Khamis, 26 Januari 2012

SMK Padang Kemunting sekolah angkat polis


Hamzah Mohd. Jamil menyarungkan kot kepada ketua pengawas, Muhamamd Luqman Nur Hakim Muslim pada majlis penyerahan watikah pelantikan pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber di SMK Padang Kemunting, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 25 Jan.- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, di sini telah dijadikan sekolah angkat oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Mohd. Jamil.

Menurut Hamzah, ia sebagai satu usahanya untuk bersama membantu memajukan sekolah berkenaan dari sudut pencapaian akademik dan juga sahsiah pelajar.

Pada masa sama, katanya, ia juga dapat mengukuhkan usaha memasyarakatkan polis termasuk melalui langkah menubuhkan Kadet Polis di sekolah itu kelak.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyerahan watikah pelantikan 61 pengawas sekolah dan 37 pengawas pusat sumber sekolah itu di sini, hari ini.

Turut hadir pengetua sekolah itu, Razali Othman dan Pegawai Perhubungan Polis Sekolah, Inspektor Hafizan Sofian.

Hamzah turut mengingatkan pelajar agar sentiasa menghayati tuntutan agama untuk mencapai kejayaan sebenar dalam kehidupan.

"Taatilah guru kerana mereka adalah pengganti ibu bapa kita semasa di sekolah," ujarnya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ashari Katib Hasan berkata, warga SMK Padang Kemunting berterima kasih dan berbangga dengan komitmen yang diberikan oleh Hamzah.

Katanya, sekolah yang berusia tujuh tahun dan kini menampung 598 pelajar sedang dipacu ke arah pencapaian lebih baik dalam pelbagai lapangan dengan komitmen dan kesepakatan pelbagai pihak.

"Dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu, lima pelajar mendapat semua A. Ia suatu permulaan yang baik untuk menjadi asas melonjakkan pencapaian pada masa depan," ujarnya.


Utusan Malaysia Online: 26 Januari 2012

Tiada ulasan: