Jumaat, 30 Disember 2011

Kesatuan setuju guru Sarawak kembali berbakti

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2011/12/23

KESATUAN Guru Sarawak mengalu-alukan guru dari negeri itu kembali berkhidmat di Sarawak selepas mengajar beberapa tahun di tempat lain begitu juga sebaliknya kepada guru dari Semenanjung Malaysia.

Presidennya, William Ghani Bina, berkata pihaknya berterima kasih dan sangat menghargai pengorbanan guru dari Semenanjung yang sanggup berjauhan dengan keluarga masing-masing untuk mendidik pelajar di Sarawak dan Sabah.

Namun, katanya, banyak permohonan guru yang berasal dari Semenanjung dibuat untuk kembali ke Semenanjung begitu juga dengan guru dari Sarawak dan Sabah, selepas berkhidmat beberapa tahun, permohonan mereka patut diberi pertimbangan sewajarnya.
Beliau berkata, bersandarkan pengalaman yang diperoleh dalam kalangan guru itu membolehkan mereka menabur bakti di tempat kelahiran sendiri pula jika mereka memohon untuk kembali.

“Pengalaman mereka mengajar di tempat lain dapat digunakan untuk mendidik anak tempatan dan rasanya mereka dapat bergaul lebih dekat dan memahami pelajar serta senario tempatan.

“Kawasan pedalaman terutamanya memerlukan anak tempatan terutama guru terlatih kerana di kawasan pedalaman pelajar bergantung 100 peratus kepada guru ekoran tiada perpustakaan yang lengkap, kafe siber, kedai buku dan pusat tuisyen.

“Berbeza pelajar di bandar yang mempunyai infrastruktur yang lengkap,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
William berkata, taburan guru terlatih perlu sama rata bagi memastikan prestasi dan pencapaian pelajar luar bandar dan pedalaman juga setaraf dengan di bandar.

Ditanya mengenai peruntukan pendidikan menerusi belanjawan kerajaan tahun depan, William berkata, pihaknya menyambut baik apa yang diberikan kerajaan, namun mungkin satu tabung penyenggaraan khas perlu diwujudkan untuk sekolah di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kebanyakan sekolah di dua negeri itu dibina sejak sebelum merdeka lagi, justeru bangunan sekolah, asrama, kemudahan dan pendawaian elektriknya perlu diselenggara.

Mengulas pemansuhan yuran tambahan pelajar sekolah rendah dan menengah pula, beliau berkata satu peruntukan khas perlu disediakan Kementerian Pelajaran.

“Hal ini sememangnya menggembirakan ibu bapa, namun jika tiada peruntukan khas menggantikan yuran ini bagaimana sekolah mahu jalankan aktiviti kokurikulum seperti kegiatan kelab, persatuan dan membayar kos kertas peperiksaan,” katanya.

Berita Harian Online: 30 Disember 2011

1 ulasan:

Guru Borneo berkata...

Sedangkan guru tempatan sendiri pun taknak di tempatkan di pedalaman Sarawak, ini kan pula guru dari semenanjung. Ada guru tempatan yang kena mengajar pedalaman pun minta pindah masuk bandar.