Jumaat, 20 Januari 2012

Ejen menyamar guna nama Berita Harian

upen@bharian.com.my
2012/01/20

pix_gal0
Jumpa pihak sekolah untuk anjur program motivasi, seminar peperiksaan PMR, SPM

PENGETUA, Penolong Kanan dan kaunselor sekolah menengah di sekitar Selangor dan Lembah Klang diingat tidak terpedaya dengan beberapa pihak mendakwa wakil Berita Harian bagi mengendalikan program motivasi dan seminar bimbingan peperiksaan pelajar Tingkatan Tiga dan Lima.
Ejen berkenaan dilaporkan bergerak di sekolah menengah di Lembah Klang menggunakan jenama Berita Harian bagi memudahkan mereka meloloskan diri berceramah di sekolah berkenaan.
Wakil daripada Skor A Sdn Bhd itu mendakwa mereka ialah penulis dan penceramah Seminar PMR dan SPM anjuran Berita Harian sedangkan dakwaan itu tidak benar.

Berita Harian tidak pernah melantik ejen berkenaan bagi pihak syarikat untuk berbuat demikian.

Beberapa sekolah di Puchong dan Ampang di Selangor serta di Setapak, Kuala Lumpur sangsi dengan kehadiran ejen berkenaan menghubungi Berita Harian untuk mendapatkan kepastian mengenai kehadiran mereka.

Tinjauan Berita Harian ke beberapa sekolah mendapati ejen berkenaan memang menggunakan nama Berita Harian memberi ceramah peperiksaan.
Penolong Kanan sebuah sekolah di Ampang berkata, pihaknya menerima kehadiran ejen berkenaan kerana mereka menggunakan nama besar iaitu Berita Harian.

“Kami mengetahui Berita Harian berpengalaman menganjurkan Klinik UPSR, Seminar PMR dan SPM sejak 15 tahun dan ini peluang pelajar mendapat sesuatu berharga daripada penceramah yang disediakan akhbar nasional ini.

“Selepas ini kami perlu lebih berhati-hati dengan memilih wakil sah bagi memastikan kualiti dan modul pengajaran standard,” katanya.

Guru berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, ejen itu mencari pelajar dengan menawarkan program tuisyen mingguan di sebuah institusi pengajian tinggi di Lembah Klang yang dikenakan bayaran tertentu.

Sementara itu seorang guru kaunselor di sekolah lain pula menyatakan, tahun lalu, ejen berkenaan menjanjikan sesuatu sekiranya pelajar pergi ke program mereka, tetapi mereka tidak menunaikannya.

“Kami tidak akan membenarkan ejen itu memasuki sekolah kami sekiranya mereka tidak melampirkan surat kebenaran Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah,” katanya.

Sementara itu, guru yang dikaitkan dengan ejen berkenaan, Abdul Wahab Nordin berkata, beliau tiada hubungan langsung dengan Syarikat Skor A Sdn Bhd yang dikatakan menganjurkan seminar berkenaan.

Katanya, beliau mengakui hadir berceramah subjek Bahasa Melayu minggu lalu di dua sekolah di kawasan Puchong dan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya dia menolak berceramah pada hari berikutnya berikutan pihak syarikat dipercayai menggunakan namanya sebagai penceramah Skor A Berita Harian beberapa tahun lalu untuk memasuki sekolah.

“Saya tidak terbabit langsung dengan syarikat berkenaan dan memohon maaf kepada sekolah dan salah faham berlaku,” katanya.

Pengarang Pendidikan Berita Harian, Muhd Yusuf Abu Bakar, berkata pihaknya menerima banyak panggilan telefon daripada sekolah di Selangor dan Lembah Klang dua minggu lalu mengenai kewujudan ejen berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyiasat dan mendapati ejen berkenaan menggabungkan penceramah India dan Melayu begitu licik dengan dakwaan mengelirukan pihak sekolah.

Sebenarnya, Yusuf berkata, Berita Harian tidak melantik individu berkenaan mengendalikan bengkel itu dan syarikat tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang membuat bayaran mengikutinya.

Hanya wakil tersenarai dalam sisipan Berita Harian iaitu Didik, Minda dan Skor saja dilantik bagi menerima dan mengutip wang mengurus, mengendalikan klinik dan seminar berkenaan.

Selain itu, difahamkan ada juga pihak lain yang menggunakan Seminar Skor A yang digunakan Berita Harian untuk menganjurkan klinik atau seminar pada hari sama di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, Berita Harian berharap pengetua dan kaunselor sekolah lebih berhati-hati menerima ejen berkenaan dan menghubungi Berita Harian melalui 03-20569769, 03-20569780 atau 03-20569772 sekiranya ada sebarang kemusykilan.


Berita Harian Online; 20 Januari 2012

Tiada ulasan: