Rabu, 11 Januari 2012

Dilema pelajar Terengganu

Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah saya dapati pemilihan pelajar-pelajar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau ke sekolah-sekolah pilihan di Terengganu, termasuk sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri, seakan-akan dikuasai oleh kuasa-kuasa politik.

Selaku guru sukan yang diarahkan oleh Guru Besar, saya diminta memastikan pelajar sentiasa aktif dalam bidang kokurikulum sama ada dalam sukan dan koakademik. Malah saya selalu menekankan kepada pelajar betapa pentingnya pencapaian kokurikulum sebagai satu tiket ke asrama penuh.

Penekanan ini telah berjaya melahirkan pelajar yang berjaya sehingga ada yang terpilih mewakili negeri dalam kejohanan sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Malah ada pelajar yang terlibat dengan perkhemahan badan beruniform di peringkat kebangsaan.

Apabila mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), saya menjangkakan pelajar ini tidak menghadapi masalah untuk ke sekolah pilihan masing-masing.

Namun jangkaan saya meleset apabila ada pelajar yang gagal untuk ke sekolah yang dihajatinya. Malah pelajar yang tidak berapa aktif pula (hanya aktif di peringkat sekolah sahaja) yang terpilih. Ada pelajar cemerlang kokurikulum yang seolah-olah menjadi pengemis kerana terpaksa membuat rayuan seolah-olah sijil di peringkat kebangsaan tidak laku.

Bagi ibu bapa yang mempunyai kenalan politik, kenalan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan juga mengenal pengetua-pengetua serta orang-orang penting di Yayasan Terengganu, mereka ini tiada masalah untuk menempatkan anak-anak mereka di sekolah yang menjadi rebutan di negeri ini.

Bagi saya, selain pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah yang diberi keutamaan, pelajar yang cemerlang kokurikulum patut diberi keistimewaan ini. Mereka ini berhempas-pulas berlatih pada tiap-tiap hari dan hujung minggu semata-mata untuk mendapat tiket ke sekolah yang dihajati tetapi akhirnya belajar di sekolah harian biasa.

Sebagai guru yang terbabit dengan bidang kokurikulum, saya merasa amat kecewa sekali. Melihat keadaan ini, saya rasa lebih baik saya menyuruh pelajar hanya mengikuti aktiviti sekolah yang biasa diadakan pada tiap-tiap minggu. Tiada gunanya cemerlang di peringkat kebangsaan kalau akhirnya hanya belajar di sekolah biasa.

Saya sendiri kadang-kadang malu apabila berjumpa ibu bapa pelajar ini. Kalau dulu, saya memujuk anak-anak mereka untuk lebih aktif membantu sekolah, daerah dan negeri dengan alasan peluang untuk belajar di sekolah terbaik lebih cerah. Tetapi sekarang saya hanya mampu menebal muka kerana tidak mampu menjawab soalan berkenaan dengan penempatan anak-anak mereka.

Kepada pihak di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yang terlibat dengan urusan pengambilan pelajar diharap lebih peka dengan perkara ini. Untuk guru-guru mengajak pelajar di kelas yang cerdik agar lebih aktif dalam kokurikulum bukannya senang.

Kebanyakan mereka hanya aktif di peringkat sekolah dan tidak mahu ke peringkat yang lebih tinggi walaupun berbakat. Alasan yang diberikan oleh ibu bapa biasanya mereka tidak mahu anak-anak mereka meninggalkan persekolahan kerana terbabit dengan latihan. Memang benar, bagi pelajar yang terpilih mewakili negeri, kebiasaannya mereka akan meninggalkan sekolah sehingga dua atau tiga minggu untuk menjalani latihan pusat.

Sebagai guru biasa, saya hanya berharap pihak JPNT memandang serius perkara ini. Hubungilah sekolah-sekolah rendah di Terengganu dan tanyalah pelajar-pelajar 5A yang mewakili negeri dalam apa jua pertandingan, di mana mereka belajar sekarang. Cemerlang akademik dan kokurikulum tetapi terpaksa merayu untuk ke sekolah terbaik adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Berilah keutamaan kepada pelajar ini sebagaimana yang dinikmati oleh pelajar-pelajar luar bandar dan miskin. Saya merasakan inilah jalan terbaik untuk menggalakkan pelajar lebih aktif. Kalaulah pelajar yang cemerlang akademik ditambah lagi dengan penglibatan di peringkat kebangsaan diberi peluang terus belajar di sekolah yang di pohon, nescaya saya merasakan ibu bapa akan berlumba-lumba menggalakkan anak-anak mereka aktif.

Utusan Malaysia Online: 11 Januari 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terengganu kan negeri yg terbaik UPSR 100 tahun berturut-turut. jadi ramai sangat yg dpt 5A. Susahlah nak dpt masuk SBP.
Memang kat SBP tu ramai anak org-org besar dan kaya....adalah sikit utk org2 kpg.