AKHIRNYA polemik projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari pada Januari ini di empat buah negeri menemui titik noktah. Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan projek tersebut tidak akan diteruskan.
Sebelum ini kerajaan melalui jawatankuasa yang telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) setelah melaksanakan kaji selidik di 19 buah sekolah di Melaka Tengah memutuskan untuk melaksanakan projek perintis tersebut sebagai usaha memantapkan perkhidmatan perguruan di negara kita. Empat buah negeri yang terlibat ialah Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak.
Lantaran daripada cadangan ini pelbagai pihak, meliputi individu guru serta kesatuan perguruan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), bukan sahaja dari empat buah negeri terbabit tetapi dari seluruh negara melontarkan rasa tidak puas hati serta keberatan untuk bersetuju dengan cadangan terbabit. Mereka memberikan pelbagai alasan dan justifikasi yang logik dan wajar.
Justeru pengumuman Muhyiddin ini dilihat cukup melegakan golongan ini di seluruh negara. Walaupun projek perintis ini dikatakan bertujuan memantapkan lagi perkhidmatan perguruan, keluh kesah yang dilahirkan oleh guru akhirnya berjaya meletakkan titik noktah kepada cadangan tersebut.
Keputusan ini sekaligus menunjukkan dan membuktikan betapa kerajaan prihatin dan bersedia untuk mendengar denyut nadi pelbagai lapisan rakyat walaupun setelah sesuatu keputusan itu dibuat dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.
Ternyata kerajaan sekali lagi bijak menangani isu berkepentingan awam seperti ini dengan berhemah. Hal ini penting kerana seperti kata Muhyiddin, profesion perguruan ada keistimewaannya tersendiri. Ia berbeza dengan perkhidmatan awam yang lain justeru guru tidak boleh dibebankan lagi dengan perkara lain seperti ini.
Walaupun ramai yang masih bertanggapan bahawa kerja guru mudah, boleh balik awal, kerja separuh hari dan mempunyai cuti yang panjang, tidak ramai yang sedar, tahu dan menyelami hakikat sebenar tugas seorang pendidik.
Tidak ramai yang sedar guru perlu bekerja sehingga lewat petang walaupun mengajar sesi pagi, terpaksa bekerja di hujung minggu serta melayan pelbagai karenah anak murid dan juga ibu bapa sepanjang masa. Itu belum lagi soal tugas perkeranian yang semakin bertambah. Hakikatnya waktu kerja guru bukanlah mengikut jadual kerja seperti penjawat awam yang lain iaitu lapan pagi hingga lima petang. Kerja dan tanggungjawab mereka berterusan sepanjang masa iaitu 24 jam tanpa mengira hari dan waktu.
Justeru adalah tepat dan bijak apabila kerajaan menyedari hakikat dan pengorbanan para guru ini, seterusnya membatalkan projek perintis tersebut yang seolah-olah mewajibkan guru bekerja selama sembilan jam sehari tanpa menyedari hakikat bahawa pada hari ini kebanyakkan guru sudahpun bekerja sembilan jam ataupun lebih. Yang pasti mereka tidak pernah merungut mahupun menuntut apa-apa pembalasan.
Semoga keputusan kerajaan ini akan meningkatkan lagi motivasi dan semangat guru untuk terus berkhidmat dalam mendidik dan membentuk anak bangsa.
Diharapkan juga agar para guru akan terus menghargai segala keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan terhadap kebajikan mereka serta profesion perguruan secara keseluruhannya selama ini.Utusan Malaysia Online: 29 November 2011
1 ulasan:
BAGUS SANGATLAH DIBATALKAN. Jika TIDAK, ini UMPAMA"Menggali KUBUR SENDIRI"
PRU 13 dah dekat ni.....KUBUR yG DIGALI TELAH DITIMBUS KEMBALI.
Catat Ulasan