berkata, angin kencang menyebabkan anggota dari Balai Polis Banggi terpaksa meredah ombak besar dan meminta bantuan Unit Udara PDRM.

Berita Harian Online: 20 Januari 2011

Guru mengamuk, 14 rakan bersembunyi dalam paya

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2011/01/20

Hentakan pedang kejutkan penghuni tidur di kuarters guru

KOTA KINABALU: Empat belas guru, termasuk dua wanita bertarung dengan nyamuk dan pacat kira-kira 11 jam dalam hutan paya bakau di Kampung Sabur, Pulau Banggi, kira-kira 300 kilometer (km) dari sini, kerana bersembunyi daripada seorang guru lelaki yang mengamuk menggunakan pedang samurai, tengah malam kelmarin.

Mereka terpaksa melompat keluar dari rumah dan kuarters guru setinggi dua meter di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur selepas dikejutkan dengan hentakan pedang di kediaman masing-masing sebelum melarikan diri ke hutan paya bakau bagi mengelak dicederakan dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu.

Dua belas guru lelaki terbabit mengajar di sekolah itu antara dua hingga 10 tahun, manakala dua guru wanita itu baru berpindah ke sekolah berkenaan.

Saksi berkata, ketika kejadian kebanyakan guru di rumah dan kuarters diperbuat daripada papan itu nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan hentakan kuat pada dinding dan pintu, selain pekikan lelaki mengamuk.

“Sebaik membuka pintu, saya terkejut melihat guru lelaki berusia 30 tahun mengamuk dengan melibas pedang samurai dan menghentak pedang ke dinding dan pintu rumah kawan saya.

“Saya terus mengejutkan tiga rakan lain dan melompat keluar dari rumah papan setinggi kira-kira dua meter untuk melarikan diri ke dalam hutan paya bakau.
“Ketika menyelamatkan diri, saya nampak ada beberapa guru lain termasuk wanita turut melarikan diri ke dalam hutan.

"Sebelum melarikan diri, ada seorang kawan saya sempat mengambil telefon bimbit dan menghubungi polis tetapi polis hanya tiba kira-kira jam 12 tengah hari.

“Kami agak kecewa kerana polis dari Balai Polis Banggi di pekan Karakit hanya datang kira-kira 11 jam,” katanya ketika dihubungi di Pulau Banggi, semalam.

Pulau Banggi dengan keluasan 432 kilometer (km) persegi adalah pulau terbesar di Malaysia yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Kudat yang perjalanannya mengambil masa satu setengah jam.

SK Sabur mempunyai 18 guru dan lima kakitangan sokongan, kebanyakan guru adalah dari Semenanjung, manakala jumlah muridnya ialah 190 orang.

Saksi itu berkata, mereka hanya dapat keluar dari tempat persembunyian masing-masing selepas mendengar bunyi helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bot PDRM.

Difahamkan, guru yang mengamuk itu berasal dari Ranau dan sudah berkahwin dengan wanita tempatan. Dia dikatakan mengajar di sekolah itu sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen, mengesahkan guru berkenaan ditahan di rumahnya tidak jauh dari sekolah, tengah hari kelmarin.

"Ketika ditahan, suspek tidak melawan dan kita turut merampas sebilah senjata tajam daripadanya,” katanya.

Mengenai kelewatan anggota polis tiba di tempat kejadian, beliau berkata, angin kencang menyebabkan anggota dari Balai Polis Banggi terpaksa meredah ombak besar dan meminta bantuan Unit Udara PDRM.

Berita Harian Online: 20 Januari 2011

Rabu, 19 Januari 2011

YGMB sedia bantu lunas hutang ahli

JIKA anda mempunyai hutang bank seperti pinjaman peribadi, kad kredit atau pinjaman-pinjaman lain yang banyak serta dibebani dengan faedah bank yang tinggi.

Tidak perlu risau.

Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bersedia membantu melunaskan hutang-hutang tersebut dengan syarat anda perlulah mendaftar sebagai ahli YGMB dan anggota Koperasi YGMB.

