Rabu, 30 November 2011

Galak graduan jadi guru prasekolah

KUALA LUMPUR: Satu usaha lebih serius perlu dirangka di negara ini bagi menggalakkan penyertaan graduan lepasan ijazah dalam bidang perguruan untuk menjadi pendidik kepada kanak-kanak sejak di peringkat prasekolah.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Help, Dr Francis Lee, berkata ketika ini, hanya segelintir guru prasekolah mahupun sekolah rendah di Malaysia mempunyai kelulusan itu dan situasi terbabit agak membimbangkan berikutan ia dikhuatiri mengganggu perkembangan minda dan pembelajaran kanak-kanak.


Menurutnya, penyaluran ilmu daripada graduan yang juga individu berpendidikan tinggi tidak sepatutnya dihadkan hanya kepada sekolah menengah dan ke atas kerana ia adalah proses sama yang perlu diberi perhatian apatah lagi ketika golongan itu (kanak-kanak) membesar.

“Berbanding orang dewasa serta remaja, kanak-kanak sebenarnya lebih mudah menerima ilmu yang disampaikan malah mereka jauh lebih cepat menangkap perkara yang berlaku dan dibincangkan di sekeliling.


“Statistik tahun ini sendiri menunjukkan lebih dua juta kanak-kanak di negara ini tidak mengikuti prasekolah sedangkan pembelajaran di peringkat itu membuka laluan pertumbuhan minda mereka. Justeru, guru berkelulusan tinggi perlu menjadi pendorong sekali gus mengatasi masalah ini,” katanya pada Persidangan Kanak-kanak Kebangsaan 2011 di Pusat Konvensyen Pameran Matrade di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datin Dr Siti Hamsiah Tapsir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa dan Naib Canselor Universiti Help, Datuk Dr Paul Chan.

myMetro: 30 November 2011

Guru johan Pidato Politik Piala PM


Mohd. Syamsul Salleh menunjukkan trofi kemenangan Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/FAUZI BAHARUDIN


KUALA LUMPUR 29 Nov. – Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri melabuh tirai dengan menyaksikan seorang guru, Mohd. Syamsul Salleh dinobatkan sebagai johan menewaskan 11 peserta lain pada peringkat akhir hari ini.

Kejayaan itu membolehkan guru Sekolah Menengah Teknik Kota Tinggi itu membawa pulang piala pusingan, trofi dan wang tunai RM5,000, sekali gus melayakkannya menjadi pemidato jemputan Pergerakan Pemuda UMNO.

Pada peringkat akhir itu, Mohd. Syamsul menyampaikan pidato bertajuk ‘Muafakat bangsa, negara terbela’ berjaya menarik minat juri dan penonton.

Dia yang ditemui berkata, golongan muda perlu merebut peluang itu bagi menyampaikan pendapat tentang dasar kerajaan dan pelbagai isu lain.

“Selagi diberikan peluang untuk berpidato, saya akan terus menyumbang idea kepada generasi muda demi bangsa, agama dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pertandingan tersebut yang disertai 118 peserta bermula 16 November lalu di lima zon iaitu tengah, timur, Borneo, selatan dan utara.

Sementara itu, tempat kedua pertandingan yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 itu dimenangi peserta orang kurang upaya (OKU), Mohd. Noorfirdaus Che Aman.

Beliau membawa pulang trofi dan RM3,000, sekali gus membuktikan OKU mampu bersaing dan menyumbang pandangan serta pendapat tentang pembangunan negara.

“Platform yang disediakan ini memberi peluang baik kepada anak muda seperti saya untuk menunjukkan bakat yang sebelumnya bercakap di warung-warung kopi sahaja,” katanya.

Tempat ketiga pula dimenangi Azmi Ismail yang menyifatkan pertandingan itu mampu melahirkan tokoh-tokoh muda yang mampu menyampaikan maklumat betul kepada masyarakat.

Amuutha Valli, 26, yang memenangi tempat kelima berkata, pertandingan itu yang terbuka kepada semua kaum perlu dicontohi pihak lain.

Tai Zee How, 23, berkata, pertandingan itu merupakan tempat sesuai bagi golongan muda menyampaikan pendapat berkaitan pelbagai isu semasa.

Utusan Malaysia Online: 30 November 2011

Selasa, 29 November 2011

MPSM anggap Program Rintis Guru bermasalah

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2011/11/29

MAJLIS Pengetua Sekolah Malaysia (MSPM) menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memansuhkan Program Rintis Guru bermula tahun depan.

Yang Dipertuanya, Muhamad Khailani Abdul Jalil, berkata pihaknya menyokong kenyataan itu kerana mendapati cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu tidak sesuai.

Beliau berkata, saranan JPA itu tidak wajar kerana ditambah keterbatasan kemudahan seperti tempat rehat, kantin, bilik darjah, padang dan dewan.
Selain itu, katanya, program itu bakal memberi masalah kepada sekolah yang beroperasi dua sesi dan bagi pelajar yang bersekolah agama khususnya di Johor.

“Sewajarnya, tumpuan kini diberikan kepada pelaksanaan transformasi pendidikan termasuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Justeru, MSPM meminta JPA supaya tidak mengganggu sistem sekolah dan perkhidmatan guru. Biarlah guru mengurus (tugas) guru, perkhidmatan pelajaran dan sistem sekolah ketika ini,” katanya dalam dalam kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ahad lalu, Berita Minggu melaporkan Muhyiddin mengumumkan pemansuhan projek rintis pengajaran sembilan jam yang sepatutnya bermula di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak tahun depan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan guru.
Selain itu, tindakan berkenaan dibuat kerana tidak mahu menambah beban sedia ada dan ia sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Sebelum ini, projek rintis yang dianggarkan membabitkan hampir 5,000 guru sekolah menengah dan rendah itu turut mendapat bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).

Dua kesatuan guru itu mahu Kementerian Pelajaran menyediakan pembantu guru terlebih dahulu dan keluarkan arahan tiada sebarang aktiviti pada Sabtu dan Ahad.

Arahan itu perlu ada jika kementerian mahu memperkenalkan sistem kerja sembilan jam untuk guru, mulai tahun depan dilaksanakan.

Sambil menjelaskan pihaknya menerima maklum balas menyatakan program itu dilihat tidak membawa sebarang manfaat kepada guru, Presiden NUTP, Hashim Adnan berharap kementerian mengurangkan tempoh percubaan program dua bulan berbanding enam.

Berita Harian Online: 29 November 2011

Kerajaan prihatin batal cadangan guru mengajar 9 jam

AKHIRNYA polemik projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari pada Januari ini di empat buah negeri menemui titik noktah. Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan projek tersebut tidak akan diteruskan.

Sebelum ini kerajaan melalui jawatankuasa yang telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) setelah melaksanakan kaji selidik di 19 buah sekolah di Melaka Tengah memutuskan untuk melaksanakan projek perintis tersebut sebagai usaha memantapkan perkhidmatan perguruan di negara kita. Empat buah negeri yang terlibat ialah Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak.

Lantaran daripada cadangan ini pelbagai pihak, meliputi individu guru serta kesatuan perguruan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), bukan sahaja dari empat buah negeri terbabit tetapi dari seluruh negara melontarkan rasa tidak puas hati serta keberatan untuk bersetuju dengan cadangan terbabit. Mereka memberikan pelbagai alasan dan justifikasi yang logik dan wajar.

Justeru pengumuman Muhyiddin ini dilihat cukup melegakan golongan ini di seluruh negara. Walaupun projek perintis ini dikatakan bertujuan memantapkan lagi perkhidmatan perguruan, keluh kesah yang dilahirkan oleh guru akhirnya berjaya meletakkan titik noktah kepada cadangan tersebut.

Keputusan ini sekaligus menunjukkan dan membuktikan betapa kerajaan prihatin dan bersedia untuk mendengar denyut nadi pelbagai lapisan rakyat walaupun setelah sesuatu keputusan itu dibuat dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

Ternyata kerajaan sekali lagi bijak menangani isu berkepentingan awam seperti ini dengan berhemah. Hal ini penting kerana seperti kata Muhyiddin, profesion perguruan ada keistimewaannya tersendiri. Ia berbeza dengan perkhidmatan awam yang lain justeru guru tidak boleh dibebankan lagi dengan perkara lain seperti ini.

Walaupun ramai yang masih bertanggapan bahawa kerja guru mudah, boleh balik awal, kerja separuh hari dan mempunyai cuti yang panjang, tidak ramai yang sedar, tahu dan menyelami hakikat sebenar tugas seorang pendidik.

Tidak ramai yang sedar guru perlu bekerja sehingga lewat petang walaupun mengajar sesi pagi, terpaksa bekerja di hujung minggu serta melayan pelbagai karenah anak murid dan juga ibu bapa sepanjang masa. Itu belum lagi soal tugas perkeranian yang semakin bertambah. Hakikatnya waktu kerja guru bukanlah mengikut jadual kerja seperti penjawat awam yang lain iaitu lapan pagi hingga lima petang. Kerja dan tanggungjawab mereka berterusan sepanjang masa iaitu 24 jam tanpa mengira hari dan waktu.

Justeru adalah tepat dan bijak apabila kerajaan menyedari hakikat dan pengorbanan para guru ini, seterusnya membatalkan projek perintis tersebut yang seolah-olah mewajibkan guru bekerja selama sembilan jam sehari tanpa menyedari hakikat bahawa pada hari ini kebanyakkan guru sudahpun bekerja sembilan jam ataupun lebih. Yang pasti mereka tidak pernah merungut mahupun menuntut apa-apa pembalasan.

Semoga keputusan kerajaan ini akan meningkatkan lagi motivasi dan semangat guru untuk terus berkhidmat dalam mendidik dan membentuk anak bangsa.

Diharapkan juga agar para guru akan terus menghargai segala keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan terhadap kebajikan mereka serta profesion perguruan secara keseluruhannya selama ini.

Utusan Malaysia Online: 29 November 2011

Kelab robotik di semua sekolah


Pelajar sekolah rendah dari Kuala Lumpur menjulang piala yang dimenangi apabila diumumkan sebagai johan keseluruhan Pertandingan Robothon Muda Kebangsaan Ke-6 di Pulau Pinang, semalam. – BERNAMA


PULAU PINANG 28 Nov. – Kementerian Pelajaran akan memperluaskan kelab robotik di seluruh negara pada tahun depan bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kementerian baru-baru ini dan dipersetujui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, setakat ini hanya 500 daripada 10,000 sekolah rendah dan menengah mempunyai kelab robotik dan jumlah tersebut dilihat agak rendah.

“Lantaran itu, kita mahu memperkembangkan pendidikan robotik ini kerana ia akan memberikan kesan positif untuk membina daya fikir, saing dan juga semangat berpasukan di kalangan para pelajar.

“Tambahan pula, kelab ini adalah penting dan selaras dengan transformasi pendidikan iaitu memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan dan tidak lagi berasaskan kepada peperiksaan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Robothon Muda Kebangsaan Ke-6 di sini hari ini.

Pada perkembangan sama, Mohd. Puad berharap semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta syarikat swasta dapat membantu sekolah dalam menubuhkan kelab berkenaan.

Ia kerana, kata beliau, kos untuk menubuhkan sebuah kelab robotik adalah kira-kira RM20,000.

Sementara itu, sebanyak 120 kumpulan dari beberapa sekolah rendah di seluruh negara menyertai pertandingan tersebut.

Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur berjaya memenangi tempat pertama dalam tiga kategori iaitu Lycantron NXT, Galacticon RCX dan Galacticon NXT.

Manakala, SJKC Yuk Chai, Selangor menjuarai kategori Lycantron RCX.

Utusan Malaysia Online: 29 November 2011

Isnin, 28 November 2011

Benarkah wujud jurang maklumat?

KES pemotongan bayaran awal bantuan persekolahan yang berlaku di beberapa buah sekolah menimbulkan persoalan apakah wujud jurang maklumat antara sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?

Sebuah sekolah di Keramat, Kuala Lumpur telah membuat potongan awal bantuan tersebut bagi kegunaan bayaran tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) manakala sebuah sekolah di Sabah pula melakukan perkara yang sama bagi melunaskan yuran komputer lebih awal.

Lebih mengecewakan ialah sebelum insiden tersebut dilaporkan, di Selangor turut berlaku keengganan pihak sekolah untuk membuat bayaran kepada ibu bapa pelajar yang berada di Tahun 6 kerana mengandaikan bahawa mereka akan mendapat bayaran semasa berada di Tingkatan 1 tahun depan di sekolah lain. Pada 2012 hanya murid tahun 1 sahaja yang akan menerima bantuan khas RM100 itu.

Dari perspektif KPM perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sejak 4 November lalu peruntukan tersebut telah dimasukkan ke akuan sekolah bagi membolehkan para pelajar menerimanya sebelum cuti sekolah bermula.

Malah sebelum itu beberapa taklimat turut diberikan kepada pengetua dan guru besar bahawa bantuan awal persekolahan tersebut hendaklah diberikan sepenuhnya tanpa sebarang pemotongan walaupun murid terbabit berhutang dengan pihak sekolah.

Sekiranya pihak sekolah ingin menuntut sebarang hutang atau yuran tertunggak daripada pelajar, perbincangan hendaklah dibuat supaya satu persetujuan dicapai tetapi bukannya dengan cara memotong wang bantuan tersebut.

Pada dasarnya, guru besar atau pengetua tidak dibenarkan membuat potongan.

Perbezaan tafsiran ketika melaksanakan sesuatu arahan, walaupun arahan itu telah diturunkan secara jelas, masih berlaku. Keadaan ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana satu arahan boleh menjadi lebih banyak tafsiran? Apakah kaedah komunikasi yang digunakan tidak berkesan?

Jawapannya ialah kerana ada segelintir guru besar dan pengetua memberikan alasan kerana perkara tersebut sudahpun diputuskan oleh PIBG dalam mesyuarat tahunannya, maka ibu bapa tidak seharusnya merungut.

Sewaktu keputusan itu dibuat, tidak ramai ibu bapa yang hadir dan apabila hendak dilaksanakan, maka ramailah ibu bapa tidak berpuas hati.

Setiap kali permulaan penggal sekolah, rungutan demi rungutan mengenai bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah menjadi perhatian masyarakat walaupun secara jelasnya KPM telah memansuhkan semua yuran-yuran yang dahulunya terpaksa dibayar oleh pelajar seperti yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), yuran peperiksaan dan sebagainya.

Belum pun sekolah bermula, ada sekolah telah memberitahu bahawa setiap pelajar mesti membayar sejumlah wang bagi membolehkan beberapa aktiviti sekolah terus berjalan seperti biasa.

Hal ini akan menyebabkan ibu bapa terus beranggapan, sekolah masih mengenakan yuran sedangkan kerajaan telah membuat keputusan memberi pendidikan rendah dan menengah secara percuma dengan memansuhkan semua yuran.

Di sinilah bermulanya salah faham antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Maka adalah wajar pihak sekolah memberikan taklimat atau mengeluarkan surat siaran memberitahu ibu bapa bahawa yang mereka pungut bukanlah yuran.

Sekolah memerlukan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan beberapa aktiviti kokurikulum demi membolehkan para pelajar mencapai kecemerlangan dan menjadi modal insan terbaik.

Jika diberi penjelasan secara baik, ibu bapa secara rasional akan memahami kenapa sesuatu sumbangan itu penting. Namun begitu, pihak sekolah tidak boleh melakukan paksaan bahawa semuanya perlu dijelaskan sebelum berakhir minggu pertama persekolahan.

Misalnya untuk sumbangan kepada tabung PIBG, pihak sekolah bolehlah membuat perancangan bahawa ibu bapa boleh menyumbang secara beransur-ansur selama tiga atau empat kali.

Sekiranya ini sanggup dilaksanakan oleh pihak sekolah dan dipersetujui oleh PIBG, salah faham tidak mungkin berlaku.

Utusan Malaysia Online: 28 November 2011

Khamis, 24 November 2011

78 sekolah vokasional dinaik taraf kolej menjelang 2013

KUALA LUMPUR: “Sebanyak 78 sekolah menengah vokasional dinaik taraf menjadi kolej vokasional menjelang 2013,” kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat kurikulum vokasional dirombak secara komprehensif supaya mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja dan pasaran semasa.


“Sebagai permulaan, 15 sekolah menengah vokasional dikenal pasti untuk dijadikan program rintis mulai tahun depan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN) yang bertanya bila kementerian menukarkan status sekolah vokasional kepada kolej vokasional sebagai sebahagian usaha memantapkan sistem pendidikan negara.

Dr Mohd Puad berkata, semua pelajar yang mengikuti pengajian di kolej vokasional berkenaan mengikuti pengajian selama empat tahun, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik.


“Pelajar yang menamatkan pengajian di kolej ini akan mendapat diploma vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun).


“Pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga tiga yang mengikuti peringkat Program Asas Vokasional (PAV) akan diberi Sijil Tahap Dua,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah menengah dan rendah semakin menurun selepas kerajaan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).


Dr Mohd Puad berkata, ketika ini hanya lima peratus daripada 7,495 bilik darjah di sekolah rendah dan sembilan peratus kelas di 2,192 sekolah menengah masih menggunakan PPSMI.

“Sejak pemansuhan PPSMI, semakin banyak sekolah menengah dan rendah menggunakan bahasa Malaysia dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.


“Walaupun ada yang mempersoalkan tempoh ‘soft landing’ yang diumumkan Menteri Pelajaran, hakikatnya banyak sekolah sudah menggunakan bahasa Malaysia,” katanya.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berhubung pihak yang masih ingin mengekalkan PPSMI di sekolah.

myMetro: 24 November 2011

Tiada arahan SJK sedia makanan halal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada pengusaha kantin di sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina mahupun Tamil supaya menyediakan makanan halal untuk murid.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Datuk Wee Ka Siong, berkata SJK yang mempunyai murid Islam sentiasa mengambil pendekatan sensitif terhadap diet harian pelajar dan berusaha menawarkan pilihan makanan halal untuk memenuhi keperluan mereka. “Amalan ini sudah lama dijalankan atas dasar saling menghormati pegangan agama masing-masing.


“Pengusaha kantin SJK selalunya tahu jika ada orang Islam di sekolah terbabit dan mereka sediakan pilihan makanan halal,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan mengaitkan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan yang mengarahkan semua pengusaha kantin SJKC dan SJKT menyediakan makanan halal di sekolah masing-masing, baru-baru ini.


myMetro: 24 November 2011

PPSMI berkurangan selaras dasar baru

2011/11/24

PELAKSANAAN Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah menengah dan rendah semakin menurun selepas kerajaan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata hanya lima peratus daripada 7,495 bilik darjah sekolah rendah dan kurang sembilan peratus daripada 2,192 sekolah menengah masih menggunakan PPSMI.
“Sejak pemansuhan PPSMI, semakin banyak sekolah menengah dan rendah menggunakan Bahasa Malaysia.
“Walaupun, ada mempersoalkan tempoh peralihan, hakikatnya banyak sekolah kini menggunakan bahasa Melayu,” katanya menjawab soalan tam-bahan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berhubung sama ada masih ada pihak yang ingin mengekalkan PPSMI.


Berita Harian Online: 24 November 2011

1Murid 1Sukan bukan alasan lemah UPSR

Oleh Fadzlena Jafar
bhnews@bharian.com.my
2011/11/24

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, Khamis lalu secara keseluruhan mencatatkan pencapaian memberangsangkan, dengan menyaksikan Terengganu terus unggul melakar sejarah sebagai negeri terbaik.

Pencapaian 497,691 calon di seluruh negara yang mengambil ujian itu meningkat mengikut Gred Purata Nasional (GPN), iaitu 2.30 berbanding 2.31 pada 2010. Pencapaian GPN dinilai berdasarkan pengiraan purata gred murid dan lebih rendah jumlah yang dicapai adalah lebih baik.
Keputusan itu dikatakan pencapaian terbaik sejak 2008 jika mengikut GPN, namun berdasarkan jumlah calon memperoleh semua Gred A, berlaku penurunan 0.534 peratus (2,315 calon) apabila 46,012 calon atau 9.48 peratus mendapat 5A berbanding tahun lalu 48,327 (10.02 peratus) dan 48,171 (9.51 peratus) pada 2009.
Beberapa pihak menganggap penurunan peratusan jumlah pelajar yang mendapat 5A berpunca daripada tumpuan khusus kepada kegiatan kokurikulum seperti dasar 1Murid 1Sukan yang kini menjadi antara agenda utama sekolah dan juga ibu bapa. Apatah lagi pembabitan aktif pelajar dalam kegiatan itu turut diambil kira dalam pengambilan ke sekolah berasrama penuh.

Apapun pembabitan murid dalam kegiatan kokurikulum tidak sepatutnya dijadikan alasan penurunan pelajar cemerlang kerana setiap sekolah sepatutnya mempunyai jadual yang sistematik supaya proses pembelajaran tidak terganggu dengan kegiatan kokurikulum, termasuk kegiatan sukan 1Murid 1Sukan.

Seperti dikatakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, pembabitan murid dalam kegiatan kokurikulum dalam menggalakkan murid menjadi lebih kreatif dan inovatif.

“Saya tidak berpendapat sebegitu. Pembabitan murid dalam pelbagai kegiatan dapat menggalakkan murid untuk menjadi lebih kreatif dalam pemikiran dan ini selaras dengan Dasar Transformasi Negara yang memberi keutamaan kepada kreativiti serta inovasi di kalangan pelajar bagi membantu meningkatkan pembangunan negara,” katanya pada majlis penutupan program Berita Harian-Dutch Lady @ Sekolah 2011 baru-baru ini, menafikan faktor berkenaan.
Beliau berkata, masyarakat khususnya ibu bapa perlu melihat keputusan UPSR 2011 dari sudut positif apabila jumlah calon mendapat pencapaian terbaik iaitu minimum Gred C (tidak termasuk semua A) meningkat 55.45 peratus berbanding 54.38 peratus tahun lalu dan 53.52 peratus pada 2009. Prestasi pencapaian murid dalam mata pelajaran pula khususnya Bahasa Melayu, mencatatkan peningkatan pada Gred A bagi Bahasa Melayu – Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 1.9 peratus, manakala peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred ABC) juga meningkat 1.1 peratus.

Meskipun prestasi Bahasa Melayu – Penulisan di SK bagi Gred A menurun 0.6 peratus, tetapi bagi Gred ABC meningkat 2.9 peratus dan pencapaian itu boleh disimpulkan bertambah baik berdasarkan prestasi calon yang menguasai tahap minimum.

Prestasi gred purata Bahasa Inggeris di SK pula dilihat stabil dengan GPMP kekal 2.74 pada 2010 dan 2011, namun peratusan calon mendapat Gred A menurun 0.5 peratus.

Begitu pun, peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat 0.4 peratus. Penurunan prestasi calon mendapat A turut dicatatkan bagi subjek Matematik yang turun 0.3 peratus daripada tahun sebelum, namun peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat 0.9 peratus.

Bagi mata pelajaran Sains, prestasi keseluruhan menurun dengan nilai GPMP sebanyak 0.03 peratus berbanding 2010 calon yang mendapat Gred A turun dua peratus dan Gred ABC sebanyak 0.8 peratus.

Kita yakin jika semua sekolah memberi tumpuan sama rata kepada setiap mata pelajaran, pencapaian akan menjadi lebih memuaskan. Begitu juga perhatian sepatutnya diberikan kepada calon yang sederhana pencapaiannya tetapi berpotensi mencapai keputusan cemerlang, bukan hanya kepada calon cemerlang. Langkah itu mungkin dapat meningkatkan murid cemerlang yang memperoleh semua A.

Terengganu yang kekal terbaik berdasarkan pencapaian jumlah calon mendapat 5A mampu berbangga apabila 3,548 atau 15.6 peratus daripada 22,801 calon memperoleh 5A tahun ini berbanding hanya 15.4 peratus daripada 23,147 calon pada 2010.

Begitu pun, Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud yang gembira dengan pencapaian itu mengakui masih ada ruang memperbaiki pencapaian, lebih-lebih lagi apabila Kelantan yang dianggap pesaing terdekat dengan pelajar yang mendapat 5A, 15.4 peratus turut mencatatkan keputusan GPN lebih baik dengan 2.09 berbanding Terengganu 2.14 pada tahun ini.


Berita Harian Online: 24 November 2011

1Murid 1Sukan bukan alasan lemah UPSR

Oleh Fadzlena Jafar
bhnews@bharian.com.my
2011/11/24

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, Khamis lalu secara keseluruhan mencatatkan pencapaian memberangsangkan, dengan menyaksikan Terengganu terus unggul melakar sejarah sebagai negeri terbaik.

Pencapaian 497,691 calon di seluruh negara yang mengambil ujian itu meningkat mengikut Gred Purata Nasional (GPN), iaitu 2.30 berbanding 2.31 pada 2010. Pencapaian GPN dinilai berdasarkan pengiraan purata gred murid dan lebih rendah jumlah yang dicapai adalah lebih baik.
Keputusan itu dikatakan pencapaian terbaik sejak 2008 jika mengikut GPN, namun berdasarkan jumlah calon memperoleh semua Gred A, berlaku penurunan 0.534 peratus (2,315 calon) apabila 46,012 calon atau 9.48 peratus mendapat 5A berbanding tahun lalu 48,327 (10.02 peratus) dan 48,171 (9.51 peratus) pada 2009.
Beberapa pihak menganggap penurunan peratusan jumlah pelajar yang mendapat 5A berpunca daripada tumpuan khusus kepada kegiatan kokurikulum seperti dasar 1Murid 1Sukan yang kini menjadi antara agenda utama sekolah dan juga ibu bapa. Apatah lagi pembabitan aktif pelajar dalam kegiatan itu turut diambil kira dalam pengambilan ke sekolah berasrama penuh.

Apapun pembabitan murid dalam kegiatan kokurikulum tidak sepatutnya dijadikan alasan penurunan pelajar cemerlang kerana setiap sekolah sepatutnya mempunyai jadual yang sistematik supaya proses pembelajaran tidak terganggu dengan kegiatan kokurikulum, termasuk kegiatan sukan 1Murid 1Sukan.

Seperti dikatakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, pembabitan murid dalam kegiatan kokurikulum dalam menggalakkan murid menjadi lebih kreatif dan inovatif.

“Saya tidak berpendapat sebegitu. Pembabitan murid dalam pelbagai kegiatan dapat menggalakkan murid untuk menjadi lebih kreatif dalam pemikiran dan ini selaras dengan Dasar Transformasi Negara yang memberi keutamaan kepada kreativiti serta inovasi di kalangan pelajar bagi membantu meningkatkan pembangunan negara,” katanya pada majlis penutupan program Berita Harian-Dutch Lady @ Sekolah 2011 baru-baru ini, menafikan faktor berkenaan.
Beliau berkata, masyarakat khususnya ibu bapa perlu melihat keputusan UPSR 2011 dari sudut positif apabila jumlah calon mendapat pencapaian terbaik iaitu minimum Gred C (tidak termasuk semua A) meningkat 55.45 peratus berbanding 54.38 peratus tahun lalu dan 53.52 peratus pada 2009. Prestasi pencapaian murid dalam mata pelajaran pula khususnya Bahasa Melayu, mencatatkan peningkatan pada Gred A bagi Bahasa Melayu – Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 1.9 peratus, manakala peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred ABC) juga meningkat 1.1 peratus.

Meskipun prestasi Bahasa Melayu – Penulisan di SK bagi Gred A menurun 0.6 peratus, tetapi bagi Gred ABC meningkat 2.9 peratus dan pencapaian itu boleh disimpulkan bertambah baik berdasarkan prestasi calon yang menguasai tahap minimum.

Prestasi gred purata Bahasa Inggeris di SK pula dilihat stabil dengan GPMP kekal 2.74 pada 2010 dan 2011, namun peratusan calon mendapat Gred A menurun 0.5 peratus.

Begitu pun, peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat 0.4 peratus. Penurunan prestasi calon mendapat A turut dicatatkan bagi subjek Matematik yang turun 0.3 peratus daripada tahun sebelum, namun peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat 0.9 peratus.

Bagi mata pelajaran Sains, prestasi keseluruhan menurun dengan nilai GPMP sebanyak 0.03 peratus berbanding 2010 calon yang mendapat Gred A turun dua peratus dan Gred ABC sebanyak 0.8 peratus.

Kita yakin jika semua sekolah memberi tumpuan sama rata kepada setiap mata pelajaran, pencapaian akan menjadi lebih memuaskan. Begitu juga perhatian sepatutnya diberikan kepada calon yang sederhana pencapaiannya tetapi berpotensi mencapai keputusan cemerlang, bukan hanya kepada calon cemerlang. Langkah itu mungkin dapat meningkatkan murid cemerlang yang memperoleh semua A.

Terengganu yang kekal terbaik berdasarkan pencapaian jumlah calon mendapat 5A mampu berbangga apabila 3,548 atau 15.6 peratus daripada 22,801 calon memperoleh 5A tahun ini berbanding hanya 15.4 peratus daripada 23,147 calon pada 2010.

Begitu pun, Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud yang gembira dengan pencapaian itu mengakui masih ada ruang memperbaiki pencapaian, lebih-lebih lagi apabila Kelantan yang dianggap pesaing terdekat dengan pelajar yang mendapat 5A, 15.4 peratus turut mencatatkan keputusan GPN lebih baik dengan 2.09 berbanding Terengganu 2.14 pada tahun ini.


Berita Harian Online: 24 November 2011

Rabu, 23 November 2011

Sekolah kembali guna bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik

2011/11/23

KUALA LUMPUR: Kebanyakan sekolah rendah dan menengah kembali menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, hanya lima peratus daripada 7,495 jumlah bilik darjah sekolah rendah dan kurang sembilan peratus daripada 21,092 sekolah menengah yang masih menggunakan bahasa Inggeris bagi Sains dan Matematik.
"Meskipun ada pihak yang mempersoalkan tempoh yang begitu panjang terhadap pendekatan 'soft landing' melalui dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), hakikatnya kebanyakan sekolah telah pun kembali menggunakan Bahasa Melayu.
"Sebelum melaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran itu, kita gunakan pendekatan 'soft landing' di mana tempoh bagi sekolah rendah sehingga 2016 manakala sekolah menengah sehingga 2021," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menajwab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) mengenai pihak yang masih ingin mengekalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menjawab soalan Datin Linda Tsen Thau Lin (BN-Batu Sapi) berhubung keputusan kerajaan mengenai penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains, beliau berkata, guru-guru sekolah rendah atau menengah boleh mengajar kedua-dua mata pelajaran itu sama ada dalam Bahasa Melayu atau Inggeris atau dwi bahasa.

"Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik boleh diajar dalam bahasa Melayu sepenuhnya atau Bahasa Inggeris sepenuhnya atau dwi bahasa di semua sekolah rendah dan menengah kecuali Tahun Satu sehingga kohort terakhir.
"Namun ia bergantung kepada kesesuaian murid-murid di sekolah itu sendiri dari segi penguasaan bahasa mereka tetapi kementerian tetap memutuskan secara muktamad untuk kekal dengan pemansuhan PPSMI dan tidak bercadang untuk melaksanakannya semula seperti yang dituntut beberapa pihak sebelum ini," katanya.

Mengenai Surat Pekeliling baru berhubung pemansuhan PPSMI dan kertas soalan yang hanya akan diberikan dalam bahasa Melayu, Mohd Puad berkata ekeliling baru bertarikh 4 Nov 2011 dikeluarkan.

"Dengan itu surat Pekeliling lama secara sendirinya terbatal dan di dalam surat pekeliling baru termaktub dengan jelas bahawa soalan peperiksaan mestilah dibuat dalam dwi bahasa," katanya bagi menjawab soalan Che Uda Che Nik (PAS-Sik). - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 23 November 2011

Guru empat kali mohon bertukar masih gagal

Hubungan baik sesama ahli keluarga dan suasana positif di rumah amat penting serta perlu diberi perhatian kerana ia boleh mempengaruhi produktiviti penjawat awam dalam pekerjaan mereka. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan oleh akhbar. Tetapi sejauh mana ucapan ini dihayati oleh kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?

Saya amat berharap agar KPM dapat menyelesaikan isu pertukaran guru antara negeri. Adik saya adalah salah seorang mangsa ketidakadilan dan ketidaktelusan dalam proses pertukaran guru. Ada guru yang baharu berkhidmat di Sarawak telah berjaya dalam permohonan pertukaran ke Semenanjung.

Adik saya, seorang guru yang sedang berkhidmat di Kuching, Sarawak telah empat kali memohon untuk bertukar ke sekolah di kawasan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pekan, Pahang tetapi masih gagal.

Walaupun rayuan demi rayuan dibuat termasuk berjumpa dengan pegawai Bahagian Sekolah KPM, permohonan ditolak. Adik saya telah memohon pertukaran ke Pekan, Pahang untuk dipertimbangkan pada 01/01/2012. No.Permohonan: Y20121344. Sekali lagi permohonan beliau ditolak. Saya berasa amat sedih, kecewa dan terkilan. Mungkin pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan KPM terlepas pandang atau tidak tengok langsung borang permohonan pertukaran.

Berikut saya senaraikan sebab permohonan pertukaran beliau:

* Mengikut suami, seorang anggota tentera yang kini berkhidmat di Kem Sri Kuantan, Pekan, Pahang.

* Telah berkhidmat sebagai guru di Kuching, Sarawak melebihi lima tahun (81 bulan). Syarat minimum hanya tiga tahun sahaja.

* Menghidap penyakit corneal ulcer dan masih memerlukan rawatan susulan. Beliau pernah dimasukkan ke Hospital Umum Kuching beberapa minggu. Beliau menghadapi kesukaran memandu untuk jarak jauh dan memandu waktu malam (sebelah matanya telah rosak kerana penyakit tersebut).

