Jumaat, 25 Mac 2011

SMK Jengka Pusat teruskan kecemerlangan SPM 2010


Calon SPM 2010 bersama Hafidzah Jono (belakang tiga dari kiri) menunjukkan slip keputusan mereka di SMK Jengka Pusat, semalam.


MARAN 24 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat mengekalkan kecemerlangan sebagai antara sekolah terbaik peringkat tanah rancangan Felda di negeri ini dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan semalam.

Pengetuanya, Hafidzah Jono berkata, seramai 74 calon yang menduduki peperiksaan itu mencatat keputusan 100 peratus lulus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.45 berbanding 4.77 pada 2009.

Menurutnya, pencapaian paling membanggakan ialah bagi mata pelajaran Matematik Tambahan apabila mencatatkan 100 peratus lulus dengan empat calon mendapat A.

"Seramai 14 calon berjaya mencatatkan kejayaan cemerlang memperoleh sekurang-kurangnya 6A, 7A, 8A dan 9A dalam peperiksaan berkenaan.

"Berdasarkan keputusan itu SMK Jengka Pusat menduduki kedudukan ke-17 daripada 179 sekolah di Pahang dan tempat kedua selepas SMK Seri Jengka daripada 19 sekolah Maran.

"SMK Jengka Pusat turut menduduki tempat kesembilan daripada 22 sekolah tanah rancangan di Pahang dalam SPM 2010," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hafidzah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama guru, ibu bapa, pengurusan Felda, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta Jabatan Pelajaran yang memain peranan penting di atas kejayaan tersebut.

Sementara itu, pelajar terbaik SPM 2010, Nurul Farah Nadia Rusly yang memperolehi 9A 1B menyifatkan kejayaan tersebut adalah sokongan kedua-dua ibu bapa dan guru sekolahnya.

Dia memperoleh A+ untuk Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam dan Kimia manakala A dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik, A- (Bahasa Arab Tinggi, Biologi dan Matematik Tambahan ) serta B+ untuk Fizik.

Menurutnya, dengan dorongan dan tunjuk ajar mereka, dia mempunyai keyakinan dan semangat untuk meraih kejayaan cemerlang.

"Memberi tumpuan ketika guru mengajar, membuat latihan, belajar berkumpulan dan bertanya guru jika kurang faham mengenai sesuatu tajuk antara rahsia kejayaan ini.

"Pelajar tidak harus malu untuk bertanya sebarang soalan dan jangan pendam di hati kerana ia merugikan diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kurikulum, Mohd. Rozi Mat Sani berkata, pihaknya telah mengatur strategi dan program khas untuk memastikan keputusan SPM 2011 adalah lebih baik.

Utusan Malaysia Online: 25 Mac 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TAHNIAH kepada semua Guru, Ibubapa dan Pelajar.
Kecemerlangan keputusan amat dihargai oleh semua dan ini adalah SINTESIS kepada usaha semua pihak bagi memastikan kejayaan anak-anak kita dan TERSERLAH peranan PPD, sekolah, guru, dan ibubapa serta komuniti/masyarakat adalah penting bergerak dalam SATU PASUKAN menjayakan MISI ini.

Semuga Malaysia akan terus menjadi hub pendidikan yang aman damai dan berlangsungnya proses keintelektualan dalam menimba pendidikan dan pembelajaran.
- bapa prihatin, jelawat, bachpk.