Isnin, 9 Januari 2012

'Cubaan babit pelajar sekolah'

Oleh Mohamed Farid Noh
bhjb@bharian.com.my
2012/01/09

 TINJAUAN  di  Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta,  semalam mendapati pihak polis sudah mengambil langkah awal menutup kawasan meletak kenderaan.
TINJAUAN di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, semalam mendapati pihak polis sudah mengambil langkah awal menutup kawasan meletak kenderaan.
Guru diberi amaran elak sertai perhimpunan depan kompleks mahkamah

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran mendedahkan ada cubaan membawa pelajar sekolah menyertai perhimpunan sempena keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan di tempat letak kereta awam Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan membawa, mengguna atau memperalat pelajar sekolah bagi menyertai perhimpunan terbabit tidak bertanggungjawab dan perlu dielakkan.
Warga pendidik dinasihat utamakan tugas hakiki mendidik anak bangsa daripada terbabit perhimpunan berkenaan. - Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran
“Saya nasihatkan ibu bapa jangan korbankan anak mereka kerana saya difahamkan dan mendapat maklumat ada ibu bapa mahu membawa anak mereka menyertai perhimpunan itu.

“Jangan memperalatkan anak sendiri sehingga mereka tidak hadir ke sekolah, tidak kiralah kelas prasekolah, rendah mahu pun menengah, jangan korbankan masa mereka ini kerana taksub dengan pemimpin yang hanya tahu menjaga kepentingan dirinya sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bengkel Petugas Teknologi Maklumat (IT) Puteri UMNO peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.

Selain itu, Mohd Puad mengingatkan semua warga pendidik supaya lebih mengutamakan tugas hakiki mereka untuk mendidik anak bangsa daripada terbabit aktiviti lain termasuk perhimpunan berkenaan.

“Hari ini adalah hari bertugas semua guru, mereka perlu tunjuk contoh terbaik dan bertanggungjawab sebagai pendidik, nasihat saya jangan memerangkap diri, lebih baik berada di sekolah, jalankan tugas hakiki mereka mendidik pelajar.
“Jangan kerana atas alasan perjuangan individu, mereka sanggup tinggalkan tanggungjawab mendidik apatah lagi ambil cuti tanpa faedah, ini tidak sesuai tanggungjawab mereka adalah untuk berada di sekolah,” katanya.

Ditanya sama ada guru yang mengambil cuti semata-mata bagi menyertai perhimpunan berkenaan akan dikenakan tindakan, katanya, ia terserah pada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk menyiasat seterusnya mengambil tindakan bersesuaian.

“JPN mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan dan ambil tindakan sesuai, sekiranya terbukti ada guru mengambil cuti semata-mata untuk sertai perhimpunan berkenaan,” katanya.

Berita Harian Online: 9 Januari 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pelajar sekolah HANYA boleh dibabitkan dgn perhimpunan yg dihadiri oleh BN shj walaupun pada waktu persekolahan.
Cikgu tak masuk kelas pun tak apa.