* Beliau kini hanya ditemani oleh dua anak yang masih kecil. (Anak sulung berusia dua tahun dan anak kedua berusia dua bulan).

* Kesihatan ibu saya yang menghidap penyakit kanser usus semakin merosot kerana tertekan akibat terlalu risaukan keadaan adik saya yang bersendirian di Kuching.

Sebab-sebab yang disenaraikan di atas telah memenuhi kriteria untuk permohonan pertukaran guru. Sememangnya KPM mempunyai dasar mengutamakan kepentingan perkhidmatan. Namun, usah ketepikan budi bicara dan perikemanusiaan sesama insan. Guru juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Usah biarkan slogan ini hanya tinggal slogan sahaja. Kepada pihak yang berkenaan, bertindaklah dengan wajar.


Utusan Malaysia Online: 23 November 2011

Pantau rombongan pelajar sekolah

TRAGEDI bas rombongan pelajar-guru dari Kulim, Kedah dalam perjalanan ke Genting Highlands yang ditimpa kemalangan ngeri di lebuh raya PLUS berhampiran Behrang-Slim River, Perak, 11 November 2011 kira-kira jam 4.20 pagi yang menyebabkan lima terbunuh dan beberapa lagi cedera parah, adalah suatu tragedi ngeri yang amat menyayat hati.

Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PPPM/ Pendidik) mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga terlibat.

Adalah sesuatu yang malang andainya rombongan pelajar-guru tersebut tidak mematuhi prosedur seperti yang ada dalam garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Sehubungan ini, Pengetua/Guru Besar/ Pentadbir Sekolah wajib memantau dan mengambil tahu secara terperinci apa jua bentuk pemeriksaan rapi ke atas rombongan pelajar, khususnya yang mahu melakukan lawatan di luar negeri.

Kondisi bas dan keupayaan serta pengalaman pemandu bas juga wajar diambil kira, terutama berhubung aspek keselamatan dan piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan.

Di samping aspek teknikal dan prosedur lawatan, insurans dan surat keizinan ibu bapa, serta Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan KPM perlu ada. Pihak pentadbir sekolah seharusnya mengambil tahu jadual perjalanan dan pengisian lawatan. Biarlah lawatan sambil belajar itu diolah untuk tujuan semata-mata memperoleh pengalaman dan bersifat menimba pengetahuan dan ilmu di luar bilik darjah.

Justeru, perancangan rapi dan perbincangan antara guru muda dan guru senior haruslah ada dari semasa ke semasa di samping idea-idea daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Pengetua. Sikap lepas tangan haruslah dihindari.

Utusan Malaysia Online: 23 November 2011

Isnin, 21 November 2011

Siasat guru tampar murid hingga pecah cermin mata

JOHOR BAHRU 20 Nov. - Jabatan Pelajaran Johor diminta menyiasat seorang guru wanita di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Ungku Tun Aminah, Skudai dekat sini, yang didakwa menampar seorang murid sehingga lebam dan pecah cermin matanya Rabu lalu.

Ibu murid tersebut, S. Rukumani, 49, kesal kerana anaknya, S. Sri Viknesh, 11, tidak melakukan kesalahan tetapi tetap dihukum.

Murid tahun lima itu didakwa oleh guru wanita berkenaan mengisi sendiri laporan kad kemajuannya selain meniru tandatangan guru besar sekolah tersebut.

"Walaupun penjelasan sudah diberikan dan murid yang melakukannya pun telah mengaku, tetapi anak saya tetap ditampar lapan kali, empat di kanan dan empat lagi di kiri hingga pecah cermin mata sebelah kiri.

"Anak saya dipaksa mengaku sedangkan murid yang sebenarnya melakukan perbuatan itu tidak pula dihukum," katanya kepada pemberita di Taman Nesa, Skudai, dekat sini, hari ini.

Rukumani berkata, guru itu memberitahu perkara tersebut pada Selasa lalu apabila dia secara kebetulan datang ke sekolah untuk mengambil wang bantuan persekolahan RM100.

Menurut suri rumah itu, menerusi perbincangan dengan guru wanita dan guru besar sekolah tersebut, perkara berkenaan dianggap selesai.

Bagaimanapun, Sri Viknesh ditampar pada keesokan harinya dan dipaksa mengaku melakukan perbuatan tersebut tetapi anaknya tetap tidak mengaku.

Tidak puas hati dengan tindakan guru terbabit, dia dan suaminya, S. Shanmugham, 51, membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru Utara pada hari yang sama.

Mereka turut membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah di sini kerana tamparan tersebut meninggalkan bekas dan kesan kemerah-merahan di kedua-dua belah pipinya.


Utusan Malaysia Online: 21 November 2011

Guru tidak perlu kerja 9 jam

PEMANSUHAN projek rintis guru bekerja sembilan di empat negeri menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah golongan pendidik dan bersedia menerima sebarang cadangan untuk menambah baik sistem pendidikan di negara kita.

Ketika mengumumkan pemansuhan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar projek rintis berkenaan yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru.

Sebenarnya, tujuan peluasan projek rintis yang melibatkan 5,000 guru di Sarawak, Pahang, Melaka dan Johor adalah untuk mencari satu ketetapan terhadap beberapa dakwaan yang kurang tepat mengenai beban kerja guru serta tanggungjawab yang tidak seimbang antara tugas mengajar dan tanggungjawab pentadbiran.

Hal ini kerana sejak sekian lama telah wujud persepsi bahawa guru terpaksa mengorbankan lebih banyak masa dalam tugas-tugas perkeranian sehingga menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Ketika ini, mengikut peraturan sedia ada, seseorang guru diwajibkan mengajar sebanyak 30 waktu bagi sekolah rendah dan 24 waktu bagi sekolah menengah setiap minggu.

Dari perspektif jumlah jam bekerja, guru hanya terlibat dalam aktiviti mengajar kira-kira 18 hingga 22 jam 30 minit seminggu berbanding penjawat awam lain yang bekerja 8 jam sehari iaitu 40 jam seminggu.

Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan bahawa tanggungjawab guru itu bukan sekadar di bilik darjah malah meliputi lain-lain aktiviti termasuk kokurikulum, memeriksa projek latihan pelajar atau buku latihan pelajar dan merancang aktiviti P&P.

Oleh sebab itu, melalui projek rintis ini, guru terbabit hendaklah merekodkan jumlah masa yang mereka gunakan untuk aktiviti tersebut bagi mengesahkan kerja-kerja berkenaandilaksanakan sama ada semasa di sekolah selepas waktu mengajar, dibawa balik ke rumah atau ketika hari cuti.

Berdasarkan statistik yang bakal diperoleh akan memudahkan pembuat dasar membuat perancangan untuk memartabatkan profesion perguruan.

Selain itu, tujuan projek rintis itu juga untuk membolehkan ada kewajaran lain diambil termasuk menempatkan lain-lain profesion dalam perkhidmatan pengurusan pendidikan misalnya kalangan penjawat awam yang dilatih khusus dalam bidang kewangan, pentadbiran, pengutipan data dan sebagainya.

Sekiranya kutipan data itu menggambarkan bahawa guru yang menumpukan sepenuh masa dalam P&P telah mampu meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang cemerlang, maka adalah wajar tugas bukan akademik diserahkan kepada orang lain.

Bagaimanapun aspek pedagogi tetap menjadi hak eksklusif para guru kerana mereka memang dilatih dalam bidang itu tetapi bukan dalam aspek pengurusan.

Apa pun pemansuhan projek rintis ini berjaya menghilangkan rasa panik di kalangan guru khususnya yang terlibat secara langsung dan juga guru lain secara keseluruhannya.

Kini, semua guru boleh kembali fokus untuk mendidik anak bangsa demi memenuhi hasrat untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka selaras dengan hasrat Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Diharap pemansuhan ini akan memberi lebih banyak masa dan ruang untuk guru membentuk kemenjadian anak didiknya.

Peluang ini hendakaklah dimanfaatkan oleh para guru untuk mengutamakan kerja wajib mereka seperti mengajar, memeriksa dan menyemak, mengurus para pelajar dan memberi bimbingan akademik.

Seharusnya, ia tidak disalah guna untuk kerja-kerja sampingan lain yang boleh menjejaskan prestasinya tetapi peluang ini wajar digunakan untuk melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan supaya mereka terus dihormati dan disanjung tinggi oleh pelajar, ibu bapa serta komuniti setempat.

Utusan Malaysia Online: 21 November 2011

Majlis graduasi suntik motivasi

MAJLIS Graduasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma berjaya memberi suntikan motivasi, dorongan dan membakar semangat mereka untuk mencapai menjadi insan cemerlang dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.

Guru Besarnya, Rusda Mosdaram berkata, majlis itu diadakan bagi memberi penghargaan atas usaha keras murid-murid yang telah berusaha menamatkan pengajian selama tempoh enam tahun di sekolah tersebut.

"Tempoh ini diharap dapat memberi persediaan yang mencukupi bagi murid-murid berkenaan untuk melangkah ke alam sekolah menengah yang lebih mencabar dan memerlukan daya usaha yang tinggi," katanya ketika berucap pada majlis itu di Beranang, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Norazman Mat Kalam dan Naib Yang Dipertuanya, Abd. Rashid Abd. Aziz.

Menurut Rusda, majlis itu juga diadakan sebagai satu lakaran sejarah bagi murid-murid tersebut agar mereka mempunyai memori terindah semasa di alam sekolah rendah yang mampu diingati hingga mereka dewasa kelak.

"Usaha gigih guru-guru dalam memberi didikan terbaik kepada semua murid tanpa mengira penat lelah hanya mampu dibalas dengan hasil pencapaian cemerlang yang diperoleh dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," jelasnya.

Sementara itu, Norazman dalam ucapannya berharap agar usaha keras murid dalam menimba ilmu serta kegigihan guru dalam memberi didikan akan dapat diteruskan bagi menjamin kelangsungan kecemerlangan sekolah.

"Kecemerlangan ini juga tidak akan hanya mampu dicapai tanpa sokongan dan dorongan serta didikan yang baik oleh ibu bapa semasa berada di rumah.

"Oleh yang demikian, diharapkan agar kecemerlangan pencapaian murid-murid di sekolah ini akan terus dikekalkan atau ditingkatkan lagi pada masa hadapan," ujarnya.

Pada majlis sama, pihak sekolah turut mengumumkan keputusan UPSR 2011 yang diumumkan serentak di seluruh negara pada hari tersebut.

Seramai 51 daripada 372 jumlah keseluruhan murid sekolah itu yang menduduki UPSR 2011 menerima keputusan cemerlang 5A.

Utusan Malaysia Online: 21 November 2011

Murid cemerlang SK Taman Midah (2) terima anugerah

SERAMAI 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Midah (2) yang memperoleh keputusan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum sepanjang tahun ini diraikan pada Majlis Anugerah Cemerlang 2011 peringkat sekolah itu baru-baru ini.

Guru Besarnya, Zawyah Ahmad berkata, majlis anugerah cemerlang ini diadakan untuk menghargai kesungguhan murid di samping menjadi suntikan motivasi agar mereka mampu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

"Kejayaan anak-anak pada hari ini bukanlah hanya terletak atas bahu pihak sekolah semata-mata, penggembelingan tenaga daripada pihak ibu bapa dan penjaga turut memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kejayaan anak-anak ini.

"Oleh yang demikian, saya menyeru ibu bapa agar dapat sentiasa mengambil berat tentang perkembangan anak-anak mereka sebagai usaha sama dengan pihak sekolah untuk membentuk kemenjadian murid," katanya pada majlis yang diadakan di sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, pelbagai kategori anugerah disampaikan kepada murid-murid cemerlang termasuklah Anugerah Cemerlang Murid Tahun Satu hingga Tahun Enam, Anugerah Cemerlang Program Pendidikan Khas Integriti (PPKI), Anugerah Cemerlang Prasekolah, Tokoh Murid, Tokoh Akademik, Tokoh Kokurikulum serta penyerahan sijil kepada Pengawas dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

Pihak sekolah turut meraikan seramai lima murid cemerlang yang mendapat keputusan 5A serta tujuh murid yang mendapat 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 baru-baru ini.

Majlis perasmian dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Mohd. Najib Ismail dan Guru Penolong Kanan, Abdul Rahim Abu.

Menurut Zawyah, sebagai memenuhi tuntutan untuk menjadi golongan pelapis yang akan menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan, setiap murid haruslah cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik malah termasuk juga kokurikulum serta sahsiah

Beliau turut merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada semua tenaga pengajar sekolah itu yang telah memberikan komitmen dalam memastikan kecemerlangan sekolah.

Utusan Malaysia Online: 21 November 2011

Pengetua potong wang RM100 kena tindakan

Oleh Azida Shaharuddin dan Norhidayah Che Din
bhnews@bharian.com.my
2011/11/21

Kementerian arah siasat sekolah langgar pekeliling

KUALA LUMPUR: Sekolah yang masih berdegil memotong wang bantuan khas RM100 yang diberikan kepada ibu bapa pelajar untuk membeli kelengkapan persekolahan bakal dikenakan tindakan tegas, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, pekeliling yang diedarkan kepada sekolah jelas menyatakan wang berkenaan hanya untuk meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak untuk sesi persekolahan akan datang.
Oleh itu, saya minta Ketua Pengarah Pelajaran buat siasatan menyeluruh berhubung perkara ini dan ambil tindakan tegas terhadap mereka. - Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran
“Sekolah yang gagal mematuhi arahan itu bukan saja diberi amaran, malah tindakan tegas akan diambil terhadap guru besar dan pengetua sekolah terbabit.
“Saya minta Ketua Pengarah Pelajaran buat siasatan menyeluruh berhubung perkara ini dan ambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Ketua Pengarah Pelajaran juga diminta memberi arahan lebih jelas kepada pihak sekolah melalui jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) supaya tidak lagi timbul kekeliruan atau salah faham sekali gus menjaga kepentingan pelajar,” katanya, semalam.

Berita Harian semalam melaporkan bapa seorang pelajar Azman Salleh, 38, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.
Puad berkata tindakan seumpama ini tidak wajar dan bukan cara terbaik meminta pelajar menyelesaikan sebarang bayaran tertunggak.

Di JOHOR BAHRU: Pengurusan sekolah seluruh negeri itu diberi amaran supaya memberikan wang bantuan persekolahan RM100 oleh kerajaan kepada ibu bapa pelajar dan jika masih ada hutang tertentu, ia perlu dikutip mengikut tatacara kewangan ditetapkan dan bukan melalui pemotongan bantuan wang itu.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, berkata peringatan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah jelas dan tidak sepatutnya timbul masalah berkaitan pemberian wang bantuan itu membabitkan oleh ibu bapa dan pengurusan sekolah.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri juga sudah memberikan taklimat kepada pihak berkaitan termasuk Pejabat Pelajaran Daerah, guru besar dan pengetua sekolah mengenai penyaluran wang bantuan terbabit kepada ibu bapa, sebelum dilaksanakan pada 14 November lalu.

“Tatacara pembahagian wang bantuan persekolahan RM100 ini sudah dikeluarkan dan pihak sekolah perlu ikut arahan dikeluarkan kementerian.

“Jika ada hutang, sekolah perlu ikut tatacara kewangan iaitu sekiranya ibu bapa berhutang, pengurusan (sekolah) perlu menulis surat rasmi kepada mereka dan memohon pembayaran hutang. Bukan memotong bantuan RM100 ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berita Harian Online: 21 November 2011

Staf sokongan tak kerja masa cuti sekolah

2011/11/21

SAYA tertanya-tanya sama ada jawatan Ahli Kakitangan Sokongan (AKS) seperti Pembantu Tadbir (kerani), Pembantu Pengurusan Murid (PPM) serta Kakitangan Am yang ditempatkan di kebanyakan sekolah rendah dapat meringankan beban tugas guru ataupun tidak. Kenyataan ini mungkin agak mengelirukan tetapi mungkin ada baiknya dikongsi bersama sebagai teladan.

Kebanyakan sekolah rendah mempunyai asrama harian khasnya di daerah terbesar di Sarawak iaitu Daerah Baram mempunyai cukup kakitangan AKS yang ditugaskan membantu guru menjaga kebajikan murid dari tahun 1 hingga tahun 6 di sekolah rendah berasrama. Bagaimanapun jawatan ini seolah-olah melepaskan batuk di tangga kerana tidak dapat menyumbangkan tugas dan bakti sepatutnya di sekolah.
Perkara pertama cuti sekolah, setahu saya cuti sekolah ialah cuti untuk murid-murid dan guru walaupun guru boleh dipanggil bertugas ketika cuti. Apa yang dikesalkan, kebanyakan sekolah di daerah itu terdapat sebilangan besar kakitangan AKS sibuk bercuti sedangkan mereka mempunyai cuti tahunan 30 hari dan perlu berada di sekolah ketika cuti sekolah. Apa yang dihairankan, staf sokongan di Semenanjung Malaysia sememangnya berada di sekolah pada waktu cuti sekolah, di sini senarionya berbeza.
Perkara kedua tugas harian PPM, merujuk bidang tugas skim perkhidmatan Pembantu Pengurusan Murid Gred N17, umumnya menjaga hal ehwal murid sekolah rendah dari semua aspek pengurusan diri di asrama, tatatertib murid, melayani keperluan murid yang sakit serta mengawasi keselamatan murid asrama.

Apa yang berlaku di kebanyakan sekolah, murid dibiarkan di kelas ketika waktu senggang selepas waktu persekolahan, manakala PPM berada di bilik khas mereka sambil melayari internet di komputer riba masing-masing.

Perkara ketiga kebajikan murid, kebanyakan PPM selalu terlepas pandang terhadap kebajikan murid terutama dari segi penyakit biasa dan juga kebersihan pakaian murid.

Ini yang menjadi persoalan saya kerana masih terdapat murid tidak memakai pakaian bersih ataupun kebersihan diri tidak terjaga.
Akhir kata, usaha Kementerian Pelajaran membantu mengurangkan beban tugas guru tidak kesampaian jika sikap staf sokongan yang diambil bekerja tidak membantu untuk mengurangkan beban guru.

CIKGU BIASA,
Baram, Sarawak

Berita Harian Online: 21 November 2011

Ahad, 20 November 2011

Tiada cadangan selaras yuran PIBG

PONTIAN - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.

Bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.

"Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.

"Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan.

Berdasarkan rekod Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), yuran PIBG sekolah kebangsaan ialah di antara RM50 hingga RM100 manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM100 hingga RM300.

Kosmo Online: 20 November 2011

Guru lempar wang

Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
asmaini@nstp.com.my

PAGOH: “Saya terkejut kerana guru besar sanggup melemparkan wang RM26 di depan kami dan melayan seperti pengemis, sedangkan kami ke sekolah kerana mahu menuntut hak anak mendapat RM100 seperti mana diterima pelajar lain,” kata Azman Salleh, 38, bapa seorang murid yang kecewa wang pemberian kerajaan kepada anaknya dipotong tanpa alasan munasabah.

Menurut Azman, anaknya, Ainul Akmal, 8, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.


Potongan itu memeranjatkan Azman dan isteri, Norizan Mohd Mustafa, 38, kerana apa diketahui mereka, tiada sebarang hutang buku yang masih belum dilunaskan.

Azman berkata, Selasa lalu dia pergi ke sekolah untuk mengambil wang seperti diarahkan tetapi terkejut apabila hanya menerima separuh daripada jumlah asal.


Katanya, dia ada bertanyakan guru mengenai hutang dimaksudkan tetapi tidak mendapat jawapan meyakinkan. “Pengurusan sekolah memaklumkan hutang buku rampaian Ainul tahun ini belum dijelaskan sedangkan saya dan isteri sudah membayarnya.


“Lebih pelik, anak saya juga tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan sehingga tamat persekolahan tahun duanya.

“Jika benar kami masih mempunyai hutang, mengapa pengurusan sekolah tidak mengeluarkan sebarang surat untuk memaklumkan perkara itu sebelum ini?” katanya.


Tidak puas dengan penjelasan itu, Azman berkata, dia sekali lagi pergi ke sekolah berkenaan, semalam, namun kecewa apabila guru besar melayannya seperti pengemis selain mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka sekeluarga.

Katanya, kejadian berlaku di pejabat itu turut disaksikan isteri, kerani dan kakitangan sekolah berkenaan.


“Saya meminta secara elok baki duit anak kerana Ainul tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan.


“Namun, guru besar itu tiba-tiba melenting dan mengeluarkan duitnya sendiri sebanyak RM26 sebelum melemparkannya kepada kami.


“Saya begitu terkejut dengan tindakannya itu. Inikah sikap seorang guru yang selama ini diagungkan sebagai pendidik bangsa?” katanya yang membuat laporan polis pada hari sama.

myMetro: 20 November 2011


Sabtu, 19 November 2011

Muhyiddin umum pemansuhan projek rintis pengajaran 9 jam

2011/11/19

LABUAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan projek rintis pengajaran sembilan jam yang sepatutnya bermula di empat negeri, tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketetapan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan guru, selain tidak mahu menambah beban sedia ada.

Katanya, ketetapan itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (Datuk Seri Abu Bakar Abdullah).
Beliau berkata demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Labuan di sini, sebentar tadi.

Berita Harian Online: 19 November 2011

Belum ada cadangan selaras yuran PIBG - Puad Zarkashi

19/11/2011 5:56pm

PONTIAN 19 Nov. – Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.

Bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.

"Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.

"Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan. - Bernama


Utusan Malaysia Online: 19 November 2011

Terengganu nafi bocor soalan

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/11/19

Sangkal dakwaan ekoran 11 tahun keputusan UPSR cemerlang

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menafikan sekeras-kerasnya khabar angin mendakwa pentadbiran negeri terdesak untuk mengekalkan kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 11 tahun berturut-turut hingga menyalurkan soalan bocor kepada calon.
EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan), berkata tuduhan berkenaan tidak berasas dan bersifat mempertikai integriti pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta warga pendidik di Terengganu.
Beliau mempersoalkan jika benar dakwaan itu, mengapa Kementerian Pelajaran tidak mengadakan peperiksaan ulangan.

“Pencapaian cemerlang calon UPSR di Terengganu sejak 11 tahun lalu hasil kerja keras murid, guru dan pegawai Jabatan Pelajaran peringkat negeri serta daerah. Sejak 2000, kerajaan negeri mengadakan kelas tambahan untuk calon dan memberi insentif kepada guru yang mengajar murid Tahun Enam.

“Bermula 2009 pula, kita membekalkan e-book atau komputer riba mini kepada setiap murid Tahun Empat yang mengandungi sukatan pelajaran serta lebih 40,000 soalan latih tubi UPSR,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini semalam.

Pengumuman keputusan UPSR 2011 kelmarin menyaksikan 3,548 daripada 22,801 calon di Terengganu mendapat semua A, iaitu pencapaian terbaik di seluruh negara untuk 11 tahun berturut-turut.
Ahmad Razif berkata, selain dana Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sendiri kira-kira RM25 juta setahun membekalkan e-book kepada murid, tidak termasuk RM8 juta untuk memberi komputer riba kepada 3,000 guru mengajar murid Tahun Enam dan 800 guru Angkatan Kerja Rajin Mulia (AKRAM) sejak tiga tahun lalu.


Berita Harian Online: 19 November 2011

Minda Pengarang: Punca pelajar UPSR tak peroleh Gred A patut diselidiki

2011/11/19

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan kelmarin disifatkan oleh Kementerian Pelajaran sebagai yang terbaik sejak 2008, berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN). Kejayaan itu tentunya suatu pencapaian yang boleh dibanggakan semua. Penghargaan bukan saja patut diberikan kepada pelajar, malah komitmen guru dan ibu bapa juga tidak harus dilupakan. Keputusan yang terus meningkat dari setahun ke setahun juga membuktikan sistem pendidikan kebangsaan kita berkesan melahirkan pelajar cemerlang, bukan saja dari segi akademik malah bukan akademik.

Seperti diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud kelmarin secara keseluruhan jumlah calon memperoleh pencapaian terbaik iaitu Gred A, B dan C tahun ini meningkat 55.45 peratus iaitu 269,021 calon berbanding 262,278 tahun lalu. Bagaimanapun, calon yang mendapat keputusan cemerlang semua A tahun ini menurun sedikit, 46,012 pelajar berbanding 48,327 pelajar tahun lalu. Apa yang lebih membanggakan, keputusan UPSR tahun ini juga menunjukkan jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar bukan saja berjaya dipertahankan daripada terus menjarak, malah ia dapat dikurangkan 0.01 peratus berbanding tahun lalu. Dengan kejayaan itu, kita mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang lulus cemerlang tetapi mereka mesti ingat bahawa kejayaan itu baru permulaan sebuah perjuangan yang masih panjang kerana UPSR ialah ujian pertama bagi menilai prestasi akademik mereka sebelum berdepan alam persekolahan lebih mencabar. Namun, itu bukan bermakna UPSR tidak penting kerana ia bakal mencorakkan hala tuju pendidikan mereka pada masa depan.
Analisis keputusan mendapati peratusan calon mendapat keputusan A bagi mata pelajaran Matematik dan Sains mengalami penurunan berbanding 2010. Sementara bagi subjek Bahasa Melayu Pemahaman pula meningkat, tetapi menurun bagi Bahasa Melayu Penulisan, walaupun prestasi keseluruhan A, B dan C meningkat. Prestasi dan gred purata Bahasa Inggeris juga stabil sama seperti tahun lalu, walaupun ada sedikit pengurangan murid yang mendapat Gred A. Bagaimanapun kita tidak sepatutnya berpuas hati dengan hanya melihat bilangan pelajar lulus cemerlang memperoleh Gred A, tetapi perlu mengkaji punca kenapa kualiti calon lain tidak menyerlah. Keputusan tahun ini menunjukkan hampir separuh daripada kira-kira 500,000 calon UPSR gagal mencapai sekurang-kurangnya Gred C.
Jumlah ini masih tinggi dan boleh disifatkan sebagai kegagalan yang tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu diberikan perhatian serius agar pencapaian mereka dapat diperbaiki.

Berita Harian Online: 19 November 2011

Perbetul kesilapan dasar PPSMI elak pelajar terus jadi mangsa

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my
2011/11/19

KETIKA calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertungkus lumus mentelaah pelajaran, masih ada yang berdegil mempertahankan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Terbaru mereka berkumpul di Melaka pada 12 November lalu dengan alasan ‘mempertahan kepentingan dan masa depan pelajar berbahasa Inggeris’.

Perhimpunan yang bermula pada jam 8 pagi itu diadakan di pekarangan Stadium Tun Fatimah di Bukit Serindit, Melaka, diketuai oleh Mak Chee Kin.
“Kita berterima kasih kepada pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menangguhkan pelaksanaan (pengajaran Sains dan Matematik) dalam Bahasa Malaysia untuk beberapa tahun lagi,” tuturnya sambil berharap kerajaan menarik balik keputusan yang dibuat sebelum ini.
Hampir 1,000 orang menghadiri perhimpunan secara aman itu. Ada yang kononnya bersimpati kepada masa depan kanak-kanak jika tidak mempelajari subjek Sains dan Matematik dalam bahasa penjajah. Ada juga yang dengan lantang mengugut kerajaan jika tidak meneruskan PPSMI.

Semuanya membuktikan kesilapan mereka menanggapi keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang wujud ribuan tahun di wilayah nusantara ini.

Beberapa pertubuhan lain pula mula mengadakan kempen secara terbuka mempertahankan PPSMI. Ada yang mengirim memorandum kepada pembesar negara tanpa melihat masalah sebenar yang dihadapi di sekolah.

Seorang pendidik mengadu banyak masalah ketika pelaksanaan PPSMI. Kekurangan tenaga mahir mengajar dua subjek penting dalam bahasa Inggeris begitu ketara. “Masalah murid dari latar belakang berbeza juga menjadi penghalang.
Sepatutnya pengajaran subjek bahasa Inggeris dipertingkatkan, bukan mencabul Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” tegasnya.

Kajian pula menunjukkan PPSMI memberi kesan buruk kepada pelajar di luar bandar sejak 2003. Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan pelajar Malaysia dalam subjek Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003, sementara mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007.

Kajian sebuah universiti tempatan pula menyatakan murid senang mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa yang mudah difahami, iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di SJK Cina dan SJK Tamil.

Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi subjek Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) pada Februari 2009 terhadap 553 guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli, banyak mendedahkan sesuatu yang terselindung sebelum ini. Ramai guru belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, apabila 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Kelancaran Bahasa Inggeris. Apakah guru yang tidak mahir berbahasa Inggeris mampu menggunakan bahasa itu ketika mengajar dua subjek penting?

Bayangkan betapa silapnya dasar yang diperkenalkan sebelum ini!

Jika masalah dan halangan sudah begitu ketara, amat nyata PPSMI tidak perlu wujud dan wajar dijadikan sejarah hitam sistem pendidikan negara. Malangnya ada kalangan Melayu sendiri yang masih jahil mempertahankan dasar memudaratkan generasi muda kita.

Sepatutnya isu pendidikan dibincang dan dikaji menerusi saluran akademik, sarjana bahasa dan ilmuwan. PPSMI sudah menjadi titik hitam dalam sejarah pendidikan negara. Kesilapan yang dilakukan oleh pembuat dasar negara sebelum ini sewajarnya diperbetulkan, bukan meneruskan kesilapan dengan kesilapan yang lain.

Jika negara maju seperti China, Jepun, Korea dan Russia boleh berbangga dengan pencapaian subjek Sains dan Matematik menerusi bahasa mereka sendiri, kita perlu mencontohi mereka dan bukannya dengan sinis menyatakan bahasa Inggeris diperlukan untuk sebuah dunia tanpa sempadan.

Sebagai bangsa yang sudah setengah abad merdeka, kita sepatutnya mempunyai kemerdekaan untuk berfikir dan bertindak supaya memberi kesan positif kepada generasi masa depan. Meminggirkan bahasa Melayu bukan saja kesannya dari segi pendidikan, malahan sejarah kewujudan bangsa Melayu di rantau ini. Mahukah kita seperti Red Indian yang bahasa ibundanya diperlekehkan oleh bangsa sendiri?


Berita Harian Online: 19 November 2011

Program SKUM pacu prestasi sekolah




WAJAHNYA mudah mencuri pandangan sesiapa sahaja walaupun ketika seseorang mengimbas pantas antara ratusan kelibat murid-murid di Sekolah Kebangsaan Batu Bungan (SKBB), Mulu, Sarawak.

Berkulit cerah dan berhidung mancung serta sedikit jeragat di pipi yang menambah keunikan identitinya, murid tahun enam itu, Liam Belarik, 12, tidak sukar didekati. Mungkin juga dia sudah terbiasa dengan rasa ingin tahu dan pertanyaan orang tentang dirinya.

"Bapa saya dari etnik Berawan, manakala ibu saya berasal dari Ireland. Saya memang dilahirkan di sini," terang Liam yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan juga serasi dengan beberapa laras bahasa suku kaum tempatan.

Menurutnya yang gemar aktiviti memancing dan bersiar-siar bersama kawan-kawan sekolah pada masa terluang itu, ibu bapanya bertugas sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Gunung Mulu. Minat dan kerjaya yang suatu ketika dahulu menemukan cinta antara kedua-dua ibu bapanya itu kini turut terserap menjadi impian dan cita-citanya.

"Saya mahu mengikut jejak mereka menjadi pemandu pelancong atau renjer hutan. Saya suka pada alam semula jadi dan saya berbangga di sini ada banyak tarikan menarik," ujarnya ramah sambil sesekali tersenyum lantaran diusik teman-teman sekelas yang malu-malu bersuara dari sudut tangga blok sekolah itu.

Minat Liam terhadap alam sekitar dilihat selari dengan objektif program NatCom: Reaching The Grassroots yang dilancarkan oleh pihak Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) di sekolahnya pada 28 Oktober lalu.

Seiring dengan fokus UNESCO iaitu memperkayakan aspek pendidikan, saintifik dan kebudayaan, program tersebut dilaksanakan SKUM untuk mencetus semangat para pelajar dan tenaga pendidik terhadap aktiviti ilmiah berdasarkan elemen persekitaran yang ada di sekolah itu sendiri.

Penghormatan

Guru Besar SKBB, Raymond Lagang, menyifatkan kunjungan SKUM ke sekolah itu sebagai suatu penghormatan dan kesempatan yang seharusnya dimanfaatkan oleh tenaga pengajar serta para pelajarnya.


Laman web SKUM sedang dilayari murid-murid tahun dua, Jason Evans Paul (duduk) dan Beckham Jr. di bilik sumber SKBB.


"Pihak sekolah dapat berbincang dengan anggota SKUM ini khususnya dalam memberi maklum balas dan menjalin kerjasama khususnya dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Banyak yang boleh dicapai berkaitan hal-hal pelaksanaan program pendidikan demi masa depan anak-anak Mulu," ujarnya.

Raymond memberitahu, 12 orang guru yang bertugas di SKBB giat berusaha untuk berkhidmat dengan sebaik-baiknya demi melonjakkan pencapaian diri dan pencapaian akademik para pelajar mereka.

"Prestasi murid-murid di sini ada naik dan turunnya. Antara cabaran bagi para guru adalah untuk mengajar dan memberi pemahaman kepada mereka dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris," terangnya yang menganggap lawatan SKUM sebagai usaha segar yang memberi motivasi kepada keseluruhan warga SKBB.

Berdasarkan rekod, sekolah yang mempunyai seramai 156 orang murid dari 12 etnik berbeza itu sungguh bertuah kerana telah banyak berubah dari aspek prasarana. Kini, SKBB menjadi antara segelintir sekolah di kawasan pedalaman yang mendapat kemudahan mencukupi.

