Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohs@bharian.com.my
2011/11/05
Kerajaan tanggung segala kos ikut Bajet 2012KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan sekolah yang mengutip yuran peperiksaan, kokurikulum dan kos kertas peperiksaan perlu mengembalikan yuran terbabit kepada ibu bapa kerana semua yuran itu sudah dimansuhkan dan ditanggung kerajaan melalui pengumuman Bajet 2012.
“Perkara ini amat jelas bahawa semua yuran di sekolah rendah dan menengah adalah percuma seperti diumumkan dalam Bajet 2012 dan pihak sekolah tidak perlu lagi mengutip semua yuran itu.
“Jika ada sekolah yang tetap mengutip yuran itu bermakna mereka ingkar arahan yang dikeluarkan dan perlu dikenakan tindakan tatatertib kepada mereka yang cuai atas arahan yang dikeluarkan.
“Guru besar, pengetua perlu bertanggungjawab jika perkara ini berlaku dan kita meminta ibu bapa yang sudah membayar atau diarahkan membayar yuran itu membuat aduan kepada polis, jabatan pelajaran dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua sekolah tidak mengutip yuran peperiksaan, kokurikulum dan kos kertas peperiksaan kerana semua yuran berkenaan dianggarkan RM150 juta kini ditanggung sepenuhnya kerajaan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.
Dr Mohamad Ali berkata, jika ada sekolah yang didapati meminta yuran itu dibayar, jabatan pelajaran perlu memberikan surat tunjuk sebab kepada sekolah terbabit.
“Kita minta ibu bapa yang sudah membayar tampil membuat laporan supaya tindakan yang wajar boleh diambil hingga ke akar umbi.
“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan atas keputusan yang memberikan kesenangan kepada pelajar dan ibu bapa ini disalah tafsir hingga menyebabkan persepsi buruk diterima kerajaan,” katanya.
Berita Harian Online: 5 November 2011
2 ulasan:
KEMENTERIAN KENA KEMBALIKAN YURAN yg dimasuhkan ke semua sekolah....
Yuran PIBG di semua sekolah rendah dan menengah kebangsaan juga tidak sekata dan tiada had siling.
Sebagai contoh, ada Sekolah Rendah Keb. di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang yang tahun 2011 telah mengenakan yuran PIBG sebanyak lebih RM60.00, dan tahun 2012 mendadak naik kepada lebih RM80.00 seorang. Kadar ini sudah tentunya membebankan ibubapa dengan kos pembelajaran anak-anak yang kian meningkat.
Catat Ulasan