Selasa, 2 Ogos 2011

Selamat bersara Cikgu Mariam



MariaM Ibrahim bersama sebahagian guru kanan sekolah memotong kek sempena meraikan persaraannya di SMKAJB, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 1 Ogos - Suasana sebak menyelubungi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru (SMKAJB) apabila pengetuanya, Mariam Ibrahim melangkah keluar meninggalkan sekolah itu selepas 30 tahun menjadi guru.

Mariam, 56, mengakui bukan mudah untuk meninggalkan kerjaya yang diceburi sejak sekian lama, namun beliau lega dan gembira kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab besar selaku pendidik sejak sekian lama.

Menurutnya, bersara dalam profesion yang diceburi merupakan perkara biasa yang akan dihadapi bagi semua orang, namun ia perlu dihadapi dengan hati terbuka.

"Ketika mula-mula berkhidmat sebagai pengetua di sekolah ini pada 2006, saya merupakan seorang yang kurang pengalaman tetapi saya bertekad untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

"Dengan prinsip percaya dan yakin dengan ketentuan Allah, saya cuba lakukan perubahan sedikit demi sedikit bagi memastikan sekolah ini sentiasa berada dalam keadaan terbaik," katanya pada majlis Lakaran Kasih Tautan Budi sempena majlis persaraannya di SMKAJB di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran negeri, Abdul Aziz Abdullah.

Mariam yang dilahirkan di Kampung Hijrah Langgar, Alor Setar, Kedah merupakan anak kesembilan daripada 10 beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Langgar, Alor Setar dan Sekolah Menengah Agama Raudatul Ulum, Laggar.

Selepas itu meneruskan pelajaran ke Maktab Mahmud, Alor Setar sebelum meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1971 dalam bidang Pengajian Islam.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Daik Dijaya, Sungai Petani, Kedah; SMK Benut, Pontian; SMK Dato' Ali Haji Ahmad, Pontian; SMK Kayu Ara Pasung, Pontian dan SMK Dato' Penggawa Barat, Pontian.

Utusan Malaysia Online: 2 Ogos 2011

Tiada ulasan: