Isnin, 3 Januari 2011

Latih lebih banyak anak tempatan sebagai guru

KUCHING 2 Jan. - Pembangunan sektor pendidikan negara akan terjejas sekiranya tidak ramai anak tempatan dilatih sebagai guru khususnya di Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Ghani Bina berkata, ia kerana pada saban tahun jumlah permohonan perpindahan guru ke Semenanjung amat tinggi sekali gus menggugat perancangan Kementerian Pelajaran.

Justeru beliau mencadangkan supaya sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah warga perguruan di dua negeri itu terdiri daripada anak-anak tempatan.

"Kita tidak boleh sama sekali mempersalahkan guru-guru ini, masalah mereka perlu difahami terutama bagi yang terpaksa berpisah dengan keluarga di Semenanjung.

"Perpisahan itu bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan kerana perlu ada 'dua dapur' malah emosi turut tertekan sehingga menjejaskan tumpuan," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, William Ghani berkata pihaknya sedar bahawa sebagai penjawat awam, warga perguruan perlu akur dengan arahan lokasi tugas walaupun di kawasan pedalaman sekalipun.

Bagaimanapun katanya, pertimbangan perlu diberikan kepada guru-guru yang telah berkeluarga dan telah lama berkhidmat.

"Saya menyokong sepenuhnya bahawa sebagai penjawat awam, semua warga perguruan perlu bersedia untuk dihantar bertugas di mana-mana sahaja.

"Saya yakin mereka juga faham dengan kewajipan itu namun kita tidak mahu dunia pendidikan menjadi punca kepada permasalahan guru sehingga keluarga mereka berpecah belah.

"Bukankah pendidikan itu penting untuk memajukan keluarga, masyarakat dan negara? Jika dunia pendidikan itu menyebabkan keluarga warga perguruan kacau-bilau, ia bukan contoh yang baik," tegasnya.

Justeru kata beliau, adalah lebih baik hanya guru-guru yang baru menamatkan pengajian dihantar ke Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman lain di seluruh negara sebagai satu bentuk pendedahan.

"Dengan itu apabila mereka naik pangkat sebagai pemimpin di jabatan pelajaran negeri mahupun kementerian, mereka lebih memahami masalah yang dihadapi guru-guru di kawasan berkenaan," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 3 Januari 2011

Tiada ulasan: