Khamis, 19 Januari 2012

Datuk mahu guru pukul cucu diambil tindakan


ZULKEFLI Lop dan isterinya, Rokiah Arshad menunjukkan halaman akhbar Kosmo! yang turut memaparkan berita mengenai cucu mereka, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong, Teluk Intan, semalam.


TELUK INTAN 18 Jan. - Jabatan Pelajaran negeri diminta mengambil tindakan terhadap seorang guru yang memukul seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong, di sini sehingga pengsan semalam.

Penjaga yang juga datuk kepada pelajar tersebut, Zulkefli Lop, 61, berkata, guru tersebut tidak sepatutnya menggunakan kekerasan dengan memukul cucunya sehingga pengsan dan dimasukkan ke hospital.

"Saya akui cucu saya nakal dan saya tiada masalah jika guru menggunakan rotan untuk mendidik, tetapi jangan pukul sampai dia masuk hospital.

"Pukul pula di tempat bahaya iaitu di tengkuk. Macam mana kalau terputus urat atau berlaku kematian, siapa yang hendak bertanggungjawab kerana bapanya tiada di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong di sini hari ini.

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, pelajar berkenaan mendakwa dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.

Pelajar tersebut, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar lain di tingkat atas sekolah berkenaan.

Menurut Zulkefli lagi, dia kesal kerana tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kejadian yang menimpa Muhamad Ziqril dan hanya mengetahuinya melalui seorang rakan kepada cucunya petang semalam.

"Sampai pukul 6 petang saya tunggu cucu saya tidak pulang ke rumah. Selepas itu, seorang kawan dia beritahu Muhamad Ziqril ada di perhentian bas depan sekolah kerana baru keluar hospital akibat dipukul guru.

"Saya pun terus pergi ke sana untuk membawa cucu saya pulang ke rumah," katanya sambil menyatakan turut kesal kerana pihak sekolah tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Susulan kejadian itu, Zulkefli memberitahu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini tengah hari ini.

Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Changkat Jong, Ayub Harun, 58, yang melawat pelajar itu berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana seorang guru sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada murid dan masyarakat.

"Memang ada sesetengah murid sangat nakal di sekolah, tetapi kita ada undang-undang. Kalau hendak pukul untuk mengajar, guna rotan supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pelajar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa ketika dihubungi berjanji akan menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika guru tersebut didapati bersalah.

Utusan Malaysia Online: 19 Januari 2012

2 ulasan:

ckLah @xiiinam berkata...

Assalamualaikum...
Sebagai guru disiplin, meski bagaimanapun cabaran yang diberikan oleh murid mutakhir ini, satu yang sentiasa saya pegang;

"Buat tindakan, ikut garis panduan!"

...semoga Allah merahmati semua rakan guru yang sentiasa ikhlas dalam menjalankan tugas yang semakin rencam...

Tanpa Nama berkata...

kepada penjaga/ibubapa kalau dah tau anak nakal..ajarlah sendiri..kalau guru disiplin atau sekolah panggil ibubapa/penjaga ke sekolah utk beritahu keadaan/sikap/salahlaku disiplin anak2 mereka ada yg buat tak kisah atau ada yg kata dah x boleh buat apa mmg degil..yang jadi masalah pihak media/surat khabar tulis la betul2 sebab cikgu pukul pelajar tu, dari awal sampai habis ..pelajar baik takkan cikgu tiba2 nak pukul/hukum mereka..entah2 pelajar tu pukul dulu/ancam cikgu...datuk yg nak ambil tindakan ni dan ibubapa pelajar ni pernah ambik tau ke hal pelajar cucu/anak diaorg...rasanya kelas/tingkatan pun tak tau..