"Saya berharap kunjungan anggota SKUM ke Taman Negara Mulu menjadi sejarah kerana sekolah ini sememangnya terletak di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO," kata Raymond.

Atasi sifat pasif

Jika persediaan dan pelaksanaan tanggungjawab memulihara warisan alam dijadikan kod amalan untuk menyambut ribuan pelancong dunia ke Taman Negara Gunung Mulu saban tahun, begitu juga halnya dengan murid-murid di SKBB.


WARGA SKBB sedang khusyuk mengikuti taklimat dan kuiz daripada pegawai jawatankuasa SKUM.


Sebelum mendedahkan murid-murid sekolah itu dengan peringkat yang lebih tinggi mengenai peranan dan manfaat SKUM, ada ruyung kelaziman yang perlu mereka pecahkan terlebih dahulu.

"Kami perlu membuat persediaan buat mereka memulakan rentak menimba ilmu. Ramai anak tempatan yang dikenal pasti bersifat pasif dan suka menyendiri. Mereka kurang mahu bercampur dengan rakan-rakan sekolah di luar waktu persekolahan kerana terjarak oleh faktor tertentu," ujar guru pemulihan khas, Ubong Jok, 36.

Menurutnya yang sudah empat tahun bertugas di SKBB, sifat takut untuk bersuara atau memberi pendapat dalam kalangan murid-murid di pedalaman menjadi cabaran buatnya dan tenaga pendidik lain.

"Seringkali mereka dianggap sebagai murid-murid yang lembab daya fikir dan ketinggalan dalam pelajaran. Sedangkan jika sifat tersebut diatasi, mereka boleh berjaya, sama seperti para pelajar lain di sekolah-sekolah bandar," ujarnya yakin.

Di dalam kelas pemulihan SKBB yang penuh dengan alat bantu mengajar, bahan bacaan, permainan interaktif dan kerja seni yang berwarna-warni, kekangan yang membelenggu prestasi sebenar murid-murid cuba dibebaskan.

"Di dalam bilik ini, mereka menyertai sesi penyesuaian diri melalui aktiviti seni kreatif, dibimbing secara khusus untuk menggalakkan interaksi dan bermain dalam suasana sihat," jelas Ubong yang meletakkan harapan agar pihak seperti SKUM membawa sinar baharu buat pengisian akademik mereka melalui tawaran program bermanfaat.

Sebelum ini, beberapa buah sekolah yang mengikuti program yang disyorkan SKUM telah menunjukkan perubahan positif. Para pelajar dan tenaga pendidik dilihat lebih terhubung di dalam dan di luar kelas, sekali gus menyemarakkan minat terhadap pelajaran.

Perubahan positif

Kesan program itu secara berperingkat dilihat daripada peningkatan gred para pelajar dalam peperiksaan.

Lebih daripada itu, pengisian program berpaksikan UNESCO seperti yang dipromosi SKUM bukan sahaja disertai para pelajar dan guru, malah mendapat perhatian serta dijayakan komuniti setempat.


GURU pemulihan khas, Ubong Jok, menunjukkan kemudahan bahan bacaan dan hasil kerja kreatif para pelajar yang mengikuti kelas bimbingannya.


Penglibatan masyarakat secara menyeluruh dalam program-program antarabangsa seperti itulah yang mampu memacu sesebuah sekolah biasa menjadi sekolah berprestasi tinggi.

Semangat pendidikan

Kosmo! sempat meninjau suasana di SKBB sempena kunjungan istimewa tersebut. Berjalan melewati kemudahan blok bilik darjah dan koridor yang dominan material kayu di situ seharusnya membuatkan seseorang pengunjung dari bandar besar berasa rendah diri.

Rendah diri kerana biarpun di dalam kawasan sekolah yang serba sederhana itu, hakikatnya banyak bakat baharu sedang dipupuk. Di situ juga, ramai bakal belia berguna danpemimpin masa depan sedang dihasilkan. Semangat pendidikan di SKBB perlu terus dikobarkan tanpa beralah pada kekurangan.

Meskipun ada dalam kalangan murid-murid itu masih kelihatan segan dan pasif, tidak kurang juga ada kelompok yang berani menonjolkan diri. Mereka tidak teragak-agak untuk melambai tangan menyambut kedatangan rombongan SKUM, memulakan pertanyaan, memberi respons spontan dan ceria beraksi tatkala lensa kamera Kosmo! ditala ke arah mereka.

Jika reaksi positif seumpama itu menjadi ikutan keseluruhan warga SKBB, tidak mustahil sahsiah mereka mampu dikembangkan secara sihat sekali gus bersedia menjadi duta bagi menyambut kedatangan tetamu dunia ke Mulu!


Kosmo Online: 19 November 2011

Pulangkan duit jika tidak dituntut


SERAMAI 5.3 juta pelajar di seluruh negara telah mula menerima wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 setiap seorang sejak Rabu lalu. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Pihak sekolah diarahkan mengembalikan semula wang bantuan persekolahan RM100 kepada kerajaan sekiranya wang terbabit tidak dituntut oleh ibu bapa pelajar di sekolah anak-anak mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa juga boleh membuat pilihan sama ada untuk menerima bantuan itu atau berhasrat untuk menyumbang kepada pihak sekolah.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ibu bapa perlu membuat tuntutan ke atas wang berkenaan di sekolah anak-anak mereka sebelum membuat keputusan untuk menyumbang kepada sekolah.

"Kalau di sekolah itu ada ibu bapa pelajar yang kata tidak memerlukan (bantuan) dan sebagainya, itu tidak apa. Kita sudah arahkan kepada sekolah, kalau ada lebihan, mereka pulangkan kepada kementerian dan wang itu akan masuk balik dalam tabung kerajaan. Itu duit kerajaan.

"Terserah kepada ibu bapa (untuk ambil atau tidak) kerana tujuan kita hendak kurangkan beban sebab awal tahun ibu bapa nak belanja beli kasut dan sebagainya. Kalau ibu bapa kata dah mampu dan ada kemudahan lain dan fikir nak sumbangkan, ibu bapa kena ambil dahulu duit itu," katanya selepas majlis perasmian Hari Unesco Malaysia di sini semalam.


Kosmo Online: 19 November 2011

Jumaat, 18 November 2011

UPSR terbaik tempoh 4 tahun

PUTRAJAYA 17 Nov. - Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada 485,160 pelajar yang menduduki peperiksaan, seramai 46,012 calon mencatat keputusan cemerlang mendapat semua A.

Menurutnya, jumlah tersebut mencatat penurunan berbanding tahun lepas iaitu 48,327 calon.

Kata beliau, peratusan calon yang mendapat pencapaian baik iaitu minimum gred C (tidak termasuk semua A) bagi semua mata pelajaran yang telah diduduki meningkat daripada 54.38 peratus pada tahun 2010 kepada 55.4 peratus tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 1.07 peratus.

"Namun, pencapaian calon cemerlang semua A telah menurun sedikit (0.54 peratus) iaitu daripada 10.02 peratus pada tahun lalu kepada 9.48 peratus tahun ini.

"Peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan sebanyak 0.51 peratus iaitu daripada 3.39 peratus kepada 2.88 peratus tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Abd. Ghafar, sejumlah 497,691 murid mendaftar sebagai calon UPSR yang merangkumi 489,101 (98.3 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran dan 8,590 (1.7 peratus) calon sekolah swasta.

Kata beliau, pencapaian calon cemerlang bandar dan luar bandar pada tahun ini masing-masing mengalami penurunan sebanyak 0.37 peratus dan 0.72 peratus.

Bagaimanapun, peratusan calon yang mendapat pencapaian baik di bandar dan luar bandar, masing-masing meningkat sebanyak 0.49 peratus dan 1.70 peratus.

Ini bermakna, katanya, peningkatan pencapaian baik bagi calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu 1.21 peratus.

Abd. Ghafar berkata, pada tahun ini, peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum telah berjaya dikurangkan terutamanya di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.68 peratus berbanding di bandar sebanyak 0.38 peratus.

"Penurunan peratusan ini menunjukkan bahawa peningkatan tahap penguasaan minimum calon di luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar.

"Peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan dapat juga dilihat melalui nilai GPN yang mengurang iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.02 bagi luar bandar. Jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar dirapatkan sebanyak 0.01," katanya.

Bagi pencapaian calon berkeperluan khas pada tahun ini, seramai 59 orang dengan calon yang mendapat pencapaian cemerlang meningkat sebanyak 0.34 peratus iaitu pertambahan seramai lima orang.

Sejumlah 17 calon yang mendapat pencapaian cemerlang terdiri daripada enam calon rabun, seorang pekak, seorang spastik dan sembilan lagi lain-lain kecacatan.

Utusan Malaysia Online: 18 November 2011

Kerja 9 jam: Guru mohon kajian

Saudara pengarang,
Laporan mengatakan Kementerian Pelajaran akan melaksanakan projek rintis sistem waktu kerja sembilan jam bagi guru di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak mulai Januari depan ternyata mengejutkan ramai warga pendidik.

Sebaik membaca laporan akhbar mengenainya, saya merupakan antara warga pendidik di Pahang yang melahirkan rasa kurang senang dengan cadangan tersebut.

Difahamkan, projek tersebut akan melibatkan hampir 5,000 guru di 104 sekolah di keempat-empat negeri berkenaan.

Jika ia dilaksanakan, tindakan tersebut pastinya akan menambahkan lagi beban kerja guru yang telah sedia ada.

Justeru itu, saya cadangkan kementerian mengadakan kaji selidik terlebih dahulu terhadap responden melibatkan warga pendidik di seluruh negara. Ini penting bagi melihat sejauh mana projek tersebut boleh diterima oleh guru-guru kerana perkara tersebut melibatkan mereka secara langsung.

Apa pun, perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana kementerian sedia maklum bahawa guru-guru bukan sahaja bertugas sebagai tenaga pengajar di sekolah sebaliknya kami juga sebagai pengasuh, pendidik serta menjalankan kerja-kerja perkeranian di sekolah melibatkan data-data murid.

Kami juga terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah murid dan ibu bapa yang kadangkala menyebabkan gangguan emosi selain terpaksa bekerja pada waktu petang untuk aktiviti kokurikulum.

Cadangan awal untuk melaksanakan di empat negeri sebagai percubaan juga langsung tidak munasabah kerana hanya mereka yang terlibat sahaja menanggung beban kerja sedangkan guru-guru di negeri lain hanya sebagai pemerhati sahaja dan ini sesungguhnya sangat tidak adil.

Saya berharap agar kementerian mengkaji semula dan berbincang dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dasar atau agenda yang melibatkan para guru.

Masyarakat pula diharap tidak menilai kerja sebagai seorang guru sangat mudah dan tempoh bekerja yang singkat berbanding penjawat awam lain kerana kami turut melaksanakan kerja-kerja di sekolah sehingga ke rumah masing-masing ekoran kesuntukan masa.

Utusan Malaysia Online: 18 November 2011

Perluas amalan kelas cemerlang

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Amalan terbaik di sekolah dan bilik darjah cemerlang akan diperluaskan ke sekolah yang kurang cemerlang sama ada di bandar atau di luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya akan meneliti dan mengambil contoh amalan terbaik diamalkan di sekolah dan bilik darjah berkenaan hingga mereka mencapai kejayaan cemerlang. “Amalan terbaik diamalkan di sekolah atau bilik darjah yang terpilih itu mungkin dapat diperluas ke sekolah yang agak terkebelakang di bandar dan luar bandar untuk mereka lihat dan contohi,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Sentul 1, di sini, semalam.


Muhyiddin meluangkan masa hampir dua jam untuk turut sama meraikan kejayaan murid dan sekolah berkenaan yang mencatatkan kejayaan cemerlang dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011, dengan seramai 41 daripada 207 muridnya mendapat keputusan 5A. Muhyiddin berkata, keputusan tahun ini menunjukkan jurang antara bandar dan luar bandar dapat sedikit dirapatkan namun menyasarkan untuk merapatkan lagi jurang itu supaya pelajar di luar bandar dapat belajar dengan lebih baik.

“Bagi merapatkan lagi jurang pencapaian antara sekolah di luar bandar dan di bandar, kementerian akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu sekolah berkenaan meningkatkan prestasi mereka.


“Selain itu, tenaga pengajar diharap dapat memberi tumpuan yang lebih supaya dapat meningkatkan prestasi sekolah masing-masing,” katanya.


Selain itu katanya, mata pelajaran utama seperti Sains dan Matematik menunjukkan peningkatan memberangsangkan juga hasil inisiatif dilakukan kementerian itu.

myMetro: 18 November 2011

Kementerian tak ambil tindakan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap sebuah sekolah rendah di Keramat di sini yang didakwa memotong RM50 daripada wang bantuan persekolahan RM100 yang diberikan kerajaan kepada pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah berkenaan sebaliknya hanya akan diberi nasihat berhubung perkara itu.


“Kami sudah maklumkan bahawa wang itu mesti diserahkan dulu kepada pelajar, jika ada bayaran lain biasa dikenakan jangan dibuat sekarang, tapi perlu diadakan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk dibincang bersama-sama,” katanya.

“Kalau ibu bapa bersetuju kemudian itu soal lain, sementara ini biarlah pelajar itu seronok terima duit ini,” katanya ketika kunjungan ke Sekolah Kebangsaan Sentul 1, di sini bagi meraikan pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu, semalam.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Datuk Khairil Awang berkata, beliau sudah menghubungi guru besar sekolah itu yang bersetuju memansuhkan pemotongan dan akan mengembalikan wang itu, kelmarin.

myMetro: 18 November 2011

Khamis, 17 November 2011

Wang RM100 hak pelajar, keluarga


GURU besar Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Azma Senun bersama pelajar-pelajar menunjukkan replika cek dan wang bantuan persekolahan RM100 di Kuala Terengganu semalam.


KUALA LUMPUR – Semua pihak diingatkan jangan sesekali memotong wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 yang diagihkan kepada 5.3 juta pelajar di seluruh negara seperti yang diputuskan dalam Bajet 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika pihak sekolah atau PIBG membuat potongan terhadap wang bantuan itu, ia perlu dikembalikan segera kepada pelajar terbabit.

“Tindakan (memotong duit bantuan) itu tidak wajar kerana kerajaan telah memutuskan bahawa ia adalah hak pelajar dan keluarga mereka,” kata beliau yang juga Menteri Pelajaran pada sidang akhbar selepas majlis Sepetang Bersama Belia Wilayah Persekutuan di sini semalam.


Kosmo Online: 17 November 2011

Guru layak dapat penghormatan tinggi

2011/11/17

SEJAK isu guru di beberapa negeri diminta melaksanakan kerja sembilan jam sehari, banyak maklum balas dikemukakan beberapa pihak. Ramai juga yang skeptikal dengan kerjaya guru dan membandingkan guru dulu dan guru kini dari segi kualiti, beban kerja dan kemudahan. Rakyat Malaysia perlulah berfikir secara rasional dan bukan secara emosi dalam memberi pendapat mengenai apa saja isu perguruan khususnya. Saya terpanggil untuk membela guru kerana terasa amat berdosa dengan penghinaan yang dilempar kepada guru. Di Malaysia kini ada 412,042 guru sekolah kerajaan.

Jika betul selama ini guru tidak menjalankan tanggungjawab, berkira tenaga dan titik peluh, kedekut dan mengejar wang ringgit seperti gaji, elaun dan tidak ikhlas mengajar bagaimana mungkin anak kita mengisi tempat dalam kemajuan negara pada masa sekarang. Guru adalah insan amat mulia, penghormatan tinggi yang tidak ternilai dengan wang ringgit harus diberikan kepada mereka.
Malangnya guru tidak dihormati, akibatnya keberkatan ilmu hilang dan ini memberikan laluan kepada generasi yang buruk perangai, pincang sahsiah dan pelbagai lagi masalah sosial. Jika difikirkan dari segi fakta dan rasional, adakah bilangan guru ini memberi masalah kepada institusi pendidikan? Mustahil mereka ini mendatangkan masalah kerana jika seramai ini bermasalah maka sudah pasti ada sesuatu yang tidak betul dengan sistem pendidikan kita. Oleh itu janganlah dipersalahkan mereka kerana sudah pasti jika anda menjadi guru anda pasti nampak apa yang anda tidak nampak.
Saya percaya guru bertugas lebih sembilan jam sehari. Guru menjalankan tugas bukan saja di sekolah, selepas waktu persekolahan ramai guru masih bertugas dengan mesyuarat, berada di padang malah jika di rumah sekalipun masih menanda buku dan sebagainya.

Jika difikirkan lagi, gurulah lebih efektif menggunakan masa di tempat kerja. Mana mungkin guru berada lama di kantin atau keluar dari pejabat untuk menjalankan tugas peribadi. Guru mempunyai jadual waktu yang perlu dipatuhi.

Malah ada guru yang hanya duduk 30 minit sejak sekolah bermula hingga persekolahan tamat kerana waktu lain guru berdiri, berjalan memastikan pelajarnya terdidik. Ini semua bukan cakap kosong malah termaktub dalam jadual waktu guru yang diaudit. Bayangkan bekerja sambil berdiri dari pagi hingga tengah hari. Wahai pegawai kerajaan, fikirkanlah berapa lama anda berada di kantin untuk perkara bukan profesional. Adakah guru mampu untuk melakukan ini semua, sudah pasti tidak. Jika guru melakukannya anda pasti dapat tahu kerana anak akan beritahu anda guru tidak masuk kelas.
Berilah penghormatan selayaknya pada guru.

ANUAR NASRI NASIR,

Alor Setar.


Berita Harian Online: 17 November 2011

Rabu, 16 November 2011

Jangan Potong Duit Bantuan RM100, Kata Muhyiddin Kepada PIBG

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tidak memotong wang bantuan persekolahan RM100 yang diberikan oleh kerajaan kepada semua pelajar sekolah menengah dan rendah.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, meminta mana-mana PIBG yang berbuat demikian supaya segera memulangkan wang yang dipotong itu kepada pelajar berkenaan.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, beliau berkata ia tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan telah memutuskan bantuan itu adalah untuk diagihkan sepenuhnya kepada pelajar dan keluarga mereka.

"Kita minta kerjasama pentadbiran sekolah untuk pastikan bantuan RM100 ini diberikan sepenuhnya, jangan kurang satu sen pun...ini keputusan kerajaan.

"Kita tidak mahu nanti timbul salah faham dan ada pihak yang menyalahkan kerajaan kerana dikatakan `cakap lain, buat lain'," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Belia Wilayah Persekutuan sempena program turun padang sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebanyak RM550 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan program wang bantuan persekolahan itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas.

Isu potongan bantuan itu dibangkitkan seorang bapa pada sesi soal jawab bersama Muhyiddin pada majlis itu, yang mendakwa PIBG sebuah sekolah rendah di sini memotong RM50 daripada bantuan itu.

Dalam jawapannya, Muhyiddin berjanji akan menyiasat perkara itu.

"Perdana Menteri sudah sebutkan, Timbalan Perdana Menteri pun sudah beritahu, dapat RM100, kenapa bawa balik RM50?. Ini adalah komitmen Perdana Menteri hendak tolong rakyat, hendak ringankan beban mereka, jadi kalau dah awal-awal dipotong. makin terbebanlah rakyat.

"Jika ada apa-apa bayaran, itu kemudianlah, bagi dulu RM100 tu. Kalau selepas ini PIBG hendak minta apa-apa bayaran, itu soal lain. Ini duit yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

BERNAMA: 16 November 2011

Jangan Asingkan Murid Berkeperluan Khas Dalam Kegiatan Kokurikulum : KP Pelajaran

PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Pengetua dan guru-guru diminta tidak mengasingkan murid-murid berkeperluan khas daripada murid-murid lain dalam kegiatan kokurikulum, sebaliknya penglibatan golongan istimewa ini harus diperluaskan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Ini bertujuan memberi peluang kepada murid berkeperluan khas dan murid biasa berinteraksi dan bersosial dalam suasana yang muhibah sekaligus mewujudkan kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan murid biasa bahawa terdapat rakan-rakan sebaya di sekelilingnya yang mempunyai ciri-ciri istimewa, katanya.

Berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 1Malaysia di sini hari ini, beliau berkata melalui aktiviti yang dilakukan secara bersama itu, pemupukan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan saling membantu juga dapat diterapkan.

"Pada masa ini, kegiatan kokurikulum yang dilakukan oleh murid berkeperluan khas dilaksanakan secara berasingan iaitu penyertaan dan pertandingan dalam mana-mana aktiviti kokurikulum berlaku dalam kalangan murid-murid ini sahaja.

"Pengasingan murid berkeperluan khas dengan murid biasa dalam aktiviti di luar bilik darjah ini akan menyukarkan dan menjadi halangan kepada murid-murid ini berinteraksi dan bergaul sesama rakan sebaya," katanya.

Abdul Ghafar berkata sekiranya hal itu berterusan, ia akan menyukarkan usaha kementerian untuk melaksanakan pendidikan inklusif yang merupakan sebahagian daripada Dasar Pendidikan Negara dan menjadi amalan di negara-negara lain.

Untuk itu, katanya, "pembudayaan kokurikulum untuk semua" harus dipraktikkan secara terangsang dan berkesan kepada semua murid di peringkat sekolah dan semua pihak yang terlibat perlu memantapkan peranan masing-masing.

Abdul Ghafar berkata peluang yang maksimum perlu diberikan kepada murid-murid berkeperluan khas ini untuk terlibat dalam kegiatan kokurikulum seperti mana yang dilaksanakan dalam kegiatan sukan.

Beliau berkata kejayaan murid-murid berkeperluan khas dalam bidang sukan membuktikan mereka juga berupaya bergiat aktif di luar bilik darjah.

"Situasi ini memberi mesej kepada kita bahawa mereka ada keistimewaan masing-masing. Oleh itu guru perlu mengenal pasti keistimewaan murid-murid ini dan usahakan peningkatan kemahiran mereka sehingga mencapai tahap cemerlang," katanya.

Seramai 72 murid berkeperluan khas dari seluruh negara merupakan penerima anugerah itu dalam 24 kategori.

Tokoh Murid Cemerlang Kokurikulum Pendidikan Khas ialah Muhammad Saifuddin Ishak dari Maktab Sultan Abu Bakar, Johor (Putera) dan Siti Noor Radiah Ismail dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor (Puteri).

-- BERNAMA


BERNAMA: 16 November 2011