Itu antara faedah menarik yang disediakan oleh YGMB melalui Koperasi YGMB dalam usahanya menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang sebahagian besar terdiri daripada guru- guru di bawah Kementerian Pelajaran (KPM).

Selain warga pendidik, faedah tersebut juga boleh dinikmati oleh semua pegawai perkhidmatan pelajaran, kakitangan di KPM, pesara guru dan ahli bersekutu (kakitangan YGMB).

Dengan fungsi utamanya sebagai kredit, Koperasi YGMB bersedia melunaskan pinjaman bank ahli-ahlinya di mana mereka perlu membayar semula pinjaman tersebut kepada koperasi yang menawarkan faedah jauh lebih murah.

Faedah serta sumbangan ini mampu dinikmati oleh setiap ahlinya dengan hanya perlu membayar yuran bulanan keahlian YGMB sebanyak RM10.

Yuran bagi keanggotaan Koperasi YGMB pula adalah RM35 setiap bulan. Namun, yuran bulanan Koperasi YGMB ini akan dipulangkan semula apabila anggotanya bersara kelak.

Menurut Pengerusi YGMB, Tan Sri Alumiddin Mohd. Dom, dengan penjenamaan semula YGMB dan suntikan modal sebanyak RM10 juta oleh kerajaan, YGMB yakin untuk memberikan perkhidmatan kebajikan serta faedah terbaik kepada ahli-ahlinya.

“Antara sumbangan kebajikan melalui produk baru itu ialah meningkatkan jumlah sumbangan khairat kematian, melanjutkan pelajaran, perubatan, kemalangan, malapetaka, perkahwinan, persaraan dan melahirkan anak,” katanya pada sidang akhbar di Wisma YGMB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain membantu melunaskan pinjaman bank, Koperasi YGMB juga menawarkan pinjaman kecemasan dengan jumlah maksimum RM2,000 dalam tempoh 24 jam kepada ahli-ahlinya.

Pinjaman tersebut boleh digunakan contohnya untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan yang telah tamat tempoh atau kecemasan lain yang memerlukan peruntukan wang.

Jelas Alumiddin, dengan sasaran sebanyak 100,000 ahli baru menjelang pertengahan tahun ini, YGMB berhasrat untuk berkembang agar setanding dengan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dan Koperasi Polis.

“Sehingga kini hanya terdapat 129,124 keahlian daripada jumlah keseluruhan kira-kira 400,000 guru di seluruh negara di mana 77,132 merupakan ahli seumur hidup dan 51,992 ahli biasa.

“Jika keahlian dapat ditingkatkan, tidak mustahil hasrat tersebut mampu untuk dicapai memandangkan jumlah guru di negara ini adalah lebih ramai berbanding anggota polis dan tentera,” jelasnya.

Beliau menambah, sumbangan yang bakal dinikmati oleh ahli YGMB dan koperasi YGMB adalah berbeza. Jika ahli YGMB turut mendaftar sebagai anggota Koperasi YGMB, mereka akan mendapat faedah daripada kedua-dua badan tersebut.

“Antara sumbangan yang disediakan oleh YGMB ialah khairat kematian ahli, kematian pasangan (suami/isteri), kematian anak (bawah 18 tahun), kemasukan ke IPTA/IPTS/IPGM, hadiah pesaraan, malapetaka, kemalangan, rawatan, perkahwinan dan melahirkan anak kesemuanya berjumlah RM7,300.

“Faedah yang bakal dinikmati oleh anggota Koperasi YGMB pula adalah pinjaman hartanah, pinjaman khas, pinjaman pelajaran, pinjaman biasa, pinjaman umrah dan pelancongan.

“Koperasi YGMB juga menyediakan sumbangan kebajikan kepada anggotanya seperti khairat kematian, dermasiswa, bantuan kemalangan dan bantuan bencana alam yang kesemuanya bernilai RM5,100,” terang beliau.

Alimuddin memberitahu, antara cadangan lain ialah untuk menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran ke peringkat Master dan Doktor Falsafah (PhD) di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) kepada ahli-ahlinya.

“YGMB juga berhasrat untuk menubuhkan kolej universiti dan pusat tuisyen, membina projek perumahan untuk ahli dan membeli bangunan serta tanah pertanian,” katanya.

Selain itu tambahnya, YGMB juga berhasrat untuk mewujudkan bank guru yang akan memberi pelbagai faedah menarik kepada semua guru di seluruh negara.

“Ia akan dapat dilaksanakan jika YGMB terus berdiri kukuh dan mempunyai keahlian yang ramai. Oleh itu, warga pendidik diharap dapat merebut peluang untuk menjadi ahli YGMB dan anggota koperasi untuk menikmati faedah dan sumbangan tersebut,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai YGMB dan Koperasi YGMB boleh diperolehi di Wisma YGMB, Jalan Selangor, Taman Melawati, Kuala Lumpur atau hubungi 03-41058679/03-41052845 serta laman sesawang www.ygmb.com.my.


Utusan Malaysia Online: 19 Januari 2011

150 pensyarah, guru pelatih sertai Wacana Ilmu

KUALA LIPIS 18 Jan. - Seramai 150 pensyarah dan guru pelatih menyertai program Wacana Ilmu Bicara Karya Sastera Pahang baru-baru ini.

Program berlangsung di Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA), Lipis itu disertai oleh kakitangan Jabatan Pengajian Melayu (JPM) institusi tersebut dan guru bahasa serta sastera dari sekolah-sekolah menengah (SM) daerah ini.

Program julung kali diadakan itu bertujuan menerapkan teori sastera melalui diskusi karya di samping memperkenalkan buku sastera mutakhir kepada khalayak wacana dan masyarakat di Lipis.

Ia dianjurkan oleh JPM IPGTAA Lipis dengan kerjasama Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera DBP, Rogayah A. Hamid berkata, wacana berkenaan mendedahkan genre puisi dan novel penulis Pahang dari sudut teori dan kritikan sastera oleh penulis dan pensyarah yang berpengalaman.

''DBP memberi peluang kepada panel berkenaan memilih buku tertentu dengan mengupas genre ini berasaskan pada teori dan kritikan sastera yang dihadiri oleh khalayak profesional bahasa serta peminat sastera sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Antara ahli panel yang menyertai program itu ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman dan Naffi Mat; tokoh penyair dan novelis, Mohamad Ghozali Abdul Rashid atau dikenali dengan nama penanya, Malim Ghozali PK.

Rogayah berkata, DBP sentiasa memberi sokongan dalam apa juga kegiatan berkenaan dalam mengembangkan serta meningkatkan martabat bahasa dan sastera yang kini berdepan dengan senario global.

Bagi Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGTAA Lipis, Mohd. Rasdi Saamah, wacana sastera itu memberi peluang kepada bakal guru mencambah sebanyak mungkin pengetahuan sastera kebangsaan dan memantapkan pemahaman khalayak terhadap teori kritikan sastera melalui diskusi sesebuah hasil karya sastera.

''Usaha untuk melestarikan kesusasteraan perlu disuburkan menerusi kekuatan dalaman dan pemikiran guru pelatih di sini antara golongan profesional dalam pendidikan yang bakal menjadi penggerak, pemerhati serta ejen perubahan masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Rasdi menjelaskan, pemahaman mengenai sesuatu genre sastera menzahirkan falsafah mengenai kehidupan sekali gus membantu mencorakkan pemikiran guru pelatih IPGTAA khususnya bagi memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa serta sastera di kalangan pelajar.

Sementara itu, bekas Pengarah IPGTAA Lipis, Datuk Mazlan Mohamad dalam ucapannya berkata, kerjasama erat antara DBP dengan institut itu dapat melestarikan perkembangan tamadun ilmu yang berakar umbi melalui khazanah sastera, seni dan budaya.

''Penghayatan sastera melalui pelbagai genre dalam cabang budaya memerlukan kita mentafsir akal budi, nilai dan norma yang tersurat, bukan sekadar nilai estetika yang perlu dihayati tetapi persoalan utama inti serta ruang lingkup karya sastera itu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Januari 2011