Jumaat, 18 November 2011

Kerja 9 jam: Guru mohon kajian

Saudara pengarang,
Laporan mengatakan Kementerian Pelajaran akan melaksanakan projek rintis sistem waktu kerja sembilan jam bagi guru di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak mulai Januari depan ternyata mengejutkan ramai warga pendidik.

Sebaik membaca laporan akhbar mengenainya, saya merupakan antara warga pendidik di Pahang yang melahirkan rasa kurang senang dengan cadangan tersebut.

Difahamkan, projek tersebut akan melibatkan hampir 5,000 guru di 104 sekolah di keempat-empat negeri berkenaan.

Jika ia dilaksanakan, tindakan tersebut pastinya akan menambahkan lagi beban kerja guru yang telah sedia ada.

Justeru itu, saya cadangkan kementerian mengadakan kaji selidik terlebih dahulu terhadap responden melibatkan warga pendidik di seluruh negara. Ini penting bagi melihat sejauh mana projek tersebut boleh diterima oleh guru-guru kerana perkara tersebut melibatkan mereka secara langsung.

Apa pun, perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana kementerian sedia maklum bahawa guru-guru bukan sahaja bertugas sebagai tenaga pengajar di sekolah sebaliknya kami juga sebagai pengasuh, pendidik serta menjalankan kerja-kerja perkeranian di sekolah melibatkan data-data murid.

Kami juga terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah murid dan ibu bapa yang kadangkala menyebabkan gangguan emosi selain terpaksa bekerja pada waktu petang untuk aktiviti kokurikulum.

Cadangan awal untuk melaksanakan di empat negeri sebagai percubaan juga langsung tidak munasabah kerana hanya mereka yang terlibat sahaja menanggung beban kerja sedangkan guru-guru di negeri lain hanya sebagai pemerhati sahaja dan ini sesungguhnya sangat tidak adil.

Saya berharap agar kementerian mengkaji semula dan berbincang dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dasar atau agenda yang melibatkan para guru.

Masyarakat pula diharap tidak menilai kerja sebagai seorang guru sangat mudah dan tempoh bekerja yang singkat berbanding penjawat awam lain kerana kami turut melaksanakan kerja-kerja di sekolah sehingga ke rumah masing-masing ekoran kesuntukan masa.

Utusan Malaysia Online: 18 November 2011

Tiada ulasan: