Jumaat, 30 September 2011

Tindakan terhadap guru besar

PONTIAN 29 Sept. – Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan terhadap guru besar dan pengetua sekolah sekiranya terbukti mereka terlibat melarang murid daripada menduduki peperiksaan yang diadakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru besar atau pengetua yang didapati bersalah dalam hal seumpama itu hanya akan memberi kesan negatif kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka.

“Tindakan menghalang murid daripada menduduki peperiksaan adalah salah kerana ia melanggar hak murid tersebut.

“Justeru, seandainya kita dapati guru besar atau pengetua menghalang murid daripada mengambil peperiksaan semata-mata untuk memastikan prestasi sekolah mereka tidak menurun, kita akan mengambil tindakan,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang menyiarkan lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Sira di Baling, Kedah tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Rakyat di pekarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi dekat sini, hari ini memaklumkan belum menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengarahkan Jemaah Nazir Sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah untuk menyiasat perkara itu dan murid-murid berkenaan akan dibenarkan menduduki semula peperiksaan tersebut.

Lima murid berkenaan iaitu Mohd. Zulidham Yusof, Mohd. Fazli Md. Isa, Mohd. Hakim Hasan, Zulhilmi Abd. Mizan dan Mohd. Zulfikar Mohd. Fauzi dilaporkan telah diminta oleh guru mereka supaya tidak menghadiri peperiksaan itu.

Sebelum ini, akhbar turut melaporkan tiga murid SK Bandar Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR atas alasan akan menjatuhkan prestasi sekolah berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 30 September 2011

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya juga meminta KPM ambil tindakan terhadap PPD berkenaan dan juga Pegawai di JPN Kedah. Mereka inilah punca Guru Besar & guru bertindak demikian. Sebenarnya, banyak lagi kes spt ini berlaku di seluruh negara.

"JPN&PPD hanya mahu pprestasi UPSR meningkat dgn sebanyak mungkin. Bagi yg gagal, maka GB&guru-guru akan menjadi mangsa diaibkan..

Tanpa Nama berkata...

minta TPM SIASAT kes-kes yg sama sblm ini brlaku. lihat analisa kehadiran pelajar ambil UPSR BGI 5 THN LEPAS.
bnyk dapatan ....

Guru Siswazah berkata...

Inilah masalahnya bila tekanan diberikan kepada pihak sekolah terlalu tinggi. Mereka akan buat apacara sahaja yang penting % lulus meningkat dan membolehkan sekolah mendapat ganjaran nilai wang

Tanpa Nama berkata...

BETUL tu... itulah realitinya.