HAMPIR 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara pasti tersenyum lebar dan berasa lega yang amat sangat selepas mendengar khabar gembira ini.
Khabar yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kinabatangan, Sabah semalam membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar keluhan rakyat.
Memang diakui sejak kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan perkhidmatan pada akhir tahun lalu, ramai GSTT terutama yang berpengalaman mengajar melebihi tiga tahun mengeluh. Sejak itu, e-mel untuk ruangan Forum, akhbar ini menerima banyak komen yang kesal dan mahu kerajaan membela nasib mereka.
Antaranya e-mel milik Khatijah Abdullah dari Cheras, Kuala Lumpur bertarikh 8 dan 11 Februari 2011, e-mel dari seorang GSTT yang telah lapan kali mohon mengikuti kursus KPLI dan DPLI tetapi gagal, e-mel dari seorang insan yang menggelarkan dirinya X GSTT dan banyak lagi. Kesemua mereka kini tentunya menarik nafas lega kerana perjuangan membela nasib sendiri dan rakan-rakan akhirnya mendapat perhatian kerajaan.
Inilah yang dikatakan kerajaan prihatin dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala perkara. Keluhan dan rintihan rakyat daripada pelbagai latar belakang sentiasa menjadi keutamaan untuk diselesaikan, sekali gus membuktikan bahawa slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' tidak sekadar slogan, sebaliknya dibuktikan dengan tindakan.
Tidaklah seperti pihak pembangkang yang 'cakap tak serupa bikin', sekadar menabur janji tetapi tidak dipenuhi.
Dalam pada itu, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia untuk ditempatkan ke mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka. Seperti kenyataan Muhyiddin, mereka yang inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.
Jangan pula selepas ini, ada GSTT menghantar pula e-mel kepada akhbar ini atau mana-mana akhbar kerana tidak sanggup bertugas di kawasan berkenaan. Alasannya, berjauhan dengan keluarga, tiada kemudahan asas dan lain-lain.
Janji kerajaan bahawa kumpulan GSTT berpeluang menjadi guru terlatih juga membuktikan kerajaan begitu komited mahu melahirkan seberapa banyak guru yang mampu mendidik anak bangsa dengan kualiti tersendiri. Jangan mempersiakan peluang yang ada kerana ada kalanya peluang datang hanya sekali dalam hidup seseorang.
Di pihak Pengarah Pelajaran Negeri pula, inilah masanya untuk bekerja lebih keras kerana pasti banyak 'tugas-tugas khas' menanti anda selepas ini. Merancang pelan pelaksanaan bersama kakitangan jabatan perlu dilakukan dari sekarang kerana kita tahu, kumpulan GSTT di setiap negeri bukannya sedikit, malah mencecah ribuan orang. Jangan pula, ada GSTT merungut tidak dialu-alukan kedatangan mereka ke pejabat pelajaran negeri.
Sambutlah mereka dengan senyuman kerana ia pasti meredakan perasaan tertekan yang dialami mereka selama ini. Untuk GSTT pula, berterima kasihlah kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat.Utusan Malaysia Online: 5 Mac 2010
3 ulasan:
pengumuman senagaj dibuat utk pilihanraya? atau pun sekadar satu lagi KEBETULAN?
kalau prihatin..bagi rakyat kerja tetap...
GSTT ni kontrak jer..bila2 masa boleh terminate bila dah tak diperlukan....
rakyat Malaysia terus bodoh ditipu UMNO/BN
smoga pgumuman TPM itu bukan hanya gimik politik sahaja.. kerana saya dan lbh 13k gstt sdg mnunggu dgn pnh sabar plaksanaannya..
Catat Ulasan