Sabtu, 20 Ogos 2011

Tetap meriah walau berpuasa



SENALING - Walaupun mengadakan majlis persaraan seorang guru pada Ramadan, namun ia tetap disambut meriah oleh guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling, kelmarin.

Persaraan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Mo’Minah Ujang, 58, diraikan selepas tamat tempoh perkhidmatannya sejak berkecimpung dalam dunia pendidikan bermula 1977 sehingga kini.

Mo’Minah berkata, sepanjang bergelar guru, banyak cabaran dan rintangan dihadapinya termasuk berhadapan dengan disiplin pelajar.

Menurutnya, disiplin pelajar amat penting kerana ia menentukan kejayaan.

“Tanpa disiplin kita tidak mampu berjaya selain perlu berpegang teguh kepada ajaran� agama Islam.

“Suka saya ingatkan kepada semua pelajar, kesabaran perlu ada dalam mengecap kejayaan. Jangan mudah berputus asa di atas kegagalan dahulu memandangkan pelbagai faktor mempengaruhinya. Gangguan dari persekitaran boleh membunuh kejayaan kita. Justeru, diharap pelajar perlu berpegang teguh kepada cita-cita yang ingin dikecap,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Pengetua SMK Senaling, Kamariah Rosdi; Yang dipertua Persatuan Ibu dan Bapa Datuk Mohamad Ahmad dan wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Mo’Minah berkata, mendidik anak-anak zaman globalisasi berbeza dengan zaman dahulu.

“Pada zaman ini, pelbagai cabaran perlu ditempuh dalam usaha melahirkan modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara.

“Mereka kini terdedah dengan pelbagai maklumat melalui rangkaian Internet secara berleluasa. Apa sahaja boleh diakses melalui jalur lebar dan sudah pasti setiap rumah memiliki komputer riba serta talian Internet,” katanya.

Katanya, oleh itu, guru-guru perlu lebih bersedia untuk mendidik pelajar dengan ilmu yang bernas dan intelektual.

Untuk rekod, Mo’Minah mula merasai asam garam selepas bergelar guru muda di SMK Za’ba Kuala Pilah dari 1977 hingga 1987 selepas melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda (Geografi) sekitar 1973 hingga 1976.

Kemudian, Mo’Minah meneruskan destinasi persinggahan di SMK Tuanku Muhammad pada 1987 hingga 2003.

Atas berkat kesungguhan beliau, pada 1994, beliau memegang jawatan sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) di sekolah sama.

Seterusnya, meneruskan perkhidmatan terakhir bermula 2004 sebagai guru di SMK Senaling juga dalam jawatan sama.

Pada 2000 dan 2008, beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sekali gus memberi kenangan manis sepanjang bergelar seorang pendidik.

Sinar Harian: 20 Ogos 2011

Tiada ulasan: