Rabu, 21 September 2011

Mohd Adenan akhiri khidmat 32 tahun

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
2011/09/21

SELEPAS 32 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan (JPNWP), Mohd Adenan Deraman menamatkan perkhidmatannya apabila bersara pilihan sendiri 1 September lalu.

Sebagai penghargaan terhadap jasa dan baktinya itu, Majlis Lambaian Kasih diadakan meraikan sumbangan Mohd Adenan dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan awam.
Beliau yang mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Bahasa dan Ekonomi memulakan perkhidmatan sebagai guru penolong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah, Semporna, Sabah pada 1979 sebelum bertukar ke SMK Agaseh, Lahad Datu (1983).
Selepas 21 tahun berkhidmat sebagai pendidik di beberapa negeri antaranya Sabah, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang, Mohd Adenan kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Maktab Perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang pada (2005) dan ditukarkan ke Bahagian Pendidikan Guru sebagai Timbalan Pengarah pada tahun berikutnya.

Khidmatnya dalam perkhidmatan awam diteruskan apabila dilantik Pengarah Bahagian Buku Teks (2008 dan 2009), Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (2008) dan Pengarah Pelajaran JPNWP pada 2009.

Pelbagai sumbangan dilakukan Mohd Adenan ketika mengemudikan JPNWP antaranya dalam bidang penyelidikan dan aktiviti pertubuhan sukarela.

Mohd Adenan ketika ditemui berkata, kejayaan yang dikecapi sepanjang perkhidmatan awamnya adalah hasil usaha serta kerjasama yang diberikan rakan sekerja.
"Saya harap semua kakitangan akan terus berkhidmat dengan cemerlang dan memberi komitmen penuh dalam meningkatkan lagi kecemerlangan JPNWP.

"Kepada rakan sekerja yang ada, bekerjalah dengan ikhlas dan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang perkhidmatan di JPNWP," katanya pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran Wilayah Putrajaya, Jamaluddin Yusof.

Sementara itu, Jamaluddin berkata persaraan Mohd Adenan membuatkan JPNWP kehilangan seorang pengarah yang sudah dianggap seperti bapa kerana banyak membantu mereka dalam kerja-kerja di jabatan.

"Beliau seorang yang lemah lembut, tenang, senang didekati dan mudah diajak berbincang. Malah beliau juga sering memberi galakan dan sokongan dalam apa jua aktiviti yang dilakukan, kerana itu kami sentiasa bersemangat untuk bekerja," katanya.

Berita Harian Online: 21 September 2011

Tiada ulasan: