Sabtu, 22 Januari 2011

Kesal tidak ditempatkan di Negeri Sembilan

SAYA merupakan salah seorang calon yang berjaya ditempatkan ke dalam perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan telah diarahkan melapor diri ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) pada 17 Januari 2011 lalu.

Di dalam surat penerimaan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Putrajaya, kami akan ditempatkan di sekitar Negeri Sembilan oleh JPNS sendiri. Ini kerana, berdasarkan rakan-rakan dari negeri lain yang saya temui ketika sesi taklimat di Putrajaya, sesiapa yang ditawarkan luar dari negeri sendiri telah diberitahu di dalam surat yang dikeluarkan oleh KPM sendiri pada hari taklimat itu juga.

Kami hanya diberitahu tentang penempatan kami oleh pihak JPNS pada hari kedua melapor diri, itu pun menjelang waktu rehat tengah hari. Apa yang mengecewaan kami, daripada 25 orang yang telah disenaraikan nama untuk melaporkan diri ke JPNS, hanya 12 orang dari kami yang diberi tempat di sekitar Negeri Sembilan. Lebih separuh dari kami, telah 'ditolak' ke negeri-negeri lain dan perlu membuat rayuan penempatan semula (sekiranya tidak bersetuju) ke Putrajaya, dengan alasan Negeri Sembilan sudah penuh dan tiada lagi tempat kosong.

Apabila tiba di Putrajaya, pihak KPM sendiri keliru dengan tindakan JPNS yang seakan-akan sambil lewa dengan urusan penempatan kami.

Daripada makluman pihak Putrajaya yang saya dapati, sebenarnya terdapat 30 kekosongan di Negeri Sembilan dan segala penempatan di negeri adalah atas urusan pihak JPNS. Jadi sekiranya terdapat 30 kekosongan, mengapa 13 orang dari 25 kami seolah-olah telah 'ditendang' keluar akibat ketidakadilan yang mungkin berlaku di JPNS tanpa pengetahuan kami? Sekiranya kami ditempatkan di luar Negeri Sembilan, mengapa pihak SPP Putrajaya sendiri tidak menyenaraikan nama kami ke luar Negeri Sembilan awal-awal lagi?

Kami begitu kecewa dengan tindakan JPNS menghantar kami keluar sedangkan pihak Putrajaya sendiri telah memberi arahan supaya kami ditempatkan di Negeri Sembilan.

Diharapkan tiada unsur 'politik' yang berlaku di JPNS atas ketidakadilan penempatan kami ini. Saya sebagai wakil rakan-rakan yang lain berharap agar para pegawai di JPNS melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah, tanpa mengira status seseorang.

Anak Nogori

Seremban, Negeri Sembilan


Utusan Malaysia Online: 22 januari 2011

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

La....ingatka JPN SELANGOR je yg paling lembab dlm MALAYSIA, rupanya JPNS pun 2 X 5 . mungkin sbb kedua-duanya JPNS (Selangor / N.SEMBILAN)

Tanpa Nama berkata...

Lemak betul guru baru.. abis guru kt perantauan bila nk blk klu guru baru x nk kluar