Rabu, 19 Januari 2011

150 pensyarah, guru pelatih sertai Wacana Ilmu

KUALA LIPIS 18 Jan. - Seramai 150 pensyarah dan guru pelatih menyertai program Wacana Ilmu Bicara Karya Sastera Pahang baru-baru ini.

Program berlangsung di Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA), Lipis itu disertai oleh kakitangan Jabatan Pengajian Melayu (JPM) institusi tersebut dan guru bahasa serta sastera dari sekolah-sekolah menengah (SM) daerah ini.

Program julung kali diadakan itu bertujuan menerapkan teori sastera melalui diskusi karya di samping memperkenalkan buku sastera mutakhir kepada khalayak wacana dan masyarakat di Lipis.

Ia dianjurkan oleh JPM IPGTAA Lipis dengan kerjasama Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera DBP, Rogayah A. Hamid berkata, wacana berkenaan mendedahkan genre puisi dan novel penulis Pahang dari sudut teori dan kritikan sastera oleh penulis dan pensyarah yang berpengalaman.

''DBP memberi peluang kepada panel berkenaan memilih buku tertentu dengan mengupas genre ini berasaskan pada teori dan kritikan sastera yang dihadiri oleh khalayak profesional bahasa serta peminat sastera sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Antara ahli panel yang menyertai program itu ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman dan Naffi Mat; tokoh penyair dan novelis, Mohamad Ghozali Abdul Rashid atau dikenali dengan nama penanya, Malim Ghozali PK.

Rogayah berkata, DBP sentiasa memberi sokongan dalam apa juga kegiatan berkenaan dalam mengembangkan serta meningkatkan martabat bahasa dan sastera yang kini berdepan dengan senario global.

Bagi Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGTAA Lipis, Mohd. Rasdi Saamah, wacana sastera itu memberi peluang kepada bakal guru mencambah sebanyak mungkin pengetahuan sastera kebangsaan dan memantapkan pemahaman khalayak terhadap teori kritikan sastera melalui diskusi sesebuah hasil karya sastera.

''Usaha untuk melestarikan kesusasteraan perlu disuburkan menerusi kekuatan dalaman dan pemikiran guru pelatih di sini antara golongan profesional dalam pendidikan yang bakal menjadi penggerak, pemerhati serta ejen perubahan masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Rasdi menjelaskan, pemahaman mengenai sesuatu genre sastera menzahirkan falsafah mengenai kehidupan sekali gus membantu mencorakkan pemikiran guru pelatih IPGTAA khususnya bagi memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa serta sastera di kalangan pelajar.

Sementara itu, bekas Pengarah IPGTAA Lipis, Datuk Mazlan Mohamad dalam ucapannya berkata, kerjasama erat antara DBP dengan institut itu dapat melestarikan perkembangan tamadun ilmu yang berakar umbi melalui khazanah sastera, seni dan budaya.

''Penghayatan sastera melalui pelbagai genre dalam cabang budaya memerlukan kita mentafsir akal budi, nilai dan norma yang tersurat, bukan sekadar nilai estetika yang perlu dihayati tetapi persoalan utama inti serta ruang lingkup karya sastera itu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Januari 2011

Tiada ulasan: