Jumaat, 7 Januari 2011

Mohammad dirai ketika hujan lebat


Mohamad Ismail bersalaman dengan sebahagian murid sempena persaraannya di Sekolah Kebangsaan Seri Kota, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 6 Jan. - Majlis persaraan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota dekat sini, Mohamad Ismail, 57, hari ini pasti meninggalkan seribu satu kenangan buat beliau apabila diraikan ketika hujan lebat.

Disebabkan cuaca buruk, pihak sekolah yang sebelum itu mengatur satu majlis istimewa untuk beliau, terpaksa menangguhkan acara dan mengubahnya sebanyak lima kali.

Mengikut perancangan awal, Mohamad akan diarak menaiki sebuah kereta kuda, tetapi kemudiannya ditukar kepada berkuda dan akhirnya hanya diiringi oleh sebuah daripada lima motosikal berkuasa tinggi, gara-gara cuaca tidak mengizinkan.

Difahamkan, empat lagi pemilik motosikal berkuasa tinggi berkenaan tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana rumah mereka dinaiki banjir.

Namun, bekas guru besar yang berkhidmat selama 35 tahun itu, tetap gembira dan mengucapkan penghargaan kepada warga pendidik dan murid yang menganjurkan majlis tersebut.

Menurut bapa kepada lima orang anak itu berkata, setelah terlibat selama 35 tahun dalam bidang pendidikan, sebarang majlis yang diadakan bagi meraikannya tetap mempunyai erti cukup besar baginya.

Beliau berkata, hasratnya menjadi seorang guru semata-mata untuk mencurah bakti mendidik anak bangsa supaya mereka menjadi insan cemerlang dan keikhlasannya itu berbaloi kerana ramai anak didiknya mengecapi kejayaan pada hari ini.

"Saya berbangga apabila mendapati anak didik saya mencatatkan pelbagai kejayaan sebagai pemimpin peringkat negeri dan kebangsaan," katanya pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 murid dan guru itu.

Mengimbau penglibatannya sebagai seorang pendidik, Mohamad berkata, sejak kecil lagi, beliau memang bercita-cita menjadi seorang guru dan hasratnya itu tercapai apabila ditawarkan melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Seri Kota Kuala Lumpur pada 1972.

Katanya, beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ipoh, Tanah Merah, sebelum bertukar ke SMK Kubang Kerian, seterusnya Maktab Sultan Ismail Kota Bharu.

Penglibatan cemerlangnya dalam bidang sukan di peringkat sekolah membolehkan Mohamad dilantik sebagai pensyarah pendidikan jasmani Institut Pendidikan Guru di Pengkalan Chepa yang kini dikenali sebagai Maktab Perguruan Kota Bharu, selama tiga tahun.

Sepanjang dalam perkhidmatan, beliau pernah bertugas sebagai Penyelia Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Jabatan Pelajaran Negeri dan guru besar di beberapa buah sekolah di daerah ini.

Mohamad juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Kelantan, Penolong Setiausaha Agung dan Setiausaha Agung KGMMB, Setiausaha Agung Majlis Guru Besar Kota Bharu dan Naib Pengerusi Majlis Guru Besar Kota Bharu (2).

Utusan Malaysia Online: 7 Januari 2010

Tiada ulasan: